Solleh Al-Fatimi


Alhamdulillah... akhirnya buku ini terbit jua akhirnya.


"Bagaimanakah cara memotivasikan anak untuk menghafaz al-Quran? Bagaimanakah untuk merancang? Apakah formula dan kaedah yang sesuai untuk anak-anak menghafaz al-Quran? Bagaimanakah cara berhadapan dengan permasalahan anak ketika menghafaz al-Quran? Setiap persoalan ini diperjelaskan dalam buku “Anakku Seorang Hafiz” ini agar dapat membantu dan menyuluh jalan dalam mendidik dan mentarbiah, seterusnya merealisasikan impian kita untuk melihat anak kita berjaya menghafaz al-Quran. Buku “ANAKKU SEORANG HA FIZ” ini sesuai untuk dijadikan salah satu bahan panduan dalam mendidik anak-anak kita menghafaz al-Quran sama ada di rumah atau di sekolah. Panduan yang dibariskan oleh penulis begitu jelas mampu membantu dan memudahkan usaha yang murni ini. Panduan yang dibentangkan juga, bukan sekadar melalui pengalaman sahaja, malah dikuatkan oleh pengalaman-pengalaman para ulama dan diteguhkan lagi oleh fakta serta formula yang diyakini kemampuannya".



Dibawah ini disertakan PENA PENGARANG di dalam buku ini:

PENA PENGARANG:
HIDUP CEMERLANG DENGAN AL-QURAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَ إِنَّا نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًاً مِنْ خَلْقِكَ أَو اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوبِنَا وَنُورَ صُدُورِنَا وَجَلَاءَ أَحَزَانِنَا وَذَهَابَ هُمُومِنَا…أما بعد

Saya mulakan dengan nama Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Dengan kasih sayang, rahmat dan hidayahnya, diri ini mampu lagi berdiri untuk berkongsi setitik ilmu yang diamanahkan kepada diri ini sebagai hamba-Nya. Apabila diri memulakan ‘dengan nama Allah SWT’, tiada tujuan dan tiada maksud yang ingin disampaikan melainkan kebaikan dan kesejahteraan. Kebaikan dan kesejahteraan yang terlalu kita dambakan dalam kehidupan kita.

Alhamdulillah… Pujian saya panjatkan kehadrat Allah s.w.t. atas nikmat yang bercurah-curah. Sedangkan diri ini dilingkari dengan dosa dan noda yang tidak terhitung. Namun dengan kerendahan diri yang bergelar hamba yang hina, dikuatkan diri untuk mengangkat tangan kepada Allah SWT yang Maha Mulia agar jangan dibiarkan diri dan hati ini tanpa bimbingan dan hidayah daripada-Nya. Kerana diri ini tidak mampu untuk memutuskan sesuatu yang baik dan terbaik melainkan dibawah pimpinan Allah SWT. Ya Allah SWT jangan biarkan kami terbiar walaupun untuk sedetik.

Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, ahli keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga hari kiamat. Tiada kata dan ucapan yang selayaknya dilontarkan melainkan jutaan kesyukuran dan terima kasih yang tidak terhingga diatas segala pengorbanan yang diperjuangkan selama ini demi ingin melihat generasi masa depan terus rukuk dan sujud kepada Allah SWT.

Terminal Kehidupan
Syukur kepada Allah SWT dengan terbitnya buku yang berjudul “Agar Anakku Menghafaz al-Quran”. Buku ini merupakan kesinambungan bagi buku “Sehingga al-Quran Terpahat di Hati” yang membincangkan secara terperinci berhubung motivasi dan formula menghafaz al-Quran. Ya, setelah diri disuntik untuk mendampingi al-Quran dan menghafaznya, maka perjalanannya tidak terhenti di situ sahaja. Perjalanannya masih jauh dan perlu diteruskan lagi. Bahkan ia merupakan salah satu terminal daripada terminal-terminal yang mesti ditempuh dalam perjalanan hidup ini.

Justeru, perjalanan seterusnya adalah ke terminal untuk melahirkan anak-anak dan generasi al-Quran. Ia sama sekali tidak berakhir pada diri kita sendiri. Namun nikmat yang dikurniakan kepada kita ini perlu disebarkan dan dikongsikan. Terutamanya kepada anak-anak dan ahli keluarga. Dengan harapan, anak-anak dan generasi yang kita tinggalkan merupakan generasi yang berpaksikan dengan al-Quran dalam setiap orientasi kehidupannya.

Inilah titik penting yang terbit dalam jiwa Nabi Ya’qub a.s yang bertanyakan kepada anak-anaknya; “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?”. Saksikan episod yang penuh menyentuh itu:

Maksudnya: “(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.” (Surah al-Baqarah 2: 133)

Keprihatinan Nabi Ya’qub ini terhadap anak-anaknya ini merupakan titik tolak dalam hidupnya untuk mendidik dan mengasuh anak-anaknya untuk terus rukuk dan sujud kepada Allah SWT. Sekalipun diambang kematiannya, Baginda tetap tidak melupakan untuk memasakkan ke dalam diri anak-anak mereka tentang pengabdian kepada Allah SWT. Ingatan terakhir untuk bekalan sepanjang hayat anak-anaknya.

Lihatlah bagaimana jawapan daripada anak-anak Baginda; “Kami menyembah Tuhanmu…”. Itulah hasil dari tarbiah dan didikan yang penuh murni daripada seorang ayah. Tarbiah dan didikannya membuatkan anak-anaknya yakin dan tidak berbelah bagi untuk terus rukuk dan sujud kepada Allah SWT. Alangkah tenangnya pemergian Nabi Ya’qub a.s menemui Penciptanya; Allah SWT.

Cuba tanyakan diri kita; adakah episod indah ini juga akan bertandang dalam episod hidup kita? Adakah anak-anak kita akan menjawab –secara lisan dan amali- sebagaimana anak-anak Nabi Ya’kub? Apakah pemergian kita mampu memberikan selautan ketenangan di alam barzakh nanti? Adakah anak kita nanti mampu membela kita disaat kita memerlukannya? Semua ini perlu kita fikirkan. Bila? Bermula saat ini.

Justeru, tiada jalan lain yang perlu kita tempuhi dan renangi melainkan jalan al-Quran. Dengan al-Quran, anak-anak akan terus rukuk dan sujud kepada Allah SWT dalam setiap detik dan saat di dalam kehidupannya. Tugasnya sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di bumi ini tidak akan dilupakan. Jauh sekali untuk mempersiakannya. Mereka akan terus berlari di atas landasan yang dibina daripada al-Quran. Sekiranya mereka tergelincir, mereka akan sedar terhadap kesilapannya dan terus kembali ke landasan yang sebenar. Landasan al-Quran. Semua ini akan terjadi setelah kita mempersiapkan diri kita dan anak-anak kita dengan al-Quran. Jangan sesekali mengabaikannya.


Cemerlang Dengan Al-Quran
Tanamkan benih-benih al-Quran didalam diri mereka. Kemudian bajailah dan suburkanlah ia setiap masa. Syeikh Muhammad Husain al-Rantawi menguntaikan kata-katanya; “Ketahuilah saudaraku, wahai pelajar al-Quran. Sesungguhnya Kitab Allah itu; airnya adalah ikhlas. Didikannya adalah taqwa. Sinarannya adalah cita-cita yang tinggi. Gerak-gerinya adalah kecintaan yang benar terhadap hafazannya. Kehidupannya adalah konsisten dalam mengingatinya dan menjaganya. Dan penyuburnya adalah beramal dengannya”.[1] Inilah formula kejayaan sepanjang hidup.

Kejayaan ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya:

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”. (Surah al-Isra’ 17: 9)

Dari kehebatan al-Quran inilah, maka sejarah turut mengakuinya. Kita semua mengetahui bahawa Bangsa Arab merupakan bangsa yang tidak bertamadun dan tidak pernah diendahkan oleh mata-mata dunia. Seumpama ‘kewujudannya tidak pernah wujud di peta dunia’. Namun dalam masa yang sesingkat itu, setelah seorang pemuda bernama Muhammad bin Abdullah SAW yang dilantik menjadi rasul akhir zaman yang dilengkapi dengan wahyu al-Quran, maka kaum yang berubah dengan begitu drastik. Kehadirannya mencabar dan menggugat kerajaan dunia. Bangsa yang terpinggir bertukar menjadi bangsa yang terunggul. Sehingga cabarannya mampu menggantikan tamadun dunia yang penuh dengan penindasan dan kepalsuan. Dimanakah rahsianya? Semuanya tersedia dengan lengkapnya di dalam sebuah kitab yang bernama al-Quran al-Karim.


Tidak Sesekali Mempersiakannya
Justeru, kita tiada pilihan lain melainkan dengan al-Quran. Ia satu kemestian. Andainya disaat usia meningkat barulah kita memperolehi kesedaran untuk mendampingi al-Quran dan menghafaznya, maka jangan biarkan anak-anak kita mendapat nasib yang sama seperti kita. Dekatikanlah anak-anak kita dengan al-Quran. Untuk kejayaan anak-anak kita di dunia dan di akhirat. Secara tidak langsung untuk kejayan kita bersama. Yang bergelar ibu dan ayah.

Inilah antara buku yang mampu membantu kita sebagai ibubapa dalam mendidik anak-anak kita. Hadamlah dengan sebaiknya, mudah-mudahan Allah SWT permudahkan perjalanan hidup kita untuk hari esok dan seterusnya.

Saya mengakui buku ini merupakan satu usaha kerdil penulis untuk sama-sama berkongsi ilmu, perasaan dan cita-cita. Demi anak-anak kita. Dalam usia yang muda dan anak yang masih kecil, penulis cuba mempersembahkan beberapa idea berdasarkan pembacaan dan kajian yang terhad yang mampu penulis lakukan. Seandainya terdapat sebarang kecacatan dan kelemahan atau kesilapan, penulis memohon kemaafan dan memohon agar dapat diperbetulkan demi mencari yang terbaik. Seandainya terdapat mutiara yang berharga, gunakanlah ia dengan semaksimum mungkin bagi sama-sama mencapai kejayaan yang dihajati. Jangan sesekali mempersiakannya.

Akhir kalam, saya memohon agar para pembaca yang dirahmati Allah SWT sekalian berdoa untuk anak-anak saya agar mampu menghafaz al-Quran dan menjadi ahli al-Quran. Seterusnya menjadi ‘Ahli Allah’. Demikian juga, didoakan buat semua pembaca buku ini secara khususnya dan umat Islam secara amnya. Kita juga berdoa kepada Allah SWT agar menjadikan usaha yang kerdil dan sedikit ini sebagai amalan yang membawa keberkatan, manfaat dan ikhlas kepada Allah s.w.t. Semoga usaha ini akan membawa saya, para pembaca dan penyebar ilmu ini serta anak-anak kita semua semakin hampir kepada Allah s.w.t. Semakin hampir dengan al-Quran. Serta semakin hampir kepada syurga Allah s.w.t.


Perkongsian daripada seorang penuntut ilmu;

Mohd Solleh bin Ab. Razak
(Abu Mujahid)



[1] Al-Rantawi. Al-‘Ibar fi Man Hafaz al-Quran wa Lam Yablugh al-‘Asyr hlm. 63



MAKLUMAT BUKU

Nama Penyusun : Ust Mohd Solleh Ab Razak

Harga: RM 20.00

Kod Produk: TBBK 1275

ISBN: 978-967-388-139-0

Saiz: 15 cm X 22 cm

Mukasurat: 208 ms

Tarikh produk berada di pasaran: Oktober 2013

*Web Telaga Biru Sdn. Bhd
___________________________________

Untuk yang berminat, boleh dapatkan di pasaran atau melalui penulis dengan cara PM di FB penulis: https://www.facebook.com/msar85

Maklumat lanjut akan menyusul. In Sya Allah.
Labels: , | edit post
0 Responses

Catat Ulasan