Solleh Al-Fatimi

TERBITNYA DIVA SOLEHAH,
KARYA KE ENAM.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَبَعْدُ:


قاَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ :
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ


Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah al-A’raf 7: 26)

Firman dari langit ini seolah-olah sedang bercakap kepada seluruh manusia tentang nikmat yang sangat besar yang dikurniakan kepada seluruh manusia. Nikmat tersebut ialah berupa pakaian dan perhiasan untuk seluruh manusia. Nikmat yang akan menonjolkan keindahan dan kecantikan manusia. Nikmat yang mampu menutup setiap inci keaiban dan kekurangan pada tubuh manusia. Nikmat ini akan membezakan antara manusia yang mulia dengan haiwan yang hina. Itulah nikmat pakaian.

Disebalik nikmat pakaian yang agung ini, Allah SWT menyatakan bahawa pakaian taqwa adalah sebaik-baik pakaian. Tahukah kita apa itu pakaian taqwa? Banyak tafsiran yang dikemukakan oleh para ulama, namun tafsiran yang menyeluruh dapat kita kutip daripada apa yang disampaikan oleh Syeikh Abu Bakr al-Jazairi r.h.m.:

“Allah SWT mengkhabarkan bahawa pakaian taqwa itulah yang terbaik bagi seseorang daripada pakaian luaran semata-mata, kerana seorang hamba yang bertaqwa pasti memastikan dirinya melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Sedangkan Allah SWT dan rasul-Nya lah yang menyuruhnya agar menutup aurat, menolak segala bentuk kerosakan dan menjaga segala kemuliaan. Allah SWT dan rasul-Nya jugalah yang mengarahkannya agar mempunyai sifat malu, menjaga kehormatan diri, mempunyai imej yang baik dan menjaga kebersihan tubuh badan dan pakaian. Oleh yang demikian, mana mungkin pakaian luaran semata-mata tanpa disertai sifat taqwa lebih baik daripada pakaian yang dipakai berdasarkan sifat taqwa yang lebih menyeluruh ini??”. [Abu Bakr al-Jazairi. Aisar al-Tafasir jil 1, hal: 457]

Oleh itu, dapatlah kita fahami bahawa pakaian taqwa ialah pakaian yang dipakai oleh seseorang dengan penuh kesedaran bahawa ia adalah perintah Allah SWT. Lalu ia memakainya dengan penuh tunduk dan patuh, menerimanya dengan penuh kerelaan dan keikhlasan sehingga meyakini bahawa inilah satu-satunya pakaian yang terbaik untuk seluruh manusia.


Berkongsi Rasa

Justeru, buku ini hadir bagi berkongsi dengan para pembaca untuk sama-sama berbincang tentang nikmat besar yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita ini; nikmat pakaian dan perhiasan. Bukan setakat itu, kita akan berbincang tentang nikmat penampilan diri yang terbaik sebagaimana yang telah Allah SWT dan Rasulullah SAW perintahkan. Justeru, perbincangan ini merupakan suatu perbincangan yang penting dalam menterjemahkan penampilan diri seorang wanita muslimah solehah yang diistilahkan di dalam buku ini sebagai ‘Diva Solehah’.

Sebagaimana kita sedia maklum, perbincangan di dalam buku ini merupakan satu kesinambungan daripada buku yang berjudul ‘No Excuse Tidak Tutup Aurat’. Buku tersebut membariskan 30 alasan dan kekeliruan wanita tentang permasalahan aurat dan penampilan diri yang sering menghantui pemikiran wanita. Setiap alasan dan kekeliruan itu dijernihkan dengan jawapan yang tuntas berlandaskan hujah naqli dan ‘aqli. Sehinggakan para pembaca mendapat pencerahan yang terang bagi menyuluh hati dan fikirannya agar memilih cara pemakaian dan penampilan seorang wanita muslimah solehah.

Buku tersebut diibaratkan seorang petani yang membersihkan tanah ladangnya dan mencabut segala duri-duri dan pohon-pohon asing yang mengganggu proses penanaman dan pertumbuhan pokok yang bakal ditanam dan dibajai. Semua ini dilakukan bagi memastikan tanaman yang tumbuh dan membesar nanti, mampu tumbuh subur dan segar.

Setelah proses pembersihan tersebut dilakukan, maka bermulakan fasa seterusnya iaitu proses menyemai biji benih dan pertumbuhan biji benih tersebut menjadi sebatang pohon yang tumbuh subur. Fasa tersebut diterjemahkan dengan terhasilnya buku yang berada di tangan pembaca sekarang.

Setelah segala kekeliruan dan penghalang dapat dilenyapkan, maka ia perlu diganti dengan sesuatu yang benar lagi tepat. Andainya fasa ini dibiarkan, semak samun dan pohon-pohon asing tersebut akan kembali semula. Andai fasa ini tidak disemai, maka cara pemakaian dan penampilan yang tidak menepati cita rasa Islam terus menghiasi tubuh badan wanita. Akhirnya, penat lelah sebelum ini tidak membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan.

Oleh yang demikian, buku ini mengajak para pembaca agar memahami dengan penuh kesedaran dan keinsafan untuk memilih pemakaian dan penampilan yang direstui dan diredhai oleh Allah SWT dan rasul-Nya SAW. Penulis turut memimpin para pembaca –dengan izin Allah SWT- untuk mengembalikan wanita kepada penampilan wanita yang sebenar; penampilan wanita muslimah solehah. Sehingga para pembaca dapat membezakan antara pemakaian penampilan yang mendamaikan hati (wanita muslimah solehah) dengan penampilan yang meresahkan hati (selain daripada wanita muslimah solehah).


Hidangan Untuk Diva Solehah

Buku ini mempersembahkan kepada pembaca kepada tiga bahagian utama;

Bahagian Pertama: Bahagian ini menyuluh para pembaca untuk memahami syarat-syarat atau kriteria yang wajib dipenuhi bagi membolehkan sesuatu pakaian dikategorikan atau diiktiraf sebagai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna atau pun ‘busana muslimah’ yang sebenarnya. Syarat-syarat dibentangkan secara terperinci dan mudah difahami. Setelah pembaca memahami bahagian ini para pembaca mampu membezakan antara pakaian yang semestinya menjadi pilihan wanita muslimah dan pakaian yang sewajibnya ditinggalkan. Tidak kurang juga, para pembaca tidak lagi terkeliru dengan slogan kosong seperti ‘fesyen islamik’ atau ‘busana muslimah’, sedangkan pakaian yang ditampilkan jauh sekali daripada menepati syarat-syarat yang disebutkan dalam bahagian ini. Malah menyalahinya dengan jelas lagi nyata.


Bahagian Kedua: Para pembaca didedahkan tentang hukum-hakam kecantikan; ‘Feqah Kecantikan’. Perbincangan ini dihalakan kepada kecantikan tubuh badan yang menjadi perhatian utama wanita. Antaranya ialah kecantikan wajah, mata, hidung, rambut, gigi dan tangan. ‘Feqah Kecantikan’ ini sewajarnya dibincangkan bersama dengan bahagian pertama, agar tidak berlaku ketempangan dan kecacatan dalam penampilan seseorang wanita yang menutup aurat. Sebagai contohnya, wanita yang berpakaian yang menutup aurat sempurna akan kelihatan tempang dan cacat apabila berada di khalayak ramai dalam keadaan bersolek, memakai wangi-wangian dan mencukur bulu keningnya. Justeru, kesempurnaan penampilan dilengkapkan dengan bahagian ini agar wanita mampu mendamaikan hatinya dan hati orang di sekelilingnya.

Bahagian Ketiga: Bahagian ini mengajak wanita agar menghargai dirinya sebagai seorang wanita. Naluri untuk cantik merupakan sesuatu yang fitrah, namun ia perlu diuruskan dengan sebaiknya. Buku ini juga menghulurkan tangan memimpin wanita agar tidak terjerat dan seterusnya menjadi mangsa kepada kecantikan dan juga fesyen. Di samping mengingatkan para wanita agar tidak terlalu obses dan teruja dengan fesyen sehingga boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan diri.


Dirimu Diva Solehah

Perkataan ‘Diva’ kebiasaannya difahami dengan maksud seseorang wanita yang sangat masyhur atau terkenal atau unggul. Manakala perkataan ‘solehah’ pula difahami sebagai wanita yang baik lagi taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, seterusnya menjunjung dan melaksanakan segala perintah Allah SWT tanpa bertangguh, perasaan ragu da berdolak dalih. Wanita solehah akan melakukan setiap suruhan agama dan dalam masa yang sama juga menjauhi dan meninggalkan setiap larangan agama.

Melalui penulisan ini, penulis memaksudkan ‘Diva Solehah’ sebagai golongan wanita yang masyhur, terkenal dan unggul dengan pemakaian yang solehah. Sehinggakan ‘Diva’ ini begitu sinonim dengan pemakaian wanita solehah yang menutup aurat. Bukan lagi dengan pakaian yang mendedahkan aurat dan pakaian yang tidak mengikuti kriteria pemakaian menurut syariat Islam.

Justeru, penulis bercita-cita untuk melihat seluruh para wanita muslimah berpakaian dengan pakaian yang menutup aurat dan tidak sama sekali memilih untuk mendedahkan aurat. ‘Diva Solehah’ memilih pakaian ini bukan kerana terpaksa atau kerana ‘trend’, tetapi berdasarkan kesedaran dan pilihannya sendiri. Sehingga mereka berhasil untuk mendapat pakaian yang terbaik iaitu pakaian taqwa.


Salah Bertanya, Sesat Jalan

Pada suatu petang, ketika penulis bersantai menonton sebuah wawancara di kaca televisyen tempatan tentang busana muslimah. Penulis terkilan apabila pengacara rancangan tersebut mengajukan satu soalan kepada pereka fesyen tentang apakah fesyen yang direka ini menepati kriteria menutup aurat atau tidak. Lantas pereka fesyen tersebut menjawab: “Ya, semestinya. Rekaan fesyen kami mematuhi piawaian busana muslimah dan menutup aurat”. Sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Fesyen yang dikatakan sebagai ‘busana muslimah’ itu umpama jauh api dari panggang.

Demikian juga dengan festival-festival busana muslimah yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mempamerkan ‘busana muslimah’ yang palsu. Seumpama festival-festival ini wujud bagi mengalih pandangan wanita kepada ‘busana muslimah’ yang tulen dan menimbulkan kekeliruan yang berpanjangan secara terancang. Perkara ini sangat mendukacitakan kita kerana mereka mengeksploitasi pemakaian muslimah sehingga jauh terpesong.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui”. (Surah al-Nahl 16: 43)

Ingatlah, keharusan sesuatu pakaian bukan ditentukan oleh pereka fesyen tetapi ditentukan oleh Islam dan ia difahami oleh para ulama. Para ulama sejak dahulu telah menjelaskan secara terperinci bagaimanakah pakaian yang diharuskan untuk dipakai oleh wanita berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Namun jangan kita takut dan bimbang, kerana tiada pakaian khusus yang ditetap oleh Islam untuk dipakai oleh para wanita. Tetapi Islam hanya meletakkan kriteria-kriteria dan garis panduan agar kita mengikuti dengan sebaiknya.

Sekalipun penulis bukanlah terdiri daripada golongan ‘Ahli al-Zikr’ sebagaimana firman Allah SWT itu, namun penulis cuba sedaya upaya untuk merujuk dan mengkaji pandangan dan pendapat yang dilontarkan oleh ‘Ahli al-Zikr’. Dengan harapan agar hasil penulisan ini tidak tersasar dari kebenaran. Untuk itu, penulis menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama dan pertama. Untuk mendapatkan pemahaman yang benar dan tepat, maka penulis merujuk kepada penjelasan ‘Ahli al-Zikr’ yang lebih memahami dan lebih mengetahui berhubung perkara ini. Disamping itu, penulis datangkan beberapa idea dan logik akal untuk memantapkan lagi keyakinan dan kefahaman kita terhadap isu yang dibincangkan. Semoga usaha ini seiring dengan hidayah dan ‘inayah daripada Allah SWT.


Punyai Identiti dan Penampilan tersendiri

Harapan penulis agar wanita-wanita memilih identiti dan penampilah diri yang sebenar dan tulen. Ia hanya dicapai dengan kita mengikuti agama fitrah. Ia adalah Islam. Apabila kita mengikuti Islam, bermakna kita telah mengikuti fitrah diri kita yang sebenar. Apabila kita mengikuti Islam, bermakna kita telah menjadi diri kita yang sebenar. Ya, itulah diri seorang wanita yang sebenar! Menjadi wanita selain daripada wanita muslimah solehah adalah wanita yang masih mencari identiti diri yang sebenar. Wanita yang tidak mengenali dirinya sendiri. Bahkan wanita yang masih meraba-raba dalam kelam malam mencari diri yang hilang. Untuk itu, kembalilah kepada Islam.

Penulis menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan sekiranya penulisan ini sedikit mengusik hati dan jiwa pembaca. Namun apa yang ingin disampaikan ialah:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”(Surah Hud 11 : 88)

Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada kita untuk terus berjalan dan bergerak di atas landasan keredhaan Allah SWT dan mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW. Sesungguhnya kita datang daripada syurga, pastikan kita berusaha untuk kembali ke syurga yang kekal abadi.

Jutaan terima kasih kepada pihak Telaga Biru Sdn. Bhd. yang menerbitkan buku ini. Mereka yang menyokong segala usaha murni ini yang terdiri daripada keluarga, guru-guru, sahabat-sahabat, pelajar-pelajar dan sesiapa jua yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung dalam penerbitan buku ini. Semoga Allah SWT menerima segala usaha kerja ini. Semoga akan lahir generasi ‘DIVA SOLEHAH: PENAMPILANMU MENDAMAIKAN HATI’.


Perkongsian daripada:

Siti Nur Fatimah binti Hasan (Ummu Mujahid) & Mohd Solleh bin Ab Razak (Abu Mujahid)




MAKLUMAT BUKU 

Buku "Diva Solehah" ini bertujuan menyuntik kefahaman dan keyakinan pembaca dalam menentukan imej wanita solehah yang benar-benar mendamaikan hati. Buku ini juga untuk menarik wanita bagi memilih prinsip imej dan penampilan Muslimah yang bertepatan dengan syariat Islam.

MENGAPA ANDA PERLU MEMILIKI BUKU INI?* Perbincangan yang santai dan berfakta.
* Hujah dan dalil yang dikemukakan ringkas dan padat serta memudahkan pemahaman.
* Ilustrasi dan grafik yang berwarna penuh mampu menarik perhatian pembaca.
* Sesuai dijadikan bahan usrah, sebagai rujukan dan hadiah buat teman serta ahli keluarga.

MAKLUMAT BUKU :Penulis : Siti Nur Fatimah Hasan & Mohd Solleh Ab Razak
Harga : RM 19.00 (sm), RM 21.00 (ss)
Tebal : 230 m/s

LAWATI :
www.solleh-alfatimi.blogspot.com
LIKE : https://m.facebook.com/pustakaDhatiVideo Promo