Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ PROJEK HAFAL HADIS - satu pengenalan ]


[ Mula Menghafal Hadis ]

Dalam dunia penunut ilmu, seseorang pelajar sewajarnya mengambil berat tentang hafazan Hadis Nabawi. Kerana ia merupakan sumber utama dan primear dalam memahami agama Islam. Maka para ulama mencadangkan agar dimulakan dengan menghafaz 40 hadis; “Al-Arba’in” yang disusun oleh Imam al-Nawawi rhm. Kemudian berpindah kepada kitab “‘Umdah al-Ahkam ‘an Sayyid al-Anam”, karangan Imam Abdul Ghani bin Abdul Wahid al-Maqdisi rhm. Kitab ini mengumpulkan 500 hadis yang disepakati oleh al-Syaikhan iaitu Imam al-Bukhari dan Imam Muslim rhm. Setelah selesai proses ini, seseorang pelajar akan berpindah untuk menghafaz kitab “Bulugh al-Maram”, karangan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani rhm.[1] Untuk seterusnya, maka bolehlah beralih kepada kitab-kitab yang lebih besar dan lebih panjang perbahasannya.

[ Gagal Tamatkan 40 Hadis ]
Demikianlah perjalanan yang sewajarnya dilalui. Namun dalam masyarakat kita termasuk penuntut ilmu agama juga dilihat begitu terasing dengan hafazan Hadis Nabawi. Bahkan untuk menghafaz 40 Hadis Imam al-Nawawi pun ramai yang gagal melakukannya. Pelbagai alasan dan sebab diberikan. Namun alasan dan sebab itu hanyalah untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar dan seorang pencinta Rasulullah SAW.

Terdapat juga yang memberi alasan bahawa mereka bersemangat untuk menghafaz hadis, namun semangatnya mula malap apabila menghafaz hadis yang ke-2, iaitu hadis Jibril yang berkaitan tentang Iman, Islam, Ihsan dan tanda-tanda kiamat. Alasannya hadis itu terlalu panjang. Alasan ini mungkin boleh diterima bagi masyarakat awam yang baru berjinak-jinak untuk menghafaz Hadis Nabawi.

[ Buku Projek Hafal Hadis ]

Oleh yang demikian, penulis memikirkan perlunya ada satu buku yang menyusun dan mengumpulkan hadis-hadis mengikut kadar tertentu bagi memudahkan masyarakat menghafaznya. Justeru ia perlu dimulakan dengan hadis-hadis yang pendek dan ringkas serta tidak banyak perkataannya tetapi memberi menfaat kepada pembaca agar mudah difahami dan mudah untuk diamalkan.

Untuk merealisasikan hasrat ini, penulis cuba merangka dan menyusun buku ini bagi memenuhi keperluan tersebut. Justeru, penulis mengumpul dan menyusun 100 Hadis Nabawi, lalu dibahagikan kepada 10 peringkat. Pada peringkat pertama, penulis menyusun dan mengumpulkan hadis-hadis yang ringkas agar mudah dihafaz. Dimulakan dengan hadis yang hanya tiga perkataan sahaja. Seterusnya jumlah perkataan meningkat sedikit demi sedikit sehinggalah ke peringkat ke-10 dengan jumlah perkataan yang lebih banyak dan lebih panjang. Kesemua 100 hadis ini penulis pilih dan petik daripada kitab “Riyadh al-Salihin”, karangan Imam al-Nawawi rhm.


[ Memudahkan Hafalan ]

Bagi memudahkan hafazan, penulis telah membahagikan ayat-ayat hadis kepada beberapa potongan dan dimasukkan ke dalam kotak secara tersusun. Hal ini bagi memudahkan proses menghafaz. Justeru, kita dapat menghafaz dengan berpindah daripada satu baris ke baris seterusnya dengan lebih mudah sehingga tamat hadis tersebut. Lebih memudahkan lagi proses hafazan, penterjemahan maksud hadis diletakkan di sebelah potongan hadis. Dengan cara ini, kita mampu menghafaz hadis bersama dengan maknanya.

Bagi menambahkan manfaat hafazan Hadis Nabawi ini, penulis bukan sekadar menterjemahkan hadis-hadis tersebut, bahkan penulis turut menyediakan ruangan ‘Huraian Ringkas’. Ruangan ini menjelaskan lagi maksud teks Hadis Nabawi berdasarkan penjelasan yang dikemukakan oleh para ulama. Sekalipun huraian Hadis Nabawi adalah ringkas, tetapi penulis tetap merujuk kepada kitab-kitab para ulama agar para pembaca mendapat kefahaman hadis yang betul dan tepat. 

Antara kitab utama yang dirujuk bagi ruangan ini adalah seperti Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Shaghir karangan Imam Abdul Ra’uf al-Munawi rhm., Dalil al-Falihin li Turuq Riyadh al-Salihin karangan Imam Ibn ‘Allan rhm., Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih karangan Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari rhm, Syarh Riyadh al-Salihin karangan Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin rhm., Kunuz Riyadh al-Salihin diketuai oleh Prof. Dr. Hmmad bin Nasir bin Abdul Rahman al-‘Ammar hfz. dan kitab-kitab syarah hadis masyhur yang lain seperti Fath al-Bari karangan al-Hafiz Ibn Hajar rhm., al-Minhaj Syarh Sahih Muslim karangan Imam al-Nawawi rhm dan ramai lagi. Bagi ruangan ini, penulis tidak menyebut rujukannya dan nota kaki kerana bertujuan untuk meringkaskan.

Kesemua perkara yang dibincangkan di atas ini akan kita temui pada bab ke-4 nanti. Namun sebelum itu, kita akan bertemu dengan tiga bab awal. 

[ Bab Pertama ]

Bab pertama, kita akan berkenalan dengan kemuliaan ilmu hadis dan kelebihan ahli hadis. Ia dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mempelajari dan menghafaz Hadis Nabawi.

[ Bab Kedua ]
Pada bab kedua, kita akan melihat lembaran catatan perjalanan hadis dalam proses memelihara dan menghafaz Hadis Nabawi. Kita akan melihat bagaimana jaminan Allah SWT memelihara dan menjaga keaslian Hadis Nabawi. Setelah itu, kita melihat bagaimana kaedah dan prinsip yang diletakkan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai ‘Tuan Kalam’ bagi Hadis Nabawi. Perbincangan ini dilengkapkan lagi dengan dengan melihat usaha dan kesungguhan generasi yang dididik oleh Rasulullah SAW iaitu para sahabat dalam menerima hadis dan menyampaikan kepada generasi seterusnya. Akhirnya, kita melihat bagaimana batu asas yang kukuh yang telah dibina oleh generasi awal dalam memelihara hadis nabawi ini sehingga mampu sampai kepada kita pada hari ini dengan keaslian dan pemeliharaan yang baik. Fokus penting dalam bahagian ini adalah bagaimana generasi awal mempraktikkan pemeliharaan dan hafazan hadis nabawi dalam kehidupan mereka. Agar generasi kita dapat menjadikannya sebagai panduan dan model bagi membantu kita menghafaz hadis nabawi pada hari ini.

[ Bab Ketiga ]
Seterusnya pada bab ketiga. Pada bab ini, kita didedahkan dengan tips dan kaedah bagi memudahkan hafazan kita. Kaedah ini merupakan kaedah yang telah digariskan oleh para ulama dan diakui oleh sehingga ke hari ini. Penulis membariskan sebanyak 14 tips dan kaedah yang perlu diterapkan ketika proses menghafaz Hadis Nabawi ini. Disamping itu, dilengkapkan dengan kaedah yang praktikal bagi golongan yang mudah menghafaz dan golongan yang sukar menghafaz. Dengan tujuan, semua umat Islam mampu menghafaz Hadis Nabawi ini berdasarkan kemampuan dan kelapangan masa setiap individu.

[ Kesungguhan Ulama Menghafal Hadis ]

Sebelum melabuhkan tirai, marilah kita lihat sepintas lalu kesungguhan para ulama menghafaz Hadis Nabawi ini. Imam Abu Zur’ah al-Razi rhm. menyatakan:

كَانَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ يَحْفَظُ أَلْفَ أَلْفِ حَدِيثٍ، فَقِيلَ لَهُ: وَمَا يُدْرِيكَ؟ قَالَ: ذَاكَرْتُهُ، وَأَخَذْتُ عَلَيْهِ الأَبْوَابَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Ahmad bin Hanbal menghafaz 1,000,000 (satu juta) hadis. Lalu ditanya kepadanya: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Dia menjawab: “Saya pernah belajar dengannya dan mengambil beberapa bab darinya”.[2]

Demikian juga yang beliau lakukan. Imam Abu Zur’ah al-Razi rhm. pernah berkongsi tentang kesungguhannya menghafaz Hadis Nabawi:

أَحْفَظُ مِائَتَيْ أَلْفَ حَدِيثٍ، كَمَا يَحْفَظُ الإِنْسَانُ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَفِي الْمُذَاكَرَةِ ثَلاثُ مِائَةِ أَلْفِ حَدِيثٍ.

Maksudnya: “Saya menghafaz 200,000 hadis sebagaimana manusia menghafaz ‘Qul Huwa Allahu Ahad’ -Surah al-Ikhlas- dan di dalam ingatan terdapat sebanyak 300,000 hadis”.[3]

Subhanallah. Itulah sebahagian kesungguhan yang ditunjukkan oleh para ulama. Itulah tanda cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dengan menghafaz dan mengingati setiap tutur bicaranya dan setiap langkah kehidupannya.

[ Sebuah Harapan ]
Akhirnya, penulis mengharapkan keampunan daripada Allah SWT atas penulisan buku ini. Penulis juga mengharapkan usaha yang kerdil ini mampu mengajak masyarakat untuk sama-sama mendekati hadis Rasulullah SAW yang mulia ini. Penulis mengharapkan agar Allah SWT memudahkan proses hafazan dan mengekalkan ingatan dalam menghafaz kalam kekasihNya Nabi Muhammad SAW. Penulis mengharapkan agar usaha yang kecil ini akan dipandang besar oleh Allah SWT dan dibalas dengan balasan yang istimewa iaitu dapat bersama dengan Rasulullah SAW di dalam syurga kelak. Semoga Allah SWT memakbulkan setiap permintaan hambaNya yang sentiasa menagih dan merintih.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان الى يوم الدين .

والحمد لله رب العالمين .



Daripada;
Hamba Allah SWT,
Umat Nabi Muhammad SAW,
Abu Mujahid Mohd Solleh bin Ab Razak -hafizahullah-


=======
[1] Al-Ghouri, Syed Abdul Majid. al-Manhaj al-Mufid li Talab ‘Ilm al-Hadith. hal: 85
[2] Ibn al-Jauzi. Al-Hatthu ‘ala Hifz al-‘Ilm wa Zikr Kibar al-Huffaz, hal: 53
[3] Ibn al-Jauzi. Al-Hatthu ‘ala Hifz al-‘Ilm wa Zikr Kibar al-Huffaz, hal: 76
Labels: , | edit post
0 Responses

Catat Ulasan