Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Solleh Razak

[ Mukhtalif al-Hadith: Mengajar Cara Mengurus Maklumat ]


Antara syarat penting dalam perbincangan percanggahan hadith Rasulullah SAW ialah percanggahan mesti berlaku sesama hadith yang Maqbul; Sahih dan Hasan.

Apabila percanggahan berlaku antara sesama hadith Maqbul, barulah percanggahan tersebut adalah 'valid' dan sah. Sebaliknya jika berlaku percanggahan antara hadith Maqbul dan hadith Mardud, maka percanggahan tersebut tidak 'valid dan tidak sah. Bahkan dengan mudah, kita menolak hadith yang Mardud tersebut.

Imam al-Shafi‘i rhm. menegaskan perkara ini sebagaimana berikut:
“Himpunan ilmu ini tidak menerima melainkan hadis sahih sebagaimana tidak diterima kesaksian seseorang melainkan daripada seseorang yang dikenali keadilannya. Sekiranya sesuatu hadith itu majhul atau perawi yang tidak berkelayakan meriwayatkannya, ia seperti tidak wujud, kerana ia bukan sesuatu yang sahih.” [Al-Shafi‘i, Ikhtilaf al-Hadith, 41]
Demikian juga kenyataan Imam al-Amir al-San‘ani rhm. sebagaimana berikut:
“Ketahuilah, sesungguhnya dua hadith yang saling bercanggah hendaklah kedua-duanya pada kekuatan yang sama. Iaitu kedua-duanya daripada kategori sahih atau sejahtera pada kedudukan hadith yang lain. Adapun salah satunya sahaja yang kuat dan sejahtera, sedangkan hadith yang lainnya lemah dan tidak terlepas daripada kecacatan, maka hadith yang kedua ini tidak akui percanggahannya dan tidak dapat dinilai. Kerana hadith yang kuat tidak terkesan dengan percanggahan hadith yang lemah. Bahkan hadith da‘if ditolak dan ditinggalkan, sebaliknya beramal dengan hadith yang kuat”. [Al-San‘ani, Tawdih al-Afkar li Ma‘ani Tanqih al-Anzar, , 2:423]

Demikianlah prinsip dalam ilmu Hadith berkaitan Mukhtalif al-Hadith.

Namun, prinsip ilmu ini jangan kita pisahkan dalam kehidupan kita. Jangan sesekali ilmu hadith seumpama tiada hubungkait langsung dalam mendidik kita berkaitan kehidupan. Itu satu kesilapan.

Alangkah silapnya kita, bersungguh-sungguh untuk menerima hadith sahih, tetapi bersungguh-sungguh juga menerima cerita, berita palsu dalam kehidupan kita. Dalam keadaan begitu, seumpama ilmu hadith tidak memberi manfaat dalam kehidupan kita.

Oleh itu, tatkala bertembung sesuatu maklumat, maka sahkan terlebih dahulu. Sekiranya sah mengikut prinsip syarak, maka terimalah. Seandainya terdapat percanggahan dengan berita-berita lain, namun ianya tidak dapat disahkan atau ternyata palsu, maka kita tidak perlu bertangguh untuk membuang berita palsu dan lemah tersebut.

#BelajarHadithUntukKehidupan
#FiqhKehidupan
#SollehRazak

Saudaramu,
Solleh Razak,
5 Febuari 2019.
0 Responses

Catat Ulasan