Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Iqtarabatis Sa'ah > Isu Perdana.


Soalan Pertama:

"Sekarang ini tedapat banyak cerita tentang tanda-tanda akan berlakunya kiamat. Saya tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan tanda kiamat tersebut. Boleh ustaz jelaskan?"

Jawapan:

Syeikh Khalid bin Nasir bin Sa’id al-Ghamidi dalam kitab ‘Asyrat al-Sa’ah’ menyebut bahawa makna tanda-tanda kiamat ialah tanda atau petunjuk yang berlaku sebelum terjadinya kiamat dan ia juga menunjukkan kiamat sudah dekat.

Perkataan kiamat digunakan dengan tiga makna:

Pertama: Setelah berlalunya kurun para sahabat Rasulullah r.a.

Daripada Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan, katanya: Suatu malam Rasulullah s.a.w bersembahyang Isyak di akhir hayatnya. Setelah memberi salam, baginda s.a.w berdiri dan bersabda: Tahukah kamu akan malam ini? Sesungguhnya seratus tahun akan datang tidak akan ada lagi seorang pun manusia di atas muka bumi ini. Ibnu Umar berkata: Orang ramai salah faham mengenai sabda Rasulullah s.a.w itu, mereka bercakap-cakap tentang Hadis tersebut terutamanya mengenai Kiamat seratus tahun akan datang. Sedangkan maksud Rasulullah SAW ialah, “Tidak ada seorang pun manusia yang hidup sekarang ini (zaman Rasulullah) akan hidup pada seratus tahun yang akan datang”, dengan kata lain kurun itu sudah berlalu. (HR al-Bukhari, No: 113. Muslim, No: 4605)

Kedua: Kematian seseorang manusia. Sesungguhnya kematiannya itu merupakan kiamat ke atas dirinya. Ia memasuki alam akhirat iaitu kehidupan di alam barzakh dan alam seterusnya.

Ketiga: Kiamat besar iaitu apabila dunia digoncang dengan sekuat-kuatnya dan kematian seluruh makhluk, kecuali yang Allah SWT kehendaki. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan”. (Surah al-Hajj: ayat 1-2)

Untuk perhatian, apabila disebut dengan lafaz (قيام الساعة), maka maksudnya ialah kiamat besar.

Kesimpulannya, kiamat itu terbahagi kepada 3 bahagian:
Pertama: Kiamat kecil; Kematian seseorang manusia.
Kedua: Kiamat sederhana; Dengan kematian mereka yang hidup pada kurun yang pertama.
Ketiga: Kiamat besar; Hari kiamat yang sebenarnya. (Asyrat al-Sa’ah, juz: 1, hal:30-31). Wallahu a’lam.



Soalan kedua:
"Keduanya; Saya juga ada mendengar bahawa tanda kiamat terbahagi kepada dua iaitu tanda kecil dan tanda besar, saya ingin mengetahui apakah pembahagian ini berdasarkan al-Quran dan al-Hadith atau ijtihad para ulama’?"

Jawapan.

Benar tanda kiamat dibahagikan kepada dua iaitu tanda kecil dan tanda besar. Adapun penisbahan pembahagian dan susunan kejadian ini, ia bukanlah satu ketentuan daripada al-Quran dan al-Hadith, malah ia merupakan usaha ijtihad para ulama’ terdahulu dan kontemporari. Mereka membahagikannya kepada tanda-tanda kecil dan besar akan berlakunya kiamat.

Para ulama’ juga berbeza pandangan dalam menentukan tanda kecil dan tanda besar kiamat. Ada yang meletakkan sebahagian tanda besar kiamat dalam kumpulan tanda kecil kiamat dan sebaliknya. Namun ijmak ulama’ dalam menyatakan terdapat sepuluh tanda besar kiamat, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Baihaqi, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan al-Qurtubi. Dan selainnya adalah khilaf. Sepuluh perkara tersebut diriwayatkan oleh Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a, iaitu:

1. Munculnya asap
2. Dajjal
3. Binatang melata (Dabbah)
4. Terbitnya matahari di sebelah barat
5. Turunnya Nabi Isa bin Maryam a.s
6. Yakjuj dan Ma’juj
7. Tiga kali gempa bumi: di sebelah timur, barat dan Semenanjung Arab
8. Api yang muncul dari sebelah Yaman yang menhalau manusia ke tempat berkumpul mereka (mahsyar). (HR Muslim, No: 5162)

Secara ringkasnya, Syeikh Khalid bin Nasir menyebut:
1. Tanda kecil kiamat sebahagiannya telah berlaku dan berakhir, sebahagiannya telah terjadi namun ia tidak jelas dan sebahagiannya tidak berlaku secara keseluruhannya.
2. Sesungguhnya tanda kecil ini pada kebiasaannya berlaku dan ianya tidak begitu asing.

3. Tiada terdapat hadith yang membatasi dan menerangkan masa terjadinya tanda ini. Bahkan ia merupakan satu perkara yang dikutip dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan dan musnad.
4. Kebiasaannya lafaz hadis yang menunjukkan ia adalah tanda kecil kiamat ialah seperti hadith Jibril, perkataan : “6 perkara yang dikira akan sampainya kiamat…”, “tidak akan terjadi kiamat…” atau “tidak akan hilang dunia…” atau “tidak akan pergi hari dan malamnya…”, “pada akhir zaman…” dan seumpamanya.

5. Semua tanda-tanda kimat ini adalah sebahagian daripada tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad SAW.
6. Sesungguhnya tanda besar kiamat ialah sepuluh. Sepertimana yang terkandung didalam hadith Huzaifah bin Asid. Dan ia bukanlah sesuatu yang kebiasaan berlaku. Apabila berlaku pada kali pertamanya, maka kiamat mengiringinya dengan segera seperti titisan air akibat kebocoran atap.
7. Tanda besar kiamat yang pertama ialah keluarnya al-dajjal, dan akhirnya keluarnya api dari sebelah ‘Adn yang menghalau manusia ke mahsyar. (Asyrat al-Sa’ah, juz 1, hal: 37-38). Wallahu a’lam.


p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ...Kemungkinan edisi cetak dan edisi blog ini terdapat sedikit perbezaan kerana edisi blog adalah karya yang belum diedit oleh editor. Mohon kemaafan jika terdapat kesilapan.
Labels: 1 comments | | edit post
Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum...

Irshad Manji tiba-tiba meletup di negara kita. Kehadirannya untuk program 'bedah buku'nya gagal dihalang oleh pihak pemerintah... Pemerintah seumpama terus dibuai mimpi... desakan agar pemerintah bertegas dalam isu ini sebelum merebak dipandang sepi... desakan seumpama anjing menyalak bukit... pemerintah hanya diam seribu bahasa...

setelah program selesai dan berjalan lancar, barulah nk tunjuk muka dengan pelbagai lontaran kritikan dan sebagainya... dah selesai baru nk bertindak... betapa lemahnya...

walau apa pun, Alhamdulillah ada tindakan yang diambil sekalipun mengambil masa, tidak secepat tindakan terhadap isu politik...

Tahniah kepada para pemikir dan pendahwah yang menjawab segala tohmahan dan dakyah yang disampaikan oleh Irshad Manji ini. semoga Allah merahmati semua... Namun perlu kita sedar, Dakwah tanpa kekuasaan adalah umpama gedung tanpa penjaga.

Untuk menjawab tulisan Irshad Manji, mari sama-sama kita hayati hasil tulisan Ustaz Mohd Aizam Mas’od,
Seksyen Aqidah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim. Semoga bermanfaat.
"KERANCUAN PEMIKIRAN IRSHAD MANJI DALAM BUKUNYA 'ALLAH,
KEBEBASAN DAN CINTA' "

Untuk baca, klik di sini: http://www.islam.gov.my-kerancuan_pemikiran_irshad_manji_dalam_bukunya_allah_kebebasan_dan_cinta
Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum...

Saksikan dan hayati rakaman temubual di Radio Ikim Fm dalam Slot Duniaku Buku.

Penjelasan yang terperinci tentang buku SEHINGGA AL-QURAN TERPAHAT DI HATI serta permasalahan dan persoalan dalam proses menghafaz al-Quran.

Dengan mendengar rakaman ini, insyaAllah belenggu dan kesukaran dalam usaha menghafaz al-Quran akan terlerai dan kita mendapat motivasi yang tinggi untuk mengampingi al-Quran.

Selamat menghayati Sehingga al-Quran Terpahat Di Hati



Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh bin Ab Razak

Assalamualaikum...
Setelah sekian lama tidak mengisi ruangan blog ini. Alhamdulillah pada kali ini, Allah mengurniakan kesempatan untuk berkongsi setitik ilmu. Tulisan kali ini, saya olah dari buku saya yang pertama yang berjudul Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama'. Pada Bab: Perjuangan Belum Selesai, saya ingin membangunkan pembaca dengan yang sekian lama dibuai lena yang panjang dalam memahami hakikat kemungkaran.


Kita sentiasa mendengar pesanan Rasulullah s.a.w yang berbunyi;

مَن رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

“Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka gunakanlah mulutnya dan jika tidak mampu gunakanlah hatinya, dan itulah tingkat iman yang paling lemah”.
(HR Muslim, Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibn Majah)
Namun apakah yang dimaksudkan dengan kemungkaran? Apakah yang tergambar difikiran kita tatkala mendengar perkataan ini? Apakah kita benar-benar memahaminya?

Kebanyakan daripada kita menganggap kemungkaran hanyalah mencuri, merompak, merogol, minum arak, tidak menunaikan solat, tidak mengeluarkan zakat dan sebagainya. Namun apabila berhadapan dengan soal pemerintahan, seoalah-olah kita menjadi buta kemungkaran. Kita membenarkan setiap kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah. Kita beranggapan "Kalau pemerintah yang jahat, itu dia punya hal, aku tak masuk campur hal politik, aku nak beribadah je!"

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Ad-Din Wa as-Siyasah meluahkan betapa sangat mendukacitakannya apabila umat Islam menyempitkan tafsiran kemungkaran dengan tafsiran yang terlalu sempit;
“Termasuk pemahaman yang salah jika kemungkaran hanya difahami setakat zina, meminum minuman keras dan perbuatan lain yang seumpamanya. (Mereka tidak sedar bahawa) Menginjak-injak harga diri suatu bangsa adalah tindakan dosa besar, merampas kebebasan orang lain adalah tindakan dosa besar, kecurangan dalam pilihanraya adalah tindakan dosa besar, tidak mahu mengungkapkan penyaksian dalam pilihanraya adalah tindakan dosa besar kerana termasuk dalam perbuatan menyembunyikan syahadah (penyaksian), menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya adalah tindakan dosa besar, mencerca, menghina dan menjelek-jelekkan pemimpin yang amanah adalah tindakan dosa besar, menyimpan barang yang diperlukan oleh rakyat ramai demi keuntungan peribadi atau golongan tertentu adalah tindakan dosa besar, memberi, menerima dan menjadi perantara tindakan suap menyuap adalah tindakan dosa besar, mencari muka di depan penguasa dengan cara batil dan menghembuskan asap permusuhan di antara mereka adalah tindakan dosa besar dan bersekutu dengan musuh Allah dan musuh umat Islam adalah tindakan dosa besar”. 

Justeru, sekiranya kita memejamkan mata dari memandang kezaliman yang berleluasa dengan pelbagai alasan, maka kedudukan kita terlalu malang. Malah terlalu hina sekiranya para ulama' dan asatizah sendiri yang membantah atau tidak menyokong usaha menegur pemerintah pada hari ini. Teguran tidak semestinya dengan kata-kata yang lunak, tetapi teguran juga menggunakan kata-kata yang menusuk. Itulah antara pendekatan yang diamalkan oleh para salafussoleh.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengajak umat Islam merenung sejenak;
“Demikianlah dengan mudah kita dapat menyaksikan tindakan dosa atau kejahatan yang terus merebak dan dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam politik. Lalu sebagai seorang muslim yang berpegang teguh pada agamanya dan selalu mengharapkan redha Allah, relakah kita melihat segala kemungkaran dengan hanya berdiam diri? Wajarkah kita lari dari medan perang kerana takut, cemas atau hanya mencari keselamatan diri sendiri?”.
Semoga renungan ini memungkinkan kita merancang untuk melakukan satu tindakan yang menguntungkan Islam.

Menyedari peri-pentingnya memperkasakan politik, maka menjadi kewajipan seorang muslim melakukan perubahan untuk melawan kemungkaran. Dan sekiranya kewajipan ini dilanggar, seorang Muslim akan mendapat dosa atau seksaan Allah s.w.t. Penegasan ini pernah disuarakan sekali lagi oleh Yusuf al-Qaradhawy. Seterusnya beliau menambah;
“Seorang Muslim pasti akan menjadi seorang ahli politik kerana dia dituntut oleh rasa keimanannya agar tidak hidup menyendiri tanpa memiliki perhatian pada persoalan orang lain. Terutama persoalan yang menimpa orang mukmin lain sesama saudara seiman”.
Hal demikian ini disandarkan kepada firman Allah s.w.t;

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. (Surah al-Hujurat:10).

Juga Rasulullah s.a.w pernah bersabda;

مَن لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ المُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنهُمْ
“Sesiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum muslimin, maka dia bukan sebahagian daripada mereka”. (HR al-Tabrani, Ibn Hibban)

“Selain dituntut untuk mengubah kemungkaran sosial, kaum muslimin juga dituntut supaya mengubah kemungkaran/kezaliman politik. Kezaliman dalam bentuk apa pun mesti dicegah. Sikap apati (iaitu sikap tidak menaruh minat atau sikap tidak endah terhadap sesuatu yang wajar diberi perhatian) akan menyebabkan datangnya azab Allah yang akan menimpa umat secara keseluruhannya, samada orang zalim ataupun orang yang hanya berdiam melihat kezaliman. Allah s.w.t berfirman;

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim diantara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya”.
(Surah al-Anfal:25)

Al-Quran juga mengecam kaum muslimin yang mahu mentaati penguasa diktator dan berbuat sesuka hati, lebih-lebih berkerjasama dengan mereka. Allah s.w.t berfirman terhadap kaum NabI Nuh;

“Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak)”.
(Surah Nuh:21)

Bahkan sekadar ada kecenderungan dan rasa simpati kepada orang-orang zalim pun dikecam al-Quran;
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”. (Surah Hud:113)

Kesimpulannya, kemungkaran dalam pemerintahan dan pilihanraya merupakan satu kemungkaran yang dihina oleh Allah s.w.t. Kemungkaran ini juga termasuk dalam dosa-dosa besar. Maka sebagai seorang yang bergelar MUSLIM, maka menjadi kewajipan semua untuk mengubah kemungkaran ini. Gunakan kuasa untuk untuk mengubah kemungkaran ini. Setiap undi kita akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t.

Apa yang kita takutkan adalah ancaman daripada Rasulullah s.a.w:
"Ucapkanlah selamat tinggal kepada umat yang pasti binasa itu!" Bila kalian mendapati keadaan di mana umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, "Wahai zalim", maka kamu telah diucapkan selamat tinggal daripada mereka (HR. Ahmad)

Sekian. Wassalam.
Solleh Al-Fatimi
Penafian demi penafian... 

Dulu, ketika krisis ekonomi 1998, Pemimpin Barisan Nasional / Umno mendabik dada menyatakan mereka berjaya pulihkan ekonomi tanpa bantuan IMF dan Bank Dunia... Akhirnya 2012, Perdana Menteri ketika itu mengakui setelah didesak dan ditunjukkan bukti bahawa Malaysia pernah meminjam wang daripadanya. RAKYAT MALAYSIA, HIDUP-HIDUP KENA TIPU.


Itu antara siri penipuan... 




Hari ini, Israel Zionis... Pemimpin2 menjadi wira menyatakan menentang sekeras-kerasnya Zionis. Menolak Israel. Menyokong Palestin... tp hari ini, rakyat sudah mengetahui... Pemimpin kerajaan menjaja ke sana kemari menyatakan Malaysia tiada hubungan dengan Zionis / Israel... tapi apa yg berlaku sebenarnya adalah sebaliknya... Oh Malaysia ku... Pemimpinnya adalah pemimpin penipu... Pemimpinnya adalah pemimpin pengkhianat.

Rujuklah kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia.

Agak mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa:

".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."

Kini bukan masanya untuk terus mengekalkan kerajaan yang ada.
MALAYSIA PERLUKAN PERUBAHAN!
Solleh Al-Fatimi
Hadis Palsu atau istilah hadisnya dikenali sebagai Hadith al-Maudhu' . Ia dibincangkan secara mendalam di dalam disiplin ilmu yang dikenali sebagai Mustalah al-Hadith. Para ulama telah menjelaskan pengertian Hadis Maudhu' ini, sebagai contoh Imam Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam Qawa'id al-Tahdith fi Funun Mustalah al-Hadith, beliau menyatakan bahawa ia hadis dusta atau yang direka oleh seseorang perawi secara sengaja dan disandarkan hadis tersebut kepada Rasulullah SAW.

Sekalipun ia dikenali sebagai Hadis Maudhu', namun ia sama sekali bukannya hadis yang diucapkan atau yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Bahkan, ia sama sekali tidak boleh dikategorikan di dalam kategori hadis Rasulullah SAW, walaupun dalam kategori Hadis Dhaif!

Perlu juga kita fahami bahawa sandaran 'Hadis'kepada Hadis Maudhu', bukan bermakna ia diiktiraf sebagai sebahagian daripada hadis Rasulullah SAW, bahkan ia merupakan satu istilah dalam disiplin ilmu hadis yang menggambarkan ia bukanlah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, malah ia merupakan satu pendustaan yang direka oleh perawi dan mendakwanya sebagai hadis.

HUKUM PENDUSTAAN TERHADAP RASULULLAH SAW

Ketegasan Rasulullah SAW terhadap isu ini dapat kita perhatikan secara jelas melalui sabda Baginda SAW:
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
 "Sesiapa yang melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya di dalam neraka" Hadis Riwayat al-Bukhari.


NOTA MENGENALINYA


Imam Ibn Hajar al-'Asqalani meyatakan di dalam 'Nuzhah al-Nazar' bahawa tanda-tanda hadis palsu boleh diperhatikan melalui keadaan atau kedudukan perawi (sanad) danjuga isi kandungan periwayatan (matan).

KAEDAH PERTAMA: KAJIAN SANAD

Tanda-tanda hadis palsu pada sanad dapat diperhatikan melalui beberapa perkara berikut:

1. Terdapat perawi yang sememangnya seorang pendusta dan dia dikenali sebagai seorang pendusta hadis. Malah hadis yang diriwayatkannya itu tidak pula diriwayatkan oleh perawi yang thiqah yang lain.

2. Pengakuan yang dilakukan oleh pemalsu hadis. Dia mengaku bahawa dia telah memalsukan sesebuah hadis. Seperti hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihan al-Quran, yang diriwayatkan oleh Maisarah bin Abdu Rabbihi al-Farisi. beliau telah mengakui telah memalsukan hadis tersebut.

3. Kenyataan secara tidak langsung daripada perawi yang boleh difahami sebagai pengakuan mendustakan hadis. Contohnya seorang perawi meriwayatkan sebuah hadis dari seorang syeikh, maka ditanya akan tarikh kelahirannya, ternyata tarikh kematian syeikh tersebut sebelum kelahirannya. Hadis itu pula hanya dia seorang sahaja yang meriwayatkannya. Dalam hal ini, perawi tidak mengaku memalsukan hadis tetapi pengakuan tarikh kelahiran itu dikira sebagai pengakuan ia terlibat dalam pemalsuan hadis.

KAEDAH KEDUA: KAJIAN MATAN

Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah telah menjelaskan secara jelas dan terperinci ciri-ciri mengenal pasti hadis palsu melalui kitabnya 'al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaif'. Tulisan ini amat bermakna bagi kita dan boleh membantu kita menilai matan-matan hadis palsu.

Antara kaedah pengecaman bagi hadis-hadis palsu adalah sebagaimana dalam senarai berikut:
1. Matan hadis bercanggah dengan nas al-Quran.

2. Matan hadis bercanggah dengan nas hadis yang sahih.
3. Matan hadis mengandungi sesuatu yang mustahil dan ditolak oleh akal yang waras.
4. Terdapat unsur-unsur yang janggal / keterlaluan yang membuktikan ia bukan dari hadis Rasulullah s.a.w.
5. Perasaan yang benar boleh mengesani kepalsuan dan menolaknya (khusus untuk pakar hadis)

6. Matan mengandungi perkara-perkara yang buruk dan bahan ketawa.
7. Matan hadis jelas bercanggah dengan al-Sunnah al-Sahihah. Maka, mana-mana hadis yang menjurus kepada maksud menyanjung kebatilan atau mencaci kebatilan atau seumpamanya tiada kaitan dengan sabda Rasulullah.
8. Matan hadis yang bermaksud menuduh Nabi s.a.w melakukan sesuatu perkara yang zahir dihadapan semua sahabat dan semua sahabat bersetuju untuk merahsiakannya tanpa menyampaikan kepada orang lain.
9. Matan hadis itu sendiri mengandungi kebatilan yang membuktikan bahawa ia bukan dari kata-kata nabi s.a.w
10. Matan hadis tidak menyerupai kata-kata para Nabi s.a.w.

11. Matan hadis menyebut tarikh-tarikh tertentu bagi peristiwa yang berlaku.
12. Matan hadis lebih mirip kepada nasihat dan pandangan tabib/ doktor
13. Hadis-hadis berhubung kelebihan akal.
14. Hadis-hadis yang menyebut al-Khadhir masih hidup.
15. Hadis-hadis yang ditolak oleh dalil-dalil yang sahih (syawahid sahihah)

16. Hadis berhubung fadhilat solat pada siang dan malam hari dalam seminggu. begitu juga hadis-hadis yang berkaitan solat al-Raghaib yang dilakukan pada malam jumaat pertama di awal bulan Rejab.
17. Hadis-hadis  berhubung fadhilat solat malam nisfu sya'ban.
18. Lafaz hadis lemah dan janggal, tidak senang didengar oleh telinga dan ditolak secara tabi'ie
19. Hadis-hadis yang menghina warga Habshah, Sudan, Turki, al-Khusyan dan golongan al-Mamalik.
20. Terdapat qarinah (tanda) yang menunjukkan hadis tersebut adalah batil\

21. Hadis-hadis berkenaan kelebihan burung merpati.
22. Hadis-hadis berhubung kelebihan memelihara ayam.
23. Hadis-hadis yang menghina anugerah anak
24. Hadis-hadis kelebihan bercelak, berhias dan bersolat pada hari 'Asyura'. Yang ada hanyalah galakan berpuasa pada hari tersebut.
25. Hadis-hadis yang menyebut kelebihan surah-surah tertentu serta ganjaran orang yang membacanya dari awal surah sehingga akhirnya.

26.Hadis-hadis berhubung kelebihan Abu Bakr yang dipalsukan oleh golongan yang jahil seperti hadis yang menyebut apabila Allah mencipta ruh, maka Allah memilih ruh Abu Bakr, juga hadis yang memberitakan Allah bertajalli kepada Abu Bakr pada hari kiamat secara khusus.
27. Hadis-hadis berhubung kelebihan Ali bin  Abi Talib yang dipalsukan oleh puak Rafidhah / Syi'ah.
28. Hadis-hadis berhubung Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi'e yang menyebut nama kedua-duanya dengan jelas. Begitu juga hadis yang mencela mereka berdua.
29. Hadis-hadis yang menyebut iman bertambah dan berkurang dan sebaliknya, semuanya adalah palsu, bukan hadis yang bersumberkan Rasulullah SAW. Walau bagaimana pun kata-kata itu adalah benar dari sudut maknanya dan merupakan ijmak ulama salaf.

Semoga ia menjadi panduan buat kita. Semoga dengan berdampingan dengan hadis Rasulullah SAW, membuatkan kita lebih cintakan Rasulullah SAW.
Labels: 2 comments | | edit post
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh bin Ab Razak


Persoalan "Andai Rasulullah SAW Bersama Kita" menjadi perbualan hebat pada masa terdekat ini. Rancangan TV juga memaparkan persoalan-persoalan ini. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mampu menyuntik perasaan kepada Rasulullah SAW. Ya, Tiada siapa yang tidak ingin berjumpa dan mendekati Baginda SAW. Sekalipun diri dipenuhi dengan dosa dan maksiat, namun hati kecil tetap juga ingin mengaku sebagai umat Nabi Muhammad. Hati kecil juga ingin berjumpa dengan Rasulullah SAW.


Namun, seandainya Rasulullah SAW hadir pada hari ini, adakah kita mampu menjadi pengikutnya? Adakah kita mampu mengembalikan kegemilangan yang dilakarkan oleh Baginda dan para sahabat Baginda? Adakah kita layak untuk mendampingi Baginda? Adakah kita mampu untuk berjaya dengan jayanya?

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak. Berfikir tetang soalan ini: "Adakah syarat kemenangan dan kegemilangan kita sebagai Umat Islam mesti bersama Rasulullah SAW?"



Untuk menjawab persoalan ini, mari kita imbau sepintas lalu, sejarah hebat yang dilakarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Insan yang amat dirindui oleh kita semua. Pada awal kelahiran umat Islam –zaman para sahabat-, ia berjaya melahirkan satu generasi yang menggemparkan seluruh persada sejarah Islam. Bahkan generasi ini jugalah yang menggegarkan seluruh persada sejarah kemanusiaan. Itulah generasi yang yang muncul dengan perlbagai keistimewaan dan tidak mampu timbul sesudah itu. Sekalipun lahir beberapa tokoh dan kelompok manusia yang lain, namun kemunculan tidak mampu untuk menandingi, apatah lagi untuk mengalahkan lagi generasi pertama kelahiran ini. Itulah hebatnya generasi pertama umat Islam.

Namun umat Islam untuk generasi seterusnya sehingga kini dilihat tenggelam dan tidak mampu untuk menggantikan sebutir permata yang telah hilang. Seoalah-olah, generasi pertama dahulu gagal untuk dikandungkan dan dilahirkan semula. Ibubapa sudah tidak mampu lagi untuk mengandung dan melahirkan anak-anak generasi pertama dahulu. Lebih menyedihkan lagi, generasi hari ini begitu jauh dan terlalu tercorot terkebelakang dalam segala sudut. Bukan sekadar dalam soal pegangan agama sahaja, malah turut mencorot di belakang dalam soal pembangunan dan kemajuan. Bahkan generasi ini penuh dengan permasalahan dan penyakit yang kian menular seumpama hilang gedung simpanan penawar.

Kenapakah semua ini berlaku? Sedangkan al-Quran yang kita baca hari ini adalah al-Quran yang sama dibaca oleh generasi pertama dahulu. Apakah disebabkan kerana ketiadaan Rasulullah SAW bersama kita pada hari ini, menyebabkan kita mencipta alasan atas kegagalan yang kita pikul hari ini? al-Syahid Syed Qutb r.h.m menjawab dengan tegas di dalam 'Ma'alim fi al-Thariq': TIDAK. Kerana seandainya syarat mutlak untuk mencapai kejayaan dengan beradanya Rasulullah SAW bersama-sama, maka sudah tentu Islam yang diwahyukan ini tidak meliputi untuk sekalian umat sehingga hari kiamat. Bahkan tidak mungkin urusan ini diserahkan kepada manusia sehingga hari kiamat. Justeru ketiadaan Rasulullah SAW tidak boleh dijadikan jawapan atau alasan di atas kegagalan hari ini.

Oleh yang demikian, apakah sebabnya? Apakah faktornya? Kenapa generasi tidak seperti generasi pertama dahulu? Apakah yang membezakan kita dengan mereka?

Al-Syahid Syed Qutb r.h.m mengejutkan kita dari lamunan sejak sekian lama. Kitab Ma’alim fi al-Thariq merupakan hasil daripada cahaya iman dan jihadnya, telah berjaya membangkitkan jiwa yang tidur. Pada bab ‘Jil Qur’aniy Farid’ -Generasi al-Quran Yang Unik-, beliau menyenaraikan beberapa kriteria yang menyebabkan kita gagal mencapai kejayaan sebagaimana yang dicapai oeh generasi pertama. Perkara inilah yang membezakan generasi kita dengan generasi para sahabat:

Pertama: Sumber.

Sumber yang dicedok oleh generasi tersebut ialah al-Quran. Hanya al-Quran. Hadis-hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk Baginda adalah semata-mata penafsiran kepada sumber utama ini. Dari kerana itulah kita melihat bagaimana akhlak Rasulullah SAW.

فَقُلْتُ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ أَنْبِئِينِي عَنْ خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ أَلَسْتَ تَقْرَأُ الْقُرْآنَ قُلْتُ بَلَى قَالَتْ فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ الْقُرْآنَ

Aku (Sa’d bin Hisham bin ‘Amir r.a) bertanya; “Wahai Ummu al-Mukminin, ceritakan kepadaku tentang akhlak Rasulullah SAW”. A’isyah pun bertanya: “Tidakkah kamu membaca al-Quran?”. AKu menjawab: “Bahkan (saya membacanya).” A’isyah pun berkata: “Sesungguhnya akhlak Nabi Allah SAW (Nabi Muhammad) adalah al-Quran”.Riwayat Muslim no: 1233

Rasulullah SAW sangat marah seandainya terdapat para sahabat yang cuba merujuk kepada selain daripada al-Quran.

عن جابر ابن عبد الله : " أن عمر بن الخطاب أتى النبي صلى الله عليه وسلم بكتاب أصابه من بعض أهل الكتاب فقرأه النبي صلى الله عليه وسلم فغضب فقال : أمتهوكون فيها يا ابن الخطاب والذي نفسي بيده لقد جئتكم بها نقية لا تسألوهم عن شئ فيخبروكم بحق فتكذبوا به أو بباطل فتصدقوا به والذي نفسي بيده لو أن موسى صلى الله عليه وسلم كان حيا ما وسعه الا أن يتبعني


Kenapakah Rasulullah SAW bertindak sedemikian? Kerana Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya dan murni jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Ilahi yang terkandung dalam al-Quran al-Karim.

Kedua: Cara Menerima Pengajaran.

Inilah yang membezakan kita dengan para sahabat. Para sahabat tidak mendekatkan diri mereka dengan al-Quran dengan tujuan untuk mencari pelajaran dan bahan bacaan. Bukan juga untuk mencari hiburan dan penglipur lara. Tiada seorang pun daripada mereka yang belajar al-Quran dengan tujuan menambah bekal dan bahan ilmu semata-mata untuk ilmu. Bukan juga dengan maksud menambah bahan ilmu dan akademik untuk mengisi dada mereka sahaja. Bahkan mereka memperlajari al-Quran itu dengan maksud hendak belajar bagaimanakah arahan perintah Allah SWT dalam urusan hidup peribadinya dan hidup masyarakat. Begitu juga urusan hidup mereka sendiri dan hidup masyarakat mereka. Mereka belajar untuk dilaksanakan serta merta seperti seorang parajurit menerima ‘arahan harian’ atau ‘surat pekeliling’ bagi dilaksanakan serta merta.

Dasar ‘belajar untuk terus melaksanakannya’ merupakan faktor utama membentuk generasi pertama dahulu, manakala dasar ‘belajar untuk dibuat kajian dan penglipurlara’ itulah yang merupakan faktor penting yang melahirkan gengerasi-generasi kemudiannya. Tidak syak lagi bahawa faktor kedua inilah merupakan sebab utama mengapa generasi-generasi yang lain itu berlainan sama sekali dengan generasi pertama.

Ketiga: Erti Menganut Islam

Seseorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam, dia memulakan zaman baru dalam hidupnya. Terpisah sejauh-jauhnya daripada hidupnya yang lampau. Mereka mengambil pendirian dan sikap sangat berhati-hati dan berwaspada terhadap perkara yang berlaku pada zaman jahiliah. Mereka juga merasakan bahawa segala sesuatu di zaman jahiliah dahulu adalah kotor dan tidak sesuai dengan ajaran Islam. Dengan perasaan inilah, mereka menerima hidayah dan petunjuk Islam yang baru itu. Sekiranya pada satu-satu waktu atau sekali sekala mereka didorong oleh nafsunya untuk tertarik dengan kebiasaan jahiliah atau kalau merasa lemah untuk menjalankan tugas dan kewajipan keislamannya, maka timbul rasa bersalah dan berdosa dalam diri mereka. Terdetik dari lubuk hati betapa perlunya membersihkan dirinya daripada apa yang berlaku. Lantas berusaha sedaya upaya mengikuti panduan yang digariskan oleh al-Quran.

Justeru, untuk berjaya; Berpegang teguhlah dengan tinggalan Rasulullah SAW. iaitu al-Quran dan al-Sunnah. itulah resepi untuk sebuah kejayaan yang agung. Ingatlah saudaraku; "Jangan biarkan tinggalan Rasulullah SAW sebagai bahan yang kita tinggalkan". Fikir-fikirkan.

Kami Rindu Padamu Ya Rasulallah SAW!

Solleh Al-Fatimi
Rakaman 
slot Resensi Buku :
Sehingga al-Quran Terpahat di Hati
di TV1