Solleh Al-Fatimi
Oleh :
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
*Petikan buku "Melahirkan Anak Pencinta al-Quran"*
12 Mac 2015


Perkahwinan merupakan satu saat yang membahagiakan seseorang. Saat bahagia ini semakin berseri dan bersinar apabila pasangan suami isteri mendapat berita dan khabar yang mengesahkan bahawa isterinya telah mengandung. Hanya Allah SWT yang tahu bagaimana perasaan ketika itu. Penyeri kehidupan dan penyejuk mata bakal dilahirkan daripada hubungan yang diredhai oleh Allah SWT. 


Namun, diterminal kebahagiaan ini, kita perlu lakukan sesuatu agar kebahagian dan keindahan hari ini terus kekal untuk terus bersinar pada hari esok dan hari-hari yang mendatang. Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian bagi pasangan suami isteri yang akan bergelar ibu dan ayah.

Ayuh kita sama-sama memelihat dan memerhatikan bagaimana para ulama menghadapi saat yang begitu menggembirakan ini. Kita akan dapati mereka begitu bersungguh-sungguh beribadah dan memastikan hidupnya sentiasa tetap teguh di atas landasan agama. Dengan harapan zuriat keturunan yang bakal menggantikannya adalah zuriat yang soleh. 

Begitulah kesungguhan yang menjelma dalam diri ulama’ salaf yang bernama  Imam Sahl al-Tustari rhm. Beliau berjanji kepada anaknya yang masih dalam kandungan lagi untuk melakukan amal ibadah dengan penuh kesungguhan. Maka beliau gembira untuk mengejakan amal soleh dengan harapan Allah SWT akan memuliakannya dengan anak yang soleh.

Kita juga melihat seorang tabi’in yang terkenal Imam Sa’id bin al-Musayyib rhm. pernah berkata;

إِنِّي لَأُصَلِّي فَأَذْكُرُ وَلَدِي فَأَزِيْدُ فِي صَلَاتِي

“Sesungguhnya ketika aku menunaikan solat, aku teringatkan anakku, lantas aku perbanyakkan lagi solatku”.[1]
Yang dimaksudkan dengan demikian adalah memperbanyakkan doa untuk anaknya di dalam solat. Kerana di dalam solat merupakan saat masa yang dimakbulkan setiap doa yang dipohon terutamanya ketika sujud.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ 

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a; sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Sehampir-hampir seorang hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdoa”.[2]

Terdapat juga para solehin yang berkata kepada anaknya;

يَا بُنَيَّ إِنِّي لَأَسْتَكْثِرَ مِنَ الصَّلَاةِ لِأَجْلِكَ

“Wahai anakku, sesungguhnya aku memperbanyakkan solat adalah kerana kamu”.[3]

Itulah kesungguhan para salaf memelihara zuriat mereka. Mereka mulakan daripada diri mereka sendiri. Apabila ia mampu dibina dalam diri sendiri, maka cas-cas ini akan meresap masuk ke dalam diri zuriatnya untuk membina generasi yang soleh. Hasilnya proses tarbiah dan didikan berjalan dengan teratur dan tersusun.

Semoga kita dikurniakan zuriat yang solehah. Amin...

_________

[1] Al-Baghawi; Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas'ud ibn Muhammad al-Farra'. Tafsir al-Ma’alim al-Tanzil jil. 5, hlm. 196. ‘Ali bin Nayif al-Syuhud. Mausu’ah al-Difa’ ‘an al-Rasul SAW jil. 4, hlm. 177.
[2] Riwayat Muslim no: 744
[3] ‘Ali bin Nayif al-Syuhud. Mausu’ah al-Difa’ ‘an al-Rasul SAW jil. 4, hlm. 177
0 Responses

Catat Ulasan