Solleh Al-Fatimi
Memacu ekonomi negara. Itulah hasrat yang ingin dicapai dalam Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak. Namun sungguh memalukan dan mengaibkan apabila cadangan yang terkandung dalam ETP merangkumi penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, penganjuran konsert hiburan mega dan melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa. Tindakan ini adalah untuk memacu industri pelancongan.

EPP seperti yang dilaporkan akan menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Higlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kota Kinabalu. Langkah kerajaan ini akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014 dan dikatakan menjelang tahun 2014, akan terdapat sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. (Harakah: Bil 1585)

Saranan yang dibuat oleh Perdana Menteri kita ini, memanggil saya untuk saling mengingati sesama kita. Saya ingin mengajak sesiapa sahaja yang mempunyai akal untuk berfikir, mempunyai hati untuk menghayati, mempunyai mata untuk memerhati, mempunyai telinga untuk mendengar dan mempunyai lidah untuk menyampaikan apa yang ingin saya bentangkan ini. Inilah satu nasihat sebelum kita terlambat. Hayatilah sejarah lampau untuk mengatur langkah pada hari ini dan di masa hadapan.

PERTAMA:
Pendedahan Andrea Moro seorang penulis Perancis berhubung faktor kekalahan Perancis dalam peperangan Dunia Kedua perlu diberi perhatian. Beliau menyatakan; “Antara faktor kejatuhan Perancis adalah kerana Bangsa Perancis berpecah belah akibat dari kerendahan akhlak individunya”. Menyedari hakikat inilah, General Deagoul sebaik sahaja menjawat jawatan Presiden Perancis selepas Perang Dunia kedua cuba memperbaiki dan cuba mengatasi masalah ini. Lantas beliau memanggil Ketua Polisnya dan memerintahkan;
“Tutup semua rumah-rumah pelacuran dan kelab malam dari ibu kotaku!”.
Itulah ketegasan seorang Presiden Perancis. Sekalipun beliau bukan seorang muslim, tetapi dia mempunyai kesedaran. Malang sekali sekiranya seorang yang berketurunan Muslim tidak dapat mencontohi perkara ini.

KEDUA:
Demikian jugalah yang dialami oleh bangsa Arab yang mengalami kekalahan berulang kali yang sangat memalukan di tangan Israel. Khususnya tahun 1967M, di mana angkatan udara Mesir telah musnah, Bukit Golan, Sinai dan Tebing Barat jatuh ke tangan Israel. Kesemuanya ini berpunca dari masalah akhlak dan peribadi. Perkara ini didedahkan oleh Breg. Gen. Mahmod Shith Khattab dan diperkukuhkan oleh pelbagai dokumen rahsia yang mencatatkan latar belakang sebab kekalahan Arab berulang kali di tangan Israel.

KETIGA:
Inilah realitinya. Maksiat penghalang kejayaan. Kita juga dapat memerhatikan tatkala gerakan pembebasan Mesir agak lambat dan mengambil tempoh yang lama, lantas Khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab menulis surat kepada panglima tenteranya, ‘Amru bin ‘As;
“Saya hairan kenapa anda semua terlalu lambat membebaskan Mesir, anda telah berperang selama dua tahun...ini semua bukanlah kerana apa, kerana kamu semua masih baru dan cinta dunia seperti musuh-musuhnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menolong sesuatu kaum melainkan jika mereka mempunyai niat yang benar”.

KEEMPAT:
Keprihatinan Khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab agar para tenteranya menjauhkan diri dari kemaksiatan ini turut disampaikan kepada Sa’ad bin Abi Waqqas, panglima tentera Islam di Parsi. ‘Umar bersuara;
“Aku berpesan kepadamu dan angkatan tentera yang bersamamu supaya bertaqwa kepada Allah dalam segenap keadaan. Sesungguhnya bertaqwa kepada Allah adalah sebaik-baik persediaan yang paling berkesan di dalam peperangan. Saya mengarahkan kamu dan angkatan tentera yang bersamamu supaya bersungguh-sungguh menjaga diri dari melakukan maksiat, kerana dosa tentera kita itu lebih saya takuti dari musuh mereka. Sesungguhnya Allah memenangkan orang-orang Islam dengan sebab maksiat musuh mereka terhadap Allah. Jika tidak kerana itu, kita tidak mempunyai apa-apa kekuatan ke atas mereka. Kerana jumlah orang-orang kita tidak sama dengan mereka. Peralatan kita juga tidak secanggih peralatan mereka. Jika kita sama seperti mereka melakukan maksiat-maksiat, maka mereka akan lebih kuat dari kita. Sebaliknya jika kita tidak sedemikian, maka kitalah yang akan menang dengan kelebihan (akhlak) kita dan kita sama sekali tidak akan dapat mengalahkan mereka dengan kekuatan”.

(Dr. Fathi Yakan, al-Islam wa al-Jins, 68)

KELIMA:
Bumi anbiya’, Mesir mempunyai lakaran sejarah tercetusnya peperangan dengan Habsyah. Sangat memalukan apabila Mesir sentiasa mengalami kekalahan. Perkara ini menggusarkan hati al-Khadyu Ismail. Tatkala meraba-raba mencari kemenangan yang hilang, Syarif Basya mengusulkan kepada al-Khadyu agar mereka membaca kitab Sahih al-Bukhari (kerana di dalamnya terdapat bab doa) sebagai usaha bagi mengatasi kekalahan yang selalu menimpanya.

Cadangan diterima. Lantas al-Khadyu berbincang dengan Syeikh al-Azhar, Syeikh al-'Arusi untuk mengumpulkan para ulama' yang soleh bagi membacakan Sahih al-Bukhari. Lalu kitab ini dibacakan di hadapan kubah lama al-Azhar berkali-kali. Masa terus berlalu. Namun kekalahan tetap bersama Mesir.

Tertekan dengan kekalahan demi kekalahan ini, al-Khadyu menyalahkan ulama' yang membacakan Sahih al-Bukhari. “Apakah yang kamu baca ini bukan dari Sahih al-Bukhari! Atau kamu semua bukanlah ulama’ yang dikenali daripada para salaf as-soleh! Sedangkan Allah tidak menolak musibah ini sekalipun dengan kehadiran kamu dan dengan apa yang kamu bacakan!” Kemarahan yang diluahkan oleh al-Khadyu di majlis itu menjadikan majlis tersebut sunyi-sepi. Semua terdiam seribu bahasa.

Tiba-tiba seorang ulama' bangun berdiri dan dengan suara yang lantang dihalakan kepada al-Khadyu;

"Semua kekalahan ini semuanya berpunca daripada kamu! Kamulah wahai Ismail! Kerana kami diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w bersabda;

لَتَأْمُرُونَ بِالمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَونَ عَنِ المُنكَرِ أَوْ لَيَسَلَّطَنَّ اللهُ عَلَيكُم شَرَارَكُم فَيَدْعُو خِيَارُكُم فَلَا يُسْتَجَابُ لَهُ

"Hendaklah kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran. Atau (jika kamu tidak laksanakannya) Allah s.w.t akan melantik dan memberi kekuasaan kepada golongan yang jahat, dan saat itu sekalipun orang baik-baik berdoa, maka Allah s.w.t tidak akan mengkabulkan doanya". (HR al-Bazzar dan at-Thabrani)

Suasana membisu tanpa bicara. Al-Khadyu bersama Syarif Basha mengundurkan diri dari majlis itu. Berundur tanpa melontarkan sepatah pun perkataan. Semua ulama' pengecut yang hadir menyesali dengan tindakan berani dan lantang yang dilakukan oleh ulama' tadi. Dalam suasana gamat ini, tiba-tiba Syarif Basya datang semula dan membawa ulama' yang bercakap lantang tadi keluar dari majlis tersebut. Apakah yang akan berlaku pada ulama’ tersebut? Bagaimanakah nasibnya? Semua yang hadir tidak mengharapkan lagi kepulangannya. Mati kerana lantang bersuara.

Setelah sampai di istana, al-Khadyu memintanya agar mengulangi apa yang diucapkan dalam majlis sebelum ini. Tawakkal kepada Allah s.w.t tempat bergantung. Beliau mengulangi kata-katanya pada majlis tersebut. Tidak berubah walaupun sepatah. Tidak mengenal erti berdolak-dalik. Setelah mendengar penjelasan ulama’ tersebut, al-Khadyu bertanya bagi meleraikan kekusutan yang berlarutan; "Apakah perkara yang telah kami lakukan sehingga bala turun kepada kita?".

Inilah soalan yang ditunggu-tunggu. Peluang terbentang bagi mengembalikan kepada landasan yang tepat. Apabila punca penyakit dikenal pasti, senanglah menentukan penawar bagi penyakit yang melanda. Lantas beliau pun membongkar punca sebenarnya;
"Bukankah sistem perundangan kita bercampur baur! (antara undang-undang Islam dan undang-undang penjajah) sehinggakan undang-undang riba dibenarkan! Tidakkah pelacuran dan penzinaan diizinkan dan dipermudahkan jalannya! Tidakkah arak dibenarkan sehingga dianggap perkara biasa! Tidakkah!…Tidakkah…!"
Beliau terus membongkar kemungkaran-kemungkaran yang berlaku tanpa sebarang pencegahan dan pembanterasan dari pemerintah bahkan membiarkannya. Beliau sekali lagi mengetuk hati al-Khadyu dengan pertanyaannya;
"Beginikah keadaan kamu menunggu pertolongan daripada langit (Allah s.w.t)?!".

Namun al-Khadyu cuba mencipta alasan murahan; "Apa yang boleh kita lakukan, (kita tidak boleh buat apa-apa) sedangkan kita bercampur dengan warga asing dan ini merupakan tamadun mereka".
Mendengar alasan yang menghalalkan kemungkaran itu, dengan tegas beliau menjawab;
"Jika demikian apa dosa Imam al-Bukhari dan apa pula daya kekuatan ulama' lagi?!" 
Tembakan peluru dari mulut ulama’ ini membuatkan al-Khadyu terdiam sejenak. Tembakannya betul-betul tepat pada sasarannya. Akhirnya al-Khadyu akur.

Sebagai penghargaan yang tidak terhingga ini, beliau diberikan elaun bulanan serta berkhidmat di al-Azhar. Segala tanggapan para ulama’ yang hadir majlis tersebut tersasar jauh dari kenyataan. Malu digelar ulama’ sekiranya lidah kaku menyatakan kebenaran. Sejarah penuh iktibar ini dipaparkan dalam kitab Min Akhlaq al-Ulama’.

(Abdul Aziz al-Badri: al-Islam Baina al-'Ulama wa al-Hukkam; 102-103. Turut tercatat dalam buku 'Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama', terbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. akan terbit Disember ini, insyaAllah)

Huh! Maksiat menghalang. Maksiat menggagalkan cita-cita. Oleh itu, sekiranya kita masih membiarkan longkang-longkang tempat pembiakan nyamuk aedes dibiarkan berselerak dan hanya menghapusnya hanya dengan menampar sahaja. Maka jangan disalahkan nyamuk aedes jika kita demam atau sakit.

Tak usahlah bercakap tentang cara menangai dan jalan penyelesaian pembuangan bayi yang bermaharajalela hari ini sekiranya hiburan dan maksiat terus disuburkan dan agama dipusarakan! Tak perlulah terus bertopeng sebagai pembela agama Islam dan bangsa Melayu sekiranya industri maksiat terus menjadi agenda dalam pembangunan. Ini semua pembohong. Inilah pengkhianat agama dan bangsa.
0 Responses

Catat Ulasan