Solleh Al-Fatimi
Persoalan kenapakah orang Yahudi begitu berpengaruh di dalam banyak pelbagai bidang termasuklah dalam bidang perniagaan sukar dijawab. Persoalan ini begitu rumit untuk dihuraikan kerana tidak banyak kajian mendalam tentang aspek ini.


Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin mengajak sahabat semua untuk sama-sama membaca buku 'Baitul Maqdis: Sejarah Kejatuhan Palestin dan Kewujudan Israel' terbitan Persatuan Ulama' Malaysia (PUM). Di dalam buku ini dihimpun 10 kertas kerja yang dibentangkan di dalam 'Seminar Baitul Maqdis' pada 08 Ogos 2010. Antara kertas kerja yang ingin dikongsi bagi menjawab persoalan ini ialah hasil kajian dan bentangan oleh Profesor Dr. Mohd Nazari bin Ismail, seorang Profesor di Fakulti Perniagaan dan Perakauan, Universiti Malaya. yang bertajuk 'Pengaruh Zionis di Dalam Organisasi Pentadbiran dan Perniagaan'. Marilah sama-sama kita menghayatinya:


"Di kalangan beberapa usaha untuk menerangkan fenomena ini, ada yang menyatakan bahawa ia adalah kerana darah keturunan orang Yahudi adalah istimewa. Pada pandangan saya pendapat tersebut tidak mempunyai asas yang kukuh. Alasannya ialah kerana seperti yang kita ketahui ‘darah’ Yahudi telah bercampur sejak zaman berzaman melalui proses perkahwinan dan penukaran agama. Seperti yang disebutkan sebelum ini, ramai orang yahudi adalah berketurunan dari ibu bapa yang merupakan Jewish converts atau mereka yang asalnya bukan Yahudi tetapi telah memeluk agama Yahudi. Di samping itu, ramai juga yang telah berkahwin dengan orang bukan Yahudi. Sebagai contoh, di zaman Nabi Musa, anak-anak lelaki telah dibunuh sementara anak perempuan dibiarkan hidup. Oleh itu, ramai wanita Yahudi dikahwini oleh orang Mesir. Begitu juga, ramai wanita Yahudi telah dikahwini oleh orang Kristian Eropah. Ini jelas membuktikan bahawa keturunan orang Yahudi sudah bercampur aduk dan oleh itu pendapat yang mengatakan ‘darah keturunan orang Yahudi adalah istimewa’ tidak boleh diterima.

Pada pendapat penulis, sebab utama mereka berjaya dalam bidang yang pelbagai adalah kerana mereka telah ditindas sejak zaman berzaman, terutama sekali di Eropah. Mereka sentiasa menjadi mangsa semangat perkauman Eropah dan oleh itu snetiasa mempunyai perasaan ketakutan dan tidak selesa. Untuk menambahkan keselesaan hidup, mereka terpaksa bekerja keras, berinovatif dan kreatif. Jadi atas dasar itulah kemungkinan ramai dari kalangan mereka yang berjaya dalam pelbagai bidang."

petikan dari: Baitul Maqdis : Sejarah Kejatuhan Palestin dan Kewujudan Israel. m/s:109-110
Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum...

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Fathul Bari dalam perhimpunan agung UMNO lepas mendapat pelbagai reaksi berhubung pembelaannya terhadap Datin Seri Rosmah Mansur dan kritikannya terhadap pembangkang khususnya PAS.

Atas nama beliau sebagai seorang ustaz, yang mendakwa memperjuangkan dakwah mengikut manhaj ahlus sunnah wal jamaah, adakah ini adakah manhaj yang bertepatan dengan apa yang digambarkannya? apakah ini cara yang bertepatan dengan ruh islam? apakah ini dari lidah seorang 'ulama muda' yang ikhlas? atau seorang yang terkeliru dengan 'manhaj ahlus sunnah wal jamaah' yang beliau war-warkan? atau ahlus sunnah mana yang beliau maksudkan? atau seorang 'ulama muda' yang mencari 'sesuatu',  yang tidak perlu diungkapkan di sini sehingga terpaksa mengorbankan 'ahli sunnah wal jamaah' yang sebenarnya?

Disini saya kongsikan bersama pembaca sekalian:

Islam adalah agama nasihat. Kita sewajarnya memberikan nasihat kepada sesiapa sahaja termasuk juga para pemimpin kita. Itu merupakan perkara pokok dalam agama dan asas kepada pembentukan masyarakat yang bertamadun. Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda:

الدين النصيحة قلنا : لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم

“Agama adalah nasihat. Kami (sahabat) bertanya: Kepada siapa? Berkata Rasulullah: Kepada Allah dan kepada kitabNya serta RasulNya dan juga para pemimpin orang Islam dan semua umat Islam”(Riwayat Muslim)

Islam juga menyuruh kita supaya berusaha mencegah mungkar sedaya upaya kita. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w juga telah bersabda:


من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده ، فإن لم يستطيع فبلسانه ، فإن لم يستطيع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان

“Sesiapa yang melihat di kalangan kamu satu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya, kemudian sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”

Persoalannya bagaimanakah cara untuk kita menasihati atau mencegah kemungkaran serta mengubahnya mengikut panduan Islam dan petunjuk daripada salafussoleh? Adakah dengan cara kita membantah dengan cara terbuka atau pun dengan cara tersembunyi? Jikalau pemimpin kita melakukan kemungkaran maka apakah cara yang terbaik untuk mencegah kemungkaran yang dilakukannya?

Dalam persoalan ini sebenarnya Islam telah memberikan jawapan yang tepat kepada kita. Sebagai umat yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas dakwah dan islah, Islam memberikan kepada kita cara-cara supaya menepati dengan hakikat syara’ itu sendiri.

Sememangnya perkara asal dalam agama apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat adalah tidak mendedahkannya kepada khalayak umum serta menasihatinya secara bersendirian tanpa diketahui oleh orang lain.Rasulullah s.a.w telah bersabda:


إنَّ الله سِتِّيرٌ يُحِبُّ السِّتْرَ

“Sesungguhnya Allah itu Maha Menyembunyikan (kesalahan) dan amat suka menyembunyikan (kesalahan)” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)


لا يستر عبد عبدا في الدنيا الإ ستره الله يوم القيامة

“Tidaklah menyembunyikan seorang hamba itu akan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahanya pada hari kiamat” (Hadis riwayat Muslim)

Walaupun begitu perkara tersebut dilaksanakan kepada mereka yang tidak melakukan maksiat secara terang-terangan yang digelar sebagai Al-Mujaahir. Maka bagi mereka yang tidak segan silu melakukan kemungkaran, mengisytiharkan dosa mereka dikhalayak umum, maka tidak ada cara lain untuk kita mencegahnya melainkan dengan cara kita mendedahkan perbuatannya itu, menceritakan kepada manusia yang lain sebagai balasan terhadap pelaku maksiat tersebut dan memberikan ancaman kepada oarng lain supaya tidak mencontohinya. Itulah yang telah ditetapkan dalam Islam dan disokong oleh dalil-dalil syara’ serta kata-kata ulama dan salafussoleh.

Imam Ahmad Radiallahu Anhu telah berkata:


الناسُ يَحتاجون إلى مُداراةٍ، ورِفْقٍ في الأمرِ بالمعروفِ، بلا غِلْظةٍ، إلاَّ رجُلاً مُبايناً، مُعلناً بالفسْقِ والرَّدى، فيجبُ عليك نهيُهُ وإعلامُهُ؛ لأنَّه يُقالُ : ليس لِفاسقٍ حُرمةٌ، فهذا لا حُرْمةَ له
“Manusia memerlukan kesopanan dan kelembutan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara makruf, tanpa kekerasan melainkan lelaki yang menonjolkan dan terang-terangan melakukan kefasikan dan kerosakan maka wajib ke atas kamu mencegahnya dan mengzahirkan perbuatannya itu kerana seorang yang fasiq itu tidak mempunyai kehormatan dan dia tiada maruah” (lihat Al-Amru Bil Makruf wa Nahyu ‘An Mungkar, karangan Imam Al-Khallal, m.s 35)

Imam Nawawi Radiallahu Anhu berkata:


وأمَّا السِّترُ المندوب إليه هنا، فالمراد به الستر على ذوي الهيئاتِ ( أهل السُّؤددِ والفَضْلِ الذين لا يُعْرَفُون بالشَّرِ والفسادِ ) ونحوهم، ممَّن ليس معروفاً بالأذى والفسادِ، فأمَّا المعرُوفُ بذلك فيُستحبُّ ألاَّ يُستَرَ عليه؛ تُرفعُ قضيَّتُه إلى وليِّ الأمرِ، إن لم يُخَفْ من ذلك مفسدةً، لأنَّ السِّترَ على هذا يُطْمِعُهُ في الإيذاءِ والفسادِ، وانتهاكِ الحُرُمات، وجَسارةُ غيرِه على مثلِ فِعْلِه

“Adapun menyembunyikan kesalahan yang disunatkan di sini, maka maksudnya adalah memnyembunyikan kesalahan orang-orang kenamaan (pemimpin dan orang yang berjasa yang tidak masyhur dengan perbuatan jahat dan kerosakkan) serta seumpama dengannya. Yang terdiri dari mereka yang bukan terkenal dengan perbuatan zalim dan jahat. Adapun mereka yang dikenali dengan seumpama itu maka disunatkan agar tidak disembunyikan perbuatnnya dan dilaporkan perbuatannya itu kepada pihak berkuasa sekiranya tidak dikhuatiri kemudaratan dari perbuatannya itu kerana menyembunyikan kesalahannya akan menjadikannya semakin berani untuk melakukan kejahatan dan kerosakkan serta memperkosa segala maruah dan menjadi jambatan kepada orang lain untuk mencontohinya..” (Syarah Sahih Muslim karangan Imam An-Nawawi 16/135)

Perkara ini juga antara perkara yang mengharuskan mengumpat (menceritakan keburukan orang lain kepada masyarakat awam). Perkara ini telah ditegaskan oleh ramai ulama seperti Imam Nawawi dalam kitab beliau Riadhussolihin dalam bab keharusan mengumpat (ibahatul Ghibah).

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali Radiallahu Anhu berkata:


واعلم أنَّ الناسَ على ضربين :
أحدهما : من كان مستوراً لا يُعرفُ بشيءٍ من المعاصي، فإذا وقعت منه هَفْوةٌ أو زلَّةٌ فإنَّه لا يجوزُ كشفُها ولا هتكُها، ولا التَّحدُّثُ بها ...
والثاني : من كان مشهوراً بالمعاصي مُعلناً بها، لا يُبالي بما ارتكبَ منها، ولا بما قيلَ له، فهذا هو الفاجرُ المُعْلنُ، وليس له غيبةٌ، كما نصَّ على ذلك الحسنُ البَصْريُّ وغيرُه.

“Ketahuilah bahawa manusia ada dua golongan:

Pertama: Orang yang tidak dikenali serta tidak masyhur dengan perkara maksiat, maka sekiranya terjadi kepadanya kesilapan kecil dan kekurangan maka tidaklah boleh mendedahkannya dan merosakkan maruahnya serta tidak boleh diceritakan..

Kedua: Orang yang masyhur dengan perbuatan maksiat serta secara terang-terangan dan tidak segan silu melakukannya serta tidak hiraukan nasihat yang diberikan kepadanya maka ini adalah orang jahat yang menzahirkan dosanya. Tidak berdosa mengumpat dirinya sebagaimana yang telah dinaskan oleh Hassan Basri serta selainnya.” (Jaamiul Uluum Wal Hikam)

Imam Al-Bahutiyy telah berkata:


قال جمعٌ مُحَقِّقُون : إلاَّ على مَشْهُورٍ ببدعةٍ، أو فُجُورٍ ونحوِه كَكَذِبٍ، فَيُسنُّ إظهارُ شَرِّه، وسِتْرُ خيرِه ليرتدِعَ نظيرُه

“Segolongan Ulama Muhaqqiqin telah berkata: Melainkan orang yang masyhur melakukan bidaah atau maksiat dengan nyata seumpama dengan seperti penipuan, maka disunatkan menzahirkan kejahatannya dan menyembunyikan kebaikannya supaya tidak dilakukan oleh orang lain” (Kasyful Qinaa’:2/121)

Begitulah juga yang telah dinyatakan oleh ulama-ulama besar yang lain seperti Imam Ibnu muflih dalam kitabnya Al-Furu’(2/217) dan Imam Al-Mardawi dalam Al-Insoof (2/506).

Begitulah juga dalam persoalan menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin. Rasulullah s.a.w dalam hal ini telah bersabda dalam satu hadis sahih:


من أراد أن ينصح لذي سلطان فلا يبده علانية، ولكن ليخْلُ به، وليدْنُ منه، فإن قبل منه فذاك، وإلا فقد أدَّى الذي عليه

“Barangsiapa yang ingin menasihati sultan (pemerintah) maka janganlah dilakukan secara terang-terangan (terbuka) tetapi hendaklah dia duduk berdua dengannya dan mendekatinya maka sekiranya dia menerima nasihatnya itu maka itulah (yang terbaik) tetapi sekiranya enggan maka dia telah laksanakan tanggungjawabnya”

Dalam hadis sahih yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda:


أَقِيلُوا ذَوِي الهيئاتِ عَثَراتِهم

“Maafilah kesalahan-kesalahan orang-orang kenamaan dari kalangan kamu” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis tersebut adalah merupakan perkara asal dalam kita mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin dengan menggunakan uslub lemah lembut dan kesopanan. Itulah cara untuk berhadapan dengan pemimpin yang adil dan saksama serta tidak masyhur dengan kezaliman dalam pemerintahannya.

Namun, sekiranya pemimpin tersebut merupakan pemimpin yang menzahirkan perbuatan maksiat dihadapan rakyat dan tidak menghiraukan nasihat orang lain terhadapnya maka dibenarkan untuk didedahkan perbuatannya itu serta dinasihatkan di khalayak ramai agar seluruh manusia mengetahui keburukan perbuatannya itu lalu tidak mengikutinya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Qayyim di dalam kitab Badai’ Al-Fawaid (3/138):


والظاهرُ أنَّهم ذوو الأقدارِ بين النَّاسِ من الجاهِ، والشَّرفِ، والسُّؤدد، فإنَّ الله تعالى خصَّهُم بنوعِ تكريمٍ وتفضيلٍ على بني جنسِهم، فمن كان منهم مستوراً مشهوراً بالخيرِ، حتى كَبَا به جوادُه، ونبا عَضَبُ صبْرِه، وأُديلَ عليه شيطانُه، فلا تُسارع إلى تأنيبِه وعقُوبتِه؛ بل تُقالُ عَثْرتُه، ما لم يكن حداً من حدودِ الله، فإنَّه ينبغي استيفاؤه من الشَّريف

Kesimpulannya kita tidak diharuskan mendedahkan kemungkaran pemimpin kepada rakyat dan membuat teguran terbuka sekiranya terdapat 4 perkara kepada mereka iaitu:

1. Mereka adalah pemimpin dan orang kenamaan
2. Dikenali dengan kebaikan kepada rakyat dan adil serta tidak zalim
3. Tidak melakukan kemungkaran secara terang-terangan
4. Dosa mereka tidak melibatkan persoalan hudud Allah s.w.t

Oleh itu sekiranya mereka melakukan kezaliman secara terang-terangan maka menjadi kewajiban kepada kita untuk menegurnya dan diharuskan untuk dilakukan secara terbuka bahkan menyatakan kebenaran kepada pemimpin yang zalim dikira sebagai jihad yang paling afdal sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

أن رجلاً سأل النبى ( صلى الله عليه وسلم ) أى الجهاد أفضل ؟ قال : كلمة حق عند سلطان جائر

“Seorang lelaki bertanya kepada nabi s.a.w apakah jihad yang paling afdal? Maka Nabi menjawab: Kalimah yang benar dihadapan pemimpin yang zalim”
Wallahu A’alam

dipetik dari: http://ibnubarqi.blogspot.com/
Solleh Al-Fatimi


Detik sekitar 9.40 pagi Jumaat, 1 Oktober 2010…

Itulah detik Allah memanggilmu kembali ke pangkuan-Nya…Itulah detik suara mu tidak ku dengari lagi…Itulah detik belaianmu tak ku rasai lagi…Itulah detik dirimu pergi buat selama-lamanya…Itulah detik ujian yang hebat buat anakmu…Itulah detik anakmu kehilangan sesuatu yang tidak dapat ditukar ganti…Itulah detik insan yang ku panggil ‘Ma’ tiada di sisiku lagi…Itulah detik insan yang amat ku sayangi tiada lagi di depan mataku...Itulah detiknya hatiku menangis menerima khabar duka ini…itulah detik anakmu merasakan sesuatu yang tidak mampu diungkapkan lagi…Itulah detiknya…

Namun hati ini cuba menerima takdir Ilahi yang berat ini…anakmu sedar terlalu banyak jasamu yang anakmu tidak mampu membalasnya lagi…dirimu pergi terlalu cepat…anakmu redha…Allah lebih sayangkan dirimu…Ma...kita tidak berpisah pada hakikatnya, cuma kita sedang mempersiapkan untuk satu pertemuan yang kekal abadi...Anakmu akan menyusul...

Anakmu di sini sentiasa akan mengutuskan doa padamu…Didikanmu akan anakmu amalkan setiap masa…Ma…anakmu terlalu bertuah mendapat seorang ibu sepertimu…Dirimu akan tetap kekal di hati anakmu...Buat selama-lamanya...

Ya Allah…ampunkanlah sekalian dosa ibuku…kasihanilah ibuku sebagaimana dia mengasihaniku ketika kecilku dahulu…terimalah dan ganjarilah segala amal ibadah yang ibuku lakukan sewaktu hidupnya…tempatkanlah ibuku ditempat yang terbaik bersama mereka yang Engkau redhai…jadikanlah kubur ibu sebagai salah satu taman dari taman-taman syurga…jauhkan ibuku dari azab kubur dan azab neraka…kurniakanlah syafaat kepada ibuku… Ya Allah… Ya Rahman… Ya Rahim… Amin… Amin ya Allah…



Nasyid kenangan; Buat Mu Ibu...
Solleh Al-Fatimi
DUHAI PENDAMPINGKU...




Di hatimu tersimpan cinta yang suci
Serta mendalam pernikahan dari beda dunia
Meski kau terbiasa hidup tanpa perih
Namun kau ikhlas hidup bersahaja
Namun bahagia...





Duhai pendampingku, akhlakmu permata bagiku
Buat aku makin cinta
Tetapkan selalu janji awal kita bersatu
Bahagia sampai ke syurga








Maafkan aku jika tak bisa sempurna
Karena ku bukan lelaki yang turun dari syurga
Ketulusan hatimu anugerah hidupku
Doakan langkah kita tak berpisah
Untuk selamanya


Sampai ke syurga....

Lihat video di sini

Download lagu di sini.
Solleh Al-Fatimi
Senyummu adalah bahagiaku
Ceriamu adalah dambaku
Gelisahmu adalah kebimbanganku
Air matamu adalah kesedihanku
Kau pelipur lara dukaku
Kau pengiring suka citaku

 
Bersama kita dalam hari-hari keberkatan
Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta
Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang
Pertautan ini berasal dari angan atas nama rindu
Sungguh ini adalah cinta, sayang, dan rindu..
Cinta, sayang, dan rindu atas nama pengabdian kepada Rabbul Izzati
Malam ini bintang bersinar cinta, bulan tersenyum sayang, angin mendesir rindu



Wahai bintang, bulan dan angin
Sampaikanlah salam cinta, sayang, dan rinduku kepadanya
Sungguh Aku Sangat mencintaimu karena Allah
Solleh Al-Fatimi
Untuk menjawab hukum ini, saya nukilkan pandangan daripada tokoh yang tidak asing lagi dikalangan ulamak Al-Azhar As-Syariff iaitu Sheikh `Atiyyah Saqr (bekas ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar), menjelaskan pandangan Fuqaha berkenaan hal ini seperti berikut:

Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah ayat ke 28 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

Allah SWT berfirman lagi dalam surah An-Nisa’ ayat ke 43 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu Dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa Yang kamu katakan. dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu Dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. dan jika kamu sakit, atau sedang Dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh Dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu, Yang suci, Iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun".

Berpandukan ayat-ayat ini, keseluruhan Fuqaha’, termasuk daripada Mazhab Al-Maliki, As-Shafi`i dan yang lain, menegaskan bahawa musyrikin/penyembah berhala tidak dibenarkan untuk memasuki Masjidil Haram di Makkah. Bagaimanapun, mereka berpendapat tidak salah kalau Orang Kristian dan Yahudi memasukinya. Mereka berpendapat hukum ini diguna pakai kepada Masjidil Haram di Makkah juga kawasan persekitarannya.

Imam Abu Hanifah, bagaimanapun berpendapat musyrikin/penyembah berhala boleh masuk ke Masjidil Haram di Makkah selagi mana mereka tidak tinggal atau menetap disitu. Pendapat
Imam Hanafi yang menafsirkan tidak suci sebagai kekotoran dari segi pegangan agama mereka semata-mata, iaitu syirik, bukan dari segi zahir orang bukan Islam yang tidak suci (berhadas).Untuk masjid selain daripada Masjidil Haram di Makkah, ahli Madinah melarang orang bukan Islam dari memasuki masjid kerana orang bukan Islam dianggap oleh al- Qur’an sebagai tidak suci.

Imam Ahmad berkata : bahawa mereka boleh masuk ke masjid dengan kebenaran orang Islam. Pendapat ini disokong oleh riwayat daripada Rasulullah (SAW) yang membenarkan penduduk At-Ta’if untuk tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam. Baginda juga menerima Orang Kristian dari Najran didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka sampai, mereka akan bersembahyang di masjid mengadap arah timur. Maka Rasululllah (SAW) bersabda, “Biarkan mereka (untuk menunaikan sembahyang cara agama yang mereka ikuti ).” Walaupun perbuatan tersebut berlaku di dalam masjid An-Nabawi.

Di dalam Sahih Imam Bukhari juga ada menyebut, Di bawah tajuk ‘Musyrik Masuk Ke Masjid’, bahawa Thamamah Ibnu Athal (sedangkan dia masih seorang kafir) di ikat didalam masjid.

Berdasarkan jawapan ini kita dapat ringkaskan kepada beberapa pendapat seperti berikut :

Pertama : Pandangan yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi.

Kedua : Dibolehkan orang-orang kafir memasuki masjid dengan izin kaum muslimin kecuali majidil Haram dan masjid-masjid yang ada di Tanah Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab As-Syafiyyah. Pandangan ini merupakan salah satu pandangan Imam Ahmad dan juga pandangan sebahagian ulama Mazhab Hambali.

Hujah mereka ialah kata-kata Said bin Musayyib : Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia kafir namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram.

Pandangan yang ketiga : Diharamkan sama sekali bagi orang-orang kafir untuk memasuki masjid. Ini merupakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dan majoriti fuqaha yang bermazhab Hambali. Mereka berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah memerintahkan seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar RA tidak membantah kata-kata Abu Musa. Ini menunjukkan pandangan bahwa orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid merupakan pandangan yang masyhur di kalangan sahabat. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi semasa menafsirkan ayat 28 surah at-Taubah dengan beberapa hujah yang lain).

Pandangan keempat : Tidak dibenarkan orang-orang kafir memasuki masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan di dalam keadaan dharurat. Jika mereka memasuki masjid sekalipun hendaklah dengan pengawasan orang-orang Islam kerana dibimbangi akan membuat perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Ini merupakan pandangan mazhab Imam Malik.

Kesimpulan

Daripada keseluruhan pendapat ini, kita dapat simpulkan bahawa, ada pendapat di kalangan fuqaha’ yang tidak menghalang langsung akan kemasukan orang bukan Islam ke dalam masjid dengan bertujuan baik dan sebagainya. Jadi bagaimana pula hukum bagi mereka yang bukan Islam yang masuk ke dalam rumah ibadat hak milik orang Islam yang hanya bertaraf surau? Berdasarkan pengenalan ringkas bandingan yang telah dilampirkan di awal tadi mampu memberi jawapan yang jelas kepada kita semua bahawa keharusan hukum bagi orang yang bukan Islam masuk ke dalam surau.

Daripada pendapat ini kita boleh meletakkan beberapa panduan dan adab apabila orang bukan Islam ingin masuk ke dalam masjid / surau seperti berikut :

1) Mendapat keizinan daripada orang Islam.

2) Berpakaian sopan, dan menyediakan pemakaian khusus di masjid-masjid yang sentiasa di kunjungi oleh para pelancong yang bukan Islam.

3) Menjaga kesucian masjid sebagai tempat ibadah bagi orang Islam.

4) Berada dalam pengawasan orang-orang Islam.

sumber.
Solleh Al-Fatimi

oleh: Solleh al-Fatimi


Satu mukjizat. Itulah yang boleh diungkapkan terhadap proses menghafaz al-Quran. Mengapa mukjizat? Ini kerana proses dan usaha menghafaz al-Quran bukan setakat melibatkan ribuan orang, bahkan melibatkan jutaan daripada umat Islam dari seluruh dunia. Tanpa mengira bangsa dan bahasa. Mereka bersama dalam menghafaz al-Quran, sekalipun untuk menggapainya memerlukan usaha yang padu dan ketekunan yang tulus, kerana di dalam Kitab Suci ini disulami dengan pelbagai surah dan ayat-ayat yang hampir sama. Ia mencabar seseorang yang menghafaz al-Quran agar lebih menumpahkan seluruh fikirannya terhadap penghafazan al-Quran.

Bahkan tiada satu kitab pun di dunia ini, samada kitab samawi atau bukan kitab samawi yang dihafaz oleh manusia sebagaimana al-Quran. Inilah keistimewaan yang dikurniakan Allah s.w.t. kepada al-Quran. Hanya kepada al-Quran. Kita akan bertambah takjub lagi dan merasai betapa mukjizatnya al-Quran apabila kita melihat terdapat golongan muslim yang tidak pernah tergambar dalam benak fikiran kita bahawa mereka akan menghafaz al-Quran dan berjaya menghafaz keseluruhannya. Mereka menghafaz kitab ditangan kita yang berjumlah 604 muka surat ini. Sesungguhnya mereka berjaya merealisasikan hafazan al-Quran di dalam dada mereka. Mereka yang dimaksudkan ialah:

1. Kanak-kanak yang tidak sampai 10 tahun, bahkan kadang-kadang tidak sampai 7 tahun pun sudah menghafaz al-Quran dan berjaya menyempurnakan hafazan mereka dalam usia sebegini kecil.

2. Tidak kurang banyaknya, kita dapati golongan yang buta huruf; yang tidak mengetahui membaca dan menulis pun turut mampu untuk menghafaz al-Quran. Inilah mukjizat al-Quran. Hanya sekadar bermodalkan mendengar dan tunjuk ajar daripada orang lain, mereka mampu menyempurnakan hafazan al-Quran.

3. Kita juga melihat golongan yang tidak dikurniakan nikmat penglihatan mata untuk melihat. Mereka buta mata melihat dunia, namun celik mata hatinya untuk melihat kebenaran. Namun Allah s.w.t. menggantikannya dengan nikmat yang lebih baik; nikmat menghafaz al-Quran. Sekalipun mereka tidak mampu untuk melihat apatah lagi untuk mentalaah mushaf dan menghafaz dalam bentuk rupa muka surat, namun Allah s.w.t. mengurniakan kepada mereka penglihatan hati yang begitu terang untuk menghafaz al-Quran. Sesungguhnya keadaan mereka ini tidak menghalang mereka untuk mencapai hafazan yang lebih mantap dan lebih rasikh. Bahkan kadang-kadang hafazan mereka lebih hebat daripada golongan yang dikurniakan pancaindera untuk melihat.

4. Bahkan lebih ajaib dan aneh lagi, kita dapati bangsa yang tidak bertutur dengan Bahasa Arab pada asalnya, namun masih berjaya menghafaz Kitab Suci ini di dalam hati mereka. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga mampu untuk membacanya sebagaimana al-Quran diturunkan. Dan kita jangan terkejut, jika kita dapati kadang-kadang golongan ini lebih baik bacaannya daripada kebanyakan orang arab yang bertutur dengan Bahasa Arab.

Melihat semua perkara ini, maka Dr. Raghib as-Sirjani menyimpulkan,

“Semua ini mengisyaratkan bahawa kemudahan menghafaz kitab ini adalah satu ‘mukjizat ilahiyah’ dan ayat rabbaniyah (ayat yang datang dari Allah)”.[1]


Sangat benarlah apa yang diungkapkan oleh Allah s.w.t. melalui firmannya dari Surah al-Hijr, ayat 9:


“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”

Cara yang terbaik untuk menjaga Kitab Suci ini di dunia adalah dengan menghafaznya pada hati-hati kita semua. Tanpa membezakan antara lelaki, wanita dan kanak-kanak, semua perlu mengambil peranan masing-masing. Kerana inilah tempat yang paling aman dan selamat untuk menjaga dan memelihara al-Quran. Di mana tempat inilah, musuh tidak mampu untuk sampai kepadanya. Di sinilah tiada sesiapa pun yang mampu untuk mengusiknya apatah lagi untuk menjajahnya, melainkan kita sendiri menyerahkannya. Ia selamat untuk selama-lamanya.

Samada kita sedari atau tidak, pelbagai cubaan dan usaha yang berterusan dan terancang dari pihak musuh untuk menghapuskan Islam dengan cara memusnahkan al-Quran. Justeru itu, sekalipun umat Islam diperangi habis-habisan dan kitab suci al-Quran dibakar, namun mereka tetap gagal kerana al-Quran tetap kekal di dalam dada muslim. Hal demikian dapat kita saksikan sebagaimana yang berlaku sebagai contohnya pada negara-negara Islam tatkala dijajah oleh Soviet Union. Mereka membakar setiap mushaf yang mereka jumpai, mereka membunuh mereka yang mempunyai mushaf di rumahnya atau di tempat kerjanya.

Namun mereka tidak mampu membakar mushaf yang tersimpan di dada-dada mereka. Dari kalangan rakyat negara ini yang menghafaz al-Quran di dada mereka inilah yang bangun mengajar dan memindahkan al-Quran dari seseorang kepada seseorang yang lain dengan cara talaqqi. Tempat persembunyian, gua besar dan parit menjadi ‘sekolah’ untuk mereka mempelajari al-Quran. Betapa besarnya peranan yang mereka mainkan. Hasilnya, setelah berlalunya awan gelap kezaliman Rusia, maka dunia menyaksikan bahawa al-Quran tetap kekal dalam dada orang Islam di Rusia. Rahsianya mereka menyimpan al-Quran di tempat yang paling selamat di dunia ini. Ya! Di dada-dada mereka. Dan di hati-hati mereka.

Betapa benarnya firman Allah s.w.t:

“Bahkan ia ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu” (Surah al-Ankabut : 49)



------------------
[1] Dr. Raghib as-Sirjani, Kaifa Tahfaz al-Quran al-Karim; 7. Download bukunya di sini.