Solleh Al-Fatimi

Umat Islam bukanlah satu-satunya golongan yang percaya bahawa Jesus (a.s.) adalah manusia dan bukannya Tuhan. Bangsa Yahudi juga mempercayai perkara yang sama. Begitu juga penganut-penganut terawal Kristian seperti golongan Ebonit, Cerinthia, Basilidia, Capocrations dan Hypisistaria. Golongan Airan, Paulicia dan Goth juga menerima Jesus (a.s.) sebagai seorang nabi. Malahan, dalam era moden juga terdapat gereja-gereja di Asia, Afrika, gereja-gereja Unitari, Jehovah’s Witness dan majoriti Biskop Gereja England pada hari ini yang tidak menyembah Jesus (a.s.) sebagai Tuhan.

Di dalam sebuah akhbar British, iaitu Daily News, di bawah tajuk “Shock survey of Anglican Bishops”, kita dapati:

“Lebih separuh daripada Biskop Gereja England mengatakan bahawa penganut-penganut Kristian tidak perlu percaya bahawa Jesus Kristus adalah Tuhan, menurut satu tinjauan yang diterbitkan hari ini. Tinjauan terhadap 31 daripada 39 biskop di England menunjukkan kebanyakannya berpendapat bahawa mukjizat-mukjizat Kristus, kelahirannya oleh seorang perawan, dan kebangkitan semulanya mungkin tidak berlaku seperti yang diterangkan di dalam Bible. Hanya 11 biskop bertegas bahawa penganut-penganut Kristian mesti meyakini Kristus sebagai Tuhan dan manusia, manakala 19 berpendapat adalah memadai untuk mempercayai bahawa Jesus adalah agen Tuhan (rasul) yang tinggi kedudukannya.” 

Tetapi apakah utusan Tuhan? Bukankah beliau seorang “agen Tuhan yang tinggi kedudukannya”? Sesungguhnya inilah yang telah Tuhan sendiri maklumkan kepada kita di dalam Qur’an 1400 tahun yang lalu, dan apa yang disahkan oleh Jesus sendiri di dalam Bible.
“Jika orang mengenal Engkau, satu -satuNya Allah yang benar, dan mengenal Jesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.” (Yohanes 17:3)

Amat mengejutkan bukan? Semakin masa berlalu, semakin ramai ilmuan-ilmuan masyarakat Kristian yang mulai menyedari hal sebenar dan menjadi semakin hampir kepada Islam. Kenyataan-kenyataan di atas bukannya datang daripada penganut-penganut Islam. Mereka bukan penganut Kristian “liberal”. Mereka adalah daripada kalangan yang paling berilmu dan amat dihormati di kalangan Gereja England. Mereka telah mengabdikan seluruh hidup mereka untuk mengkaji agama Jesus dan kajian mereka telah membawa mereka kepada kebenaran yang telah Tuhan wahyukan dalam Qur’an 1400 tahun lalu: Jesus bukan Tuhan. Tuhan bukan Triniti. Dan cerita-cerita mengenai pendakwahan Jesus di dalam Bible telah banyak diubah suai oleh tangantangan manusia.
Rev. Prof. David Jenkins, biskop pada kedudukan keempat tertinggi dalam Gereja England dan merupakan Biskop Durham, mengakui perkara berikut: 
“[beberapa peristiwa semasa misi awal Jesus] tidak sepenuhnya benar sebaliknya telah ditambah oleh penganut-penganut Kristian yang awal untuk menunjukkan keyakinan mereka terhadapnya sebagai Al-Masih.”
(“London Daily Mail”, m.s. 12, 15 Julai, 1984)

“Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Hai Isa (Jesus) putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: ”Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?”. Isa menjawab: ‘Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakan)nya. Jika aku pernah mengatakannya maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib. Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya iaitu: “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu”, dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan segala sesuatu’.”
(Al-Qur’an, Al-Maidah (5): 116-118)

“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah”. Akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang rabbani kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu selalu mempelajarinya”.”
(Al-Qur’an, Al-Imran (3):79)

Menurut Heinz Zahrnt, Gereja telah “menyandarkan kata-kata yang tidak pernah Jesus ucapkan kepadanya dan menyandarkan kepadanya amalan-amalan yang tidak pernah beliau lakukan”. Salah seorang yang telah menunjukkan bahawa kebanyakan daripada apa yang dikatakan oleh gereja mengenai Jesus adalah tidak berasas adalah Rudolph Augustein dalam bukunya “Jesus the Son of Man”. Satu lagi kajian menyeluruh mengenai hal ini didapati dalam buku “The Myth of God Incarnate” yang ditulis oleh tujuh sarjana teologi di England pada tahun 1977 dan disunting oleh John Hick. 

KESIMPULAN mereka adalah bahawa Jesus, “adalah seorang manusia yang dilantik oleh Tuhan untuk suatu peranan dalam perancangan tuhan, dan… konsep bahawa beliau adalah penjelmaan Tuhan timbul kemudian… adalah suatu cara mitologikal atau indah untuk menyatakan peri pentingnya beliau kepada kita ”. Juga sila rujuk buku John Mackiman Robertson bertajuk “Christianity and Mythology”, dan buku T.W. Doane bertajuk “The Bible Myths and Their Parallel in Other Religions” (ringkasan buku-buku ini boleh diperolehi dalam buku M.F. Ansarei bertajuk “Islam & Christianity in the Modern World ”).

Setelah menjalankan penyelidikan ke atas dokumen-dokumen purba yang baru ditemui, Dr Robert Alley, seorang profesor di University of Richmond, membuat kesimpulan bahawa:
“… Petikan-petikan (Biblikal) di mana Jesus memperkatakan tentang Anak Tuhan adalah penambahan terkemudian… adalah apa yang gereja katakan mengenai beliau. Dakwaan mengenai ketuhanan beliau tidak konsisten dengan gaya hidupnya yang dapat kita bina semula. Selama tiga dekad pertama selepas kematian Jesus, agama Kristian adalah satu mazhab dalam Judaisma. Selama tiga dekad pertama gereja wujud di dalam saumaah. Hal ini tidak mungkin berlaku jika mereka (para hawari) dengan lantang mengisytiharkan ketuhanan Jesus”.
0 Responses

Catat Ulasan