Solleh Al-Fatimi
KEPRIHATINAN IMAM MALIK terhadap permasalahan pemerintahan menggerakkan hati beliau untuk mencapai penanya bagi meloret kalimah. Kalimah yang penuh dengan mutiara berharga ini dihadiahkan untuk Khalifah Harun ar-Rasyid. Kesibukannya dalam mengkaji dan mendalami ilmu hadis dan perundangan Islam, sama sekali melalaikannya untuk menasihati pemerintah. Beliau tidak hanyut dalam buaian teori semata-mata bahkan menterjemahkan dalam realiti kehidupan. Marilah kita menghayatinya;

"Sesungguhnya aku menulis surat ini kepada kamu tanpa kecuaian untuk memberi pedoman dan sesekali aku tidak akan menyembunyikan dari menyampaikan nasihat sebagai tanda tahmid hanya bagi Allah s.w.t serta adab kepada Rasulullah s.a.w. Maka tumpukanlah sedalam-dalamnya dengan mata akalmu, ulangilah dengan mata kepalamu, dan perhatikanlah dengan pendengaran kamu. Kemudian pasakkanlah sedalam-dalamnya kedalam hati kamu, datangkan kefahaman yang jitu dan jangan sekali-kali kamu hilangkannya dari ingatan hatimu. Kerana padanya keistimewaan di dunia dan balasan yang baik daripada Allah s.w.t pada hari akhirat nanti”.
Demikianlah pembuka bicara warkah yang lahir dari hati seorang ulama’.

“Bayangkanlah tatkala dirimu diambang sakaratul maut dan keperitan kematian yang datang kepada kamu. Bagaimanakah kedudukan dan keadaan kamu selepas mati tatkala kamu dihadapkan dihadapan Allah s.w.t. Kemudian kamu dihisab dan ditentukan tempat yang kekal selepas kamu dihitung. Sedangkan Allah s.w.t menyediakan bagi kamu perkara yang mudah dan menyusahkan tatkala kamu melihat dengan jelas keadaannya”.

Imam Malik meneruskan warkahnya, “Sesungguhnya sekiranya kamu melihat kemurkaan Allah s.w.t dan apa yang terjadi kepada manusia yang menanggung pelbagai azab dan kedahsyatan balasan buruk. Nescaya kamu akan mendengar dengan kuat hembusan nafas dan pekikan mereka yang terbakar wajah mereka (seperti kambing yang dipanggang). Mereka menanggung kesedihan yang berpanjangan dan akhirnya muka-muka mereka tersungkur ke dasar neraka. Sedangkan mereka tidak dapat mendengar dan tidak dapat melihat, bahkan mereka selalu menyebut-nyebut alangkah celakanya! Alangkah binasanya! Betapa besarnya penyesalan tatkala berhadapan dengan Allah s.w.t dan berputus asa serta tiada lagi harapan mereka (untuk mendapat pertolongan), sedangkan seruan mereka akan dijawab setelah mereka diseksa dalam tempoh yang panjang dengan jawapan,
"Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku!". (Surah Al-Mukminun: 108) 
Keras bicaranya.

Setelah dijelaskan perjalanan hidup yang pasti akan ditempuh, Imam Malik berpindah kepada memberi nasihat berhubung pemerintahan; “Janganlah kamu serahkan sesuatu amanah berhubung urusan pemerintahanmu kepada mereka yang tidak takut kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya telah sampai kepadaku pesanan daripada Saidina 'Umar bin al-Khattab yang berbunyi;

شَاوِرْ فِي أَمْرِكَ الَّذِينَ يَخَافُونَ اللهَ

"Bermesyuaratlah dalam urusanmu bersama orang yang takutkan Allah s.w.t". 
Berhati-hatilah terhadap pembantu-pembantu dan penasihat peribadimu yang jahat. Sesungguhnya sampai kepadaku bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda;

مَا مِن نَبِيٍّ وَلَا خَلِيفَةٍ إِلَّا وَلَهُ بِطَانَتَانِ بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالمَعْرُوفِ وَتَنْهَاهُ عَنِ المُنْكَرِ وَبِطَانَةٌ لَا تَأْلُوهُ خَبَالًا

"Tiadalah bagi seorang nabi dan tiada juga bagi seorang khalifah kecuali terdapat padanya dua pembantu, iaitu pembantu yang menyuruhnya melakukan kemakrufan dan mencegahnya dari melakukan segala kemungkaran. Dan pembantu yang tidak pernah berhenti dari melakukan kerosakan”.

Pesanan berhubung dengan muamalat dengan masyarakat tidak dilupakan. “Janganlah kamu melabuhkan pakaian kamu kerana Allah s.w.t tidak menyukai perkara tersebut. Sebagaimana yang disampaikan kepadaku bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

مَن جَرَّ ثِيَابَهُ خَيْلَاءً لَمْ يَنْظُرِاللهُ إِلَيهِ يَومَ القِيَامَةِ

"Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana bermegah-megah, nescaya Allah s.w.t tidak akan melihatnya pada hari qiamat". 
Taatilah kepada Allah s.w.t sekalipun kamu terpaksa menderhakai manusia, dan jangan sekali-kali kamu mentaati manusia sedangkan waktu itu kamu menderhakai Allah s.w.t. Kerana sesungguhnya telah sampai kepadaku pesanan Rasulullah s.a.w;

لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الخَالِق

"Tiada ketaatan terhadap makhluk dalam melakukan penderhakaan terhadap Allah s.w.t". 
Demikianlah… Warkah yang hebat. Penuh keberanian. Warkah yang ringkas namun terkandung didalamnya peringatan tentang pengertian iman, seruan agar berpegang teguh dengan perundangan Islam, batasan-batasan Islam dan adab-adabnya. Inilah nasihat yang benar yang terpancar dari hati yang bersih dan nasihat yang jujur sehingga dapat mengalirkan air mata, mendekatkan seseorang muslim kepada tuhannya untuk menggapai redhaNya. Sesungguhnya surat ini diterima dengan sebaiknya oleh Khalifah Harun ar-Rasyid dan mengucapkan terima kasih kepada Imam Malik.

Dipetik dari buku 'Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama'.
0 Responses

Catat Ulasan