Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid Solleh al-Fatimi
29 Disember 2011


Alhamdulillah... Sesi persekolahan secara rasminya akan ditempuh dalam beberapa hari sahaja lagi. Bagi ibubapa yang anaknya telah menamatkan pengajian di sekolah rendah atau kebangsaan semestinya sudah menentukan kemanakah haluan dan arah tuju persekolahan anak-anaknya. Alhamdulillah anak-anak semakin hari semakin membesar dan menginjak di usia remaja.

Tahniah, kepada ibubapa yang menghantar anak-anaknya ke sekolah menengan agama, sekolah tahfiz dan sebagainya. Dengan harapan, anak tersebut akan mendapatkan pendidikan yang terbaik berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Alhamdulillah ibubapa mempunyai kesedaran ini.

Namun persoalannya, adakah memadai dengan menghantar anak ke sekolah agama/tahfiz tanpa pengukuhan dan persiapan yang diberikan oleh ibubapa? Satu kesalahan besar ibubapa, sekiranya beranggapan bahawa dengan menghantar anak-anak ke sekolah agama/tahfiz, secara automatic anaknya akan menjadi baik dan soleh. Bukan memperkecilkan peranan sekolah agama/tahfiz, cuma sekadar untuk membangkitkan kesedaran bahawa peranan ibubapa dalam memasakkan iman dalam diri anak adalah amat penting dan sekolah tidak mampu merubah seseorang anak-anak sekiranya tanpa bantuan ibubapa.

Jangan serahkan tanggungjawab mendidik sepenuhnya kepada guru-guru. Guru-guru sekadar memperkemaskan dan memantapkan lagi didikan kita sebagai ibubapa. Sekiranya kita menyerahkan kepada guru-guru, cuba kita tanya diri kita, apakah tanggungjawab kita pada anak-anak kita? Apakah sekadar menghulurkan wang belanja? memberi segala kemewahan dan kemahuannya?

Sekiranya berlaku kepincangan dan permasalahan yang berlaku pada anak-anak kita, jangan terlalu cepat kita menuding jari ke arah guru. Tetapi muhasabah lah diri kita terlebih dahulu. Apakah cukup didikan yang kita sematkan dalam diri anak-anak kita? Adakah cukup kasih sayang yang kita curahkan kepada anak-anak kita? Memadaikah ilmu yang kita tanamkan dalam diri anak-anak kita? Kita sebagai ibubapa ada jawapannya.

Terlalu malang sekiranya kerana ingin menunjukkan kasih sayang (yang palsu) kepada anak-anak, kita tetap membela dan mempertahankan anak-anak kita sekalipun mereka melakukan kesalahan. Kononnya kita ingin nyatakan pada anak: "Inilah bukti ibu ayah sayangkan kamu!" Tersangat malang lagi sekiranya kita mengalihkan kesalahan kita kepada orang lain, salahkan guru, salahkan pelajar lain. Akhirnya, untuk membuktikannya, terpancul dari mulutnya "Kalau anak saya salah, Cikgu lebih salah lagi!". Cuba fikirkan, apakah kita sebagai ibubapa tidak bersalah? Menghantar anak ke asrama tanpa mengambil tahu. Mempercayai fitnah anak tanpa menyelidiki. Sedarlah, menghantar anak ke sekolah berasrama bukan bererti menghantar bersama tanggungjawab mendidik anak kepada guru-guru.


JUSTERU...
Marilah kita hayati sabda Rasulullah SAW ini. Ya, kita telah melakukan pilihan yang terbaik dengan menghantar anak ke sekolah agama/tahfiz. Namun ia tidak memadai. Ia perlu dimulakan dari rumah. Mulakan dari mula. Iaitu mulakan dengan memasakkan iman dalam diri anak-anak, barulah al-Quran yang hadir dalam dirinya mampu menjadi agen pengubah yang berkesan dalam hidupnya. TANAMLAH IMAN, SIRAMILAH IA DENGAN AL-QURAN!


عَنْ جُنْدُبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ فِتْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتَعَلَّمْنَا الْإِيمَانَ قَبْلَ أَنْ نَتَعَلَّمَ الْقُرْآنَ ثُمَّ تَعَلَّمْنَا الْقُرْآنَ فَازْدَدْنَا بِهِ إِيمَانًا

Diriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah r.a, katanya;
“Kami bersama Nabi SAW, pada waktu itu kami adalah pemuda yang kuat dan perkasa. Kami mempelajari keimanan sebelum kami mempelajari al-Quran. Apabila kami memperlajari al-Quran, maka bertambahlah keimanan dengan al-Quran itu”.[1]

Begitu juga dengan hadis ini.

عَنِ الْقَاسِمِ بْنِ عَوْفٍ الشَّيْبَانِي قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ : لَقَدْ عِشْنَا بُرْهَةً مِنْ دَهْرِنَا وَ إِنَّ أَحَدُنَا يُؤْتَى الإِيمَانُ قَبْلَ الْقُرْآنِ ، وَتَنْزِلُ السُّورَةُ عَلَى مُحَمَّدٍ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَيَتَعَلَّمُ حَلاَلَهَا ، وَحَرَامَهَا وَمَا يَنْبَغِى أَنْ يوقفَ عِنْدَهُ فيْهَا. كَمَا تَعَلَّمُونَ أَنْتُمُ الْقُرْآنَ ، ثُمَّ قَالَ :لَقَدْ رَأَيْتُ رِجَالاً يُؤْتَى أَحَدُهُمُ الْقُرْآنَ فَيَقْرَأُ مَا بَيْنَ فَاتِحَتِهِ إِلَى خَاتِمَتِهِ مَا يَدْرِى مَا آمِرُهُ وَلاَ زَاجِرُهُ وَلاَ مَا يَنْبَغِى أَنْ يُوقِفَ عِنْدَهُ مِنْهُ يَنْثُرُهُ نَثْرَ الدَّقَلِ. 
Diriwayatkan daripada al-Qasim bin ‘Auf al-Syaibani, katanya; Aku mendengar Abdullah bin ‘Umar berkata:
“Sesungguhnya kami hidup sekejap sahaja dari masa kami. Sesungguhnya seseorang dari kami dikurniakan keimanan sebelum al-Quran. Diturunkan surah ke atas Muhammad SAW, maka Baginda mengajarkan perkara yang halal, haram dan perkara yang sepatutnya ia berhenti (daripada melakukannya), sebagaimana kamu mempelajari al-Quran. Kemudian al-Qasim berkata; “Sesungguhnya aku melihat salah seorang daripada segolongan lelaki yang dikurniakan al-Quran, maka dia membaca surah antara al-Fatihah sehingga khatam al-Quran, sedangkan dia tidak mengetahui apa yang diperintahkan, apa yang ditegahkan dan perkara yang tidak sepatutnya dia berhenti (daripada melakukannya) daripada al-Quran, maka (perbuatan ini seperti) menaburkan seperti taburan tamar yang paling buruk”.[2]
_____________________
[1] Riwayat Ibn Majah no: 60. Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman no: 51. Al-Haithami dalam al-Zawaid berkata: Isnadnya sahih dan rijalnya thiqah. Al-Albani berkata: Hadis sahih

[2] Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak no: 101. Katanya: Hadis ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim.
Solleh Al-Fatimi
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

RESENSI BUKU.
dalam
SELAMAT PAGI MALAYSIA
saluran
TV1

bersama
USTAZ MOHD SOLLEH BIN AB RAZAK
penulis buku 
SEHINGGA AL-QURAN TERPAHAT DI HATI

akan bersiaran secara langsung pada:
17 November 2011
Khamis
8.15 pagi - 8.30 pagi

Untuk berkenalan secara lebih dekat dengan buku ini, isi kandungannya, keistimewaan buku ini dan banyak lagi, jangan ketinggalan untuk sama-sama menontonnya.

Semoga ia memberi manfaat kepada semua.

Untuk maklumat ringkas tentang buku ini, sila layari : Sehingga al-Quran Terpahat di Hati

Solleh Al-Fatimi
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dengan keizinanNya, maka telah terbit buku yang ke-2 saya. Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan dan mengurniakan manfaat di sepanjang perjalanan kehidupan ini.


قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : خيركم من تعلم القرأن و علمه

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah sesiapa yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”
(Riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi, Ahmad, Ibn ‘Asakir)


Rakaman Temubual di TV 1 dalam Slot Resensi Buku
http://www.youtube.com/watch?v=nmgvl4RGdWM
Rakaman Temubual di Radio IKIM FM dalam Slot Duniaku Buku

Setiap muslim mengimpikan diri mereka mampu untuk membaca dan memahami al-Quran. Bahkan tidak dinafikan, sebagai seorang muslim juga kita bercita-cita untuk menghafaz kitab suci ini yang menjadi panduan dan petunjuk sepanjang kehidupan di dunia ini. Rasa diri semakin hampir dan dekat dengan Allah SWT apabila membaca al-Quran, lebih terasa hampir dan dekat lagi apabila mampu menghafaz kalam-kalam Allah SWT yang maha mulia. Terasa iman semakin meningkat dan kecintaan kepada Allah SWT semakin menebal.

Lantas, buku SEHINGGA AL-QURAN TERPAHAT DI HATI tampil bagi menyuluh jalan bagi merealisasikan impian dan cita-cita sebagai muslim untuk menghafaz al-Quran. Buku ini dipersembahkan dalam bentuk motivasi dan formula bagi memudahkan kita menghafaz al-Quran. Ya, tanpa formula dan kaedah yang betul dan tepat, suatu pekerjaan yang mudah pun akan menjadi terlalu sukar. Tetapi apabila terdapat formula dan kaedah yang betul dan tepat, segala perkerjaan menjadi semakin mudah sekalipun pada tanggapan awal ia merupakan satu pekerjaan yang sukar.

SASARAN PEMBACA

Buku ini merupakan himpunan motivasi dan formula yang sesuai untuk semua peringkat pembaca. Samada dari golongan kanak-kanak, remaja, dewasa atau pun golongan yang meningkat usia. Sesuai tanpa mengira lelaki dan perempuan. Buku ini bukan dikhususkan kepada golongan yang menghafaz al-Quran secara sepenuh masa sahaja, malah ia turut bersesuaian bagi mereka yang ingin berjinak-jinak untuk menghafaz al-Quran atau pun menghafaz al-Quran secara ‘part-time’.

KANDUNGAN BUKU

Buku ini dibahagikan kepada 4 bahagian:

Bahagian Pertama: Sentuhan Hati dengan al-Quran.

Bahagian ini memberi motivasi kepada pembaca untuk menghafaz al-Quran. Pelbagai perkara dibincangkan, antaranya ialah menghafaz al-Quran merupakan suatu mukjizat, tanggungjawab penghafaz al-Quran, kedudukan dan keistimewaannya di sisi Allah SWT. Turut dimuatkan dalam bahagian ini ialah perjalanan hafazan al-Quran bermula dari langit lagi sehinggalah sampai kepada kita pada hari ini. Satu perbincangan yang membangkitkan lagi motivasi dalam diri untuk menghafaz al-Quran. Tambahan dari itu, didedahkan pengiktirafan dari cendikiawan non-Muslim terhadap al-Quran dan penghafaznya. Turut disentuh tentang hukum menghafaz al-Quran dan maksud menghafaz al-Quran. Dan banyak lagi yang dibincangkan.

Bahagian Kedua: Formula Asas Hafazan

Terdapat sebelas formula yang diterangkan. Formula ini merupakan himpunan kaedah-kaedah yang menjadi satu kemestian yang akan dilalui oleh setiap individu yang ingin menghafaz al-Quran. Ia merupakan ramuan asas yang tidak dapat dipinggirkan. Sekiranya ia kita tidak mengutamakan formula asas ini, maka kita tidak akan mampu untuk menghafaz al-Quran. Dan sekiranya berjaya juga menghafaznya, maka hafazan al-Quran itu akan menjadi bebanan di dunia dan menjadi pendakwa di akhirat, bukannya menjadi penolong dan teman.

Bahagian Ketiga: Formula Pemantapan Hafazan

Formula pemantapan hafazan juga mengandungi sebelas formula penting. Ia merupakan himpunan kaedah-kaedah yang memperkemaskan dan memantapkan lagi hafazan al-Quran. Formula ini membimbing pembaca kaedah-kaedah menghafaz secara khusus. Para pembaca diajar bagaimana untuk memulakan hafazan dan meneruskan hafazan agar proses hafazan tidak tergendala atau putus di tengah jalan. Kaedah yang ditunjukkan sangat membantu memudahkan hafazan dan menyuburkan lagi minat untuk menghafaz al-Quran.

Bahagian Keempat: Tidak Melupakan Al-Quran

Bahagian ini merungkai permasalahan yang sering melanda mereka yang menghafaz al-Quran iaitu lupa. Para pembaca didedahkan faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini berlaku dari pelbagai sudut. Ia sangat membantu pembaca mengawasi dan meminimumkan fenomena lupa ini di dalam hafazan al-Quran. Disamping merungkaikan permasalahan ini, para pembaca tidak dibiarkan tanpa panduan untuk mengatasi masalah ini, maka dihidangkan kepada pembaca cara merawat penyakit ini. Disertakan juga ayat-ayat, zikir serta doa yang mampu membantu seseorang penghafaz al-Quran bagi merawat penyakit lupa ini.

KELEBIHAN BUKU INI

1. Ilustrasi yang menarik pembaca untuk membacanya.

2. Bahasa yang mudah difahami dan gaya bahasa yang menyentuh hati.

3. Mengadunkan teknik motivasi dan formula al-Quran yang praktikal untuk semua lapisan masyarakat.

4. Formula hafazan yang dibentangkan bukan sekadar untuk menghafaz al-Quran sahaja, malah mengajak pembaca menghayati dengan mendalam erti menghafaz al-Quran. Menunut pembaca untuk ‘menghidupkan al-Quran’ dalam kehidupan agar roh al-Quran mampu ‘bergerak dan hidup’ dalam kehidupan seharian.

5. Apabila membacanya, membuatkan pembaca tidak sabar untuk menghafaz al-Quran.


MAKLUMAT BUKU:

Judul                : Sehingga al-Quran Terpahat di Hati
Penulis             : Mohd Solleh Bin Abdul Razak
Terbitan           : Telaga Biru Sdn. Bhd
Kod Katalog    : TBBK 1201
Mukasurat        : 314 ms
Harga              : RM 30.00

Solleh Al-Fatimi
                                                          oleh : UMMU MUJAHID

Alhamdulillah....seronoknya bila gaji naik... Namun...kenaikan gaji tanpa PEMBAIKAN cara pengurusan kewangan pastinya tak membawa sebarang kesan positif terhadap kedudukan kewangan keluarga.

FORMULA di bawah merupakan langkah CADANGAN untuk memastikan wang kita diselia dengan BIJAK... 

Katakan jika kenaikan gaji kita bercampur COLA melebihi RM300 = Kita hanya perlu memperuntukkan RM 300 sahaja setiap bulan seperti berikut:

  1. RM 100 - tambahan kepada bayaran hutang pembiayaan peribadi/ kad kredit/ lain-lain
  2. RM 100 - caruman polisi takaful
  3. RM 100 - Pelaburan bulanan 
UMUR 30 tahun...

Seandainya umur kita 30 tahun, berikut adalah carta unjuran yang akan kita perolehi:

Perlindungan
RM 100 memungkinkan kita melanggan polisi takaful berjumlah RM 100 000 selama tempoh 25 tahun dengan perlindungan tambahan RM 30 000 untuk penyakit kritikal . Jika tiada sebarang musibah dan kita dapat hidup sampai polisi matang, in sya allah kita akan menerima RM 33 000.

Pelaburan
RM 100 setiap bulan selepas pelaburan permulaan RM 1000 sahaja akan menghasilkan 
RM 308 575 pada akhir 25 tahun jika kadar pulangan adalah 15 peratus setahun.


Selamat bertindak! =)

Sumber rujukan : Ke Mana Wang Anda

Solleh Al-Fatimi
Umum mengetahui BAJET 2012 telahpun dibentangkan dengan pelbagai sisi komentar, kritikan, sokongan dan senyuman... itu bajet untuk MALAYSIA 2012....Bagaimana bajet untuk mahligai rumahtangga kita bagi tahun 2012? Sudah kah dicermati, diteliti... dibentangkan dan dibahaskan... atau kita yang sangat sibuk mem'bincang'kan bajet malaysia sampai ter'lupa' untuk membincangkan bajet yang lagi 1000 kali lebih penting...iaitu bajet rumahtangga kita...


Muhasabah buat diri dan pasangan juga buat sekalian pembaca....bagaimanakah buku aliran tunai kita pada tahun 2011?????? Adakah banyak UNTUNG? Atau RUGI? Baki akaun kita DEFISIT atau menunjukkan PERCAMBAHAN SIMPANAN yang memberangsangkan??? 


Bagaimana pula laporan BAJET 2012 kita? apa aset yang PERLU kita miliki dalam tempoh ini? bagaimana cara untuk kita miliki? pengagihan duit gaji kita? ke mana dihalakan? berapa jumlah simpanan terkumpul untuk tahun 2012?


Aduh.....berbicara soal pengurusan kewangan memang kadang-kadang membuatkan kita 'lemah lutut' bila memikirnya.Namun sama ada kita MAHU atau TIDAK mahu, SUKA atau TIDAK suka, TerPAKSA atau RELA....kita perlu menguruskannya jua sebijak mungkin....
Dalam keadaan diri masih bertatih mengurus kewangan rumahtangga...mudah-mudahan Allah sentiasa memberi jalan dan ruang untuk terus memperbaiki ekonomi rumahtangga yang menjadi antara sosok terpenting dalam memastikan kelangsungan rumahtangga yang dibina berjalan lancar...


Sengaja saya melontarkan soalan demi soalan untuk sama-sama kita mengetuk hati dan minda agar TAHU dan SEDAR bagaimana kondisi kita sekarang!!! mendepani dunia KAPITALISME yang menjadikan WANG SEGALA-GALANYA memaksa dan terus memaksa kita untuk BIJAK dan CERDIK mengurus kewangan....Realiti hari ini,dek desakan semasa pelbagai barang keperluan harganya meningkat...pada masa yang sama kita amat memerlukannya...apa langkah yang perlu kita ambil untuk berdepan dengan situasi begini?


Justeru... buku dalam genggaman saya ini menjadi bahan bacaan perkongsian saya dengan pembaca sekalian untuk memiliki dan mempraktikkan semampu mungkin... buku ini menukilkan tips-tips pengurusan kewangan yang efektif sepanjang kita hidup sampai kita dijemput ke alam barzakh...ayuh..sama-sama kita miliki dan cermati... KE MANA WANG ANDA oleh HAJAH ROHANI DATUK HAJI MOHD SHAHIR.... sebagaimana saya rasa buku ini teramat bermakna dan bernilai saya pun berharap untuk kalian juga...


akhir kalam...ayuh kita perah keringat dan minda sediakan bajet 2012 untuk rumahtangga yang kita sayangi...YA...bila sudah buat..kita laksanakan apa yang telah kita sediakan...selamat mencuba untuk diri dan suami...selamat mencuba juga untuk rakan dan sahabat sekalian....semoga Allah meredhai apa jua yang kita lakukan...doa kita jua agar segala perancangan kita selari dengan perancangan Allah...hanya untuk Allah...

Solleh Al-Fatimi
Undilah...
Yang belum mendaftar. Sila Daftar.
Sesiapa yang telah daftar, Pastikan mengundi.
Ketika mengundi, ingat Agama, Allah dan Akhirat.
Bukan bangsa, kekayaan dan kepentingan diri.


Solleh Al-Fatimi
Merdeka... Merdeka... Merdeka... Untuk menikmati sebuah kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikecapi. Ia bukan diperolehi dengan berpeluk tubuh. Ia tidak dapat digapai dengan menghayunkan kaki. Ia tidak dapat dikecapi dengan manisnya pujian dan sorakan. Ia tidak dapat dihirup dengan suasana yang tenang. TETAPI...

Kemerdekaan di julang dengan bermandikan darah. Dialunkan lagu kebencian dan fitnah. Dihela nafasnya dengan racun menyesakkan dada dan meragut tidur malam. Dihamparkan duri tangisan dan derita. Dikejar peluru yang tiada belas kasihan. Dihukum tanpa pembelaan. Malah, tiada ungkapan kata yang layak digunakan untuk menceritakan segala derita, sengsara, pedih, letih, sakit, cemas, takut, harapan dan segalanya. Kerana hakikatnya jauh berbeza. Hanya mereka yang menempuhnya sahaja yang mengetahuinya.

Berjuang dan terus berjuang. Hasilnya, kita kecapi hari ini. Namun perjuangan mereka belum selesai. Maka kitalah yang menyambung perjuangan mereka. Mengisi sebuah KEMERDEKAAN.

Dukacita. Apabila setiap pengorbanan dan perjuangan yang mereka harungi selama ini, tidak dihargai. Perjuangan mereka berkubur bersama jasad-jasad mereka. Dukacita kerana setiap titik peluh darah mereka itu dibasuh dan dihilangkan dengan asid penjajah. Pejuang dianggap pengkhianat. Pembela dituduh Penderhaka...

"Ya, Mereka tidak meminta agar nama-nama mereka disebut dan dijulang, TETAPI kita yang memerlukan nama mereka disebut dan dijulang. Kita yang memerlukannya. Agar kita yang mewarisi kemerdekaan ini mampu memahami dan menghargai nilai kemerdekaan ini. Mampu mengisi kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar. Bukan dibuai mimpi penjajah lama dan baru."

Sekarang kita melihat. Anak bangsa yang mewarisi kemerdekaan semakin layu. -Apakah layu kerana namanya Melayu?- Yang hanya menunggu jatuh ditiup angin. Tahun merdeka pun lupa. Tarikh merdeka tidak dihiraukan. Sambutan kemerdekaan kali ke berapa pun tidak ingat. Apatah lagi ingin mengetahui dan menghayati perjuangan wira-wira merdeka kita! Jauh sekali.

Dari kerana itulah, sejarah KEMERDEKAAN perlu dimurnikan semula. Sejarah pejuang perlu diangkat. Semangat pembela perlu dijulang. Nama perwira perlu dikumandangkan. Penderitaan pahlawan perlu diingati. Jasa mereka perlu dihidangkan. Barulah pewaris kemerdekaan mengerti apa itu kemerdekaan. Barulah pewaris kemerdekaan memahami bagaimana ingin mengisi kemerdekaan ini.

Janganlah kita menulis sejarah mengikut telunjuk Penjajah. Jujurlah dalam sejarah. Pejuang diangkat sebagai Pejuang. Jangan menari mengikut retak penjajah, parahnya adalah generasi pewaris kemerdekaan. Mereka tidak sesekali akan menghargai sebuah kemerdekaan. Mereka akan memikirkan hiburan, makan sedap, hidup mewah, bersuka ria dan penuh keseronokan. Maka apa mereka tahu dan mahu ialah HIDUP MESTI ENJOY!!

Oleh itu. Sekiranya, sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.anhum turut dilanda pemalsuan dan pengkhianatan, apakan pula sejarah negara kita. Namun masih ada mereka yang kasih dan cintakan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.anhum menggali kembali sejarah hidup mereka berdasarkan sumber yang benar lagi sahih. Melalui proses pemurnian yang diusahakan oleh para ulama'. Maka sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat dapat dipertahankan keasliannya. Alhamdulillah.

Maka sejarah kemerdekaan negara kita tercinta ini juga perlu dimurnikan dan disaring. Hanya kejujuran dan kebenaran yang mampu melakukan proses pemurnian ini.

Betapa terlukanya, apabila penjuang-pejuang kemerdekaan dilabel, difitnah dan ditohmah dengan gelaran pengkhianat, penderhaka, komunis dan sebagainya. Sedangkan merekalah yang menggadaikan nyawa dan darah mereka demi mempertahankan negara atas nama ISLAM. Murnikanlah sejarah kita. Buanglah pemalsuan dan pengkhianatan terhadap sejarah. KERANA KITA TIDAK MEMERLUKANNYA!

Justeru, kita sebagai pewaris kemerdekaan, yang manis jangan terus ditelan, yang pahit jangan terus diludah. Tetapi carilah kebenaran. Sekalipun ia terlalu pahit untuk ditelan. Jangan mudah melatah apabila individu tertentu mempertikaikan sejarah kita, tetapi carilah fakta dan berhujahlah secara fakta bukan emosi. -kerana terlalu banyak dan terlalu lama kita ditipu oleh sejarah kita- Jangan sampai kita 'membunuh' pejuang kemerdekaan untuk kali kedua! Kerana ia lebih kejam dan lebih zalim dari 'pembunuhan pertama'!

MERDEKAkan Sejarah KeMERDEKAan!


Dari;
Abu Mujahid Solleh al-Fatimi
Mohd Solleh bin Ab Razak