Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ Berkenalan Dengan Imam Ibn al-Aththar rhm. ]


Nama penuh beliau adalah ‘Alauddin Abu al-Hasan Ali bin al-Muwaffaq al-'Attar Ibrahim bin al-Tayyib Dawud al-Dimasyqi. Beliau bermazhab al-Syafi’ie. Beliau dilahirkan pada hari raya 'Idilfitri pada tahun 654H. Sejak kecil lagi, beliau telah menghafaz al-Quran. Beliau merupakan Syeikh di Darul Hadith al-Nuriyyah. Kehebatan ilmu dan kepadakannya sehingga digelar sebagai ‘Mukhtasar al-Nawawi’, ‘al-Mukhtasar’[1] dan ‘al-Nawawi al-Saghir’


Pada tahun 701H, iaitu apda usia 47 tahun, beliau ditimpa penyakit strok. Keadaan ini menyukarkannya untuk berjalan. Kemudian kakinya semakin lemah dan dipotong. Beliau banyak menulis dengan tangan kiri. Beliau meninggal dunia dan kembali ke rahmatullah pada Dzulhijjah 724H, iaitu pada usia 70 tahun 2 bulan.

Al-Hafiz al-Zahabi -iaitu saudara susuan Ibn al-'Attar-, berkata: Ibn al-‘Attar seorang Syeikh al-Imam, seorang mufti, ahli hadis, seorang yang soleh, sebahagian daripada salaf, ketinggian agama.[2] Al-Hafiz al-Zahabi turut menyatakan: 

Beliau seorang Imam, faqih, mufti, zuhud, ahli hadis dan sebahagian salaf. Beliau banyak mendengar dan menulis. Begitu juga meriwayatkan hadiss, mengajar dan memberi fatwa.[3]

Syeikh Syamsuddin bin Jabir al-Wadi Aasyi berkata: 
“al-Syeikh merupakan seorang yang faqih, mufti dan guru. ‘Alauddin Abu al-Hasan ‘Ali bin Ibrahim bin Dawud al-Syafi’ie al-Dimasyq Ibn al-‘Attar. Tuan kepada Darul Hadis al-Nuriyyah. Beliau dikenali sebagai ‘al-Nawawi al-Saghir’ kerana sentiasa mendampingi al-Imam Muhyiddin al-Nawawi. Beliau dilahirkan pada malam hari raya atau satu malam sebelumnya, pada tahun 654H. Beliau ditimpa penyakit yang membataskan dirinya untuk bergerak dan mengendalikan urusan. Baki hidupnya dalam keadaan duduk. Tetapi Allah SWT menguatkan beliau. Beliau mampu menulis pelbagai kitab-kitab dengan tangan kirinya. Dan sekarang ini, dengan tangan kiri inilah belau menulis fatwa-fatwa. Beliau berkata kepada saya: “Saya sama sekali tidak menulis dengan tangan kiri sebelum ditimpa penyakit ini. Maka segala pujian hanya untuk Allah SWT yang membantu saya menulis dengan tangan kiri”.[4]

Imam Ibn Kathir memuji beliau: 
“Beliau adalah syeikh, Imam, ‘Alauddin- tonggak agama-. Beliau menyibukkan diri dan mendampingi al-Imam al-‘Alim al-‘Allamah Muhyiddin al-Nawawi, sehinggakan beliau digelar Mukhtasar al-Nawawi -Ringkasan al-Nawawi-. Beliau mempunyai banyak karya, faedah-faedah, ensiklopedia dan karya hadis”.[5]

[ Imam Ibn al-‘Attar dan Gurunya Imam al-Nawawi ]
Kesungguhan Al-Imam Ibn al-‘Attar mendampingi dan mempelajari dengan Imam al-Nawawi, sehingga digelar sebagai ‘Mukhtasar al-Nawawi’ atau ‘al-Nawawi al-Saghir’. Beliau mendampingi dan mempelajari dengan Imam al-Nawawi sehinggalah Imam al-Nawawi meninggal dunia.

Imam Ibn al-‘Attar menceritakan hubungan beliau dengan gurunya Imam al-Nawawi tatkala beliau menyebut tentang biografi Imam al-Nawawi. Antara ungkapannya: 

“Saya mempelajari daripadanya ilmu Fiqh; iaitu secara pembetulan, saya membaca kepadanya, syarahan, penuh ketelitian, sama ada pembelajaran secara khusus atau pun umum. Saya mempelajari ilmu-ilmu hadis; iaitu secara ringkasannya dan lain-lain, secara pembetulan, hafazan, syarahan, kajian, komentar, sama ada pembelajaran secara khusus atau pun umum.
Sesungguhnya Imam al-Nawawi rapat dengan saya, sangat mengambil berat terhadap saya. Tiada seorang pun yang mampu memberi khidmat kepadanya melainkan saya. Beliau memantau setiap pergerakan dan duduk diam saya. Beliau sangat berlemah lembuh kepada saya dalam setiap urusan dan rendah diri beliau terhadap saya dalam setiap keadaan. Beliau mendidik saya dalam semua perkara sehinggakan dalam lintasan-lintasan hati. Tidak mampu untuk saya menceritakan kesemuanya.
Saya membaca kepadanya banyak daripada karya-karyanya secara teliti dan penuh ketekunan.
Beliau mengizinkan saya untuk memperbaiki kesilapan yang terdapat di dalam karya-karyanya. Maka saya membetulkannya dihadapannya. Lalu saya menulis dengan tulisannya dan beliau memperakuinya. Beliau memberikan kepada saya sehelai kertas dengan pelbagai kitab-kitab yang beliau tulis dan susun dengan tulisannya. Beliau berkata kepada saya:
“Apabila saya pulang kepada Allah SWT (meninggal dunia), sempurnakanlah ‘Syarh al-Muhazzab’ daripada kitab ini. Beliau tidak menentukan hal demikian kepada saya.
Sesungguhnya tempoh saya mendampingi beliau, iaitu yang saya khususkan untuknya sahaja, bermula daripada tahun 670H, atau sebelumnya sedikit, sehinggalah kewafatan Imam al-Nawawi -rahimahullah-.[6]


[ Karya-Karyanya ]
1. Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin


2. Fatawa al-Imam al-Nawawi

3. Hukm Shaum Rajab wa Sya’ban wa ma al-Shawab fih

4. Ikhtisar Nashihah Ahl al-Hadith

5. Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah

6. Syarh ‘Umdah al-Ahkam, karya Ibn Daqiq, yang dinamakan al-‘Uddah Syarh al-‘Umdah.

7. Fadhl al-Jihad

8. Hukm al-Balwa wa Ibtila’ al-‘Ibad

9. Hukm al-Ihtikar ‘inda Ghala’ al-As’ar

10. Risalah fi Ahkam al-Mauta wa Ghaslihim

11. Risalah fi al-Mukus wa Hukm Fa’iliha

12. Adab al-Khatib

13. Al-I’tiqad al-Khalish min al-Syak wa al-Intiqad

Dan lain-lain lagi.


---------
[1] Dibaca dengan ‘shad’ berbaris fathah. Rujuk: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Nuzhah al-Albab fi al-Alqab, jil: 2, hal: 162.

[2] Al-Zahabi, Dzail Tarikh al-Islami, hal: 226.

[3] Al-Zahabi, Al-Mu’jam al-Mukhtash bi al-Muhaddithin, hal: 156

[4] Muhmmad bin Jabir al-Wadi, Barnamij Ibn Jabir al-Wadi Aasyi, hal: 91-92

[5] Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil: 18, hal: 251.

[6] Ibn al-‘Attar, Tuhfah al-Talibin fi Tarjamah al-Imam Muhyiddin, 64 - 95.
Labels: , | edit post
0 Responses

Catat Ulasan