Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Solleh Al-Fatimi

Demi Keturunan Ku : Ibrah Perjalanan Nabi Musa a.s.

Oleh :
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
*Petikan buku "Melahirkan Anak Pencinta al-Quran"*



Sekalipun diuji sedemikian rupa, yakinlah bahawa kesolehan kita sebagai ibubapa banyak memberi manfaat kepada zuriat dan anak-anak kita. Cuba kita imbau seketika kisah al-Quran yang menceritakan pertemuan antara Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidhir a.s yang tercatat dalam Surah al-Kahfi. Tatkala Nabi Khidhir sampai ke sebuah bandar, mereka berdua meminta kepada penduduk bandar itu sedikit makanan, namun penduduk bandar itu enggan untuk menjamunya. Dalam keadaan dikecewakan oleh penduduk bandar itu, terdapat satu tembok yang meunggu masa untuk runtuh, namun Nabi Khidhir a.s membinanya kembali. Atas tindakan itu, Nabi Musa a.s mencadangkan agar Nabi Khidir a.s mengambil upah atas pekerjaan yang dilakukannya itu. Ia tertulis di dalam surah tersebut.



فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا 
فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ 
قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

Maksudnya: Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”. (Surah al-Kahfi 18: 77)


Apakah jawapan Nabi Khidhir a.s terhadap cadangan tersebut? Sekalipun dalam situasi penduduk bandar yang enggan membantu mereka tatkala mereka memerlukan sesuap makanan, namun Nabi Khidhir a.s membantu dengan penuh keikhlasan. Beliau membantu secara percuma. Tanpa sebarang upah.

Kenapakah Nabi Khidir bertindak sedemikian rupa? Rupa-rupanya tembok itu kepunyaan dua orang anak yatim di bandar tersebut dan dibawahnya terdapat ‘harta terpendam’ milik mereka berdua. Tidak dilupakan juga bahawa ibubapa mereka berdua adalah dari kalangan orang yang soleh. Al-Quran menyebutkan ;




 وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا 
وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا
 فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ 
وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا



Maksudnya: Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”. (Surah al-Kahfi 18: 82)




Ya, kerana kesolehan ibubapalah yang menjadi faktor utama benteng itu diselamatkan. Sebab itulah Allah SWT menyebut “dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh”.
 Dari frasa inilah, ia menjadi dalil atau bukti yang menunjukkan bahawa kesolehan seseorang itu mampu menjaga zuriat keturunannya dan diliputi dengan limpahan keberkatan.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir r.h.m di dalam tafsirnya.[1]

Bahkan yang lebih melonjakkan lagi tahap motivasi kita untuk menjadi ibubapa yang soleh adalah kerana berkat kesolehan yang dihiasi dengan keimanan, ketaqwaan dan istiqamah dalam kehidupan mampu memberi jaminan penjagaan zuriat kita sehingga tujuh keturunan. Subhanallah…

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut:
“Sesungguhnya diriwayatkan bahawa Allah SWT akan memelihara orang soleh pada tujuh zuriat keturunannya. 

Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT;

إِنَّ وَلِيِّيَ اللَّهُ الَّذِي نَزَّلَ الْكِتَابَ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصَّالِحِينَ


Maksudnya: “Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah al-A’raf 7: 196) [2]


__________________
[1] Ibn Kathir. Tafsir al-Quran al-‘Azim jil. 5, hlm. 186

[2] al-Qurtubi; Abu 'Abdullah Muhammad ibn Ahmad ibn Abu Bakr al-Ansari. Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran jil. 11, hlm. 39





Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).


Perbincangan pada kali ini berkait rapat tentang salah satu sudut dalam Sirah Nabawi. Iaitu tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum diutuskan menjadi Rasul sehinggalah turunnya wahyu yang pertama. Rasulullah SAW telah bertahannuth @ berkhalwah @ bersendirian di Gua Hira' untuk beberapa ketika. Perbincangan dalam artikal ini adalah untuk melihat apakah tindakan tersebut masih relevan dan perlu diikuti atau pun ia telah diganti dengan ibadah lain yang lebih baik. Perkara ini telah dibincangkan oleh para ulama berdasarkan al-Quran dan al-Hadis. Semoga ada manfatnya.

Berkhalwah & Bersendirian di Gua Hira' : Aplikasi masa kini

Sesungguhnya khalwah yang dituntut ialah melapangkan diri untuk ibadah kepada Allah swt dan memohon pertolongan dengan ibadah ini untuk menambahkan ketaatan dan persiapan berhadapan dengan urusan dunia. 

Sesungguhnya khalwah nabi di Gua Hira sebelum diutuskan sebagai rasul. Ada pun selepas pengutusan sbg rasul, tuntutan khalwah ini bertukar dan berubah kepada jenis yang lain iaitu tahajjud dan qiyamullail tatkala manusia tidur. Sesungguhnya ibadah tahajjud ini adalah satu kefardhuan ke atas Nabi Muhammad saw dan ummatnya, kemudian berubah menjadi sunat ke atas umatnya.

Khalwah yang dimaksudkan di sini bukanlah khalwah ahli sufi dan cara-cara mereka yang menyeleweng, bahkan ia adalah qiyamullail ketika manusia tidur dan turunnya Allah swt. Sebagai mana hadis Abu Hurairah r.a: 



 يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا

 حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ

 وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ


"Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: Tuhan kami tabaraka wa taala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika 1/3 malam akhir, maka berfirman: sesiapa yang berdoa kepada ku, maka aku menerimanya. Sesiapa yang meminta kepada ku, maka aku berikan pada nya. Sesiapa yang memohon ampun kepada ku, maka aku ampunkan nya". (Riwayat Muslim)

Maka Allah swt berfirman kepada Rasulullah saw: 



يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ  قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا


نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا  أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا


 إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا
"Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya)".

(surah al-muzzammil : 1-5). 

Maka qiyamullail dan membaca Al Quran adalah khalwah bg orang islam pada waktu malam. Ia menambahkan baginya dalam berdoa kepada Allah swt. Qiyamullail adalah hidangan bagi golongan solihin. 


Ibrahim bin Adham berkata tentang qiyamullail: 
"Kami berada dalam kelazatan. Sekiranya raja-raja dan anak-anak raja mengetahui nya, pasti mereka membunuh kami dengan pedang".
Solleh Al-Fatimi
Merdeka... Merdeka... Merdeka... Untuk menikmati sebuah kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikecapi. Ia bukan diperolehi dengan berpeluk tubuh. Ia tidak dapat digapai dengan menghayunkan kaki. Ia tidak dapat dikecapi dengan manisnya pujian dan sorakan. Ia tidak dapat dihirup dengan suasana yang tenang. TETAPI...

Kemerdekaan di julang dengan bermandikan darah. Dialunkan lagu kebencian dan fitnah. Dihela nafasnya dengan racun menyesakkan dada dan meragut tidur malam. Dihamparkan duri tangisan dan derita. Dikejar peluru yang tiada belas kasihan. Dihukum tanpa pembelaan. Malah, tiada ungkapan kata yang layak digunakan untuk menceritakan segala derita, sengsara, pedih, letih, sakit, cemas, takut, harapan dan segalanya. Kerana hakikatnya jauh berbeza. Hanya mereka yang menempuhnya sahaja yang mengetahuinya.

Berjuang dan terus berjuang. Hasilnya, kita kecapi hari ini. Namun perjuangan mereka belum selesai. Maka kitalah yang menyambung perjuangan mereka. Mengisi sebuah KEMERDEKAAN.

Dukacita. Apabila setiap pengorbanan dan perjuangan yang mereka harungi selama ini, tidak dihargai. Perjuangan mereka berkubur bersama jasad-jasad mereka. Dukacita kerana setiap titik peluh darah mereka itu dibasuh dan dihilangkan dengan asid penjajah. Pejuang dianggap pengkhianat. Pembela dituduh Penderhaka...

"Ya, Mereka tidak meminta agar nama-nama mereka disebut dan dijulang, TETAPI kita yang memerlukan nama mereka disebut dan dijulang. Kita yang memerlukannya. Agar kita yang mewarisi kemerdekaan ini mampu memahami dan menghargai nilai kemerdekaan ini. Mampu mengisi kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Bukan dibuai mimpi penjajah lama dan baru."

Sekarang kita melihat. Anak bangsa yang mewarisi kemerdekaan semakin layu. -Apakah layu kerana namanya Melayu?- Yang hanya menunggu jatuh ditiup angin. Tahun merdeka pun lupa. Tarikh merdeka tidak dihiraukan. Sambutan kemerdekaan kali ke berapa pun tidak ingat. Apatah lagi ingin mengetahui dan menghayati perjuangan wira-wira merdeka kita! Jauh sekali.

Dari kerana itulah, sejarah KEMERDEKAAN perlu dimurnikan semula. Sejarah pejuang perlu diangkat. Semangat pembela perlu dijulang. Nama perwira perlu dikumandangkan. Penderitaan pahlawan perlu diingati. Jasa mereka perlu dihidangkan. Barulah pewaris kemerdekaan mengerti apa itu kemerdekaan. Barulah pewaris kemerdekaan memahami bagaimana ingin mengisi kemerdekaan ini.

Janganlah kita menulis sejarah mengikut telunjuk Penjajah. Jujurlah dalam sejarah. Pejuang diangkat sebagai Pejuang. Jangan menari mengikut retak penjajah, parahnya adalah generasi pewaris kemerdekaan. Mereka tidak sesekali akan menghargai sebuah kemerdekaan. Mereka akan memikirkan hiburan, makan sedap, hidup mewah, bersuka ria dan penuh keseronokan. Maka apa mereka tahu dan mahu ialah HIDUP MESTI ENJOY!!

Oleh itu. Sekiranya, sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.anhum turut dilanda pemalsuan dan pengkhianatan, apakan pula sejarah negara kita. Namun masih ada mereka yang kasih dan cintakan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.anhum menggali kembali sejarah hidup mereka berdasarkan sumber yang benar lagi sahih. Melalui proses pemurnian yang diusahakan oleh para ulama'. Maka sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat dapat dipertahankan keasliannya. Alhamdulillah.

Maka sejarah kemerdekaan negara kita tercinta ini juga perlu dimurnikan dan disaring. Hanya kejujuran dan kebenaran yang mampu melakukan proses pemurnian ini.

Betapa terlukanya, apabila penjuang-pejuang kemerdekaan dilabel, difitnah dan ditohmah dengan gelaran pengkhianat, penderhaka, komunis dan sebagainya. Sedangkan merekalah yang menggadaikan nyawa dan darah mereka demi mempertahankan negara atas nama ISLAM. Murnikanlah sejarah kita. Buanglah pemalsuan dan pengkhianatan terhadap sejarah. KERANA KITA TIDAK MEMERLUKANNYA!

Justeru, kita sebagai pewaris kemerdekaan, yang manis jangan terus ditelan, yang pahit jangan terus diludah. Tetapi carilah kebenaran. Sekalipun ia terlalu pahit untuk ditelan. Jangan mudah melatah apabila individu tertentu mempertikaikan sejarah kita, tetapi carilah fakta dan berhujahlah secara fakta bukan emosi. -kerana terlalu banyak dan terlalu lama kita ditipu oleh sejarah kita- Jangan sampai kita 'membunuh' pejuang kemerdekaan untuk kali kedua! Kerana ia lebih kejam dan lebih zalim dari 'pembunuhan pertama'!

MERDEKAkan Sejarah KeMERDEKAan!


Dari;
Abu Mujahid Solleh al-Fatimi
Mohd Solleh bin Ab Razak
Solleh Al-Fatimi
Persoalan kenapakah orang Yahudi begitu berpengaruh di dalam banyak pelbagai bidang termasuklah dalam bidang perniagaan sukar dijawab. Persoalan ini begitu rumit untuk dihuraikan kerana tidak banyak kajian mendalam tentang aspek ini.


Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin mengajak sahabat semua untuk sama-sama membaca buku 'Baitul Maqdis: Sejarah Kejatuhan Palestin dan Kewujudan Israel' terbitan Persatuan Ulama' Malaysia (PUM). Di dalam buku ini dihimpun 10 kertas kerja yang dibentangkan di dalam 'Seminar Baitul Maqdis' pada 08 Ogos 2010. Antara kertas kerja yang ingin dikongsi bagi menjawab persoalan ini ialah hasil kajian dan bentangan oleh Profesor Dr. Mohd Nazari bin Ismail, seorang Profesor di Fakulti Perniagaan dan Perakauan, Universiti Malaya. yang bertajuk 'Pengaruh Zionis di Dalam Organisasi Pentadbiran dan Perniagaan'. Marilah sama-sama kita menghayatinya:


"Di kalangan beberapa usaha untuk menerangkan fenomena ini, ada yang menyatakan bahawa ia adalah kerana darah keturunan orang Yahudi adalah istimewa. Pada pandangan saya pendapat tersebut tidak mempunyai asas yang kukuh. Alasannya ialah kerana seperti yang kita ketahui ‘darah’ Yahudi telah bercampur sejak zaman berzaman melalui proses perkahwinan dan penukaran agama. Seperti yang disebutkan sebelum ini, ramai orang yahudi adalah berketurunan dari ibu bapa yang merupakan Jewish converts atau mereka yang asalnya bukan Yahudi tetapi telah memeluk agama Yahudi. Di samping itu, ramai juga yang telah berkahwin dengan orang bukan Yahudi. Sebagai contoh, di zaman Nabi Musa, anak-anak lelaki telah dibunuh sementara anak perempuan dibiarkan hidup. Oleh itu, ramai wanita Yahudi dikahwini oleh orang Mesir. Begitu juga, ramai wanita Yahudi telah dikahwini oleh orang Kristian Eropah. Ini jelas membuktikan bahawa keturunan orang Yahudi sudah bercampur aduk dan oleh itu pendapat yang mengatakan ‘darah keturunan orang Yahudi adalah istimewa’ tidak boleh diterima.

Pada pendapat penulis, sebab utama mereka berjaya dalam bidang yang pelbagai adalah kerana mereka telah ditindas sejak zaman berzaman, terutama sekali di Eropah. Mereka sentiasa menjadi mangsa semangat perkauman Eropah dan oleh itu snetiasa mempunyai perasaan ketakutan dan tidak selesa. Untuk menambahkan keselesaan hidup, mereka terpaksa bekerja keras, berinovatif dan kreatif. Jadi atas dasar itulah kemungkinan ramai dari kalangan mereka yang berjaya dalam pelbagai bidang."

petikan dari: Baitul Maqdis : Sejarah Kejatuhan Palestin dan Kewujudan Israel. m/s:109-110
Solleh Al-Fatimi
oleh: Solleh al-Fatimi

“Mengantuk aku dengar khutbah!”. “Kamu faham tak apa yang khatib cakap dalam khutbah tadi?”. “Tak membina langsung khutbah sekarang ni”. Inilah antara keluhan hati yang sering didengari seusai Khutbah Jumaat. Khutbah hari ini yang penuh dengan kelesuan khatib dan isi khutbah terlalu jauh berbeza dengan khutbah Jumaat yang diajarkan oleh Islam. Khutbah gagal menyuntik kesedaran. Fungsi sebenar khutbah jauh melencong dari matlamat asalnya.

Jika diselak lembaran sejarah, Syeikh Abdul Hamid al-Ibadi membentangkan dalam Majalah al-Azhar pada Ramadhan 1371 dengan judul ‘Baina Khalifah wa Qadhi’ bagaimana Imam Munzir Bin Sa’id menyampaikan risalah Islam dengan berkesan sehingga dapat menyedarkan pemerintah. Pada zaman pemerintahan Andalusia dibawah pemerintahan Abdul Rahman an-Nasir Lidinillah menyaksikan terbinanya sebuah Istana Az-Zahra' hasil gabungan beberapa buah istana yang mewah lagi indah. Perbelanjaan bagi segala pembinaan dan mencantikan istana ini diperuntukan dari harta negara.

Menyedari hakikat ini, Imam Munzir bin Sa'id, sebagai Ketua Hakim Negara merasakan dirinya telah mengabaikan kewajipan sebagai seorang ulama'. Jawatan yang disandangnya tidak mampu mengunci mulutnya, membekukan lidahnya. Jawatan tidak menjadikannya syaitan yang bisu. Lalu beliau berazam untuk menyedarkan Khalifah Abdul Rahman an-Nasir atas pembaziran dan penyalahgunaan wang kerajaan. Bagaimanakah beliau menegur khalifah? Di manakah beliau melakukannya?

Tiada tempat yang lebih sesuai untuk menegurnya kecuali tatkala beliau bekhutbah jumaat dihadapan para jemaah yang hadir. Inilah khutbah yang hebat. Ketika berkhutbah, beliau membacakan ayat ke 128 hingga 135 dari Surah asy-Syu'ara’ yang menegaskan;

"Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik. Dan kamu telah bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya? Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis? Oleh itu takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepada-ku. Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmatnya yang kamu sedia mengetahuinya. Diberikannya kamu binatang-binatang ternak (yang biak) serta anak pinak (yang ramai), dan taman-taman (yang yang indah permai) serta mata air-mata air (yang mengalir). Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya)".

Kemudian beliau menyambung Surah An-Nisa' ayat ke-77;

"Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mata benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikitpun".

Pemborosan dalam pembinaan ini terus dikritik hebat dengan perkataan yang keras dan pedih bersandarkan firman Allah s.w.t;

"Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikan atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu yang baik, ataukah orang-orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh!, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang yang zalim". (Surah At-Taubah:109)

Peringatan dan kritikan ini didengar oleh sidang jumaat dengan penuh khusyu'. Khutbah yang tidak melenakan sidang jumaat. Sementara Khalifah Abdul Rahman an-Nasir menangis kerana menyedari bahawa kritikan yang dilemparkan itu adalah ditujukan terhadap dirinya. Malangnya, Abdul Rahman an-Nasir tidak dapat menerima kritikan ini dan bersumpah tidak akan solat jumaat dibelakang Imam Munzir Bin Sa'id lagi.

Melihat reaksi Abdul Rahman itu, anaknya Al-Hakam mencadangkan agar Imam Munzir dipecat dari jawatannya, namun cadangan tersebut mendapat herdikan daripada ayahnya; "Adakah terdapat orang lain lagi yang mempunyai kelebihan, kebaikan dan lebih mendalam ilmunya seumpama Munzir Bin Sa'id! Sangat tidak patut jika beliau dipecat lantaran ingin mengiakan perbuatan aku yang telah melencong dari hidayah dan menyimpang dari jalan yang lurus. Perkara ini tidak akan terjadi! Sesungguhnya aku malu kepada Allah s.w.t jika aku tidak mendapat syafaat dari solat jumaat yang dimami oleh Imam Munzir Bin Sa'id".

Amanah jawatan yang diberikan dilaksanakan demi sebuah keredhaan ‘Penguasa Maha Agung’, Allah s.w.t. Khutbah dijadikan medan untuk membangkitkan kesedaran yang terlena. Kebersamaan dengan Allah s.w.t menjadi suntikan keberanian. Contoh teladan ini dikutip dari kitab Min Akhlaq al-Ulama’, malah pernah dipersembahkan dalam dalam Majalah al-Azhar terbitan Ramadhan 1371H.
Solleh Al-Fatimi
Dunia juga tidak dapat mendustakan kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin dan pemerintah Mustafa Kamal Ataturk. Dunia melihat persekongkolan antara Mustafa Kamal Atarturk dengan pihak Inggeris dibongkarkan oleh sahabat karibnya, selaku setiausaha peribadinya, Muzhir Mufid Konshuh. Beliau menceritakan tatkala dia diminta untuk menulis perancangan rahsia setelah berjaya memegang tampuk pemerintahan Turki. Beliau menggerakkan pena menulis;

Pertama, menjadikan sistem dasar pemerintahan nanti adalah sistem Republik.
Kedua, hak dan kemudahan sultan beserta keluarganya akan dihapuskan apabila tepat pada masanya.
Ketiga, mengharamkan hijab dari wanita.
Keempat, topi tarbus tidak boleh dikenakan dan akan memakai topi seperti bangsa yang maju...Mendengar perancangan ini, pena yang dipegang Muzhir jatuh tanpa disedari. Namun Mustafa Kamal menyuruhnya meneruskan menulis lagi...Beliau akur.
Kelima, menukar huruf latin dan menghapuskan huruf Arab...
Akhirnya Muzhir menyatakan, Cukuplah wahai Basya, cukup!”

Tanggal 21 November 1922 di Muktamar Luzan ke-2 yang dihadiri antara wakil Mustafha Kamal Ataturk iaitu Esmut Inono dengan wakil Negara-negara bersekutu iaitu Lord Qiruzon juga memegang jawatan sebagai Menteri Luar Britian. Mereka memutuskan perancangan sulit iaitu:
1) Mustafa Kamal Attaturk hendaklah berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Turki dari Agama Islam.
2) Menghapuskan jawatan khalifah
3) Menghapuskan saki baki pejuang Islam dan menghalau mereka keluar dari Turki.
4) Menggantikan gaya hidup islam timur dengan gaya hidup barat yang tiada ikatan agama dan memusuhi islam.

Bagaimana mereka menjayakan usaha jahat mereka ini? Perancangan rapi dan pelaksaan yang mantap menjadi faktor kejayaan mereka meruntuhkan Islam. Asy-Syahid Dr. Abdullah Azzam mendedahkan konspirasi mereka ini:
ü  Mewajibkan rakyat turki memakai topi, padahal pada masa itu topi adalah simbol kekafiran pada pandangan bangsa Turki Muslim. Mereka yang menolak memakai topi, akan digantung di lapangan tersebut.
ü  Menghapuskan huruf Arab, dan memaksa mereka menulis dengan huruf Latin. Cara tersebut bertujuan memisahkan bangsa turki secara total dari agama dan warisan mereka. Mereka yang tidak dapat menguasai huruf Latin dengan baik akan dinafikan dari mendapat pekerjaan, kewarganegaraan ditarik dan pengusiran dari tanah air atau dipenjarakan.
ü  Melarang poligami dan memutuskan persamaan antara lelaki dan wanita dalam semua hak dan kewajipannya, membangun sekolah kejuruan bagi pemuda-pemudi, membangun sekolah yang mengajarkan tarian timur dan tarian barat, melarang hijab, mengeluarkan wanita dari rumah untuk memegang jabatan kerajaan, membangun teater dan panggung wayang serta mendorong rakyatnya untuk mengadakan pesta tarian.
ü  Mengubah dua buah masjid agung iaitu Aya Sofiya dan Masjid al-Fatih menjadi muzium.
ü  Membangun ladang contoh untuk memelihara lembu dan babi, yang bermaksud untuk menentang semua nilai Islam yang luhur.
ü  Mendirikan patungnya disetiap tempat.
ü  Memaksa kaum muslimin menyerukan azan dengan bahasa Turki dan memaksa mereka membaca al-Quran al-Karim dengan Bahasa Turki bukan dengan bahasa Arab. Pernah suatu ketika Mustafa Kamal mendengar azan Subuh dalam Bahasa Arab dari masjid berdekatan dengan istananya, lantas dia memerintahkan supaya masjid tersebut dirobohkan.
ü  Memasukkan kalendar barat untuk menggantikan kalendar Hijriyyah.
ü  Menghapuskan sambutan hari raya Aidilfitri dan Aidiladha
ü  Menetapkan hari ahad sebagai hari cuti mingguan sebagai ganti hari Jumaat.
ü  Melarang kaum muslimin Turki mengerjakan ibadah haji dan melarang kaum wanita memakai hijab.

Akhirnya detik 3 Mac 1924 menjadi satu detik malapetaka bagi seluruh umat Islam. Ya, seluruh umat Islam! Detik ini secara rasminya Mustafa Kamal Attaturk menghapuskan Khalifah Islamiah. Detik mewartakan pengasingan agama daripada pemerintahan Negara. Detik mahkamah-mahkamah syariat ditutup. Detik Jawatan Menteri Syariah dan Menteri Auqaf dihapuskan. Detik keluarga khalifah Abdul Majid ke-2 serta semua ahli keluarganya dihalau dari Negara Turki. Detik inilah maruah Islam diganyang tanpa erti kemanusiaan. Detik inilah...

Namun, walaupun pelbagai usaha dan tipu daya untuk memadamkan cahaya Islam yang bersinar, ternyata usaha mereka gagal. Malah cubaan untuk menukar negara Islam Turki kepada Negara Sekular Turki mendapat tohmahan dari Parlimen Jerman; “Turki lebih kepada peradaban yang bukan peradaban kita!” Demikian juga kenyataan oleh penulis wanita Turki; “Kita pernah menjadi negara terdepan di timur, kemudian kita menjadi negara yang paling terakhir di barat!”. Natijahnya Turki menjadi seperti kisah burung gagak yang hendak meniru burung rajawali, ia gagal menjadi burung rajawali dan tidak layak untuk kembali menjadi burung gagak!

Walaupun Islam dan umat Islam gagal mempertahankan Khalifah Islam Uthmaniah, namun usaha untuk mengembalikannya terus berjalan. Pengakuan Akhbar Perancis ‘Le Monde Diplomatique’ edisi 18 Januari 1983 yang mengutip dari majalah ‘Ar-Raid’ yang diterbitkan di Jerman menyatakan, “Sekalipun Islam memang tersigkir dari pemerintahan, namun ia tidak pernah tersingkir dihati mereka. Pertubuhan Islam dan pendidikan agama tetap berjalan bahkan mendapat pendokong yang baru. Semangat masyarakat Turki  untuk mempertahankan symbol-simbol islam tetap kuat. Tidak sahaja mereka kembali kepada kelompok (tarikat) Naqsyabandiah, Qadiriah dan lain-lainnya kerana pemerintahan memusuhinya sehingga ia kembali kepada kelompok itu. Lebih dari itu, mereka menolak setiap ajaran dan pandangan yang bertentangan dengan Islam dan kembali kepada kebimbangan rosaknya peradaban Turki ditengah-tengah perkembangan gaya hidup barat”.
Labels: 0 comments | | edit post