Solleh Al-Fatimi
Selamat Pengantin Baru 
 dibingkiskan kepada sekalian sahabat yang telah, sedang dan bakal melangsungkan perkahwinan. Ayuh sama-sama membina syurga dunia yang indah mewangi...
mudah-mudahan berkekalan sampai ke syurga... kami titipkan doa munajat sebuah perkahwinan buat kalian agar rumahtangga kita sama-sama sentiasa diberkati dan dilimpahi cinta dan kasih sayang Allah...



Munajat sebuah Perkahwinan…
 



Ya Allah…

Kami menzahirkan diri kami pada hari ini untuk sama-sama meraikan pembentukan sebuah lagi masjid umatmu.

Berkatilah Ya Allah kahadiran kami ini semoga berkatmu ini akan mejadi penyubur pada pembinaan perkahwinan yang penuh dengan mawaddah dan rahmah.

Ya Allah… Ya Rabbana…

Kami hanya mampu menadah tangan kepadamu dan memohon kepadamu dengan penuh munajat agar apa yang kami minta ini dimakbulkan.

Sekiranya pada diri kami masih ada kesalahan dan dosa, janganlah Ya Allah perkara ini menjadi penghalang pada termakbulnya doa kami yang terbit dari hati yang ikhlas dan dari jiwa yang mengharapkan kebesaran serta keampunanmu.





Wahai Tuhan…


Kami berdoa agar kedua mempelai ini akan terus melengkapkan iman mereka melalui perkahwinan mereka, bekalkan mereka dengan kasih sayang sejati, perasaan belas kasihan yang hakiki, tekad usaha yang tidak mengenal penat, tawakkal kepada mu yang tidak mengenal pasrah, kesetiaan antara satu sama lain yang terpenting keimanan padamu yang tidak mengenal ingkar.



Ya Rahman … Ya Rahim…

Insafikan mereka berdua ini bahawa kejayaan perkahwinan mereka bukan bermula dengan kekayaan, bukan bertapakkan kedudukan dan bukan bersemarak dengan pujian.

Insafikan mereka Ya Allah sebagaimana juga kami yang lain telah diinsafi bahawa kebahagiaan perkahwinan mereka bermula dengan tidak lupa kepadamu, dengan sentiasa merindukan kehadiranmu dan berkekalan mensyukuri nikmat iman anugerahmu. Kurniakan kepada mereka berdua sifat saling kukuh mengukuh sebagaimana berlakunya antara Rasulullah s.a.w dengan Khadijah, kerana mereka berdua akan melalui jalan yang tidak lekang dari diuji.

Kurniakan kepada isteri kesetiaan kepada suaminya sebagaimana kesetiaan Zainab Binti Muhammad. Pengabdian kepada Allah ta’ala sebagaimana pengabdian Rabi’ah Al-‘Adawiyyah dan iltizam untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah sebagaimana yang ada pada diri Sumayyah.

Kurniakan kepada si suami, kebijaksanaan membimbing isterinya ke ambang syurga dan semoga ia sabar dengan apa yang menduganya sebagaimana Nabi Allah Ayyub a.s bersabar tehadap imannya, kesihatannya dan keluarganya




Ya Allah


Sesungguhnya tidak ada doa yang susah bagimu untuk memakbulkan doaku bagi kami yang sama-sama menghadiri majlis pada hari ini. Insafi juga diri kami agar kami mampu menjadi contoh yang hidup bagi kedua mempelai ini. Bagi ahli keluarga kedua mempelai yang telah kembali ke rahmatmu izinkan roh mereka saat-saat kebahagiaan mereka berdua. Semoga anak, cucu dan keturunan mereka akan merupakan insan-insan yang bakal menjadi tunggak agama mu dan tanah air yang kami cintai ini.

Amin Ya Rabbal ‘Alamin…

Munajat Sebuah Perkahwinan dipetik daripada buah tangan pertama: 10 Terminal Syurga Rumahtangga
0 Responses

Catat Ulasan