Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ Mulakan Dengan Al-Quran - Siri 2 ]


بسم الله الرحمن الرحيم
Pada siri pertama, kita telah melihat bagaimana kaedah Rasulullah SAW dalam mempasakkan al-Quran dalam diri para sahabat. Kita juga melihat bagaimana pendirian para ulama salaf terhadap peri pentingnya pendidikan al-Quran diutamakan dalam kehidupan. Bahkan
ia mendahului segala ilmu-ilmu agama yang lain.


Pada bahagian ini, kita akan melihat secara realiti bagaimana asas yang kukuh dibina oleh generasi awal Islam telah dibangunkan dan ditegakkan sebagaimana yang telah di asaskan. Justeru, marilah kita mengimbau kehidupan para salaf bersama al-Quran dan kesungguhan mereka menghafaz al-Quran.

Abu Bakr ‘Ayyasy rhm. menceritakan: “Sesungguhnya al-A’masy rhm. membaca hafazan al-Quran dan mereka yang lain memegang mushaf (untuk menyemaknya). Maka tiada kesalahan walau pun satu huruf”.[1] 

Demikian juga dengan kehidupan Imam Abu Bakr ‘Ayyasy rhm.. Imam Yahya al-Himmani rhm. berkata: “Tatkala menjelang kematian Abu Bakr bin ‘Ayyasy, saudara perempuannya menangis. Maka Abu Bakr berkata kepadanya: “Sebab apakah yang membuatkan kamu menangis? Kamu lihatlah kepada tempat solat peribadi itu, sesungguhnya saudara kamu telah mengkhatamkan al-Quran di dalamnya sebanyak 18,000 kali”.[2]

Imam Yahya bin Ma’in rhm. berkata: “Selama 20 tahun, Yahya bin Sa’id al-Qattan rhm. mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam”.[3] 

Imam Ali bin al-Madini rhm. pula menceritakan: “Sesungguhnya wirid Abdul Rahman bin Mahdi rhm. pada setiap malam adalah separuh al-Al-Quran”.[4] 

Imam Ahmad bin Hanbal rhm. pula menyatakan: “Sesungguhnya ‘Ata’ bin al-Sa’ib rhm. antara hamba-hamba Allah SWT yang baik, sesungguhnya beliau mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam.[5]

Lihatlah ke dalam diri mereka, sekalipun mereka adalah imam dalam hadis, tetapi mereka sesekali tidak mengabaikan al-Quran. Bahkan kita yang masih ‘muallaf’ dalam ilmu hadis telah mengabaikan al-Quran. Sungguh jauh beza antara kita dan mereka. Perbezaan itulah yang menjadi jurang antara ilmu kita dan ilmu para salaf. Dengarlah dan ambillah ibrah daripada kisah yang penuh berinspirasi.

Apabila Imam Muhammad bin Abdul Wahid al-Jama’ili rhm. atau lebih dikenali sebagai Diya’ al-Maqdisi ingin bermusafir untuk mencari hadis, Imam Diya’ meminta nasihat daripada guru beliau iaitu Imam Ibrahim bin Abdul Wahid al-Maqdisi rhm. Imam Ibrahim al-Maqdisi berpesan:

أَكْثَر من قراءة الْقُرْآن، ولا تتركه فَإِنَّهُ يتيسر لَك الَّذِي تطلبه عَلَى قدر مَا تقرأ، قَالَ: فرأيت ذَلِكَ وجربته كثيرا، فكنت إِذَا قرأت كثيرا تيسر لي من سماع الْحَدِيث وكتابته الكث
ير، وإذا لَمْ أقرأ لَمْ يتيسر لي.

Maksudnya: “Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan jangan engkau tinggalkan al-Quran. Sesungguhnya dipermudahkan ilmu yang kamu pelajari berdasarkan kadar ayat yang kamu baca”. Diya’ al-Maqdisi berkata: “Saya melihat dan mengalami pengalaman tersebut berkali-kali. Apabila saya banyak membaca al-Quran, saya dimudahkan untuk mendengar dan menulis hadis dengan banyak sekali. Sebaliknya, apabila saya tidak membaca al-Quran, tidak dimudahkan untuk saya memperolehi hadis”.[6]

Wallahu a'lam.




[1] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 6, hal: 235
[2] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 8, hal: 504
[3] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 9, hal: 179
[4] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 9, hal: 203
[5] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 6, hal: 112
[6] Ibn Rajab. Zail Thabaqat al-Hanabilah, jil: 3, hal: 205
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ Mulakan Dengan Al-Quran - Siri 1 ]

Syeikh Mahmud bin Ali bin Surur hfz. menyebut di dalam karyanya yang berjudul ‘Ma’alim al-Tarbiyyah ‘Inda al-Muhaddithin’:

“Sedangkan al-Quran merupakan ilmu yang paling mulia, bahkan ia merupakan asas dan dasar bagi seluruh ilmu. Maka seseorang pelajar yang tidak memulakan kehidupan belajar dengan menghafaz al-Quran al-Karim, maka tidak mungkin selamanya kukuh dalam mana-mana ilmu”. [Mahmud bin Ali, Ma’alim al-Tarbiyyah ‘Inda al-Muhaddithin, hal: 26]

Sesungguhnya dasar ini adalah dasar yang telah digarap kukuh oleh Rasulullah SAW dan para sahabat ra.


عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثَيْنِ رَأَيْتُ أَحَدَهُمَا وَأَنَا أَنْتَظِرُ الْآخَرَ حَدَّثَنَا أَنَّ الْأَمَانَةَ نَزَلَتْ فِي جَذْرِ قُلُوبِ الرِّجَالِ ثُمَّ عَلِمُوا مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ عَلِمُوا مِنْ السُّنَّةِ

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Huzaifah ra., katanya: Rasulullah SAW menceritakan kepada kami dua hadis (tentang urusan amanah yang bakal berlaku pada zaman fitnah nanti). Saya telah melihat salah satunya (iaitu penurunan amanah) dan saya menunggu peristiwa yang kedua (iaitu amanah diangkat). Baginda SAW menceritakan kepada kami: (Hadis pertama), “Sesungguhnya amanah yang turun pada pangkal hati seorang lelaki, kemudian mereka belajar daripada al-Quran, kemudian mereka belajar daripada al-Sunnah…”. [Riwayat al-Bukhari no: 6559, Muslim no: 206, al-Tirmizi no: 2150.


Demikian juga yang diakui oleh Saidina Abdullah bin ‘Abbas ra. tatkala menceritakan perihal cara Rasulullah SAW mendidik para sahabat. Beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا التَّشَهُّدَ كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengajarkan bacaan tasyahhud sebagaimana Baginda mengajar surah daripada al-Quran”. [Riwayat Muslim no: 611]


Untuk lebih jelas, marilah kita melihat pandangan-pandangan para ulama yang mengkaji dengan melalui jalan yang dirintis oleh Rasulullah SAW ini. Imam al-Khatib al-Baghdadi r.h.m. berkata:


يَنْبَغِي لِلطَّالِبِ اَنْ يَبْدَاَ بِحِفْظِ كِتَابِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ اِذْ كَانَ اَجَلَّ العُلُوْمِ وَاَوَّلَاهَا بِالسَّبْقِ وَالتَّقْدِيمِ


Maksudnya: “Sepatutnya seseorang pelajar memulakan menghafaz Kitab Allah azza wa jalla, kerana ia adalah semulia-mulia ilmu. Ia merupakan perkara pertama yang didahulukan dan diutamakan”. [Al-Khatib al-Baghdadi. Al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami’ jil. 1 hlm. 106]


Imam Ibn Abd al-Barr rhm. berkata:

“Menuntut ilmu mempunyai beberapa tingkatan, tahap dan susun aturnya. Tidak sewajarnya ia dilanggar. Sesiapa yang melanggarnya secara keseluruhan, sesungguhnya dia telah menlanggar perjalanan para salaf rahimahumullah. Sesiapa yang melanggar perjalanan mereka secara sengaja, dia akan sesat. Sesiapa yang melanggar secara pandangan fikirannya, dia adalah salah. Maka ilmu pertama adalah menghafaz kitab Allah SWT, memahaminya dan segala perkara yang membantu untuk memahaminya. Maka wajib mempelajarinya bersama. Dan tidak saya katakan: Bahawa menghafaz keseluruhan al-Quran adalah wajib, tetapi saya katakan: Sesungguhnya hal demikian adalah syarat yang mesti dilakukan ke atas sesiapa yang menyukai agar dia menjadi alim, faqih dan menyiapkan dirinya untuk ilmu. Perbincangan ini bukan dari sudut fardhu”. [Ibn ‘Abd al-Barr. Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih, jil 2, hal: 1129]


Imam al-Nawawi rhm. menceritakan keadaan para salafussoleh:
.
“Perkara pertama yang dimulakan adalah menghafaz al-Quran al-Aziz. Ia merupakan ilmu yang paling penting. Sesungguhnya para salaf tidak mengajarkan hadis dan fiqh kecuali kepada sesiapa yang menghafaz al-Quran. Apabila dia menghafaz al-Quran, hendaklah berhati-hati dengan kesibukan dirinya agar al-Quran tidak terabai disebabkan oleh pengajian hadis, fiqh dan selainnya. Iaitu kesibukan yang boleh membawa dirinya lupa sebahagian hafazan al-Quran atau mendatangkan risiko dirinya akan lupa hafazan al-Quran. Setelah menghafaz al-Quran, hendaklah menghafaz daripada semua seni ilmu yang ringkas. Memulakan dengan yang ilmu yang paling penting. Antara yang paling penting adalah ilmu Fiqh dan Nahu. Kemudian hadis dan usulnya. Kemudian ilmu-ilmu lain yang mudah. Kemudian sibukkan diri dengan mempelajari huraian-huraian bagi ilmu yang telah dihafaznya”. [Al-Nawawi. Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 1 hlm. 38]


Inilah jalan yang dilalui oleh para salafussoleh. Untuk menjadi hebat sebagaimana mereka, maka kita perlu melalui jalan-jalan ini.


Bahkan Imam Ibn al-Jauzi rhm. tatkala menjelaskan tentang tipu daya iblis ke atas golongan ahli hadis, beliau menegaskan: “Antara mereka ada yang tidak menghafaz al-Quran dan tidak mengetahui rukun-rukun solat. Maka mereka semua menyibukkan diri dengan fardhu kifayah dan mengabaikan fardhu ain. Mereka mengutamakan perkara yang tidak penting berbanding perkara yang penting. Ini merupakan antara tipu daya iblis”. [Ibn al-Jauzi. Talbis Iblis, jil.1, hlm. 104]

Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Kiamat Dekat; Isu 05
" Singkatnya Waktu "


SOALAN: Apakah benar bahawasanya menjelang kiamat nanti, masa seharian kita akan semakin singkat berbanding dengan masa sebelum daripada ini?

JAWAPAN: Benar, apabila masa seharian kita semakin singkat berbanding dengan masa sebelum daripada ini, maka ia merupakan antara tanda-tanda akan datangnya hari kiamat. Dalam Bahasa Arab, digunakan kalimah ‘yataqarab al-zaman’. Perkara ini dibenarkan oleh sabda Rasulullah SAW sendiri:

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah masa semakin mendekati (masa semakin singkat), amalan baik berkurangan, kebakhilan bermaharajalela, fitnah dilakukan secara terang-terangan dan banyaknya pembunuhan”. (Riwayat al-Bukhari)

Malah, berita ini diperincikan lagi melalui riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda;

“Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah masa semakin mendekati. Maka jadilah masa setahun itu seumpama satu jumaat (seminggu), masa satu jumaat (seminggu) itu seumpama satu hari, masa sehari itu seumpama satu jam dan masa satu jam itu seumpama nyalaan bara api”. (Riwayat al-Tirmizi: hadis gharib. Al-Albani: hadis sahih)



SOALAN: Apakah yang dimaksudkan dengan masa yang singkat?

JAWAPAN: Para ulama telah memberikan maksud yang berbeza-beza tentang perkara ini. Sekurang-kurangnya terdapat lima penafsiran terhadap maksud yang dikehendaki dalam hadis tersebut.

Pertama: Sedikitnya keberkatan masa. Imam Ibn Hajar berkata: “Perkara ini telah kita dapati di zaman kita ini. Kita dapati masa seharian berlalu dengan cepat sekali, sedangkan ia tidak didapati pada masa sebelum daripada masa kita ini”.

Kedua: Iaitu masa yang akan berlaku pada zaman al-Mahdi dan Nabi Isa a.s. Pada saat itu manusia asyik menikmati keindahan hidup, dilimpahi dengan keamanan dan tertegaknya keadilan. Oleh itu, manusia merasakan betapa singkatnya masa-masa yang penuh kemakmuran itu, sekalipun ia merupakan masa yang panjang. Sebaliknya mereka merasakan betapa panjangnya detik-detik kesusahan dan penderitaan, sedangkan masa tersebut ia hanyalah seketika sahaja. (Ibn Hajar: Fath al-Bari)

Ketiga: iaitu hampirnya keadaan manusia pada masa itu yang sedikit ilmu tentang agama. Sehinggakan pada saat itu tidak terdapat dari kalangan mereka yang menyuruh perkara makruf dan mencegah perkara mungkar. Dek kerana kefasikan telah mendominasi keadaan dan orang fasiq melakukan kefasikan secara terang-terangan. Punca utama perkara ini berlaku adalah kerana mereka meninggalkan usaha untuk mencari ilmu dan berasa selesa dengan kejahilan mereka terhadap agama.

Satu hakikat yang perlu kita sedari bahawa manusia tidak akan sama kedudukannya pada darjat keilmuan, kerana darjat ilmu pelbagai peringkat. (Surah Yusuf, ayat 26). Namun manusia akan berada dalam kedudukan yang sama tarafnya, apabila mereka berada dalam kejahilan.

Keempat: iaitu manusia pada masa tersebut dikurniakan dengan pelbagai sarana kemudahan perhubungan dan kenderaan darat dan udara yang cepat. Yang mana ia mampu mendekatkan yang jauh dalam masa yang singkat. (Sayyid Sabiq; al-‘Aqaid al-Islamiyyah)

Kelima: iaitu singkatnya masa dan cepatnya masa berlalu. Ia sesuatu hakikat yang akan berlaku secara realiti.



SOALAN: Apakah singkatnya masa itu dapat kita difahami dan dirasai secara pancaindera atau ia sekadar maknawinya sahaja?

JAWAPAN: Berhubung soalan ini, Imam Ibn Hajar di dalam kitabnya ‘Fath al-Bari’ menaqalkan pendapat Imam Ibn Abi Jamrah. Katanya: “Kemungkinan yang dimaksudkan dengan ‘yataqarab al-zaman’ ialah masa yang singkat. Maka masa yang singkat ini berkemungkinan secara (dapat diarasai oleh) pancaindera dan kemungkinan secara maknawi:

Secara pancaindera, ia sama sekali tidak berlaku lagi, kemungkinan besar akan berlaku apabila hampirnya hari kiamat nanti.

Secara maknawi pula, maka perkara ini telah berlalu sejak sekian lama. Hal demikian dirasai oleh para ulama dan para cerdik pandai dalam ilmu keduniaan. Mereka menyedari betapa diri mereka tidak berdaya untuk sampai ke tahap amalan atau hasil kerja yang pernah dicapai oleh golongan sebelum daripada mereka. Mereka mengeluh dengan keadaan ini dan mereka tidak mengetahui apakah penyebab dari permasalahan ini. Kemungkinan hal demikian berlaku kerana kelemahan iman mereka, disebabkan secara terang-terangan berlakunya perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam dalam pelbagai bentuk. Terutamanya dalam soal pemakanan.

Maka dalam perkara ini, secara jelas susuatu yang haram dan perkara syubhat yang tidak dapat disembunyikan lagi, sehinggakan majoriti manusia tetap tidak mengendahkan dalam perkara ini. Sekalipun mereka berkemampuan untuk mendapatkan yang hala, namun mereka tetap mengambilnya dan tidak memperdulikan (persoalan halal dan haram).

Secara realitinya, sesungguhnya keberkatan masa, rezeki dan tumbuh-tumbuhan hanya dapat diperolehi melalui jalan kekuatan iman, mengikuti perkara makruf dan menjauhi perkara yang dilarang. Perkara ini disaksikan oleh firman Allah SWT:

“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. (Surah al-A’raf : ayat 96).



SOALAN: Bagaimanakah cara untuk memanfaatkan masa yang singkat ini?

JAWAPAN: Suatu hakikat yang tidak dinafikan dalam hidup kita bahawa setiap manusia mempunyai masa 24 jam sehari. Dalam masa yang sama juga kita berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab. Justeru, kita perlu memanfaatkan masa sebaiknya. Antara caranya adalah dengan menyegerakan menyelesaikan tugasan.

Al-Syahid Hasan al-Banna berkata:

الواجبات أكثر من الأوقات فعاون غيرك على الانتفاع بوقته
وإن كان لك مهمة فأوجز في قضائها

“Tugasan-tugasan adalah lebih banyak daripada waktu-waktunya, maka bantulah orang lain agar waktu-waktunya dapat dimanfaatkan. Sekiranya kamu mempunyai tugasan penting, maka segerakanlah menyelesaikannya”.

Selain daripada itu, fokus terhadap sesuatu pekerjaan. Al-Ustaz ‘Umar al-Tilmithani pernah berpesan kepada para pendokong Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin:

وقت الدعوة لها لا لغيرها فدعه لها

“Waktu dakwah adalah untuk dakwah, bukan untuk selain daripadanya. Maka biarkanlah (fokuskan) masa itu untuk dakwah”.

Akhirnya, ingatilah pesanan Rasulullah SAW:

خير الناس من طال عمره وحسن عمله وشر الناس من طال عمره وسيء عمله
“Sebaik-baik manusia ialah sesiapa yang panjang umurnya dan baik amalannya. Seburuk-buruk manusia ialah sesiapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya”.
(riwayat al-Tirmizi; hadis hasan).

Wallahu ‘lam.


p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ. Terdapat  sedikit perbezaan antara edisi terbit dan edisi blog.


Solleh Al-Fatimi

Oleh :
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
24 Disember 2015


"Aku Bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Aku bersaksi bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah". Demikianlah syahadah atau penyaksian bagi seorang Muslim. Sekalipun ringkas, tetapi di dalamnya terkandung seribu satu makna yang mengubah diri seseorang, bahkan mampu mengubah dunia ini sekiranya difahami dan dihayati intipatinya.

Allah SWT itu Tuhan kita dan Muhammad SAW itu adalah rasul kita. Ketaatan kepada Allah dan Rasul merupakan ketaatan yang mutlak. Namun dalam berinteraksi antara Allah SWT dan Rasulullah SAW, terdapat perbezaan yang perlu diberi perhatian. Allah SWT mempunyai kedudukannya dan Rasulullah juga mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Ia sama sekali tidak boleh disamakan taraf dalam semua keadaan. Justeru, perincian ini adalah sangat perlu agar kita menunaikan Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam keadaan yang benar sebagaimana yang diajarkan oleh al-Quran dan al-Hadis. Untuk itu, penulis kongsikan penjelasan yang dikemukakan oleh Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan rhm. di dalam kitabnya yang berjudul Usul al-Dakwah:

Perlu diingatkan di sini bahawa kita mesti sentiasa berhati-hati supaya tidak mencampur adukkan hak Allah SWT dengan hak Rasulullah SAW. Kadang-kala sama ada sengaja atau tidak atau dengan alasan menunaikan kewajipan seorang Muslim terhadap Rasulullah SAW atau dengan alasan menunaikan sesuatu yang perlu dilaksanakan oleh seorang Muslim atau sebagai tanda kasih sayang kepada Baginda menyebabkan seorang Muslim terjerumus ke lembah syirik sama ada secara langsung atau tidak langsung yang akhirnya menyebabkan seseorang menerima kemurkaan Allah SWT.

Kasih sayang sebenar kepada Rasulullah SAW adalah dengan cara menurut dan segera menyahut segala sesuatu yang Baginda sukai. Ini hanya dapat dilakukan dengan menurut syariat yang dibawa oleh Baginda daripada Tuhannya, selain daripada menurut Sunnah-sunnah qauli (perkataan) dan fi’li (tingkah laku). Malah sebagaimana yang dimaklumi, Rasulullah SAW membawa perintah supaya manusia mengesakan ubudiyyah hanya kepada Allah SWT dalam semua keadaan dan tidak sama sekali meletakkan penghambaan kepada tuhan-tuhan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan kalimah Tauhid yang telah saya terangkan sebelum ini. Bagi menerapkan pengertian ini di dalam jiwa umat Islam, al-Quran telah menjelaskan bahawa Muhammad SAW adalah seorang manusia. Allah SWT berfirman:


قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu". (Surah al-Kahfi: 110)


Baginda tidak boleh memudaratkan sesiapa atau memberikan manfaat kepada sesiapa, hanya Allah SWT yang mampu melakukan demikian. Allah SWT berfirman:

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".(Surah al-A’raf: 188)

Ini bererti untuk memohon apa sahaja permintaan atau apa sahaja bantuan atau pun untuk menolak apa sahaja bala hanya boleh diminta daripada Allah SWT yang telah pun mengajak kita spaya meminta daripadaNya dan hanya mengharapkan bantuanNya. Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ


Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Surah Ghafir: 60)


Perasaan takut dan takwa juga hanyalah hak Allah SWT. Begitu juga dengan tawakkal kerana Allah SWT sahaja yang mampu memenuhi permintaan manusia. Allah SWT berfirman:


وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah al-Nur: 52)

وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا مَا آتَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ سَيُؤْتِينَا اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَرَسُولُهُ إِنَّا إِلَى اللَّهِ رَاغِبُونَ 

Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah" (Surah al-Taubah: 59)

Kesemua ayat-ayat ini dengan jelas memisahkan hak-hak Allah SWT dan hak-hak Rasulullah SAW. Hak-hak yang khusus untuk Allah SWT antaranya ialah perasaan takut dan takwa dengan merasa hanya Allah SWT sahaja tempat pergantungan, tempat tawakkal dan berharap. Manakala ketaatan pula adalah hak bersama antara Allah SWT dan Rasulullah SAW, kerana ketaatan kepada Rasulullah SAW sebenarnya adalah ketaatan kepada Allah SWT. Antara hak-hak Rasulullah SAW juga ialah Baginda boleh memberikan sebahagian daripada harta rampasan perang, harta fai’ dan sebagainya kepada sesiapa sahaja yang Baginda rasa patut memberinya.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW, Bginda bersabda: 

لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
“Janganlah kamu memuja aku seperti mana orang-orang Kristian memuja Nabi Isa bin Maryam kerana aku hanyalah hamba Allah SWT dan rasulNya”. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, disebut:

وَقَالَ رَجُلٌ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا شَاءَ اللَّهُ وَشِئْتَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمِثْلَانِ؟ قُلْ مَا شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ شِئْتَ»

“Apabila ada sahabat yang berkata kepada Nabi SAW: “Sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan yang dikehendaki oleh engkau”. Baginda membalas: “Apakah engkau menjadikan aku sebagai sekutu Allah SWT?. Katakanlah: sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT, kemudian barulah sebagaimana yang dikehendaki oleh engkau”. 
(Riwayat al-Bayhaqi dalam Ma'rifah al-Sunan wa al-Athar)

Nabi Muhammad SAW telah membawa ajaran Tauhid sebenar yang mengEsakan Allah SWT. Sebagai usaha gigih baginda untuk membawa kemanfaatan kepada umat Islam, Baginda telah menjelaskan makna tauhid dan makna syirik supaya umat Islam tidak terjerumus ke lembah syirik. Sudah tentu ini didorong oleh kegigihan dan sifat belas kasihan baginda kepada umat Baginda. Semoga Allah SWT membalas segala usaha Baginda ini dengan ganjaran yang baik. Allah SWT telah menggambarkan beberapa sifat mulia Baginda: 

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَاعَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Taubah: 128)ز

النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ 

Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; (Surah al-Ahzab: 6)
Solleh Al-Fatimi

TERBITNYA DIVA SOLEHAH,
KARYA KE ENAM.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَبَعْدُ:


قاَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ :
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ


Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah al-A’raf 7: 26)

Firman dari langit ini seolah-olah sedang bercakap kepada seluruh manusia tentang nikmat yang sangat besar yang dikurniakan kepada seluruh manusia. Nikmat tersebut ialah berupa pakaian dan perhiasan untuk seluruh manusia. Nikmat yang akan menonjolkan keindahan dan kecantikan manusia. Nikmat yang mampu menutup setiap inci keaiban dan kekurangan pada tubuh manusia. Nikmat ini akan membezakan antara manusia yang mulia dengan haiwan yang hina. Itulah nikmat pakaian.

Disebalik nikmat pakaian yang agung ini, Allah SWT menyatakan bahawa pakaian taqwa adalah sebaik-baik pakaian. Tahukah kita apa itu pakaian taqwa? Banyak tafsiran yang dikemukakan oleh para ulama, namun tafsiran yang menyeluruh dapat kita kutip daripada apa yang disampaikan oleh Syeikh Abu Bakr al-Jazairi r.h.m.:

“Allah SWT mengkhabarkan bahawa pakaian taqwa itulah yang terbaik bagi seseorang daripada pakaian luaran semata-mata, kerana seorang hamba yang bertaqwa pasti memastikan dirinya melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Sedangkan Allah SWT dan rasul-Nya lah yang menyuruhnya agar menutup aurat, menolak segala bentuk kerosakan dan menjaga segala kemuliaan. Allah SWT dan rasul-Nya jugalah yang mengarahkannya agar mempunyai sifat malu, menjaga kehormatan diri, mempunyai imej yang baik dan menjaga kebersihan tubuh badan dan pakaian. Oleh yang demikian, mana mungkin pakaian luaran semata-mata tanpa disertai sifat taqwa lebih baik daripada pakaian yang dipakai berdasarkan sifat taqwa yang lebih menyeluruh ini??”. [Abu Bakr al-Jazairi. Aisar al-Tafasir jil 1, hal: 457]

Oleh itu, dapatlah kita fahami bahawa pakaian taqwa ialah pakaian yang dipakai oleh seseorang dengan penuh kesedaran bahawa ia adalah perintah Allah SWT. Lalu ia memakainya dengan penuh tunduk dan patuh, menerimanya dengan penuh kerelaan dan keikhlasan sehingga meyakini bahawa inilah satu-satunya pakaian yang terbaik untuk seluruh manusia.


Berkongsi Rasa

Justeru, buku ini hadir bagi berkongsi dengan para pembaca untuk sama-sama berbincang tentang nikmat besar yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita ini; nikmat pakaian dan perhiasan. Bukan setakat itu, kita akan berbincang tentang nikmat penampilan diri yang terbaik sebagaimana yang telah Allah SWT dan Rasulullah SAW perintahkan. Justeru, perbincangan ini merupakan suatu perbincangan yang penting dalam menterjemahkan penampilan diri seorang wanita muslimah solehah yang diistilahkan di dalam buku ini sebagai ‘Diva Solehah’.

Sebagaimana kita sedia maklum, perbincangan di dalam buku ini merupakan satu kesinambungan daripada buku yang berjudul ‘No Excuse Tidak Tutup Aurat’. Buku tersebut membariskan 30 alasan dan kekeliruan wanita tentang permasalahan aurat dan penampilan diri yang sering menghantui pemikiran wanita. Setiap alasan dan kekeliruan itu dijernihkan dengan jawapan yang tuntas berlandaskan hujah naqli dan ‘aqli. Sehinggakan para pembaca mendapat pencerahan yang terang bagi menyuluh hati dan fikirannya agar memilih cara pemakaian dan penampilan seorang wanita muslimah solehah.

Buku tersebut diibaratkan seorang petani yang membersihkan tanah ladangnya dan mencabut segala duri-duri dan pohon-pohon asing yang mengganggu proses penanaman dan pertumbuhan pokok yang bakal ditanam dan dibajai. Semua ini dilakukan bagi memastikan tanaman yang tumbuh dan membesar nanti, mampu tumbuh subur dan segar.

Setelah proses pembersihan tersebut dilakukan, maka bermulakan fasa seterusnya iaitu proses menyemai biji benih dan pertumbuhan biji benih tersebut menjadi sebatang pohon yang tumbuh subur. Fasa tersebut diterjemahkan dengan terhasilnya buku yang berada di tangan pembaca sekarang.

Setelah segala kekeliruan dan penghalang dapat dilenyapkan, maka ia perlu diganti dengan sesuatu yang benar lagi tepat. Andainya fasa ini dibiarkan, semak samun dan pohon-pohon asing tersebut akan kembali semula. Andai fasa ini tidak disemai, maka cara pemakaian dan penampilan yang tidak menepati cita rasa Islam terus menghiasi tubuh badan wanita. Akhirnya, penat lelah sebelum ini tidak membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan.

Oleh yang demikian, buku ini mengajak para pembaca agar memahami dengan penuh kesedaran dan keinsafan untuk memilih pemakaian dan penampilan yang direstui dan diredhai oleh Allah SWT dan rasul-Nya SAW. Penulis turut memimpin para pembaca –dengan izin Allah SWT- untuk mengembalikan wanita kepada penampilan wanita yang sebenar; penampilan wanita muslimah solehah. Sehingga para pembaca dapat membezakan antara pemakaian penampilan yang mendamaikan hati (wanita muslimah solehah) dengan penampilan yang meresahkan hati (selain daripada wanita muslimah solehah).


Hidangan Untuk Diva Solehah

Buku ini mempersembahkan kepada pembaca kepada tiga bahagian utama;

Bahagian Pertama: Bahagian ini menyuluh para pembaca untuk memahami syarat-syarat atau kriteria yang wajib dipenuhi bagi membolehkan sesuatu pakaian dikategorikan atau diiktiraf sebagai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna atau pun ‘busana muslimah’ yang sebenarnya. Syarat-syarat dibentangkan secara terperinci dan mudah difahami. Setelah pembaca memahami bahagian ini para pembaca mampu membezakan antara pakaian yang semestinya menjadi pilihan wanita muslimah dan pakaian yang sewajibnya ditinggalkan. Tidak kurang juga, para pembaca tidak lagi terkeliru dengan slogan kosong seperti ‘fesyen islamik’ atau ‘busana muslimah’, sedangkan pakaian yang ditampilkan jauh sekali daripada menepati syarat-syarat yang disebutkan dalam bahagian ini. Malah menyalahinya dengan jelas lagi nyata.


Bahagian Kedua: Para pembaca didedahkan tentang hukum-hakam kecantikan; ‘Feqah Kecantikan’. Perbincangan ini dihalakan kepada kecantikan tubuh badan yang menjadi perhatian utama wanita. Antaranya ialah kecantikan wajah, mata, hidung, rambut, gigi dan tangan. ‘Feqah Kecantikan’ ini sewajarnya dibincangkan bersama dengan bahagian pertama, agar tidak berlaku ketempangan dan kecacatan dalam penampilan seseorang wanita yang menutup aurat. Sebagai contohnya, wanita yang berpakaian yang menutup aurat sempurna akan kelihatan tempang dan cacat apabila berada di khalayak ramai dalam keadaan bersolek, memakai wangi-wangian dan mencukur bulu keningnya. Justeru, kesempurnaan penampilan dilengkapkan dengan bahagian ini agar wanita mampu mendamaikan hatinya dan hati orang di sekelilingnya.

Bahagian Ketiga: Bahagian ini mengajak wanita agar menghargai dirinya sebagai seorang wanita. Naluri untuk cantik merupakan sesuatu yang fitrah, namun ia perlu diuruskan dengan sebaiknya. Buku ini juga menghulurkan tangan memimpin wanita agar tidak terjerat dan seterusnya menjadi mangsa kepada kecantikan dan juga fesyen. Di samping mengingatkan para wanita agar tidak terlalu obses dan teruja dengan fesyen sehingga boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan diri.


Dirimu Diva Solehah

Perkataan ‘Diva’ kebiasaannya difahami dengan maksud seseorang wanita yang sangat masyhur atau terkenal atau unggul. Manakala perkataan ‘solehah’ pula difahami sebagai wanita yang baik lagi taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, seterusnya menjunjung dan melaksanakan segala perintah Allah SWT tanpa bertangguh, perasaan ragu da berdolak dalih. Wanita solehah akan melakukan setiap suruhan agama dan dalam masa yang sama juga menjauhi dan meninggalkan setiap larangan agama.

Melalui penulisan ini, penulis memaksudkan ‘Diva Solehah’ sebagai golongan wanita yang masyhur, terkenal dan unggul dengan pemakaian yang solehah. Sehinggakan ‘Diva’ ini begitu sinonim dengan pemakaian wanita solehah yang menutup aurat. Bukan lagi dengan pakaian yang mendedahkan aurat dan pakaian yang tidak mengikuti kriteria pemakaian menurut syariat Islam.

Justeru, penulis bercita-cita untuk melihat seluruh para wanita muslimah berpakaian dengan pakaian yang menutup aurat dan tidak sama sekali memilih untuk mendedahkan aurat. ‘Diva Solehah’ memilih pakaian ini bukan kerana terpaksa atau kerana ‘trend’, tetapi berdasarkan kesedaran dan pilihannya sendiri. Sehingga mereka berhasil untuk mendapat pakaian yang terbaik iaitu pakaian taqwa.


Salah Bertanya, Sesat Jalan

Pada suatu petang, ketika penulis bersantai menonton sebuah wawancara di kaca televisyen tempatan tentang busana muslimah. Penulis terkilan apabila pengacara rancangan tersebut mengajukan satu soalan kepada pereka fesyen tentang apakah fesyen yang direka ini menepati kriteria menutup aurat atau tidak. Lantas pereka fesyen tersebut menjawab: “Ya, semestinya. Rekaan fesyen kami mematuhi piawaian busana muslimah dan menutup aurat”. Sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya. Fesyen yang dikatakan sebagai ‘busana muslimah’ itu umpama jauh api dari panggang.

Demikian juga dengan festival-festival busana muslimah yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mempamerkan ‘busana muslimah’ yang palsu. Seumpama festival-festival ini wujud bagi mengalih pandangan wanita kepada ‘busana muslimah’ yang tulen dan menimbulkan kekeliruan yang berpanjangan secara terancang. Perkara ini sangat mendukacitakan kita kerana mereka mengeksploitasi pemakaian muslimah sehingga jauh terpesong.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui”. (Surah al-Nahl 16: 43)

Ingatlah, keharusan sesuatu pakaian bukan ditentukan oleh pereka fesyen tetapi ditentukan oleh Islam dan ia difahami oleh para ulama. Para ulama sejak dahulu telah menjelaskan secara terperinci bagaimanakah pakaian yang diharuskan untuk dipakai oleh wanita berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Namun jangan kita takut dan bimbang, kerana tiada pakaian khusus yang ditetap oleh Islam untuk dipakai oleh para wanita. Tetapi Islam hanya meletakkan kriteria-kriteria dan garis panduan agar kita mengikuti dengan sebaiknya.

Sekalipun penulis bukanlah terdiri daripada golongan ‘Ahli al-Zikr’ sebagaimana firman Allah SWT itu, namun penulis cuba sedaya upaya untuk merujuk dan mengkaji pandangan dan pendapat yang dilontarkan oleh ‘Ahli al-Zikr’. Dengan harapan agar hasil penulisan ini tidak tersasar dari kebenaran. Untuk itu, penulis menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber utama dan pertama. Untuk mendapatkan pemahaman yang benar dan tepat, maka penulis merujuk kepada penjelasan ‘Ahli al-Zikr’ yang lebih memahami dan lebih mengetahui berhubung perkara ini. Disamping itu, penulis datangkan beberapa idea dan logik akal untuk memantapkan lagi keyakinan dan kefahaman kita terhadap isu yang dibincangkan. Semoga usaha ini seiring dengan hidayah dan ‘inayah daripada Allah SWT.


Punyai Identiti dan Penampilan tersendiri

Harapan penulis agar wanita-wanita memilih identiti dan penampilah diri yang sebenar dan tulen. Ia hanya dicapai dengan kita mengikuti agama fitrah. Ia adalah Islam. Apabila kita mengikuti Islam, bermakna kita telah mengikuti fitrah diri kita yang sebenar. Apabila kita mengikuti Islam, bermakna kita telah menjadi diri kita yang sebenar. Ya, itulah diri seorang wanita yang sebenar! Menjadi wanita selain daripada wanita muslimah solehah adalah wanita yang masih mencari identiti diri yang sebenar. Wanita yang tidak mengenali dirinya sendiri. Bahkan wanita yang masih meraba-raba dalam kelam malam mencari diri yang hilang. Untuk itu, kembalilah kepada Islam.

Penulis menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan sekiranya penulisan ini sedikit mengusik hati dan jiwa pembaca. Namun apa yang ingin disampaikan ialah:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”(Surah Hud 11 : 88)

Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada kita untuk terus berjalan dan bergerak di atas landasan keredhaan Allah SWT dan mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW. Sesungguhnya kita datang daripada syurga, pastikan kita berusaha untuk kembali ke syurga yang kekal abadi.

Jutaan terima kasih kepada pihak Telaga Biru Sdn. Bhd. yang menerbitkan buku ini. Mereka yang menyokong segala usaha murni ini yang terdiri daripada keluarga, guru-guru, sahabat-sahabat, pelajar-pelajar dan sesiapa jua yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung dalam penerbitan buku ini. Semoga Allah SWT menerima segala usaha kerja ini. Semoga akan lahir generasi ‘DIVA SOLEHAH: PENAMPILANMU MENDAMAIKAN HATI’.


Perkongsian daripada:

Siti Nur Fatimah binti Hasan (Ummu Mujahid) & Mohd Solleh bin Ab Razak (Abu Mujahid)




MAKLUMAT BUKU 

Buku "Diva Solehah" ini bertujuan menyuntik kefahaman dan keyakinan pembaca dalam menentukan imej wanita solehah yang benar-benar mendamaikan hati. Buku ini juga untuk menarik wanita bagi memilih prinsip imej dan penampilan Muslimah yang bertepatan dengan syariat Islam.

MENGAPA ANDA PERLU MEMILIKI BUKU INI?* Perbincangan yang santai dan berfakta.
* Hujah dan dalil yang dikemukakan ringkas dan padat serta memudahkan pemahaman.
* Ilustrasi dan grafik yang berwarna penuh mampu menarik perhatian pembaca.
* Sesuai dijadikan bahan usrah, sebagai rujukan dan hadiah buat teman serta ahli keluarga.

MAKLUMAT BUKU :Penulis : Siti Nur Fatimah Hasan & Mohd Solleh Ab Razak
Harga : RM 19.00 (sm), RM 21.00 (ss)
Tebal : 230 m/s

LAWATI :
www.solleh-alfatimi.blogspot.com
LIKE : https://m.facebook.com/pustakaDhatiVideo Promo
Solleh Al-Fatimi
Oleh :
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
*Petikan buku "Melahirkan Anak Pencinta al-Quran"*
12 Mac 2015


Perkahwinan merupakan satu saat yang membahagiakan seseorang. Saat bahagia ini semakin berseri dan bersinar apabila pasangan suami isteri mendapat berita dan khabar yang mengesahkan bahawa isterinya telah mengandung. Hanya Allah SWT yang tahu bagaimana perasaan ketika itu. Penyeri kehidupan dan penyejuk mata bakal dilahirkan daripada hubungan yang diredhai oleh Allah SWT. 


Namun, diterminal kebahagiaan ini, kita perlu lakukan sesuatu agar kebahagian dan keindahan hari ini terus kekal untuk terus bersinar pada hari esok dan hari-hari yang mendatang. Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian bagi pasangan suami isteri yang akan bergelar ibu dan ayah.

Ayuh kita sama-sama memelihat dan memerhatikan bagaimana para ulama menghadapi saat yang begitu menggembirakan ini. Kita akan dapati mereka begitu bersungguh-sungguh beribadah dan memastikan hidupnya sentiasa tetap teguh di atas landasan agama. Dengan harapan zuriat keturunan yang bakal menggantikannya adalah zuriat yang soleh. 

Begitulah kesungguhan yang menjelma dalam diri ulama’ salaf yang bernama  Imam Sahl al-Tustari rhm. Beliau berjanji kepada anaknya yang masih dalam kandungan lagi untuk melakukan amal ibadah dengan penuh kesungguhan. Maka beliau gembira untuk mengejakan amal soleh dengan harapan Allah SWT akan memuliakannya dengan anak yang soleh.

Kita juga melihat seorang tabi’in yang terkenal Imam Sa’id bin al-Musayyib rhm. pernah berkata;

إِنِّي لَأُصَلِّي فَأَذْكُرُ وَلَدِي فَأَزِيْدُ فِي صَلَاتِي

“Sesungguhnya ketika aku menunaikan solat, aku teringatkan anakku, lantas aku perbanyakkan lagi solatku”.[1]
Yang dimaksudkan dengan demikian adalah memperbanyakkan doa untuk anaknya di dalam solat. Kerana di dalam solat merupakan saat masa yang dimakbulkan setiap doa yang dipohon terutamanya ketika sujud.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ 

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a; sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Sehampir-hampir seorang hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdoa”.[2]

Terdapat juga para solehin yang berkata kepada anaknya;

يَا بُنَيَّ إِنِّي لَأَسْتَكْثِرَ مِنَ الصَّلَاةِ لِأَجْلِكَ

“Wahai anakku, sesungguhnya aku memperbanyakkan solat adalah kerana kamu”.[3]

Itulah kesungguhan para salaf memelihara zuriat mereka. Mereka mulakan daripada diri mereka sendiri. Apabila ia mampu dibina dalam diri sendiri, maka cas-cas ini akan meresap masuk ke dalam diri zuriatnya untuk membina generasi yang soleh. Hasilnya proses tarbiah dan didikan berjalan dengan teratur dan tersusun.

Semoga kita dikurniakan zuriat yang solehah. Amin...

_________

[1] Al-Baghawi; Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas'ud ibn Muhammad al-Farra'. Tafsir al-Ma’alim al-Tanzil jil. 5, hlm. 196. ‘Ali bin Nayif al-Syuhud. Mausu’ah al-Difa’ ‘an al-Rasul SAW jil. 4, hlm. 177.
[2] Riwayat Muslim no: 744
[3] ‘Ali bin Nayif al-Syuhud. Mausu’ah al-Difa’ ‘an al-Rasul SAW jil. 4, hlm. 177
Solleh Al-Fatimi

Demi Keturunan Ku : Ibrah Perjalanan Nabi Musa a.s.

Oleh :
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
*Petikan buku "Melahirkan Anak Pencinta al-Quran"*



Sekalipun diuji sedemikian rupa, yakinlah bahawa kesolehan kita sebagai ibubapa banyak memberi manfaat kepada zuriat dan anak-anak kita. Cuba kita imbau seketika kisah al-Quran yang menceritakan pertemuan antara Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidhir a.s yang tercatat dalam Surah al-Kahfi. Tatkala Nabi Khidhir sampai ke sebuah bandar, mereka berdua meminta kepada penduduk bandar itu sedikit makanan, namun penduduk bandar itu enggan untuk menjamunya. Dalam keadaan dikecewakan oleh penduduk bandar itu, terdapat satu tembok yang meunggu masa untuk runtuh, namun Nabi Khidhir a.s membinanya kembali. Atas tindakan itu, Nabi Musa a.s mencadangkan agar Nabi Khidir a.s mengambil upah atas pekerjaan yang dilakukannya itu. Ia tertulis di dalam surah tersebut.



فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا 
فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ 
قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

Maksudnya: Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”. (Surah al-Kahfi 18: 77)


Apakah jawapan Nabi Khidhir a.s terhadap cadangan tersebut? Sekalipun dalam situasi penduduk bandar yang enggan membantu mereka tatkala mereka memerlukan sesuap makanan, namun Nabi Khidhir a.s membantu dengan penuh keikhlasan. Beliau membantu secara percuma. Tanpa sebarang upah.

Kenapakah Nabi Khidir bertindak sedemikian rupa? Rupa-rupanya tembok itu kepunyaan dua orang anak yatim di bandar tersebut dan dibawahnya terdapat ‘harta terpendam’ milik mereka berdua. Tidak dilupakan juga bahawa ibubapa mereka berdua adalah dari kalangan orang yang soleh. Al-Quran menyebutkan ;




 وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا 
وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا
 فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ 
وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا



Maksudnya: Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”. (Surah al-Kahfi 18: 82)




Ya, kerana kesolehan ibubapalah yang menjadi faktor utama benteng itu diselamatkan. Sebab itulah Allah SWT menyebut “dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh”.
 Dari frasa inilah, ia menjadi dalil atau bukti yang menunjukkan bahawa kesolehan seseorang itu mampu menjaga zuriat keturunannya dan diliputi dengan limpahan keberkatan.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir r.h.m di dalam tafsirnya.[1]

Bahkan yang lebih melonjakkan lagi tahap motivasi kita untuk menjadi ibubapa yang soleh adalah kerana berkat kesolehan yang dihiasi dengan keimanan, ketaqwaan dan istiqamah dalam kehidupan mampu memberi jaminan penjagaan zuriat kita sehingga tujuh keturunan. Subhanallah…

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut:
“Sesungguhnya diriwayatkan bahawa Allah SWT akan memelihara orang soleh pada tujuh zuriat keturunannya. 

Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT;

إِنَّ وَلِيِّيَ اللَّهُ الَّذِي نَزَّلَ الْكِتَابَ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصَّالِحِينَ


Maksudnya: “Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah al-A’raf 7: 196) [2]


__________________
[1] Ibn Kathir. Tafsir al-Quran al-‘Azim jil. 5, hlm. 186

[2] al-Qurtubi; Abu 'Abdullah Muhammad ibn Ahmad ibn Abu Bakr al-Ansari. Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran jil. 11, hlm. 39