Solleh Al-Fatimi

Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Iqtarabatis Sa'ah > Isu 2

SOALAN PERTAMA : 

Banyak tanda-tanda akan tibanya hari kiamat yang dijelaskan  oleh al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, namun apakah hikmah dikemukakan semua tanda-tanda ini?

JAWAPAN :
Antara rahmat Allah SWT terhadap kita sebagai hambanya ialah Allah SWT menyediakan untuk kita di dunia ini dengan pelbagai perkara yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan kita dengan Allah SWT. Antara perkara tersebut ialah dengan menyatakan tanda-tanda kiamat yang semakin muncul dari hari demi hari. Maka kiamat tidak akan berlaku secara tiba-tiba atau mengejut, bahkan ditonjolkan dahulu tanda-tanda akan berlakunya kiamat. Firman Allah SWT:
“Maka tidak ada lagi yang mereka tunggukan melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya”. (Surah Muhammad: 18)

Para ulama tidak lupa untuk menyatakan dalam kitab-kitab mereka tentang hikmah wujudnya tanda-tanda hari kiamat. Imam al-Qurtubi dalam kitabnya al-Tazkirah menyebut bahawa; para ulama r.h.m berkata, hikmah dikemukakan tanda-tanda dan petunjuk datangnya kiamat  kepada manusia adalah sebagai satu peringatan kepada mereka yang tidur dan mendorong mereka agar memelihara diri mereka dengan cara bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, selepas munculnya tanda-tanda kiamat ini, maka seluruh manusia sepatutnya memerhatikan dan memuhasabah diri mereka, memutuskan dari (kelekaan) dunia dan membuat persediaan untuk kiamat yang telah dijanjikan.

Imam Abu Abdullah bin al-Husain bin al-Hasan al-Halimiy pula menyebut di dalam al-Minhaj fi Syu’ab al-Iman, setelah menyebut perkataan yang hampir sama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurtubi, beliau menambah dengan katanya: “Dan hendaklah manusia ketika munculnya tanda-tanda kiamat satu demi satu, mereka seumpama orang sakit yang dapat memerhatikan tanda-tanda kematian dirinya satu demi satu. Maka pada waktu itu dia tidak akan mengabaikan masanya untuk terus bertaubat, berwasiat dan mengoreksi dirinya, ahli keluarganya dan seluruh sahabat yang mempunyai hubungan dengannya. Demikian juga, setelah munculnya tanda-tanda kiamat ini, manusia sewajarnya memerhatikan atau menilai (amalan kebaikan dan kejahatan) dirinya, memutuskan dari (kelekaan) dunia, yakin dengan peristiwa kiamat dan seterusnya membuat persediaan untuk menghadapinya (dengan menjunjung perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya).

al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan, sesungguhnya hikmat dikemukakan tanda-tanda kiamat ialah membangunkan orang yang lalai dan mendorong mereka agar bertaubat dan membuat persediaan menghadapinya. Wallahu a’lam.



SOALAN KEDUA: 


Terdapat pelbagai ramalan tentang akan berlakunya kiamat, namun setakat ini semuanya tersasar dari kebenaran. Namun persoalannya bilakah akan berlakunya kiamat?

JAWAPAN
Tidak dinafikan terlalu banyak ramalan kiamat yang dihebohkan. Antaranya William Miller, pengasas gereja Advent meramalkan berdasarkan Bible iaitu pada 23 April 1843. Joseph Smith, pengasas gereja Mormom yang mengaku dapat berbicara dengan Tuhan meramalkan kiamat pada tahun 1891. Harold Camping seorang penginjil dan penyiar di Family Radio Worldwide meramalkan melalui kajian Biblenya ialah pada Hari Sabtu, 21 Mei 2011, pada jam 6.00 petang.

Demikian juga Filem 2012, sebuah filem arahan Roland Emmerich yang mengisahkan ketibaan hari kiamat pada tahun 2012. Sehinggakan filem ini dinobatkan sebagai filem 'paling jahil dan penuh kecacatan dari segi sains’ dalam satu persidangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di California, Amerika Syarikat.

Bagi kita yang beriman kepada Allah SWT dan hari kiamat, kita berpegang teguh bahawa Allah SWT menyembunyikan masa akan berlakunya kiamat dari pengetahuan manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada pada sisi tuhanku, tidak ada sesiapun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan dibumi, mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah SWT, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Surah al-A’raf: 187)
Malah terdapat pelbagai lagi dalil yang menunjukkan kerahsiaan bilakah akan berlakunya kiamat. Kesimpulannya, bilakah akan berlaku kiamat ini tidak diketahui oleh seluruh manusia kecuali hanya  Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Wallahu a’lam.



p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ...Kemungkinan edisi cetak dan edisi blog ini terdapat sedikit perbezaan kerana edisi blog adalah karya yang belum diedit oleh editor. Mohon kemaafan jika terdapat kesilapan.
Solleh Al-Fatimi

Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).


Buku ini digarap khusus buat pembaca dalam usaha mencorakkan masa depan anak-anak yang berteraskan al-Quran. Pembelajaran dan pendidikan berteraskan al-Quran yang bermula sejak kecil mampu menjamin akidah anak-anak daripada goyah, terseleweng atau terpedaya dengan pelbagai diayah masa kini.

Selain itu, didikan supaya mencintai al-Quran sejak kecil juga mampu menghindar anak-anak daripada tergelincir dari landasan Islam yang sewajarnya.

Buku ini membawa seribu satu manfaat kepada pembaca kerana dengan lahirnya generasi pencinta al-Quran, maka akan lahirlah umat yang berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dalam semua aspek kehidupan.

Buku ini perlu dimiliki kerana ia memaparkan kaedah dan pendekatan untuk mendidik anak mencintai al-Quran. Memberi motivasi dan keyakinan kepada pembaca dalam mendidik anak pencinta al-Quran.

Buku ini juga padat dengan nasihat dan kata-kata hikmah yang bakal menyuntik semangat pembaca untuk melahirkan anak yang mencintai al-Quran.


TINTA PENGARANG
BICARA TENTANG ANAK

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَ إِنَّا نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًاً مِنْ خَلْقِكَ أَو اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوبِنَا وَنُورَ صُدُورِنَا وَجَلَاءَ أَحَزَانِنَا وَذَهَابَ هُمُومِنَا…أما بعد...

Bicara tentang anak. Setiap manusia yang hidup di dunia ini –terutamanya ibubapa- tidak dapat menafikan fitrah dirinya yang mengharapkan kehadiran insan yang bergelar anak. Kehadirannya bakal memenuhi setiap ruang kosong kehidupan ini. Kehadirannya memberi seribu satu makna dalam kehidupan.
Dengan harapan yang tinggi menggunung, kita mengimpikan anak yang mampu menjadi penyejuk mata dalam kehidupan kita. Bukan sekadar ketika mereka berada dizaman kanak-kanak sahaja, malah tatkala mereka menempuh alam remaja dan dewasa yang penuh cabaran. Lebih daripada itu, kita mengimpikan agar anak inilah yang akan membantu memimpin tangan kita menuju ke syurga Allah SWT. Itulah impian dan harapan kita.
Di usia kanak-kanak ini, usia yang sangat sesuai untuk kita mendidik dan melatih anak-anak kita. Bak kata pepatah; “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Di usia rebung, kita mampu untuk melentur dan membentuk ke arah yang menyelamatkan mereka untuk hari esok. Diusia ini, ia mengikuti setiap lenturan tersebut tanpa sebarang kekerasan. Ia mengikuti dengan penuh tertib dan lemah lembut. Namun, setelah usia rebunnya berlalu dan usia buluhnya telah tiba, maka saat itu melenturnya merupakan satu perkara yang amat sukar. Saat itu, buluh sudah ada acuannya tersendiri, buluh sudah ada bentuknya tersendiri. Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa sesuatu yang mungkin mustahil untuk melenturnya lagi. Seandainya dilenturkannya, kemungkinan buluh tersebut akan patah. Lebih memilukan lagi apabila buluh tersebut akan terpelanting ke muka kita yang melenturkannya.

Menatap Wajah Anak
Tataplah wajah anak-anak kita. Pandanglah mereka dengan penuh kasih sayang. Disaat keasyikan kita memerhatikan wajahnya, kita perlu mengerti betapa anak-anak itu terlalu dahagakan didikan dan tarbiah daripada tangan ibu dan ayahnya. Sekalipun anak-anak itu tidak mengucapkannya, namun jiwanya meronta-ronta mengharapkan curahan didikan dan tarbiah daripada curahan jari jemari ibu ayahnya.

Ya, anak kita terlalu dahagakannya. Ia sangat memerlukannya bukan sekadar untuk menghilangkan dahaga dimusim panas, bahkan mereka memerlukannya untuk sepanjang musim. Bekalan ketika bersama ibu ayah dan juga bekalan tatkala berjauhan dengan ibu dan ayah. Sama ada berjauhan secara fizikan ataupun berjauhan disebabkan kematian. Malah anak-anak itu perlukan didikan dan tarbiah sebagaimana mereka memerlukan oksigen untuk hidup. Tanpa didikan dan tarbiah, anak-anak tersebut akan mati. Mati dalam mengenal tujuan hidup dan terbujur kaku dalam mempamerkan akhlak yang mulia.

Itulah yang diperlukan oleh anak-anak kita. Tanpa didikan dan tarbiah, jasad anak-anak akan terus hidup dan membesar, tetapi hati dan jiwanya mati. Mati ditangan ibubapanya sendiri. Dek kerana mereka membiarkan anak-anaknya mati kebuluran tanpa seteguk didikan dan sesuap tarbiah. Apa yang perlu dikatakan lagi, sedangkan ibubapa mereka sendiri yang ‘membunuh’ dan ‘mengebumikan’ anak-anaknya.

Justeru, janganlah kita hampakan keperluan mereka. Janganlah tangan kita sendiri yang membunuh dan meracuni hidup anak kita. Apa ertinya mereka membesar tetapi tidak mampu disirami dengan didikan dan tarbiah.

Wajahnya, Wajah Penghuni Syurga

Kehidupan anak-anak kita dipenuhi dengan tawa riang sepanjang masa. Kehidupannya dilingkari dengan keriangan dan kebahagiaan. Keceriaannya dalam diri mereka turut meresap masuk ke dalam sanubari kita. Gelak ketawanya mampu mengubati keresahan di dalam diri. Bahkan kepenatan dan keletihan sepanjang hari di tempat kerja mampu dileraikan dengan larian anak mendakap kita di muka pintu. Panggilan mereka untuk mendapatkan perhatian dari kita membuatkan energi yang baru berjaya dicas. Senyuman yang terukir, memahatkan kegembiraan di dalam hati kita.

Itu pancaran dari wajah penghuni syurga. Wajah suci itu mampu memecahkan kebuntuan dalam diri kita. Wajah suci itu mampu meleraikan keletihan dalam tubuh kita. Wajah suci itu mampu menjemput keceriaan menjadi tetamu di dalam rumahtangga. Wajah suci itu mampu mengukir senyuman yang mendamaikan hati. Wajah suci itu juga mampu memberi makna dalam kehidupan berumahtangga.

Wajah suci itu mampu memberi sinar dalam diri kita, kerana sinar di dalam dirinya tidak pernah terpadam. Kemaksiatan dan kemungkaran tidak pernah bertapak di dalam dirinya, apatah lagi untuk menguasainya. Seandainya mereka tersalah, maka kemaafan sentiasa bersamanya.
Inilah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الْمُبْتَلَى حَتَّى يَبْرَأَ وَعَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يَكْبُرَ

Diriwayatkan daripada A’isyah r.ha, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Pena pencatat amalan dan dosa itu diangkat (tidak dicatat) dari tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun dari tidurnya, orang gila sehingga dia waras kembali dan anak kecil sehingga sampai tempoh baligh”.[1]

Justeru, menjadi tugas kita dan tanggungjawab kita untuk mencorakkan anak-anak kita sebagaimana karakter dan peribadi ahli syurga. Lakarkan dalam kehidupan mereka warna-warni kehidupan sebagaimana warna-warni ahli syurga. Pahatlah dihati mereka dengan corak yang akan membuatkannya kekal lama untuk menjadi bekalan tatkala melalui liku-liku kehidupan. Yakinlah, dengan acuan ini sahajalah yang akan menjamin keberterusan anak-anak kita sebagai ahli syurga. Dan inilah acuan yang terbaik dan terpenting. Inilah acuan yang diiktiraf oleh Allah SWT.

Maksudnya: “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. (Surah al-Baqarah 2: 138)
Menyedari hakikat inilah, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan anak-anak kita hidup di landasan yang menuju ke syurga. Lenturkan hati dan badan mereka menuju ke terminal terakhir. Iaitu syurga. Kerana anak kita berasal dari syurga, maka mereka perlu kembali ke syurga yang sama. Oleh itu, kita tiada pilihan lain selain mendidik mereka menjadi ahli syurga.

Kita juga sedar, untuk menuju ke terminal syurga, kita sewajibnya melalui landasan yang membawanya ke syurga. Apakah landasan tersebut? Tiada lain kecuali landasan al-Quran. Hanya satu. Tiada kedua atau ketiga. Landasan al-Quran inilah yang akan membawa anak-anak kita ke syurga. Bilakah kita perlu meletakkan anak kita pada landasan ini? Bila lagi kalau bukan sekarang! Ya, sekarang. Jangan tangguhkan lagi.

Mendidik Diri Untuk Mendidik

Seorang pendidik tidak mampu muncul sebagaimana munculnya matahari di pagi hari tanpa sebarang kemahuan. Ia juga tidak lahir kedunia ini disaat kelahirannya tanpa sebarang asuhan dan didikan. Ia juga tidak mampu dicapai dengan kuasa sakti untuk menjadikan kita pendidik yang berjaya. Ia juga tidak semudah ‘Superman’ yang bertukar menjadi orang yang kuat dalam beberapa saat. Ia juga tidak mampu dikuasai dalam sekelip mata sebagaimana ahli silap mata.

Bahkan untuk menjadi ibubapa yang berjiwa pendidik, ia memerlukan kepada persiapan, perancangan dan latihan. Persiapan mental dan fizikal untuk memikul amanah ini. Perancangan dalam melakar diri menjadi seorang pendidik yang bermatlamat dan bijaksana. Juga latihan dalam mengasah kemampuan diri dalam mendidik anak-anak. Justeru, untuk menjadi pendidik yang berkesan memerlukan usaha yang berterusan.

Semua ini bermula dengan ilmu. I.L.M.U. Ilmulah yang menyuluh dan menerangi disepanjang perjalanan tersebut. Tanpa suluhan ini, kita tidak mampu untuk memimpin diri sendiri, apatah lagi untuk memimpin anak-anak kita berjalan di lorong yang selamat.

Benarlah ungkapan yang berbunyi; “When you stop learning, you stop leading”. Apabila anda berhenti belajar, bererti anda juga berhenti memimpin. Justeru, apa yang kita lakukan dengan buku yang berada di tangan kita sekarang ini ialah, kita sebenarnya bukan sekadar membaca, malah kita sedang mendidik dan memimpin. Mendidik diri untuk mendidik. Memimpin diri untuk memimpin anak-anak. Itulah antara kebenaran perkataan “Leaders are learners”. Pemimpin adalah orang yang belajar.

Oleh itu, buku yang sedang kita tatap ini adalah buku yang sewajarnya untuk kita hadam selumat-lumatnya. Hayatilah pesanan yang disampaikan. Pasakkan harapan yang tinggi untuk merealitikan impian kita ‘Melahirkan Anak Pencinta al-Quran’. Kerana harapan yang tinggi mampu menjadi lebih kuat dan lebih bertenaga. Malah ia merupakan satu modal besar yang tiada tandingannya. Tanpanya, sekalipun mempunyai bakat, minat dan kecerdasan yang hebat, namun ia tidak akan membawa kita ke mana-mana pun. Itulah hakikatnya.

Seandainya kita telah berjaya mengkhatamkan bacaan buku ini, ulangilah berkali-kali sehingga ia sebati dalam diri kita. Sehingga kita mampu melihat dengan jelas jalan yang bakal kita tempuhi. Ingati pesanan cerdik pandai; “Repetition is mother of knowledge”. Pengulangan merupakan ibu kepada pengetahuan.

Oleh itu, terlalu dukacita seandainya buku yang bermakna dan cantik ini hanya tersergam indah di rak-rak buku yang dihiasi dengan habuk debu sahaja. Tanpa disentuh apatah lagi ditelaah. Seandainya telah membacanya, jangan lupa untuk mempraktikkannya. Jangan biarkan mutiara di dalam buku ini tersimpan di dalam buku ini sahaja. Ia perlu dikeluarkan dan perlu diterjemahkan. Itulah peranan kita. Itulah jalan untuk merealisasikan impian kita.

Selamat berjuang.
Perkongsian daripada:
Mohd Solleh bin Ab. Razak (Abu Mujahid)


[1] Riwayat Abu Dawud no: 3822. Al-Albani berkata: sahih. Lafaz yang berbeza oleh al-Tirmizi no: 1343. Katanya: Hadis hasan gharib. Ibn Majah no: 2031


MAKLUMAT BUKU
Nama Penulis : Mohd Solleh Ab. Razak
Harga: RM 20.00

Kod Produk: TBBK 1259

ISBN: 978-967-388-121-5

Saiz: 15cm X 22cm

Mukasurat: 224 ms

Tarikh produk berada di pasaran: April 2013


Untuk yang berminat, boleh dapatkan di pasaran atau melalui penulis dengan cara PM di FB penulis: https://www.facebook.com/msar85
Solleh Al-Fatimi


Alhamdulillah... akhirnya buku ini terbit jua akhirnya.


"Bagaimanakah cara memotivasikan anak untuk menghafaz al-Quran? Bagaimanakah untuk merancang? Apakah formula dan kaedah yang sesuai untuk anak-anak menghafaz al-Quran? Bagaimanakah cara berhadapan dengan permasalahan anak ketika menghafaz al-Quran? Setiap persoalan ini diperjelaskan dalam buku “Anakku Seorang Hafiz” ini agar dapat membantu dan menyuluh jalan dalam mendidik dan mentarbiah, seterusnya merealisasikan impian kita untuk melihat anak kita berjaya menghafaz al-Quran. Buku “ANAKKU SEORANG HA FIZ” ini sesuai untuk dijadikan salah satu bahan panduan dalam mendidik anak-anak kita menghafaz al-Quran sama ada di rumah atau di sekolah. Panduan yang dibariskan oleh penulis begitu jelas mampu membantu dan memudahkan usaha yang murni ini. Panduan yang dibentangkan juga, bukan sekadar melalui pengalaman sahaja, malah dikuatkan oleh pengalaman-pengalaman para ulama dan diteguhkan lagi oleh fakta serta formula yang diyakini kemampuannya".



Dibawah ini disertakan PENA PENGARANG di dalam buku ini:

PENA PENGARANG:
HIDUP CEMERLANG DENGAN AL-QURAN

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَ إِنَّا نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًاً مِنْ خَلْقِكَ أَو اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوبِنَا وَنُورَ صُدُورِنَا وَجَلَاءَ أَحَزَانِنَا وَذَهَابَ هُمُومِنَا…أما بعد

Saya mulakan dengan nama Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Dengan kasih sayang, rahmat dan hidayahnya, diri ini mampu lagi berdiri untuk berkongsi setitik ilmu yang diamanahkan kepada diri ini sebagai hamba-Nya. Apabila diri memulakan ‘dengan nama Allah SWT’, tiada tujuan dan tiada maksud yang ingin disampaikan melainkan kebaikan dan kesejahteraan. Kebaikan dan kesejahteraan yang terlalu kita dambakan dalam kehidupan kita.

Alhamdulillah… Pujian saya panjatkan kehadrat Allah s.w.t. atas nikmat yang bercurah-curah. Sedangkan diri ini dilingkari dengan dosa dan noda yang tidak terhitung. Namun dengan kerendahan diri yang bergelar hamba yang hina, dikuatkan diri untuk mengangkat tangan kepada Allah SWT yang Maha Mulia agar jangan dibiarkan diri dan hati ini tanpa bimbingan dan hidayah daripada-Nya. Kerana diri ini tidak mampu untuk memutuskan sesuatu yang baik dan terbaik melainkan dibawah pimpinan Allah SWT. Ya Allah SWT jangan biarkan kami terbiar walaupun untuk sedetik.

Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, ahli keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga hari kiamat. Tiada kata dan ucapan yang selayaknya dilontarkan melainkan jutaan kesyukuran dan terima kasih yang tidak terhingga diatas segala pengorbanan yang diperjuangkan selama ini demi ingin melihat generasi masa depan terus rukuk dan sujud kepada Allah SWT.

Terminal Kehidupan
Syukur kepada Allah SWT dengan terbitnya buku yang berjudul “Agar Anakku Menghafaz al-Quran”. Buku ini merupakan kesinambungan bagi buku “Sehingga al-Quran Terpahat di Hati” yang membincangkan secara terperinci berhubung motivasi dan formula menghafaz al-Quran. Ya, setelah diri disuntik untuk mendampingi al-Quran dan menghafaznya, maka perjalanannya tidak terhenti di situ sahaja. Perjalanannya masih jauh dan perlu diteruskan lagi. Bahkan ia merupakan salah satu terminal daripada terminal-terminal yang mesti ditempuh dalam perjalanan hidup ini.

Justeru, perjalanan seterusnya adalah ke terminal untuk melahirkan anak-anak dan generasi al-Quran. Ia sama sekali tidak berakhir pada diri kita sendiri. Namun nikmat yang dikurniakan kepada kita ini perlu disebarkan dan dikongsikan. Terutamanya kepada anak-anak dan ahli keluarga. Dengan harapan, anak-anak dan generasi yang kita tinggalkan merupakan generasi yang berpaksikan dengan al-Quran dalam setiap orientasi kehidupannya.

Inilah titik penting yang terbit dalam jiwa Nabi Ya’qub a.s yang bertanyakan kepada anak-anaknya; “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?”. Saksikan episod yang penuh menyentuh itu:

Maksudnya: “(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.” (Surah al-Baqarah 2: 133)

Keprihatinan Nabi Ya’qub ini terhadap anak-anaknya ini merupakan titik tolak dalam hidupnya untuk mendidik dan mengasuh anak-anaknya untuk terus rukuk dan sujud kepada Allah SWT. Sekalipun diambang kematiannya, Baginda tetap tidak melupakan untuk memasakkan ke dalam diri anak-anak mereka tentang pengabdian kepada Allah SWT. Ingatan terakhir untuk bekalan sepanjang hayat anak-anaknya.

Lihatlah bagaimana jawapan daripada anak-anak Baginda; “Kami menyembah Tuhanmu…”. Itulah hasil dari tarbiah dan didikan yang penuh murni daripada seorang ayah. Tarbiah dan didikannya membuatkan anak-anaknya yakin dan tidak berbelah bagi untuk terus rukuk dan sujud kepada Allah SWT. Alangkah tenangnya pemergian Nabi Ya’qub a.s menemui Penciptanya; Allah SWT.

Cuba tanyakan diri kita; adakah episod indah ini juga akan bertandang dalam episod hidup kita? Adakah anak-anak kita akan menjawab –secara lisan dan amali- sebagaimana anak-anak Nabi Ya’kub? Apakah pemergian kita mampu memberikan selautan ketenangan di alam barzakh nanti? Adakah anak kita nanti mampu membela kita disaat kita memerlukannya? Semua ini perlu kita fikirkan. Bila? Bermula saat ini.

Justeru, tiada jalan lain yang perlu kita tempuhi dan renangi melainkan jalan al-Quran. Dengan al-Quran, anak-anak akan terus rukuk dan sujud kepada Allah SWT dalam setiap detik dan saat di dalam kehidupannya. Tugasnya sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di bumi ini tidak akan dilupakan. Jauh sekali untuk mempersiakannya. Mereka akan terus berlari di atas landasan yang dibina daripada al-Quran. Sekiranya mereka tergelincir, mereka akan sedar terhadap kesilapannya dan terus kembali ke landasan yang sebenar. Landasan al-Quran. Semua ini akan terjadi setelah kita mempersiapkan diri kita dan anak-anak kita dengan al-Quran. Jangan sesekali mengabaikannya.


Cemerlang Dengan Al-Quran
Tanamkan benih-benih al-Quran didalam diri mereka. Kemudian bajailah dan suburkanlah ia setiap masa. Syeikh Muhammad Husain al-Rantawi menguntaikan kata-katanya; “Ketahuilah saudaraku, wahai pelajar al-Quran. Sesungguhnya Kitab Allah itu; airnya adalah ikhlas. Didikannya adalah taqwa. Sinarannya adalah cita-cita yang tinggi. Gerak-gerinya adalah kecintaan yang benar terhadap hafazannya. Kehidupannya adalah konsisten dalam mengingatinya dan menjaganya. Dan penyuburnya adalah beramal dengannya”.[1] Inilah formula kejayaan sepanjang hidup.

Kejayaan ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya:

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”. (Surah al-Isra’ 17: 9)

Dari kehebatan al-Quran inilah, maka sejarah turut mengakuinya. Kita semua mengetahui bahawa Bangsa Arab merupakan bangsa yang tidak bertamadun dan tidak pernah diendahkan oleh mata-mata dunia. Seumpama ‘kewujudannya tidak pernah wujud di peta dunia’. Namun dalam masa yang sesingkat itu, setelah seorang pemuda bernama Muhammad bin Abdullah SAW yang dilantik menjadi rasul akhir zaman yang dilengkapi dengan wahyu al-Quran, maka kaum yang berubah dengan begitu drastik. Kehadirannya mencabar dan menggugat kerajaan dunia. Bangsa yang terpinggir bertukar menjadi bangsa yang terunggul. Sehingga cabarannya mampu menggantikan tamadun dunia yang penuh dengan penindasan dan kepalsuan. Dimanakah rahsianya? Semuanya tersedia dengan lengkapnya di dalam sebuah kitab yang bernama al-Quran al-Karim.


Tidak Sesekali Mempersiakannya
Justeru, kita tiada pilihan lain melainkan dengan al-Quran. Ia satu kemestian. Andainya disaat usia meningkat barulah kita memperolehi kesedaran untuk mendampingi al-Quran dan menghafaznya, maka jangan biarkan anak-anak kita mendapat nasib yang sama seperti kita. Dekatikanlah anak-anak kita dengan al-Quran. Untuk kejayaan anak-anak kita di dunia dan di akhirat. Secara tidak langsung untuk kejayan kita bersama. Yang bergelar ibu dan ayah.

Inilah antara buku yang mampu membantu kita sebagai ibubapa dalam mendidik anak-anak kita. Hadamlah dengan sebaiknya, mudah-mudahan Allah SWT permudahkan perjalanan hidup kita untuk hari esok dan seterusnya.

Saya mengakui buku ini merupakan satu usaha kerdil penulis untuk sama-sama berkongsi ilmu, perasaan dan cita-cita. Demi anak-anak kita. Dalam usia yang muda dan anak yang masih kecil, penulis cuba mempersembahkan beberapa idea berdasarkan pembacaan dan kajian yang terhad yang mampu penulis lakukan. Seandainya terdapat sebarang kecacatan dan kelemahan atau kesilapan, penulis memohon kemaafan dan memohon agar dapat diperbetulkan demi mencari yang terbaik. Seandainya terdapat mutiara yang berharga, gunakanlah ia dengan semaksimum mungkin bagi sama-sama mencapai kejayaan yang dihajati. Jangan sesekali mempersiakannya.

Akhir kalam, saya memohon agar para pembaca yang dirahmati Allah SWT sekalian berdoa untuk anak-anak saya agar mampu menghafaz al-Quran dan menjadi ahli al-Quran. Seterusnya menjadi ‘Ahli Allah’. Demikian juga, didoakan buat semua pembaca buku ini secara khususnya dan umat Islam secara amnya. Kita juga berdoa kepada Allah SWT agar menjadikan usaha yang kerdil dan sedikit ini sebagai amalan yang membawa keberkatan, manfaat dan ikhlas kepada Allah s.w.t. Semoga usaha ini akan membawa saya, para pembaca dan penyebar ilmu ini serta anak-anak kita semua semakin hampir kepada Allah s.w.t. Semakin hampir dengan al-Quran. Serta semakin hampir kepada syurga Allah s.w.t.


Perkongsian daripada seorang penuntut ilmu;

Mohd Solleh bin Ab. Razak
(Abu Mujahid)



[1] Al-Rantawi. Al-‘Ibar fi Man Hafaz al-Quran wa Lam Yablugh al-‘Asyr hlm. 63



MAKLUMAT BUKU

Nama Penyusun : Ust Mohd Solleh Ab Razak

Harga: RM 20.00

Kod Produk: TBBK 1275

ISBN: 978-967-388-139-0

Saiz: 15 cm X 22 cm

Mukasurat: 208 ms

Tarikh produk berada di pasaran: Oktober 2013

*Web Telaga Biru Sdn. Bhd
___________________________________

Untuk yang berminat, boleh dapatkan di pasaran atau melalui penulis dengan cara PM di FB penulis: https://www.facebook.com/msar85

Maklumat lanjut akan menyusul. In Sya Allah.
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Iqtarabatis Sa'ah > Isu Perdana.


Soalan Pertama:

"Sekarang ini tedapat banyak cerita tentang tanda-tanda akan berlakunya kiamat. Saya tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan tanda kiamat tersebut. Boleh ustaz jelaskan?"

Jawapan:

Syeikh Khalid bin Nasir bin Sa’id al-Ghamidi dalam kitab ‘Asyrat al-Sa’ah’ menyebut bahawa makna tanda-tanda kiamat ialah tanda atau petunjuk yang berlaku sebelum terjadinya kiamat dan ia juga menunjukkan kiamat sudah dekat.

Perkataan kiamat digunakan dengan tiga makna:

Pertama: Setelah berlalunya kurun para sahabat Rasulullah r.a.

Daripada Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan, katanya: Suatu malam Rasulullah s.a.w bersembahyang Isyak di akhir hayatnya. Setelah memberi salam, baginda s.a.w berdiri dan bersabda: Tahukah kamu akan malam ini? Sesungguhnya seratus tahun akan datang tidak akan ada lagi seorang pun manusia di atas muka bumi ini. Ibnu Umar berkata: Orang ramai salah faham mengenai sabda Rasulullah s.a.w itu, mereka bercakap-cakap tentang Hadis tersebut terutamanya mengenai Kiamat seratus tahun akan datang. Sedangkan maksud Rasulullah SAW ialah, “Tidak ada seorang pun manusia yang hidup sekarang ini (zaman Rasulullah) akan hidup pada seratus tahun yang akan datang”, dengan kata lain kurun itu sudah berlalu. (HR al-Bukhari, No: 113. Muslim, No: 4605)

Kedua: Kematian seseorang manusia. Sesungguhnya kematiannya itu merupakan kiamat ke atas dirinya. Ia memasuki alam akhirat iaitu kehidupan di alam barzakh dan alam seterusnya.

Ketiga: Kiamat besar iaitu apabila dunia digoncang dengan sekuat-kuatnya dan kematian seluruh makhluk, kecuali yang Allah SWT kehendaki. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan”. (Surah al-Hajj: ayat 1-2)

Untuk perhatian, apabila disebut dengan lafaz (قيام الساعة), maka maksudnya ialah kiamat besar.

Kesimpulannya, kiamat itu terbahagi kepada 3 bahagian:
Pertama: Kiamat kecil; Kematian seseorang manusia.
Kedua: Kiamat sederhana; Dengan kematian mereka yang hidup pada kurun yang pertama.
Ketiga: Kiamat besar; Hari kiamat yang sebenarnya. (Asyrat al-Sa’ah, juz: 1, hal:30-31). Wallahu a’lam.



Soalan kedua:
"Keduanya; Saya juga ada mendengar bahawa tanda kiamat terbahagi kepada dua iaitu tanda kecil dan tanda besar, saya ingin mengetahui apakah pembahagian ini berdasarkan al-Quran dan al-Hadith atau ijtihad para ulama’?"

Jawapan.

Benar tanda kiamat dibahagikan kepada dua iaitu tanda kecil dan tanda besar. Adapun penisbahan pembahagian dan susunan kejadian ini, ia bukanlah satu ketentuan daripada al-Quran dan al-Hadith, malah ia merupakan usaha ijtihad para ulama’ terdahulu dan kontemporari. Mereka membahagikannya kepada tanda-tanda kecil dan besar akan berlakunya kiamat.

Para ulama’ juga berbeza pandangan dalam menentukan tanda kecil dan tanda besar kiamat. Ada yang meletakkan sebahagian tanda besar kiamat dalam kumpulan tanda kecil kiamat dan sebaliknya. Namun ijmak ulama’ dalam menyatakan terdapat sepuluh tanda besar kiamat, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Baihaqi, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan al-Qurtubi. Dan selainnya adalah khilaf. Sepuluh perkara tersebut diriwayatkan oleh Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a, iaitu:

1. Munculnya asap
2. Dajjal
3. Binatang melata (Dabbah)
4. Terbitnya matahari di sebelah barat
5. Turunnya Nabi Isa bin Maryam a.s
6. Yakjuj dan Ma’juj
7. Tiga kali gempa bumi: di sebelah timur, barat dan Semenanjung Arab
8. Api yang muncul dari sebelah Yaman yang menhalau manusia ke tempat berkumpul mereka (mahsyar). (HR Muslim, No: 5162)

Secara ringkasnya, Syeikh Khalid bin Nasir menyebut:
1. Tanda kecil kiamat sebahagiannya telah berlaku dan berakhir, sebahagiannya telah terjadi namun ia tidak jelas dan sebahagiannya tidak berlaku secara keseluruhannya.
2. Sesungguhnya tanda kecil ini pada kebiasaannya berlaku dan ianya tidak begitu asing.

3. Tiada terdapat hadith yang membatasi dan menerangkan masa terjadinya tanda ini. Bahkan ia merupakan satu perkara yang dikutip dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan dan musnad.
4. Kebiasaannya lafaz hadis yang menunjukkan ia adalah tanda kecil kiamat ialah seperti hadith Jibril, perkataan : “6 perkara yang dikira akan sampainya kiamat…”, “tidak akan terjadi kiamat…” atau “tidak akan hilang dunia…” atau “tidak akan pergi hari dan malamnya…”, “pada akhir zaman…” dan seumpamanya.

5. Semua tanda-tanda kimat ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad SAW.
6. Sesungguhnya tanda besar kiamat ialah sepuluh. Sepertimana yang terkandung didalam hadith Huzaifah bin Asid. Dan ia bukanlah sesuatu yang kebiasaan berlaku. Apabila berlaku pada kali pertamanya, maka kiamat mengiringinya dengan segera seperti titisan air akibat kebocoran atap.
7. Tanda besar kiamat yang pertama ialah keluarnya al-dajjal, dan akhirnya keluarnya api dari sebelah ‘Adn yang menghalau manusia ke mahsyar. (Asyrat al-Sa’ah, juz 1, hal: 37-38). Wallahu a’lam.


p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ...Kemungkinan edisi cetak dan edisi blog ini terdapat sedikit perbezaan kerana edisi blog adalah karya yang belum diedit oleh editor. Mohon kemaafan jika terdapat kesilapan.
Labels: 1 comments | | edit post
Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum...

Irshad Manji tiba-tiba meletup di negara kita. Kehadirannya untuk program 'bedah buku'nya gagal dihalang oleh pihak pemerintah... Pemerintah seumpama terus dibuai mimpi... desakan agar pemerintah bertegas dalam isu ini sebelum merebak dipandang sepi... desakan seumpama anjing menyalak bukit... pemerintah hanya diam seribu bahasa...

setelah program selesai dan berjalan lancar, barulah nk tunjuk muka dengan pelbagai lontaran kritikan dan sebagainya... dah selesai baru nk bertindak... betapa lemahnya...

walau apa pun, Alhamdulillah ada tindakan yang diambil sekalipun mengambil masa, tidak secepat tindakan terhadap isu politik...

Tahniah kepada para pemikir dan pendahwah yang menjawab segala tohmahan dan dakyah yang disampaikan oleh Irshad Manji ini. semoga Allah merahmati semua... Namun perlu kita sedar, Dakwah tanpa kekuasaan adalah umpama gedung tanpa penjaga.

Untuk menjawab tulisan Irshad Manji, mari sama-sama kita hayati hasil tulisan Ustaz Mohd Aizam Mas’od,
Seksyen Aqidah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim. Semoga bermanfaat.
"KERANCUAN PEMIKIRAN IRSHAD MANJI DALAM BUKUNYA 'ALLAH,
KEBEBASAN DAN CINTA' "

Untuk baca, klik di sini: http://www.islam.gov.my-kerancuan_pemikiran_irshad_manji_dalam_bukunya_allah_kebebasan_dan_cinta
Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum...

Saksikan dan hayati rakaman temubual di Radio Ikim Fm dalam Slot Duniaku Buku.

Penjelasan yang terperinci tentang buku SEHINGGA AL-QURAN TERPAHAT DI HATI serta permasalahan dan persoalan dalam proses menghafaz al-Quran.

Dengan mendengar rakaman ini, insyaAllah belenggu dan kesukaran dalam usaha menghafaz al-Quran akan terlerai dan kita mendapat motivasi yang tinggi untuk mengampingi al-Quran.

Selamat menghayati Sehingga al-Quran Terpahat Di Hati



Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh bin Ab Razak

Assalamualaikum...
Setelah sekian lama tidak mengisi ruangan blog ini. Alhamdulillah pada kali ini, Allah mengurniakan kesempatan untuk berkongsi setitik ilmu. Tulisan kali ini, saya olah dari buku saya yang pertama yang berjudul Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama'. Pada Bab: Perjuangan Belum Selesai, saya ingin membangunkan pembaca dengan yang sekian lama dibuai lena yang panjang dalam memahami hakikat kemungkaran.


Kita sentiasa mendengar pesanan Rasulullah s.a.w yang berbunyi;

مَن رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

“Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka gunakanlah mulutnya dan jika tidak mampu gunakanlah hatinya, dan itulah tingkat iman yang paling lemah”.
(HR Muslim, Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibn Majah)
Namun apakah yang dimaksudkan dengan kemungkaran? Apakah yang tergambar difikiran kita tatkala mendengar perkataan ini? Apakah kita benar-benar memahaminya?

Kebanyakan daripada kita menganggap kemungkaran hanyalah mencuri, merompak, merogol, minum arak, tidak menunaikan solat, tidak mengeluarkan zakat dan sebagainya. Namun apabila berhadapan dengan soal pemerintahan, seoalah-olah kita menjadi buta kemungkaran. Kita membenarkan setiap kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah. Kita beranggapan "Kalau pemerintah yang jahat, itu dia punya hal, aku tak masuk campur hal politik, aku nak beribadah je!"

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Ad-Din Wa as-Siyasah meluahkan betapa sangat mendukacitakannya apabila umat Islam menyempitkan tafsiran kemungkaran dengan tafsiran yang terlalu sempit;
“Termasuk pemahaman yang salah jika kemungkaran hanya difahami setakat zina, meminum minuman keras dan perbuatan lain yang seumpamanya. (Mereka tidak sedar bahawa) Menginjak-injak harga diri suatu bangsa adalah tindakan dosa besar, merampas kebebasan orang lain adalah tindakan dosa besar, kecurangan dalam pilihanraya adalah tindakan dosa besar, tidak mahu mengungkapkan penyaksian dalam pilihanraya adalah tindakan dosa besar kerana termasuk dalam perbuatan menyembunyikan syahadah (penyaksian), menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya adalah tindakan dosa besar, mencerca, menghina dan menjelek-jelekkan pemimpin yang amanah adalah tindakan dosa besar, menyimpan barang yang diperlukan oleh rakyat ramai demi keuntungan peribadi atau golongan tertentu adalah tindakan dosa besar, memberi, menerima dan menjadi perantara tindakan suap menyuap adalah tindakan dosa besar, mencari muka di depan penguasa dengan cara batil dan menghembuskan asap permusuhan di antara mereka adalah tindakan dosa besar dan bersekutu dengan musuh Allah dan musuh umat Islam adalah tindakan dosa besar”. 

Justeru, sekiranya kita memejamkan mata dari memandang kezaliman yang berleluasa dengan pelbagai alasan, maka kedudukan kita terlalu malang. Malah terlalu hina sekiranya para ulama' dan asatizah sendiri yang membantah atau tidak menyokong usaha menegur pemerintah pada hari ini. Teguran tidak semestinya dengan kata-kata yang lunak, tetapi teguran juga menggunakan kata-kata yang menusuk. Itulah antara pendekatan yang diamalkan oleh para salafussoleh.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengajak umat Islam merenung sejenak;
“Demikianlah dengan mudah kita dapat menyaksikan tindakan dosa atau kejahatan yang terus merebak dan dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam politik. Lalu sebagai seorang muslim yang berpegang teguh pada agamanya dan selalu mengharapkan redha Allah, relakah kita melihat segala kemungkaran dengan hanya berdiam diri? Wajarkah kita lari dari medan perang kerana takut, cemas atau hanya mencari keselamatan diri sendiri?”.
Semoga renungan ini memungkinkan kita merancang untuk melakukan satu tindakan yang menguntungkan Islam.

Menyedari peri-pentingnya memperkasakan politik, maka menjadi kewajipan seorang muslim melakukan perubahan untuk melawan kemungkaran. Dan sekiranya kewajipan ini dilanggar, seorang Muslim akan mendapat dosa atau seksaan Allah s.w.t. Penegasan ini pernah disuarakan sekali lagi oleh Yusuf al-Qaradhawy. Seterusnya beliau menambah;
“Seorang Muslim pasti akan menjadi seorang ahli politik kerana dia dituntut oleh rasa keimanannya agar tidak hidup menyendiri tanpa memiliki perhatian pada persoalan orang lain. Terutama persoalan yang menimpa orang mukmin lain sesama saudara seiman”.
Hal demikian ini disandarkan kepada firman Allah s.w.t;

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. (Surah al-Hujurat:10).

Juga Rasulullah s.a.w pernah bersabda;

مَن لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ المُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنهُمْ
“Sesiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum muslimin, maka dia bukan sebahagian daripada mereka”. (HR al-Tabrani, Ibn Hibban)

“Selain dituntut untuk mengubah kemungkaran sosial, kaum muslimin juga dituntut supaya mengubah kemungkaran/kezaliman politik. Kezaliman dalam bentuk apa pun mesti dicegah. Sikap apati (iaitu sikap tidak menaruh minat atau sikap tidak endah terhadap sesuatu yang wajar diberi perhatian) akan menyebabkan datangnya azab Allah yang akan menimpa umat secara keseluruhannya, samada orang zalim ataupun orang yang hanya berdiam melihat kezaliman. Allah s.w.t berfirman;

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim diantara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya”.
(Surah al-Anfal:25)

Al-Quran juga mengecam kaum muslimin yang mahu mentaati penguasa diktator dan berbuat sesuka hati, lebih-lebih berkerjasama dengan mereka. Allah s.w.t berfirman terhadap kaum NabI Nuh;

“Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak)”.
(Surah Nuh:21)

Bahkan sekadar ada kecenderungan dan rasa simpati kepada orang-orang zalim pun dikecam al-Quran;
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”. (Surah Hud:113)

Kesimpulannya, kemungkaran dalam pemerintahan dan pilihanraya merupakan satu kemungkaran yang dihina oleh Allah s.w.t. Kemungkaran ini juga termasuk dalam dosa-dosa besar. Maka sebagai seorang yang bergelar MUSLIM, maka menjadi kewajipan semua untuk mengubah kemungkaran ini. Gunakan kuasa untuk untuk mengubah kemungkaran ini. Setiap undi kita akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t.

Apa yang kita takutkan adalah ancaman daripada Rasulullah s.a.w:
"Ucapkanlah selamat tinggal kepada umat yang pasti binasa itu!" Bila kalian mendapati keadaan di mana umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, "Wahai zalim", maka kamu telah diucapkan selamat tinggal daripada mereka (HR. Ahmad)

Sekian. Wassalam.