Solleh Al-Fatimi
25 Disember...merupakan tarikh bagi sambutan Hari Krismas. satu perayaan yang disambut oleh penganut agama Kristian. Namun apakah dibolehkan atau ditegah kita sebagai seorang muslim mengucapkan 'Selamat hari Krismas' kepada orang Kristian? untuk menjawab hal ini, kami kongsikan bersama Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. semoga ia bermanfaat untuk kita semua. Allahumma amin...
Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam


Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2. Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Sumber:  http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam


Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan :

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.


2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:

i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.


3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

ii. Berpakaian yang menjolok mata;

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.


4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.


5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan
Solleh Al-Fatimi
Selamat Pengantin Baru 
 dibingkiskan kepada sekalian sahabat yang telah, sedang dan bakal melangsungkan perkahwinan. Ayuh sama-sama membina syurga dunia yang indah mewangi...
mudah-mudahan berkekalan sampai ke syurga... kami titipkan doa munajat sebuah perkahwinan buat kalian agar rumahtangga kita sama-sama sentiasa diberkati dan dilimpahi cinta dan kasih sayang Allah...



Munajat sebuah Perkahwinan…
 



Ya Allah…

Kami menzahirkan diri kami pada hari ini untuk sama-sama meraikan pembentukan sebuah lagi masjid umatmu.

Berkatilah Ya Allah kahadiran kami ini semoga berkatmu ini akan mejadi penyubur pada pembinaan perkahwinan yang penuh dengan mawaddah dan rahmah.

Ya Allah… Ya Rabbana…

Kami hanya mampu menadah tangan kepadamu dan memohon kepadamu dengan penuh munajat agar apa yang kami minta ini dimakbulkan.

Sekiranya pada diri kami masih ada kesalahan dan dosa, janganlah Ya Allah perkara ini menjadi penghalang pada termakbulnya doa kami yang terbit dari hati yang ikhlas dan dari jiwa yang mengharapkan kebesaran serta keampunanmu.





Wahai Tuhan…


Kami berdoa agar kedua mempelai ini akan terus melengkapkan iman mereka melalui perkahwinan mereka, bekalkan mereka dengan kasih sayang sejati, perasaan belas kasihan yang hakiki, tekad usaha yang tidak mengenal penat, tawakkal kepada mu yang tidak mengenal pasrah, kesetiaan antara satu sama lain yang terpenting keimanan padamu yang tidak mengenal ingkar.



Ya Rahman … Ya Rahim…

Insafikan mereka berdua ini bahawa kejayaan perkahwinan mereka bukan bermula dengan kekayaan, bukan bertapakkan kedudukan dan bukan bersemarak dengan pujian.

Insafikan mereka Ya Allah sebagaimana juga kami yang lain telah diinsafi bahawa kebahagiaan perkahwinan mereka bermula dengan tidak lupa kepadamu, dengan sentiasa merindukan kehadiranmu dan berkekalan mensyukuri nikmat iman anugerahmu. Kurniakan kepada mereka berdua sifat saling kukuh mengukuh sebagaimana berlakunya antara Rasulullah s.a.w dengan Khadijah, kerana mereka berdua akan melalui jalan yang tidak lekang dari diuji.

Kurniakan kepada isteri kesetiaan kepada suaminya sebagaimana kesetiaan Zainab Binti Muhammad. Pengabdian kepada Allah ta’ala sebagaimana pengabdian Rabi’ah Al-‘Adawiyyah dan iltizam untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah sebagaimana yang ada pada diri Sumayyah.

Kurniakan kepada si suami, kebijaksanaan membimbing isterinya ke ambang syurga dan semoga ia sabar dengan apa yang menduganya sebagaimana Nabi Allah Ayyub a.s bersabar tehadap imannya, kesihatannya dan keluarganya




Ya Allah


Sesungguhnya tidak ada doa yang susah bagimu untuk memakbulkan doaku bagi kami yang sama-sama menghadiri majlis pada hari ini. Insafi juga diri kami agar kami mampu menjadi contoh yang hidup bagi kedua mempelai ini. Bagi ahli keluarga kedua mempelai yang telah kembali ke rahmatmu izinkan roh mereka saat-saat kebahagiaan mereka berdua. Semoga anak, cucu dan keturunan mereka akan merupakan insan-insan yang bakal menjadi tunggak agama mu dan tanah air yang kami cintai ini.

Amin Ya Rabbal ‘Alamin…

Munajat Sebuah Perkahwinan dipetik daripada buah tangan pertama: 10 Terminal Syurga Rumahtangga
Solleh Al-Fatimi
Persoalan kenapakah orang Yahudi begitu berpengaruh di dalam banyak pelbagai bidang termasuklah dalam bidang perniagaan sukar dijawab. Persoalan ini begitu rumit untuk dihuraikan kerana tidak banyak kajian mendalam tentang aspek ini.


Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin mengajak sahabat semua untuk sama-sama membaca buku 'Baitul Maqdis: Sejarah Kejatuhan Palestin dan Kewujudan Israel' terbitan Persatuan Ulama' Malaysia (PUM). Di dalam buku ini dihimpun 10 kertas kerja yang dibentangkan di dalam 'Seminar Baitul Maqdis' pada 08 Ogos 2010. Antara kertas kerja yang ingin dikongsi bagi menjawab persoalan ini ialah hasil kajian dan bentangan oleh Profesor Dr. Mohd Nazari bin Ismail, seorang Profesor di Fakulti Perniagaan dan Perakauan, Universiti Malaya. yang bertajuk 'Pengaruh Zionis di Dalam Organisasi Pentadbiran dan Perniagaan'. Marilah sama-sama kita menghayatinya:


"Di kalangan beberapa usaha untuk menerangkan fenomena ini, ada yang menyatakan bahawa ia adalah kerana darah keturunan orang Yahudi adalah istimewa. Pada pandangan saya pendapat tersebut tidak mempunyai asas yang kukuh. Alasannya ialah kerana seperti yang kita ketahui ‘darah’ Yahudi telah bercampur sejak zaman berzaman melalui proses perkahwinan dan penukaran agama. Seperti yang disebutkan sebelum ini, ramai orang yahudi adalah berketurunan dari ibu bapa yang merupakan Jewish converts atau mereka yang asalnya bukan Yahudi tetapi telah memeluk agama Yahudi. Di samping itu, ramai juga yang telah berkahwin dengan orang bukan Yahudi. Sebagai contoh, di zaman Nabi Musa, anak-anak lelaki telah dibunuh sementara anak perempuan dibiarkan hidup. Oleh itu, ramai wanita Yahudi dikahwini oleh orang Mesir. Begitu juga, ramai wanita Yahudi telah dikahwini oleh orang Kristian Eropah. Ini jelas membuktikan bahawa keturunan orang Yahudi sudah bercampur aduk dan oleh itu pendapat yang mengatakan ‘darah keturunan orang Yahudi adalah istimewa’ tidak boleh diterima.

Pada pendapat penulis, sebab utama mereka berjaya dalam bidang yang pelbagai adalah kerana mereka telah ditindas sejak zaman berzaman, terutama sekali di Eropah. Mereka sentiasa menjadi mangsa semangat perkauman Eropah dan oleh itu snetiasa mempunyai perasaan ketakutan dan tidak selesa. Untuk menambahkan keselesaan hidup, mereka terpaksa bekerja keras, berinovatif dan kreatif. Jadi atas dasar itulah kemungkinan ramai dari kalangan mereka yang berjaya dalam pelbagai bidang."

petikan dari: Baitul Maqdis : Sejarah Kejatuhan Palestin dan Kewujudan Israel. m/s:109-110
Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum...

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ustaz Fathul Bari dalam perhimpunan agung UMNO lepas mendapat pelbagai reaksi berhubung pembelaannya terhadap Datin Seri Rosmah Mansur dan kritikannya terhadap pembangkang khususnya PAS.

Atas nama beliau sebagai seorang ustaz, yang mendakwa memperjuangkan dakwah mengikut manhaj ahlus sunnah wal jamaah, adakah ini adakah manhaj yang bertepatan dengan apa yang digambarkannya? apakah ini cara yang bertepatan dengan ruh islam? apakah ini dari lidah seorang 'ulama muda' yang ikhlas? atau seorang yang terkeliru dengan 'manhaj ahlus sunnah wal jamaah' yang beliau war-warkan? atau ahlus sunnah mana yang beliau maksudkan? atau seorang 'ulama muda' yang mencari 'sesuatu',  yang tidak perlu diungkapkan di sini sehingga terpaksa mengorbankan 'ahli sunnah wal jamaah' yang sebenarnya?

Disini saya kongsikan bersama pembaca sekalian:

Islam adalah agama nasihat. Kita sewajarnya memberikan nasihat kepada sesiapa sahaja termasuk juga para pemimpin kita. Itu merupakan perkara pokok dalam agama dan asas kepada pembentukan masyarakat yang bertamadun. Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda:

الدين النصيحة قلنا : لمن ؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم

“Agama adalah nasihat. Kami (sahabat) bertanya: Kepada siapa? Berkata Rasulullah: Kepada Allah dan kepada kitabNya serta RasulNya dan juga para pemimpin orang Islam dan semua umat Islam”(Riwayat Muslim)

Islam juga menyuruh kita supaya berusaha mencegah mungkar sedaya upaya kita. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w juga telah bersabda:


من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده ، فإن لم يستطيع فبلسانه ، فإن لم يستطيع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان

“Sesiapa yang melihat di kalangan kamu satu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya, kemudian sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”

Persoalannya bagaimanakah cara untuk kita menasihati atau mencegah kemungkaran serta mengubahnya mengikut panduan Islam dan petunjuk daripada salafussoleh? Adakah dengan cara kita membantah dengan cara terbuka atau pun dengan cara tersembunyi? Jikalau pemimpin kita melakukan kemungkaran maka apakah cara yang terbaik untuk mencegah kemungkaran yang dilakukannya?

Dalam persoalan ini sebenarnya Islam telah memberikan jawapan yang tepat kepada kita. Sebagai umat yang dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas dakwah dan islah, Islam memberikan kepada kita cara-cara supaya menepati dengan hakikat syara’ itu sendiri.

Sememangnya perkara asal dalam agama apabila berhadapan dengan orang yang melakukan maksiat adalah tidak mendedahkannya kepada khalayak umum serta menasihatinya secara bersendirian tanpa diketahui oleh orang lain.Rasulullah s.a.w telah bersabda:


إنَّ الله سِتِّيرٌ يُحِبُّ السِّتْرَ

“Sesungguhnya Allah itu Maha Menyembunyikan (kesalahan) dan amat suka menyembunyikan (kesalahan)” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)


لا يستر عبد عبدا في الدنيا الإ ستره الله يوم القيامة

“Tidaklah menyembunyikan seorang hamba itu akan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahanya pada hari kiamat” (Hadis riwayat Muslim)

Walaupun begitu perkara tersebut dilaksanakan kepada mereka yang tidak melakukan maksiat secara terang-terangan yang digelar sebagai Al-Mujaahir. Maka bagi mereka yang tidak segan silu melakukan kemungkaran, mengisytiharkan dosa mereka dikhalayak umum, maka tidak ada cara lain untuk kita mencegahnya melainkan dengan cara kita mendedahkan perbuatannya itu, menceritakan kepada manusia yang lain sebagai balasan terhadap pelaku maksiat tersebut dan memberikan ancaman kepada oarng lain supaya tidak mencontohinya. Itulah yang telah ditetapkan dalam Islam dan disokong oleh dalil-dalil syara’ serta kata-kata ulama dan salafussoleh.

Imam Ahmad Radiallahu Anhu telah berkata:


الناسُ يَحتاجون إلى مُداراةٍ، ورِفْقٍ في الأمرِ بالمعروفِ، بلا غِلْظةٍ، إلاَّ رجُلاً مُبايناً، مُعلناً بالفسْقِ والرَّدى، فيجبُ عليك نهيُهُ وإعلامُهُ؛ لأنَّه يُقالُ : ليس لِفاسقٍ حُرمةٌ، فهذا لا حُرْمةَ له
“Manusia memerlukan kesopanan dan kelembutan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara makruf, tanpa kekerasan melainkan lelaki yang menonjolkan dan terang-terangan melakukan kefasikan dan kerosakan maka wajib ke atas kamu mencegahnya dan mengzahirkan perbuatannya itu kerana seorang yang fasiq itu tidak mempunyai kehormatan dan dia tiada maruah” (lihat Al-Amru Bil Makruf wa Nahyu ‘An Mungkar, karangan Imam Al-Khallal, m.s 35)

Imam Nawawi Radiallahu Anhu berkata:


وأمَّا السِّترُ المندوب إليه هنا، فالمراد به الستر على ذوي الهيئاتِ ( أهل السُّؤددِ والفَضْلِ الذين لا يُعْرَفُون بالشَّرِ والفسادِ ) ونحوهم، ممَّن ليس معروفاً بالأذى والفسادِ، فأمَّا المعرُوفُ بذلك فيُستحبُّ ألاَّ يُستَرَ عليه؛ تُرفعُ قضيَّتُه إلى وليِّ الأمرِ، إن لم يُخَفْ من ذلك مفسدةً، لأنَّ السِّترَ على هذا يُطْمِعُهُ في الإيذاءِ والفسادِ، وانتهاكِ الحُرُمات، وجَسارةُ غيرِه على مثلِ فِعْلِه

“Adapun menyembunyikan kesalahan yang disunatkan di sini, maka maksudnya adalah memnyembunyikan kesalahan orang-orang kenamaan (pemimpin dan orang yang berjasa yang tidak masyhur dengan perbuatan jahat dan kerosakkan) serta seumpama dengannya. Yang terdiri dari mereka yang bukan terkenal dengan perbuatan zalim dan jahat. Adapun mereka yang dikenali dengan seumpama itu maka disunatkan agar tidak disembunyikan perbuatnnya dan dilaporkan perbuatannya itu kepada pihak berkuasa sekiranya tidak dikhuatiri kemudaratan dari perbuatannya itu kerana menyembunyikan kesalahannya akan menjadikannya semakin berani untuk melakukan kejahatan dan kerosakkan serta memperkosa segala maruah dan menjadi jambatan kepada orang lain untuk mencontohinya..” (Syarah Sahih Muslim karangan Imam An-Nawawi 16/135)

Perkara ini juga antara perkara yang mengharuskan mengumpat (menceritakan keburukan orang lain kepada masyarakat awam). Perkara ini telah ditegaskan oleh ramai ulama seperti Imam Nawawi dalam kitab beliau Riadhussolihin dalam bab keharusan mengumpat (ibahatul Ghibah).

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali Radiallahu Anhu berkata:


واعلم أنَّ الناسَ على ضربين :
أحدهما : من كان مستوراً لا يُعرفُ بشيءٍ من المعاصي، فإذا وقعت منه هَفْوةٌ أو زلَّةٌ فإنَّه لا يجوزُ كشفُها ولا هتكُها، ولا التَّحدُّثُ بها ...
والثاني : من كان مشهوراً بالمعاصي مُعلناً بها، لا يُبالي بما ارتكبَ منها، ولا بما قيلَ له، فهذا هو الفاجرُ المُعْلنُ، وليس له غيبةٌ، كما نصَّ على ذلك الحسنُ البَصْريُّ وغيرُه.

“Ketahuilah bahawa manusia ada dua golongan:

Pertama: Orang yang tidak dikenali serta tidak masyhur dengan perkara maksiat, maka sekiranya terjadi kepadanya kesilapan kecil dan kekurangan maka tidaklah boleh mendedahkannya dan merosakkan maruahnya serta tidak boleh diceritakan..

Kedua: Orang yang masyhur dengan perbuatan maksiat serta secara terang-terangan dan tidak segan silu melakukannya serta tidak hiraukan nasihat yang diberikan kepadanya maka ini adalah orang jahat yang menzahirkan dosanya. Tidak berdosa mengumpat dirinya sebagaimana yang telah dinaskan oleh Hassan Basri serta selainnya.” (Jaamiul Uluum Wal Hikam)

Imam Al-Bahutiyy telah berkata:


قال جمعٌ مُحَقِّقُون : إلاَّ على مَشْهُورٍ ببدعةٍ، أو فُجُورٍ ونحوِه كَكَذِبٍ، فَيُسنُّ إظهارُ شَرِّه، وسِتْرُ خيرِه ليرتدِعَ نظيرُه

“Segolongan Ulama Muhaqqiqin telah berkata: Melainkan orang yang masyhur melakukan bidaah atau maksiat dengan nyata seumpama dengan seperti penipuan, maka disunatkan menzahirkan kejahatannya dan menyembunyikan kebaikannya supaya tidak dilakukan oleh orang lain” (Kasyful Qinaa’:2/121)

Begitulah juga yang telah dinyatakan oleh ulama-ulama besar yang lain seperti Imam Ibnu muflih dalam kitabnya Al-Furu’(2/217) dan Imam Al-Mardawi dalam Al-Insoof (2/506).

Begitulah juga dalam persoalan menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin. Rasulullah s.a.w dalam hal ini telah bersabda dalam satu hadis sahih:


من أراد أن ينصح لذي سلطان فلا يبده علانية، ولكن ليخْلُ به، وليدْنُ منه، فإن قبل منه فذاك، وإلا فقد أدَّى الذي عليه

“Barangsiapa yang ingin menasihati sultan (pemerintah) maka janganlah dilakukan secara terang-terangan (terbuka) tetapi hendaklah dia duduk berdua dengannya dan mendekatinya maka sekiranya dia menerima nasihatnya itu maka itulah (yang terbaik) tetapi sekiranya enggan maka dia telah laksanakan tanggungjawabnya”

Dalam hadis sahih yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda:


أَقِيلُوا ذَوِي الهيئاتِ عَثَراتِهم

“Maafilah kesalahan-kesalahan orang-orang kenamaan dari kalangan kamu” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis tersebut adalah merupakan perkara asal dalam kita mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin dengan menggunakan uslub lemah lembut dan kesopanan. Itulah cara untuk berhadapan dengan pemimpin yang adil dan saksama serta tidak masyhur dengan kezaliman dalam pemerintahannya.

Namun, sekiranya pemimpin tersebut merupakan pemimpin yang menzahirkan perbuatan maksiat dihadapan rakyat dan tidak menghiraukan nasihat orang lain terhadapnya maka dibenarkan untuk didedahkan perbuatannya itu serta dinasihatkan di khalayak ramai agar seluruh manusia mengetahui keburukan perbuatannya itu lalu tidak mengikutinya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Qayyim di dalam kitab Badai’ Al-Fawaid (3/138):


والظاهرُ أنَّهم ذوو الأقدارِ بين النَّاسِ من الجاهِ، والشَّرفِ، والسُّؤدد، فإنَّ الله تعالى خصَّهُم بنوعِ تكريمٍ وتفضيلٍ على بني جنسِهم، فمن كان منهم مستوراً مشهوراً بالخيرِ، حتى كَبَا به جوادُه، ونبا عَضَبُ صبْرِه، وأُديلَ عليه شيطانُه، فلا تُسارع إلى تأنيبِه وعقُوبتِه؛ بل تُقالُ عَثْرتُه، ما لم يكن حداً من حدودِ الله، فإنَّه ينبغي استيفاؤه من الشَّريف

Kesimpulannya kita tidak diharuskan mendedahkan kemungkaran pemimpin kepada rakyat dan membuat teguran terbuka sekiranya terdapat 4 perkara kepada mereka iaitu:

1. Mereka adalah pemimpin dan orang kenamaan
2. Dikenali dengan kebaikan kepada rakyat dan adil serta tidak zalim
3. Tidak melakukan kemungkaran secara terang-terangan
4. Dosa mereka tidak melibatkan persoalan hudud Allah s.w.t

Oleh itu sekiranya mereka melakukan kezaliman secara terang-terangan maka menjadi kewajiban kepada kita untuk menegurnya dan diharuskan untuk dilakukan secara terbuka bahkan menyatakan kebenaran kepada pemimpin yang zalim dikira sebagai jihad yang paling afdal sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

أن رجلاً سأل النبى ( صلى الله عليه وسلم ) أى الجهاد أفضل ؟ قال : كلمة حق عند سلطان جائر

“Seorang lelaki bertanya kepada nabi s.a.w apakah jihad yang paling afdal? Maka Nabi menjawab: Kalimah yang benar dihadapan pemimpin yang zalim”
Wallahu A’alam

dipetik dari: http://ibnubarqi.blogspot.com/
Solleh Al-Fatimi


Detik sekitar 9.40 pagi Jumaat, 1 Oktober 2010…

Itulah detik Allah memanggilmu kembali ke pangkuan-Nya…Itulah detik suara mu tidak ku dengari lagi…Itulah detik belaianmu tak ku rasai lagi…Itulah detik dirimu pergi buat selama-lamanya…Itulah detik ujian yang hebat buat anakmu…Itulah detik anakmu kehilangan sesuatu yang tidak dapat ditukar ganti…Itulah detik insan yang ku panggil ‘Ma’ tiada di sisiku lagi…Itulah detik insan yang amat ku sayangi tiada lagi di depan mataku...Itulah detiknya hatiku menangis menerima khabar duka ini…itulah detik anakmu merasakan sesuatu yang tidak mampu diungkapkan lagi…Itulah detiknya…

Namun hati ini cuba menerima takdir Ilahi yang berat ini…anakmu sedar terlalu banyak jasamu yang anakmu tidak mampu membalasnya lagi…dirimu pergi terlalu cepat…anakmu redha…Allah lebih sayangkan dirimu…Ma...kita tidak berpisah pada hakikatnya, cuma kita sedang mempersiapkan untuk satu pertemuan yang kekal abadi...Anakmu akan menyusul...

Anakmu di sini sentiasa akan mengutuskan doa padamu…Didikanmu akan anakmu amalkan setiap masa…Ma…anakmu terlalu bertuah mendapat seorang ibu sepertimu…Dirimu akan tetap kekal di hati anakmu...Buat selama-lamanya...

Ya Allah…ampunkanlah sekalian dosa ibuku…kasihanilah ibuku sebagaimana dia mengasihaniku ketika kecilku dahulu…terimalah dan ganjarilah segala amal ibadah yang ibuku lakukan sewaktu hidupnya…tempatkanlah ibuku ditempat yang terbaik bersama mereka yang Engkau redhai…jadikanlah kubur ibu sebagai salah satu taman dari taman-taman syurga…jauhkan ibuku dari azab kubur dan azab neraka…kurniakanlah syafaat kepada ibuku… Ya Allah… Ya Rahman… Ya Rahim… Amin… Amin ya Allah…



Nasyid kenangan; Buat Mu Ibu...
Solleh Al-Fatimi
DUHAI PENDAMPINGKU...




Di hatimu tersimpan cinta yang suci
Serta mendalam pernikahan dari beda dunia
Meski kau terbiasa hidup tanpa perih
Namun kau ikhlas hidup bersahaja
Namun bahagia...





Duhai pendampingku, akhlakmu permata bagiku
Buat aku makin cinta
Tetapkan selalu janji awal kita bersatu
Bahagia sampai ke syurga








Maafkan aku jika tak bisa sempurna
Karena ku bukan lelaki yang turun dari syurga
Ketulusan hatimu anugerah hidupku
Doakan langkah kita tak berpisah
Untuk selamanya


Sampai ke syurga....

Lihat video di sini

Download lagu di sini.
Solleh Al-Fatimi
Senyummu adalah bahagiaku
Ceriamu adalah dambaku
Gelisahmu adalah kebimbanganku
Air matamu adalah kesedihanku
Kau pelipur lara dukaku
Kau pengiring suka citaku

 
Bersama kita dalam hari-hari keberkatan
Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta
Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang
Pertautan ini berasal dari angan atas nama rindu
Sungguh ini adalah cinta, sayang, dan rindu..
Cinta, sayang, dan rindu atas nama pengabdian kepada Rabbul Izzati
Malam ini bintang bersinar cinta, bulan tersenyum sayang, angin mendesir rindu



Wahai bintang, bulan dan angin
Sampaikanlah salam cinta, sayang, dan rinduku kepadanya
Sungguh Aku Sangat mencintaimu karena Allah