undefined
undefined
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Selain itu, didikan supaya mencintai al-Quran sejak kecil juga mampu menghindar anak-anak daripada tergelincir dari landasan Islam yang sewajarnya.
Buku ini membawa seribu satu manfaat kepada pembaca kerana dengan lahirnya generasi pencinta al-Quran, maka akan lahirlah umat yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dalam semua aspek kehidupan.
Buku ini perlu dimiliki kerana ia memaparkan kaedah dan pendekatan untuk mendidik anak mencintai al-Quran. Memberi motivasi dan keyakinan kepada pembaca dalam mendidik anak pencinta al-Quran.
Buku ini juga padat dengan nasihat dan kata-kata hikmah yang bakal menyuntik semangat pembaca untuk melahirkan anak yang mencintai al-Quran.
TINTA PENGARANG
BICARA
TENTANG ANAK
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ
الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ
وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا.
إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ
وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ
أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَ إِنَّا نَسْأَلُكَ
بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ
أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًاً مِنْ خَلْقِكَ أَو اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الغَيْبِ
عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوبِنَا وَنُورَ صُدُورِنَا
وَجَلَاءَ أَحَزَانِنَا وَذَهَابَ هُمُومِنَا…أما بعد...
Bicara tentang anak. Setiap manusia yang hidup
di dunia ini –terutamanya ibubapa- tidak dapat menafikan fitrah dirinya yang
mengharapkan kehadiran insan yang bergelar anak. Kehadirannya bakal memenuhi
setiap ruang kosong kehidupan ini. Kehadirannya memberi seribu satu makna dalam
kehidupan.
Dengan harapan yang tinggi menggunung, kita mengimpikan
anak yang mampu menjadi penyejuk mata dalam kehidupan kita. Bukan sekadar
ketika mereka berada dizaman kanak-kanak sahaja, malah tatkala mereka menempuh alam
remaja dan dewasa yang penuh cabaran. Lebih daripada itu, kita mengimpikan agar
anak inilah yang akan membantu memimpin tangan kita menuju ke syurga Allah SWT.
Itulah impian dan harapan kita.
Di usia kanak-kanak ini, usia yang sangat
sesuai untuk kita mendidik dan melatih anak-anak kita. Bak kata pepatah;
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Di usia rebung, kita mampu untuk
melentur dan membentuk ke arah yang menyelamatkan mereka untuk hari esok.
Diusia ini, ia mengikuti setiap lenturan tersebut tanpa sebarang kekerasan. Ia
mengikuti dengan penuh tertib dan lemah lembut. Namun, setelah usia rebunnya
berlalu dan usia buluhnya telah tiba, maka saat itu melenturnya merupakan satu perkara
yang amat sukar. Saat itu, buluh sudah ada acuannya tersendiri, buluh sudah ada
bentuknya tersendiri. Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa sesuatu yang
mungkin mustahil untuk melenturnya lagi. Seandainya dilenturkannya, kemungkinan
buluh tersebut akan patah. Lebih memilukan lagi apabila buluh tersebut akan
terpelanting ke muka kita yang melenturkannya.
Menatap Wajah Anak
Tataplah wajah anak-anak kita. Pandanglah
mereka dengan penuh kasih sayang. Disaat keasyikan kita memerhatikan wajahnya,
kita perlu mengerti betapa anak-anak itu terlalu dahagakan didikan dan tarbiah
daripada tangan ibu dan ayahnya. Sekalipun anak-anak itu tidak mengucapkannya,
namun jiwanya meronta-ronta mengharapkan curahan didikan dan tarbiah daripada
curahan jari jemari ibu ayahnya.
Ya, anak kita terlalu dahagakannya. Ia sangat
memerlukannya bukan sekadar untuk menghilangkan dahaga dimusim panas, bahkan
mereka memerlukannya untuk sepanjang musim. Bekalan ketika bersama ibu ayah dan
juga bekalan tatkala berjauhan dengan ibu dan ayah. Sama ada berjauhan secara
fizikan ataupun berjauhan disebabkan kematian. Malah anak-anak itu perlukan
didikan dan tarbiah sebagaimana mereka memerlukan oksigen untuk hidup. Tanpa
didikan dan tarbiah, anak-anak tersebut akan mati. Mati dalam mengenal tujuan
hidup dan terbujur kaku dalam mempamerkan akhlak yang mulia.
Itulah yang diperlukan oleh anak-anak kita.
Tanpa didikan dan tarbiah, jasad anak-anak akan terus hidup dan membesar, tetapi
hati dan jiwanya mati. Mati ditangan ibubapanya sendiri. Dek kerana mereka membiarkan
anak-anaknya mati kebuluran tanpa seteguk didikan dan sesuap tarbiah. Apa yang
perlu dikatakan lagi, sedangkan ibubapa mereka sendiri yang ‘membunuh’ dan
‘mengebumikan’ anak-anaknya.
Justeru, janganlah kita hampakan keperluan
mereka. Janganlah tangan kita sendiri yang membunuh dan meracuni hidup anak
kita. Apa ertinya mereka membesar tetapi tidak mampu disirami dengan didikan
dan tarbiah.
Wajahnya, Wajah Penghuni Syurga
Kehidupan anak-anak kita dipenuhi dengan tawa
riang sepanjang masa. Kehidupannya dilingkari dengan keriangan dan kebahagiaan.
Keceriaannya dalam diri mereka turut meresap masuk ke dalam sanubari kita.
Gelak ketawanya mampu mengubati keresahan di dalam diri. Bahkan kepenatan dan
keletihan sepanjang hari di tempat kerja mampu dileraikan dengan larian anak
mendakap kita di muka pintu. Panggilan mereka untuk mendapatkan perhatian dari
kita membuatkan energi yang baru berjaya dicas. Senyuman yang terukir, memahatkan
kegembiraan di dalam hati kita.
Itu pancaran dari wajah penghuni syurga. Wajah
suci itu mampu memecahkan kebuntuan dalam diri kita. Wajah suci itu mampu
meleraikan keletihan dalam tubuh kita. Wajah suci itu mampu menjemput keceriaan
menjadi tetamu di dalam rumahtangga. Wajah suci itu mampu mengukir senyuman
yang mendamaikan hati. Wajah suci itu juga mampu memberi makna dalam kehidupan
berumahtangga.
Wajah suci itu mampu memberi sinar dalam diri
kita, kerana sinar di dalam dirinya tidak pernah terpadam. Kemaksiatan dan
kemungkaran tidak pernah bertapak di dalam dirinya, apatah lagi untuk menguasainya.
Seandainya mereka tersalah, maka kemaafan sentiasa bersamanya.
Inilah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
عَنْ
عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رُفِعَ
الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ
الْمُبْتَلَى حَتَّى يَبْرَأَ وَعَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يَكْبُرَ
Diriwayatkan daripada A’isyah r.ha,
sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Pena pencatat amalan dan dosa itu
diangkat (tidak dicatat) dari tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia
bangun dari tidurnya, orang gila sehingga dia waras kembali dan anak kecil
sehingga sampai tempoh baligh”.[1]
Justeru, menjadi tugas kita dan tanggungjawab
kita untuk mencorakkan anak-anak kita sebagaimana karakter dan peribadi ahli
syurga. Lakarkan dalam kehidupan mereka warna-warni kehidupan sebagaimana
warna-warni ahli syurga. Pahatlah dihati mereka dengan corak yang akan
membuatkannya kekal lama untuk menjadi bekalan tatkala melalui liku-liku
kehidupan. Yakinlah, dengan acuan ini sahajalah yang akan menjamin keberterusan
anak-anak kita sebagai ahli syurga. Dan inilah acuan yang terbaik dan
terpenting. Inilah acuan yang diiktiraf oleh Allah SWT.
Maksudnya: “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. (Surah al-Baqarah 2: 138)
Menyedari hakikat inilah, sudah menjadi
tanggungjawab kita untuk memastikan anak-anak kita hidup di landasan yang
menuju ke syurga. Lenturkan hati dan badan mereka menuju ke terminal terakhir.
Iaitu syurga. Kerana anak kita berasal dari syurga, maka mereka perlu kembali
ke syurga yang sama. Oleh itu, kita tiada pilihan lain selain mendidik mereka
menjadi ahli syurga.
Kita juga sedar, untuk menuju ke terminal
syurga, kita sewajibnya melalui landasan yang membawanya ke syurga. Apakah
landasan tersebut? Tiada lain kecuali landasan al-Quran. Hanya satu. Tiada
kedua atau ketiga. Landasan al-Quran inilah yang akan membawa anak-anak kita ke
syurga. Bilakah kita perlu meletakkan anak kita pada landasan ini? Bila lagi
kalau bukan sekarang! Ya, sekarang. Jangan tangguhkan lagi.
Mendidik Diri Untuk Mendidik
Seorang pendidik tidak mampu muncul sebagaimana
munculnya matahari di pagi hari tanpa sebarang kemahuan. Ia juga tidak lahir
kedunia ini disaat kelahirannya tanpa sebarang asuhan dan didikan. Ia juga
tidak mampu dicapai dengan kuasa sakti untuk menjadikan kita pendidik yang
berjaya. Ia juga tidak semudah ‘Superman’ yang bertukar menjadi orang yang kuat
dalam beberapa saat. Ia juga tidak mampu dikuasai dalam sekelip mata
sebagaimana ahli silap mata.
Bahkan untuk menjadi ibubapa yang berjiwa
pendidik, ia memerlukan kepada persiapan, perancangan dan latihan. Persiapan
mental dan fizikal untuk memikul amanah ini. Perancangan dalam melakar diri
menjadi seorang pendidik yang bermatlamat dan bijaksana. Juga latihan dalam
mengasah kemampuan diri dalam mendidik anak-anak. Justeru, untuk menjadi pendidik
yang berkesan memerlukan usaha yang berterusan.
Semua ini bermula dengan ilmu. I.L.M.U.
Ilmulah yang menyuluh dan menerangi disepanjang perjalanan tersebut. Tanpa
suluhan ini, kita tidak mampu untuk memimpin diri sendiri, apatah lagi untuk
memimpin anak-anak kita berjalan di lorong yang selamat.
Benarlah ungkapan yang berbunyi; “When you
stop learning, you stop leading”. Apabila anda berhenti belajar, bererti
anda juga berhenti memimpin. Justeru, apa yang kita lakukan dengan buku yang
berada di tangan kita sekarang ini ialah, kita sebenarnya bukan sekadar
membaca, malah kita sedang mendidik dan memimpin. Mendidik diri untuk mendidik.
Memimpin diri untuk memimpin anak-anak. Itulah antara kebenaran perkataan “Leaders
are learners”. Pemimpin adalah orang yang belajar.
Oleh itu, buku yang sedang kita tatap ini
adalah buku yang sewajarnya untuk kita hadam selumat-lumatnya. Hayatilah
pesanan yang disampaikan. Pasakkan harapan yang tinggi untuk merealitikan
impian kita ‘Melahirkan Anak Pencinta al-Quran’. Kerana harapan yang tinggi
mampu menjadi lebih kuat dan lebih bertenaga. Malah ia merupakan satu modal
besar yang tiada tandingannya. Tanpanya, sekalipun mempunyai bakat, minat dan
kecerdasan yang hebat, namun ia tidak akan membawa kita ke mana-mana pun.
Itulah hakikatnya.
Seandainya kita telah berjaya mengkhatamkan
bacaan buku ini, ulangilah berkali-kali sehingga ia sebati dalam diri kita.
Sehingga kita mampu melihat dengan jelas jalan yang bakal kita tempuhi. Ingati
pesanan cerdik pandai; “Repetition is mother of knowledge”. Pengulangan
merupakan ibu kepada pengetahuan.
Oleh itu, terlalu dukacita seandainya buku
yang bermakna dan cantik ini hanya tersergam indah di rak-rak buku yang dihiasi
dengan habuk debu sahaja. Tanpa disentuh apatah lagi ditelaah. Seandainya telah
membacanya, jangan lupa untuk mempraktikkannya. Jangan biarkan mutiara di dalam
buku ini tersimpan di dalam buku ini sahaja. Ia perlu dikeluarkan dan perlu
diterjemahkan. Itulah peranan kita. Itulah jalan untuk merealisasikan impian
kita.
Selamat berjuang.
Perkongsian daripada:
Mohd Solleh bin Ab. Razak (Abu Mujahid)
[1] Riwayat Abu Dawud no: 3822. Al-Albani berkata: sahih. Lafaz yang
berbeza oleh al-Tirmizi no: 1343. Katanya: Hadis hasan gharib. Ibn Majah no:
2031
MAKLUMAT BUKU
Nama Penulis : Mohd Solleh Ab. Razak
Harga: RM 20.00
Kod Produk: TBBK 1259
ISBN: 978-967-388-121-5
Saiz: 15cm X 22cm
Mukasurat: 224 ms
Tarikh produk berada di pasaran: April 2013
Untuk yang berminat, boleh dapatkan di pasaran atau melalui penulis dengan cara PM di FB penulis: https://www.facebook.com/msar85
Kod Produk: TBBK 1259
ISBN: 978-967-388-121-5
Saiz: 15cm X 22cm
Mukasurat: 224 ms
Tarikh produk berada di pasaran: April 2013
Untuk yang berminat, boleh dapatkan di pasaran atau melalui penulis dengan cara PM di FB penulis: https://www.facebook.com/msar85
Catat Ulasan