Solleh Al-Fatimi

Demi Keturunan Ku : Ibrah Perjalanan Nabi Musa a.s.

Oleh :
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
*Petikan buku "Melahirkan Anak Pencinta al-Quran"*



Sekalipun diuji sedemikian rupa, yakinlah bahawa kesolehan kita sebagai ibubapa banyak memberi manfaat kepada zuriat dan anak-anak kita. Cuba kita imbau seketika kisah al-Quran yang menceritakan pertemuan antara Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidhir a.s yang tercatat dalam Surah al-Kahfi. Tatkala Nabi Khidhir sampai ke sebuah bandar, mereka berdua meminta kepada penduduk bandar itu sedikit makanan, namun penduduk bandar itu enggan untuk menjamunya. Dalam keadaan dikecewakan oleh penduduk bandar itu, terdapat satu tembok yang meunggu masa untuk runtuh, namun Nabi Khidhir a.s membinanya kembali. Atas tindakan itu, Nabi Musa a.s mencadangkan agar Nabi Khidir a.s mengambil upah atas pekerjaan yang dilakukannya itu. Ia tertulis di dalam surah tersebut.



فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا 
فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ 
قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

Maksudnya: Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”. (Surah al-Kahfi 18: 77)


Apakah jawapan Nabi Khidhir a.s terhadap cadangan tersebut? Sekalipun dalam situasi penduduk bandar yang enggan membantu mereka tatkala mereka memerlukan sesuap makanan, namun Nabi Khidhir a.s membantu dengan penuh keikhlasan. Beliau membantu secara percuma. Tanpa sebarang upah.

Kenapakah Nabi Khidir bertindak sedemikian rupa? Rupa-rupanya tembok itu kepunyaan dua orang anak yatim di bandar tersebut dan dibawahnya terdapat ‘harta terpendam’ milik mereka berdua. Tidak dilupakan juga bahawa ibubapa mereka berdua adalah dari kalangan orang yang soleh. Al-Quran menyebutkan ;




 وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا 
وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا
 فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ 
وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا



Maksudnya: Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”. (Surah al-Kahfi 18: 82)




Ya, kerana kesolehan ibubapalah yang menjadi faktor utama benteng itu diselamatkan. Sebab itulah Allah SWT menyebut “dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh”.
 Dari frasa inilah, ia menjadi dalil atau bukti yang menunjukkan bahawa kesolehan seseorang itu mampu menjaga zuriat keturunannya dan diliputi dengan limpahan keberkatan.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir r.h.m di dalam tafsirnya.[1]

Bahkan yang lebih melonjakkan lagi tahap motivasi kita untuk menjadi ibubapa yang soleh adalah kerana berkat kesolehan yang dihiasi dengan keimanan, ketaqwaan dan istiqamah dalam kehidupan mampu memberi jaminan penjagaan zuriat kita sehingga tujuh keturunan. Subhanallah…

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut:
“Sesungguhnya diriwayatkan bahawa Allah SWT akan memelihara orang soleh pada tujuh zuriat keturunannya. 

Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT;

إِنَّ وَلِيِّيَ اللَّهُ الَّذِي نَزَّلَ الْكِتَابَ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصَّالِحِينَ


Maksudnya: “Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah al-A’raf 7: 196) [2]


__________________
[1] Ibn Kathir. Tafsir al-Quran al-‘Azim jil. 5, hlm. 186

[2] al-Qurtubi; Abu 'Abdullah Muhammad ibn Ahmad ibn Abu Bakr al-Ansari. Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran jil. 11, hlm. 39