Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Kiamat Dekat; Isu 05
" Singkatnya Waktu "


SOALAN: Apakah benar bahawasanya menjelang kiamat nanti, masa seharian kita akan semakin singkat berbanding dengan masa sebelum daripada ini?

JAWAPAN: Benar, apabila masa seharian kita semakin singkat berbanding dengan masa sebelum daripada ini, maka ia merupakan antara tanda-tanda akan datangnya hari kiamat. Dalam Bahasa Arab, digunakan kalimah ‘yataqarab al-zaman’. Perkara ini dibenarkan oleh sabda Rasulullah SAW sendiri:

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah masa semakin mendekati (masa semakin singkat), amalan baik berkurangan, kebakhilan bermaharajalela, fitnah dilakukan secara terang-terangan dan banyaknya pembunuhan”. (Riwayat al-Bukhari)

Malah, berita ini diperincikan lagi melalui riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda;

“Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah masa semakin mendekati. Maka jadilah masa setahun itu seumpama satu jumaat (seminggu), masa satu jumaat (seminggu) itu seumpama satu hari, masa sehari itu seumpama satu jam dan masa satu jam itu seumpama nyalaan bara api”. (Riwayat al-Tirmizi: hadis gharib. Al-Albani: hadis sahih)



SOALAN: Apakah yang dimaksudkan dengan masa yang singkat?

JAWAPAN: Para ulama telah memberikan maksud yang berbeza-beza tentang perkara ini. Sekurang-kurangnya terdapat lima penafsiran terhadap maksud yang dikehendaki dalam hadis tersebut.

Pertama: Sedikitnya keberkatan masa. Imam Ibn Hajar berkata: “Perkara ini telah kita dapati di zaman kita ini. Kita dapati masa seharian berlalu dengan cepat sekali, sedangkan ia tidak didapati pada masa sebelum daripada masa kita ini”.

Kedua: Iaitu masa yang akan berlaku pada zaman al-Mahdi dan Nabi Isa a.s. Pada saat itu manusia asyik menikmati keindahan hidup, dilimpahi dengan keamanan dan tertegaknya keadilan. Oleh itu, manusia merasakan betapa singkatnya masa-masa yang penuh kemakmuran itu, sekalipun ia merupakan masa yang panjang. Sebaliknya mereka merasakan betapa panjangnya detik-detik kesusahan dan penderitaan, sedangkan masa tersebut ia hanyalah seketika sahaja. (Ibn Hajar: Fath al-Bari)

Ketiga: iaitu hampirnya keadaan manusia pada masa itu yang sedikit ilmu tentang agama. Sehinggakan pada saat itu tidak terdapat dari kalangan mereka yang menyuruh perkara makruf dan mencegah perkara mungkar. Dek kerana kefasikan telah mendominasi keadaan dan orang fasiq melakukan kefasikan secara terang-terangan. Punca utama perkara ini berlaku adalah kerana mereka meninggalkan usaha untuk mencari ilmu dan berasa selesa dengan kejahilan mereka terhadap agama.

Satu hakikat yang perlu kita sedari bahawa manusia tidak akan sama kedudukannya pada darjat keilmuan, kerana darjat ilmu pelbagai peringkat. (Surah Yusuf, ayat 26). Namun manusia akan berada dalam kedudukan yang sama tarafnya, apabila mereka berada dalam kejahilan.

Keempat: iaitu manusia pada masa tersebut dikurniakan dengan pelbagai sarana kemudahan perhubungan dan kenderaan darat dan udara yang cepat. Yang mana ia mampu mendekatkan yang jauh dalam masa yang singkat. (Sayyid Sabiq; al-‘Aqaid al-Islamiyyah)

Kelima: iaitu singkatnya masa dan cepatnya masa berlalu. Ia sesuatu hakikat yang akan berlaku secara realiti.



SOALAN: Apakah singkatnya masa itu dapat kita difahami dan dirasai secara pancaindera atau ia sekadar maknawinya sahaja?

JAWAPAN: Berhubung soalan ini, Imam Ibn Hajar di dalam kitabnya ‘Fath al-Bari’ menaqalkan pendapat Imam Ibn Abi Jamrah. Katanya: “Kemungkinan yang dimaksudkan dengan ‘yataqarab al-zaman’ ialah masa yang singkat. Maka masa yang singkat ini berkemungkinan secara (dapat diarasai oleh) pancaindera dan kemungkinan secara maknawi:

Secara pancaindera, ia sama sekali tidak berlaku lagi, kemungkinan besar akan berlaku apabila hampirnya hari kiamat nanti.

Secara maknawi pula, maka perkara ini telah berlalu sejak sekian lama. Hal demikian dirasai oleh para ulama dan para cerdik pandai dalam ilmu keduniaan. Mereka menyedari betapa diri mereka tidak berdaya untuk sampai ke tahap amalan atau hasil kerja yang pernah dicapai oleh golongan sebelum daripada mereka. Mereka mengeluh dengan keadaan ini dan mereka tidak mengetahui apakah penyebab dari permasalahan ini. Kemungkinan hal demikian berlaku kerana kelemahan iman mereka, disebabkan secara terang-terangan berlakunya perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam dalam pelbagai bentuk. Terutamanya dalam soal pemakanan.

Maka dalam perkara ini, secara jelas susuatu yang haram dan perkara syubhat yang tidak dapat disembunyikan lagi, sehinggakan majoriti manusia tetap tidak mengendahkan dalam perkara ini. Sekalipun mereka berkemampuan untuk mendapatkan yang hala, namun mereka tetap mengambilnya dan tidak memperdulikan (persoalan halal dan haram).

Secara realitinya, sesungguhnya keberkatan masa, rezeki dan tumbuh-tumbuhan hanya dapat diperolehi melalui jalan kekuatan iman, mengikuti perkara makruf dan menjauhi perkara yang dilarang. Perkara ini disaksikan oleh firman Allah SWT:

“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. (Surah al-A’raf : ayat 96).



SOALAN: Bagaimanakah cara untuk memanfaatkan masa yang singkat ini?

JAWAPAN: Suatu hakikat yang tidak dinafikan dalam hidup kita bahawa setiap manusia mempunyai masa 24 jam sehari. Dalam masa yang sama juga kita berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab. Justeru, kita perlu memanfaatkan masa sebaiknya. Antara caranya adalah dengan menyegerakan menyelesaikan tugasan.

Al-Syahid Hasan al-Banna berkata:

الواجبات أكثر من الأوقات فعاون غيرك على الانتفاع بوقته
وإن كان لك مهمة فأوجز في قضائها

“Tugasan-tugasan adalah lebih banyak daripada waktu-waktunya, maka bantulah orang lain agar waktu-waktunya dapat dimanfaatkan. Sekiranya kamu mempunyai tugasan penting, maka segerakanlah menyelesaikannya”.

Selain daripada itu, fokus terhadap sesuatu pekerjaan. Al-Ustaz ‘Umar al-Tilmithani pernah berpesan kepada para pendokong Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin:

وقت الدعوة لها لا لغيرها فدعه لها

“Waktu dakwah adalah untuk dakwah, bukan untuk selain daripadanya. Maka biarkanlah (fokuskan) masa itu untuk dakwah”.

Akhirnya, ingatilah pesanan Rasulullah SAW:

خير الناس من طال عمره وحسن عمله وشر الناس من طال عمره وسيء عمله
“Sebaik-baik manusia ialah sesiapa yang panjang umurnya dan baik amalannya. Seburuk-buruk manusia ialah sesiapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya”.
(riwayat al-Tirmizi; hadis hasan).

Wallahu ‘lam.


p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ. Terdapat  sedikit perbezaan antara edisi terbit dan edisi blog.


Labels: | edit post
0 Responses

Catat Ulasan