Memaparkan catatan dengan label Mutiara Hikmah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mutiara Hikmah. Papar semua catatan
Solleh Al-Fatimi
                                                          oleh : UMMU MUJAHID

Alhamdulillah....seronoknya bila gaji naik... Namun...kenaikan gaji tanpa PEMBAIKAN cara pengurusan kewangan pastinya tak membawa sebarang kesan positif terhadap kedudukan kewangan keluarga.

FORMULA di bawah merupakan langkah CADANGAN untuk memastikan wang kita diselia dengan BIJAK... 

Katakan jika kenaikan gaji kita bercampur COLA melebihi RM300 = Kita hanya perlu memperuntukkan RM 300 sahaja setiap bulan seperti berikut:

  1. RM 100 - tambahan kepada bayaran hutang pembiayaan peribadi/ kad kredit/ lain-lain
  2. RM 100 - caruman polisi takaful
  3. RM 100 - Pelaburan bulanan 
UMUR 30 tahun...

Seandainya umur kita 30 tahun, berikut adalah carta unjuran yang akan kita perolehi:

Perlindungan
RM 100 memungkinkan kita melanggan polisi takaful berjumlah RM 100 000 selama tempoh 25 tahun dengan perlindungan tambahan RM 30 000 untuk penyakit kritikal . Jika tiada sebarang musibah dan kita dapat hidup sampai polisi matang, in sya allah kita akan menerima RM 33 000.

Pelaburan
RM 100 setiap bulan selepas pelaburan permulaan RM 1000 sahaja akan menghasilkan 
RM 308 575 pada akhir 25 tahun jika kadar pulangan adalah 15 peratus setahun.


Selamat bertindak! =)

Sumber rujukan : Ke Mana Wang Anda

Solleh Al-Fatimi
Umum mengetahui BAJET 2012 telahpun dibentangkan dengan pelbagai sisi komentar, kritikan, sokongan dan senyuman... itu bajet untuk MALAYSIA 2012....Bagaimana bajet untuk mahligai rumahtangga kita bagi tahun 2012? Sudah kah dicermati, diteliti... dibentangkan dan dibahaskan... atau kita yang sangat sibuk mem'bincang'kan bajet malaysia sampai ter'lupa' untuk membincangkan bajet yang lagi 1000 kali lebih penting...iaitu bajet rumahtangga kita...


Muhasabah buat diri dan pasangan juga buat sekalian pembaca....bagaimanakah buku aliran tunai kita pada tahun 2011?????? Adakah banyak UNTUNG? Atau RUGI? Baki akaun kita DEFISIT atau menunjukkan PERCAMBAHAN SIMPANAN yang memberangsangkan??? 


Bagaimana pula laporan BAJET 2012 kita? apa aset yang PERLU kita miliki dalam tempoh ini? bagaimana cara untuk kita miliki? pengagihan duit gaji kita? ke mana dihalakan? berapa jumlah simpanan terkumpul untuk tahun 2012?


Aduh.....berbicara soal pengurusan kewangan memang kadang-kadang membuatkan kita 'lemah lutut' bila memikirnya.Namun sama ada kita MAHU atau TIDAK mahu, SUKA atau TIDAK suka, TerPAKSA atau RELA....kita perlu menguruskannya jua sebijak mungkin....
Dalam keadaan diri masih bertatih mengurus kewangan rumahtangga...mudah-mudahan Allah sentiasa memberi jalan dan ruang untuk terus memperbaiki ekonomi rumahtangga yang menjadi antara sosok terpenting dalam memastikan kelangsungan rumahtangga yang dibina berjalan lancar...


Sengaja saya melontarkan soalan demi soalan untuk sama-sama kita mengetuk hati dan minda agar TAHU dan SEDAR bagaimana kondisi kita sekarang!!! mendepani dunia KAPITALISME yang menjadikan WANG SEGALA-GALANYA memaksa dan terus memaksa kita untuk BIJAK dan CERDIK mengurus kewangan....Realiti hari ini,dek desakan semasa pelbagai barang keperluan harganya meningkat...pada masa yang sama kita amat memerlukannya...apa langkah yang perlu kita ambil untuk berdepan dengan situasi begini?


Justeru... buku dalam genggaman saya ini menjadi bahan bacaan perkongsian saya dengan pembaca sekalian untuk memiliki dan mempraktikkan semampu mungkin... buku ini menukilkan tips-tips pengurusan kewangan yang efektif sepanjang kita hidup sampai kita dijemput ke alam barzakh...ayuh..sama-sama kita miliki dan cermati... KE MANA WANG ANDA oleh HAJAH ROHANI DATUK HAJI MOHD SHAHIR.... sebagaimana saya rasa buku ini teramat bermakna dan bernilai saya pun berharap untuk kalian juga...


akhir kalam...ayuh kita perah keringat dan minda sediakan bajet 2012 untuk rumahtangga yang kita sayangi...YA...bila sudah buat..kita laksanakan apa yang telah kita sediakan...selamat mencuba untuk diri dan suami...selamat mencuba juga untuk rakan dan sahabat sekalian....semoga Allah meredhai apa jua yang kita lakukan...doa kita jua agar segala perancangan kita selari dengan perancangan Allah...hanya untuk Allah...

Solleh Al-Fatimi
Oleh: Mohd Solleh bin Ab Razak

Saat diri diuji...
Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya...
Ada ketika diri diuji dengan kepahitan hempedu...
Dan tidak kurang tatkala kemanisan mengundang ujian... 
Adakala diri berjaya... 
Dan ada kala diri tersungkur... 
Namun... ujian tetap datang bersilih ganti...
Ujian kan terus menjadi teman di sepanjang perjalanan...
Hingga diri ini dijemput bertemu denganNya...


Ya, hidup tidak dapat lari dari ujian. Saudara kembar yang tidak dapat dipisahkan. Namun Itulah kunci untuk kita mengenali diri kta yang sebenarnya. Mengenali potensi diri kita, untuk kita tingkatkan. Mengenali kelemahan diri kita, untuk diperbaiki.

Ya, ujian juga tidak semestinya dalam dalam keadaan pedih, pahit, sengsara, tangisan dan sebagainya, namun ujian juga datang dalam nada rayuan, pujian, manis, mewah, ketawa dan sebagainya. Persoalannya bagaimanakah kita dalam menghadapi ujian ini? Apakah kita kuat berhadapan dengan semua ujian ini?

Pada ruangan ini, saya kongsikan bersama ujian yang kebanyakan kita tidak menganggap ia adalah ujian tetapi anugerah dan kesempurnaan. iaitu ujian dalam mengecapi kemanisan dan keriangan. Saya kutip mutiara ini dari garapan kata al-Syahid Sayyid Qutb. Hayatilah...

"Ujian dengan keburukan dan kesusahan itu dapat dimengertikan dengan mudah, kerana tujuan itu untuk mengetahui sejauh mana kesabaran dan ketahanan orang yang diuji, tetapi ujian dengan kebaikan atau kesenangan itu memerlukan kepada satu penjelasan.

Sebenarnya ujian dengan kebaikan da kesenangan itu lebih berat kesannya walaupun manusia melihatnya lebih mudah dari ujian dengan keburukan dan kesusahan.

Ramai orang yang tahan menghadapi ujian dengen keburukan dan kesusahan, tetapi amat sedikit orang yang tahan menghadapi ujian dengan kebaikan dan kesenangan.

Ramai orang yang tabah menghadapi ujian kesakitan dan kelemahan, tetapi sangat sedikit orang yang tahan menghadapi ujian kesihatan dan kekuasaan dan berupaya menahan kekuatan nafsunya yang berkecamuk dalam diri dan sendi tulang anggota-anggota mereka.

Ramai orang yang mampu bersabar menghadapi kesusahan kerana kemiskinan dan penafian, dimana hati mereka terus gagah dan tidak tumbang dan melutut hina, tetapi sangat sedikit mereka yang tahan menghadapi gugatan kekayaan dan keberadaan dan godaan-godaan kesenangan, kenikmatan, nafsu keinginan dan kemahuan-kemahuan yang tamak yang dirangsangkan kekayaan dan keberadaan itu.

Ramai orang-orang yang tahan menerima penderaan dan penindasan. Mereka tidak takut menghadapinya, mereka dapat bersabat menerima ancaman, ugutan dan tidak gentar berdepan dengannya. Tetapi sangat sedikit orang yang tahan menghadapi godaan keinginan nafsu, pangkat kebesaran, kesenangan dan kekayaan.

Ramai orang-orang yang tahan berjuang dan mendapat kecederaan. Tetapi sangat sedikit yang tahan menghadapi kemewahan dan keseronokan, kemudian tidak pula ditimpa penyakit tamak yang membinasakan seseorang dan penyakit senang yang mematahkan segala hemah yang tinggi dan merendahkan jiwa.

Ujian dengan kesusahan kadang-kadang menimbulkan perasaan megah dan merangsang semangat melawan atau daya juang dan mengemblengkan kekuatan urat saraf hingga seluruh kekuatannya dikerah untuk menentang danmengatasi kesusahan itu. Tetapi kesenangan hidup akan membuat seseorang itu mempunyai urat saraf yangkendur dan lemah serta menyebabkan hilang daya waspada dan daya melawan.

Justeru itu ramai orang-orang yang berjaya meleasi peringkat kesusahan. Tetapi apabila mereka hidup senang lenang, maka mereka akan gugur dalam ujian itu. Itulah keadaan manusia kecuali mereka yang dipeliharakan Allah SWT. Mereka merupakan golongan yang disifatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang berikut:
“Keadaan orang mukmin itu amatlah menajubkan, kerana seluruh keadaannya baik belaka. Keadaan itu tidak diperolehi oleh sesiapa pun kecuali orang mukmin sahaja; iaitu jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur. Maka kesyukuran itu memberi kebajikan kepadanya. Dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Maka kesabaran itu memberi kebajikan kepadanya” (HR Muslim).
Golongan ini sangat sedikit. Oleh itu kesedaran jiwa semasa diuji dengan kesenangan itu adalah lebih baik dari kesedarannya semasa diuji dengan kesusahan. Dan hubungannya yang tidak terputus dengan Allah SWT semasa kesusahan dan kesenangan itu merupakan satu-satunya jaminan kebaikan".

Rujukan: al-Syahid Sayyid Qutb, Tafsir fi Zilal al-Quran, Jilid 11: 41-43 (Surah al-Anbiya’: 35)
Solleh Al-Fatimi
KEPRIHATINAN IMAM MALIK terhadap permasalahan pemerintahan menggerakkan hati beliau untuk mencapai penanya bagi meloret kalimah. Kalimah yang penuh dengan mutiara berharga ini dihadiahkan untuk Khalifah Harun ar-Rasyid. Kesibukannya dalam mengkaji dan mendalami ilmu hadis dan perundangan Islam, sama sekali melalaikannya untuk menasihati pemerintah. Beliau tidak hanyut dalam buaian teori semata-mata bahkan menterjemahkan dalam realiti kehidupan. Marilah kita menghayatinya;

"Sesungguhnya aku menulis surat ini kepada kamu tanpa kecuaian untuk memberi pedoman dan sesekali aku tidak akan menyembunyikan dari menyampaikan nasihat sebagai tanda tahmid hanya bagi Allah s.w.t serta adab kepada Rasulullah s.a.w. Maka tumpukanlah sedalam-dalamnya dengan mata akalmu, ulangilah dengan mata kepalamu, dan perhatikanlah dengan pendengaran kamu. Kemudian pasakkanlah sedalam-dalamnya kedalam hati kamu, datangkan kefahaman yang jitu dan jangan sekali-kali kamu hilangkannya dari ingatan hatimu. Kerana padanya keistimewaan di dunia dan balasan yang baik daripada Allah s.w.t pada hari akhirat nanti”.
Demikianlah pembuka bicara warkah yang lahir dari hati seorang ulama’.

“Bayangkanlah tatkala dirimu diambang sakaratul maut dan keperitan kematian yang datang kepada kamu. Bagaimanakah kedudukan dan keadaan kamu selepas mati tatkala kamu dihadapkan dihadapan Allah s.w.t. Kemudian kamu dihisab dan ditentukan tempat yang kekal selepas kamu dihitung. Sedangkan Allah s.w.t menyediakan bagi kamu perkara yang mudah dan menyusahkan tatkala kamu melihat dengan jelas keadaannya”.

Imam Malik meneruskan warkahnya, “Sesungguhnya sekiranya kamu melihat kemurkaan Allah s.w.t dan apa yang terjadi kepada manusia yang menanggung pelbagai azab dan kedahsyatan balasan buruk. Nescaya kamu akan mendengar dengan kuat hembusan nafas dan pekikan mereka yang terbakar wajah mereka (seperti kambing yang dipanggang). Mereka menanggung kesedihan yang berpanjangan dan akhirnya muka-muka mereka tersungkur ke dasar neraka. Sedangkan mereka tidak dapat mendengar dan tidak dapat melihat, bahkan mereka selalu menyebut-nyebut alangkah celakanya! Alangkah binasanya! Betapa besarnya penyesalan tatkala berhadapan dengan Allah s.w.t dan berputus asa serta tiada lagi harapan mereka (untuk mendapat pertolongan), sedangkan seruan mereka akan dijawab setelah mereka diseksa dalam tempoh yang panjang dengan jawapan,
"Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku!". (Surah Al-Mukminun: 108) 
Keras bicaranya.

Setelah dijelaskan perjalanan hidup yang pasti akan ditempuh, Imam Malik berpindah kepada memberi nasihat berhubung pemerintahan; “Janganlah kamu serahkan sesuatu amanah berhubung urusan pemerintahanmu kepada mereka yang tidak takut kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya telah sampai kepadaku pesanan daripada Saidina 'Umar bin al-Khattab yang berbunyi;

شَاوِرْ فِي أَمْرِكَ الَّذِينَ يَخَافُونَ اللهَ

"Bermesyuaratlah dalam urusanmu bersama orang yang takutkan Allah s.w.t". 
Berhati-hatilah terhadap pembantu-pembantu dan penasihat peribadimu yang jahat. Sesungguhnya sampai kepadaku bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda;

مَا مِن نَبِيٍّ وَلَا خَلِيفَةٍ إِلَّا وَلَهُ بِطَانَتَانِ بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالمَعْرُوفِ وَتَنْهَاهُ عَنِ المُنْكَرِ وَبِطَانَةٌ لَا تَأْلُوهُ خَبَالًا

"Tiadalah bagi seorang nabi dan tiada juga bagi seorang khalifah kecuali terdapat padanya dua pembantu, iaitu pembantu yang menyuruhnya melakukan kemakrufan dan mencegahnya dari melakukan segala kemungkaran. Dan pembantu yang tidak pernah berhenti dari melakukan kerosakan”.

Pesanan berhubung dengan muamalat dengan masyarakat tidak dilupakan. “Janganlah kamu melabuhkan pakaian kamu kerana Allah s.w.t tidak menyukai perkara tersebut. Sebagaimana yang disampaikan kepadaku bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;

مَن جَرَّ ثِيَابَهُ خَيْلَاءً لَمْ يَنْظُرِاللهُ إِلَيهِ يَومَ القِيَامَةِ

"Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana bermegah-megah, nescaya Allah s.w.t tidak akan melihatnya pada hari qiamat". 
Taatilah kepada Allah s.w.t sekalipun kamu terpaksa menderhakai manusia, dan jangan sekali-kali kamu mentaati manusia sedangkan waktu itu kamu menderhakai Allah s.w.t. Kerana sesungguhnya telah sampai kepadaku pesanan Rasulullah s.a.w;

لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الخَالِق

"Tiada ketaatan terhadap makhluk dalam melakukan penderhakaan terhadap Allah s.w.t". 
Demikianlah… Warkah yang hebat. Penuh keberanian. Warkah yang ringkas namun terkandung didalamnya peringatan tentang pengertian iman, seruan agar berpegang teguh dengan perundangan Islam, batasan-batasan Islam dan adab-adabnya. Inilah nasihat yang benar yang terpancar dari hati yang bersih dan nasihat yang jujur sehingga dapat mengalirkan air mata, mendekatkan seseorang muslim kepada tuhannya untuk menggapai redhaNya. Sesungguhnya surat ini diterima dengan sebaiknya oleh Khalifah Harun ar-Rasyid dan mengucapkan terima kasih kepada Imam Malik.

Dipetik dari buku 'Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama'.
Solleh Al-Fatimi
الحمد لله الذي علم بالقلم علم الإنسان ما لم يعلم والصلاة والسلام على سيدنا محمد أفصح العرب والعجم خاتم النبيين والمرسلين وعلى آله وأصحابه الطاهرين خير الأمم. أما بعد

 PERANAN ULAMA DALAM DUNIA KONTEMPORARI

Golongan Ulama harus mengembalikan kegemilangan peranan mereka dalam menegakkan agama Allah swt di atas muka bumi ini seperti peranan yang pernah dimainkan oleh golongan ulama pada era kegemilangan Islam yang lampau.
Ulama silam memiliki keilmuan akhirat yang mantap yang 'diwarisi' turun temurun dan pada masa yang sama memiliki kejaguhan dalam menguasai ilmu keduniaan yang bermanfaat untuk mentadbir muka bumi ini.
Kita telah menyaksikan ketokohan ulama silam seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, al-Farabi, Imam al-Ghazali dan yang seangkatan dengan mereka yang mampu mengungguli ilmu dunia dan ilmu akhirat sekali gus.
Jika mahu Islam gemilang semula, para ulama hari ini harus keluar daripada kepompong pemikiran dan kelompok mereka untuk bergelanggang di tengah masyarakat secara global dan universal. Mereka harus dapat menguasai pelbagai disiplin ilmu dan bahasa. Mereka harus berfikir di luar kotak pemikiran semasa mereka.
Pada saat ini, umat dan negara Islam sedang dijajah oleh imperalis Barat dengan pelbagai bentuk dan tahap penjajahan:
*Secara fizikal dan kekerasan mereka dengan angkuhnya menjajah setiap inci bumi umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq dan Bumi Moro di Selatan Filipina.
*Secara politiknya mereka menguasai pemerintahan negara-negara Islam untuk bertindak mengikut jari telunjuk mereka.
*Secara ekonomi mereka menguasai kekayaan hasil bumi dan tanah umat Islam dengan cara yang paling halus.
*Secara minda mereka menguasai pemikiran umat Islam melalui agenda media massa, budaya, hobi, teknologi, hiburan, muzik dan cara hidup mereka.
Satu angkatan raksasa yang begini besar telah berakar umbi dalam darah daging umat Islam hanya mampu diperangi bersama oleh semua nyawa dan roh umat Islam sejagat termasuk golongan ulama. Tambahan pula golongan ulama ialah orang yang sangat dihargai, dihormati dan dituruti saranan mereka oleh masyarakat umum.

Kenegaraan
Untuk berjaya menguasai pemikiran masyarakat umum, golongan ulama harus memahami secara mendalam definisi dan pengertian terminologi yang berkaitan dengan politik dan pemerintahan pada peringkat antarabangsa, serantau dan peringkat nasional seperti globalisasi, neo-koloniaisme atau imperialisme.
Ulama juga harus memahami skala atau betapa seriusnya pengaruh fahaman dan gerakan tersebut terhadap akidah, budaya, pendidikan, politik kontemporari dan ekonomi umat Islam. Tanpa kefahaman yang mendalam menyebabkan segala usaha kita menghadapi cabaran ini akan gagal atau kurang berkesan.
Dengan kefahaman yang meluas tentang modus operandi kuasa negara super power, kita mungkin boleh mempengaruhi arah dan arus politik luar negara itu untuk meraih suatu kadar pencapaian tertentu untuk menghalang golongan dan pewaris ciri-ciri neo-imperialis daripada terus berkuasa di negara adijagat tersebut.

Teknologi Maklumat
Umat Islam juga wajar menjadi warga dunia yang serba interconnected melalui jaringan perhubungan yang canggih dan menyeluruh. Mereka hendaklah mesra dengan sumber maklumat terkini (IT - Information Technology) dan mampu menguasai kaedah berkomunikasi secara bestari dan mutakhir termasuk penggunaan satelit, komputer, internet, telefon sel, lebuh raya maklumat dan konsep langit terbuka.


Dasar Ekonomi
Dalam koteks globalisasi ekonomi, golongan alim ulama merumuskan dasar-dasar ekonomi yang lebih adil, islamik, bebas dari sistem riba dan penindasan, melindungi nilai-nilai moral dan berperikemanusiaan. Mereka mungkin boleh meyakinkan umat dan orang ramai tentang keburukan sistem ekonomi yang berteraskan kepada dasar kapotalis totok, fahaman kebendaan (dan keduniaan) dan perangai lintah darat yang menafikan hak orang lain.
Dalam masa yang sama mereka mungkin boleh mendorong kepada kewujudan satu sistem kewangan islam tulen seperti sistem dinar emas, menubuhkan badan koperasi Islam, institusi kewangan Islam, syarikat, enterprise, yayasan, corporation, konsortium dan lain-lain perusahaan yang berlandaskan ekonomi islam atau dasar ekonomi yang lebih berperikemanusiaan dari yang ada sekarang.

Peradaban
Para alim ulama perlu meluruskan persepsi umum tentang kebenaran, keadilan dan kebaikan penyelesaian Islam dalam bidang politik dan keamanan seperti mana yang telah terbukti dalam sejarah kegemilangan peradaban Islam berkurun lamanya.
Mereka perlu mendedahkan penipuan dan konspirasi jahat media tertentu oleh pihak tertentu untuk mencemarkan maruah dan imej Islam, peradaban Islam, gerakan Islam, golongan fundamentalis Islam dan umat Islam amnya.

Keadilan Globalisasi
Ulama perlu menampilkan asas dan dasar keadilan Islam, pembelaan terhadap hak asasi manusia dan nilai-nilai peradaban yang tinggi dan mulia yang boleh menjanjikan keamanan dan kedamaian serantau dan sedunia.
Mereka wajar mendedahkan tentang keburukan penjajah dan dasar penjajahan baru. Dasar penjajahan baru sering bertopengkan kempen apa yang mereka namakan 'menangani keganasan' (terrorisme) dan berjubahkan senario globalisasi untuk menjayakan suatu bentuk hegemoni negara-negara super power dan menjelmakan negara mereka sebagai empayar yang menguasai seluruh negara di dunia.
Ulama juga hendaklah menggabungkan diri dengan gerakan menangani kebobrokan globalisasi dalam dampaknya yang negatif dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO -Non-Governmental Organisation) serantau untuk menentang pengaruh imperialisme baru yang sedang menjalar.

Dasar Budaya dan Pendidikan
Golongan ulama perlu memperkasa pegangan umat terhadap akidah dan nilai-nilai budaya Islam. Mereka wajib mempertahankan justifikasi dan dasar pendidikan Islam agar jati diri umat dan dasar budaya Islam tidak tergugat dan terus mendefinasikan sejarah dan tamadun rantau Melayu sebagai rantau Islam.
Golongan ulama juga hendaklah bersikap proaktif untuk mengukuhkan budaya murni dalam lapangan politik, ekonomi, teknologi, informasi dan lain-lain demi menegakkan keadilan dan menyemai kesejahteraan hidup di dalam dan di luar negara.
Inilah antara pegangan ulama silam yang telah melonjakkan peranan mereka dalam pengurusan dan pentadbiran - dari sekecil-kecil lingkungan pengurusan diri dan keluarga hinggalah menjadi penasihat kepada pentadbiran sesebuah negara.

Saya mendapati buku WASIAT SEBELUM DIRIMU BERGELAR ULAMA ini menggarap dengan jelas peranan utama yang dimainkan oleh ulama kontemporari. Skop perbincangan buku ini sangat luas daripada bidang pengisian kerohanian hinggalah meliputi bidang jihad dan pentadbiran sesebuah negara.
Syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd yang telah mengambil inisiatif yang gigih untuk menerbitkan buku ini harus diberi pujian untuk dapat dimanfaatkan oleh umat Islam sejagat.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وبارك وسلم والحمد لله رب العالمين


Yang Benar;
Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tokoh Ulama Kontemporari

Demikiankanlah Kata Aluan dari Tuan Guru Nik Aziz di dalam buku tersebut. Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada beliau diatas kesudian menggarap mutiiara hikmah yang terlalu berharga di dalam buku tersebut. Jazakumullah khairan kathira.
Solleh Al-Fatimi