Solleh Al-Fatimi
Hadis Palsu atau istilah hadisnya dikenali sebagai Hadith al-Maudhu' . Ia dibincangkan secara mendalam di dalam disiplin ilmu yang dikenali sebagai Mustalah al-Hadith. Para ulama telah menjelaskan pengertian Hadis Maudhu' ini, sebagai contoh Imam Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam Qawa'id al-Tahdith fi Funun Mustalah al-Hadith, beliau menyatakan bahawa ia hadis dusta atau yang direka oleh seseorang perawi secara sengaja dan disandarkan hadis tersebut kepada Rasulullah SAW.

Sekalipun ia dikenali sebagai Hadis Maudhu', namun ia sama sekali bukannya hadis yang diucapkan atau yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Bahkan, ia sama sekali tidak boleh dikategorikan di dalam kategori hadis Rasulullah SAW, walaupun dalam kategori Hadis Dhaif!

Perlu juga kita fahami bahawa sandaran 'Hadis'kepada Hadis Maudhu', bukan bermakna ia diiktiraf sebagai sebahagian daripada hadis Rasulullah SAW, bahkan ia merupakan satu istilah dalam disiplin ilmu hadis yang menggambarkan ia bukanlah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, malah ia merupakan satu pendustaan yang direka oleh perawi dan mendakwanya sebagai hadis.

HUKUM PENDUSTAAN TERHADAP RASULULLAH SAW

Ketegasan Rasulullah SAW terhadap isu ini dapat kita perhatikan secara jelas melalui sabda Baginda SAW:
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
 "Sesiapa yang melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya di dalam neraka" Hadis Riwayat al-Bukhari.


NOTA MENGENALINYA


Imam Ibn Hajar al-'Asqalani meyatakan di dalam 'Nuzhah al-Nazar' bahawa tanda-tanda hadis palsu boleh diperhatikan melalui keadaan atau kedudukan perawi (sanad) danjuga isi kandungan periwayatan (matan).

KAEDAH PERTAMA: KAJIAN SANAD

Tanda-tanda hadis palsu pada sanad dapat diperhatikan melalui beberapa perkara berikut:

1. Terdapat perawi yang sememangnya seorang pendusta dan dia dikenali sebagai seorang pendusta hadis. Malah hadis yang diriwayatkannya itu tidak pula diriwayatkan oleh perawi yang thiqah yang lain.

2. Pengakuan yang dilakukan oleh pemalsu hadis. Dia mengaku bahawa dia telah memalsukan sesebuah hadis. Seperti hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihan al-Quran, yang diriwayatkan oleh Maisarah bin Abdu Rabbihi al-Farisi. beliau telah mengakui telah memalsukan hadis tersebut.

3. Kenyataan secara tidak langsung daripada perawi yang boleh difahami sebagai pengakuan mendustakan hadis. Contohnya seorang perawi meriwayatkan sebuah hadis dari seorang syeikh, maka ditanya akan tarikh kelahirannya, ternyata tarikh kematian syeikh tersebut sebelum kelahirannya. Hadis itu pula hanya dia seorang sahaja yang meriwayatkannya. Dalam hal ini, perawi tidak mengaku memalsukan hadis tetapi pengakuan tarikh kelahiran itu dikira sebagai pengakuan ia terlibat dalam pemalsuan hadis.

KAEDAH KEDUA: KAJIAN MATAN

Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah telah menjelaskan secara jelas dan terperinci ciri-ciri mengenal pasti hadis palsu melalui kitabnya 'al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaif'. Tulisan ini amat bermakna bagi kita dan boleh membantu kita menilai matan-matan hadis palsu.

Antara kaedah pengecaman bagi hadis-hadis palsu adalah sebagaimana dalam senarai berikut:
1. Matan hadis bercanggah dengan nas al-Quran.

2. Matan hadis bercanggah dengan nas hadis yang sahih.
3. Matan hadis mengandungi sesuatu yang mustahil dan ditolak oleh akal yang waras.
4. Terdapat unsur-unsur yang janggal / keterlaluan yang membuktikan ia bukan dari hadis Rasulullah s.a.w.
5. Perasaan yang benar boleh mengesani kepalsuan dan menolaknya (khusus untuk pakar hadis)

6. Matan mengandungi perkara-perkara yang buruk dan bahan ketawa.
7. Matan hadis jelas bercanggah dengan al-Sunnah al-Sahihah. Maka, mana-mana hadis yang menjurus kepada maksud menyanjung kebatilan atau mencaci kebatilan atau seumpamanya tiada kaitan dengan sabda Rasulullah.
8. Matan hadis yang bermaksud menuduh Nabi s.a.w melakukan sesuatu perkara yang zahir dihadapan semua sahabat dan semua sahabat bersetuju untuk merahsiakannya tanpa menyampaikan kepada orang lain.
9. Matan hadis itu sendiri mengandungi kebatilan yang membuktikan bahawa ia bukan dari kata-kata nabi s.a.w
10. Matan hadis tidak menyerupai kata-kata para Nabi s.a.w.

11. Matan hadis menyebut tarikh-tarikh tertentu bagi peristiwa yang berlaku.
12. Matan hadis lebih mirip kepada nasihat dan pandangan tabib/ doktor
13. Hadis-hadis berhubung kelebihan akal.
14. Hadis-hadis yang menyebut al-Khadhir masih hidup.
15. Hadis-hadis yang ditolak oleh dalil-dalil yang sahih (syawahid sahihah)

16. Hadis berhubung fadhilat solat pada siang dan malam hari dalam seminggu. begitu juga hadis-hadis yang berkaitan solat al-Raghaib yang dilakukan pada malam jumaat pertama di awal bulan Rejab.
17. Hadis-hadis  berhubung fadhilat solat malam nisfu sya'ban.
18. Lafaz hadis lemah dan janggal, tidak senang didengar oleh telinga dan ditolak secara tabi'ie
19. Hadis-hadis yang menghina warga Habshah, Sudan, Turki, al-Khusyan dan golongan al-Mamalik.
20. Terdapat qarinah (tanda) yang menunjukkan hadis tersebut adalah batil\

21. Hadis-hadis berkenaan kelebihan burung merpati.
22. Hadis-hadis berhubung kelebihan memelihara ayam.
23. Hadis-hadis yang menghina anugerah anak
24. Hadis-hadis kelebihan bercelak, berhias dan bersolat pada hari 'Asyura'. Yang ada hanyalah galakan berpuasa pada hari tersebut.
25. Hadis-hadis yang menyebut kelebihan surah-surah tertentu serta ganjaran orang yang membacanya dari awal surah sehingga akhirnya.

26.Hadis-hadis berhubung kelebihan Abu Bakr yang dipalsukan oleh golongan yang jahil seperti hadis yang menyebut apabila Allah mencipta ruh, maka Allah memilih ruh Abu Bakr, juga hadis yang memberitakan Allah bertajalli kepada Abu Bakr pada hari kiamat secara khusus.
27. Hadis-hadis berhubung kelebihan Ali bin  Abi Talib yang dipalsukan oleh puak Rafidhah / Syi'ah.
28. Hadis-hadis berhubung Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi'e yang menyebut nama kedua-duanya dengan jelas. Begitu juga hadis yang mencela mereka berdua.
29. Hadis-hadis yang menyebut iman bertambah dan berkurang dan sebaliknya, semuanya adalah palsu, bukan hadis yang bersumberkan Rasulullah SAW. Walau bagaimana pun kata-kata itu adalah benar dari sudut maknanya dan merupakan ijmak ulama salaf.

Semoga ia menjadi panduan buat kita. Semoga dengan berdampingan dengan hadis Rasulullah SAW, membuatkan kita lebih cintakan Rasulullah SAW.
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh bin Ab Razak


Persoalan "Andai Rasulullah SAW Bersama Kita" menjadi perbualan hebat pada masa terdekat ini. Rancangan TV juga memaparkan persoalan-persoalan ini. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mampu menyuntik perasaan kepada Rasulullah SAW. Ya, Tiada siapa yang tidak ingin berjumpa dan mendekati Baginda SAW. Sekalipun diri dipenuhi dengan dosa dan maksiat, namun hati kecil tetap juga ingin mengaku sebagai umat Nabi Muhammad. Hati kecil juga ingin berjumpa dengan Rasulullah SAW.


Namun, seandainya Rasulullah SAW hadir pada hari ini, adakah kita mampu menjadi pengikutnya? Adakah kita mampu mengembalikan kegemilangan yang dilakarkan oleh Baginda dan para sahabat Baginda? Adakah kita layak untuk mendampingi Baginda? Adakah kita mampu untuk berjaya dengan jayanya?

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak. Berfikir tetang soalan ini: "Adakah syarat kemenangan dan kegemilangan kita sebagai Umat Islam mesti bersama Rasulullah SAW?"



Untuk menjawab persoalan ini, mari kita imbau sepintas lalu, sejarah hebat yang dilakarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Insan yang amat dirindui oleh kita semua. Pada awal kelahiran umat Islam –zaman para sahabat-, ia berjaya melahirkan satu generasi yang menggemparkan seluruh persada sejarah Islam. Bahkan generasi ini jugalah yang menggegarkan seluruh persada sejarah kemanusiaan. Itulah generasi yang yang muncul dengan perlbagai keistimewaan dan tidak mampu timbul sesudah itu. Sekalipun lahir beberapa tokoh dan kelompok manusia yang lain, namun kemunculan tidak mampu untuk menandingi, apatah lagi untuk mengalahkan lagi generasi pertama kelahiran ini. Itulah hebatnya generasi pertama umat Islam.

Namun umat Islam untuk generasi seterusnya sehingga kini dilihat tenggelam dan tidak mampu untuk menggantikan sebutir permata yang telah hilang. Seoalah-olah, generasi pertama dahulu gagal untuk dikandungkan dan dilahirkan semula. Ibubapa sudah tidak mampu lagi untuk mengandung dan melahirkan anak-anak generasi pertama dahulu. Lebih menyedihkan lagi, generasi hari ini begitu jauh dan terlalu tercorot terkebelakang dalam segala sudut. Bukan sekadar dalam soal pegangan agama sahaja, malah turut mencorot di belakang dalam soal pembangunan dan kemajuan. Bahkan generasi ini penuh dengan permasalahan dan penyakit yang kian menular seumpama hilang gedung simpanan penawar.

Kenapakah semua ini berlaku? Sedangkan al-Quran yang kita baca hari ini adalah al-Quran yang sama dibaca oleh generasi pertama dahulu. Apakah disebabkan kerana ketiadaan Rasulullah SAW bersama kita pada hari ini, menyebabkan kita mencipta alasan atas kegagalan yang kita pikul hari ini? al-Syahid Syed Qutb r.h.m menjawab dengan tegas di dalam 'Ma'alim fi al-Thariq': TIDAK. Kerana seandainya syarat mutlak untuk mencapai kejayaan dengan beradanya Rasulullah SAW bersama-sama, maka sudah tentu Islam yang diwahyukan ini tidak meliputi untuk sekalian umat sehingga hari kiamat. Bahkan tidak mungkin urusan ini diserahkan kepada manusia sehingga hari kiamat. Justeru ketiadaan Rasulullah SAW tidak boleh dijadikan jawapan atau alasan di atas kegagalan hari ini.

Oleh yang demikian, apakah sebabnya? Apakah faktornya? Kenapa generasi tidak seperti generasi pertama dahulu? Apakah yang membezakan kita dengan mereka?

Al-Syahid Syed Qutb r.h.m mengejutkan kita dari lamunan sejak sekian lama. Kitab Ma’alim fi al-Thariq merupakan hasil daripada cahaya iman dan jihadnya, telah berjaya membangkitkan jiwa yang tidur. Pada bab ‘Jil Qur’aniy Farid’ -Generasi al-Quran Yang Unik-, beliau menyenaraikan beberapa kriteria yang menyebabkan kita gagal mencapai kejayaan sebagaimana yang dicapai oeh generasi pertama. Perkara inilah yang membezakan generasi kita dengan generasi para sahabat:

Pertama: Sumber.

Sumber yang dicedok oleh generasi tersebut ialah al-Quran. Hanya al-Quran. Hadis-hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk Baginda adalah semata-mata penafsiran kepada sumber utama ini. Dari kerana itulah kita melihat bagaimana akhlak Rasulullah SAW.

فَقُلْتُ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ أَنْبِئِينِي عَنْ خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ أَلَسْتَ تَقْرَأُ الْقُرْآنَ قُلْتُ بَلَى قَالَتْ فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ الْقُرْآنَ

Aku (Sa’d bin Hisham bin ‘Amir r.a) bertanya; “Wahai Ummu al-Mukminin, ceritakan kepadaku tentang akhlak Rasulullah SAW”. A’isyah pun bertanya: “Tidakkah kamu membaca al-Quran?”. AKu menjawab: “Bahkan (saya membacanya).” A’isyah pun berkata: “Sesungguhnya akhlak Nabi Allah SAW (Nabi Muhammad) adalah al-Quran”.Riwayat Muslim no: 1233

Rasulullah SAW sangat marah seandainya terdapat para sahabat yang cuba merujuk kepada selain daripada al-Quran.

عن جابر ابن عبد الله : " أن عمر بن الخطاب أتى النبي صلى الله عليه وسلم بكتاب أصابه من بعض أهل الكتاب فقرأه النبي صلى الله عليه وسلم فغضب فقال : أمتهوكون فيها يا ابن الخطاب والذي نفسي بيده لقد جئتكم بها نقية لا تسألوهم عن شئ فيخبروكم بحق فتكذبوا به أو بباطل فتصدقوا به والذي نفسي بيده لو أن موسى صلى الله عليه وسلم كان حيا ما وسعه الا أن يتبعني


Kenapakah Rasulullah SAW bertindak sedemikian? Kerana Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya dan murni jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Ilahi yang terkandung dalam al-Quran al-Karim.

Kedua: Cara Menerima Pengajaran.

Inilah yang membezakan kita dengan para sahabat. Para sahabat tidak mendekatkan diri mereka dengan al-Quran dengan tujuan untuk mencari pelajaran dan bahan bacaan. Bukan juga untuk mencari hiburan dan penglipur lara. Tiada seorang pun daripada mereka yang belajar al-Quran dengan tujuan menambah bekal dan bahan ilmu semata-mata untuk ilmu. Bukan juga dengan maksud menambah bahan ilmu dan akademik untuk mengisi dada mereka sahaja. Bahkan mereka memperlajari al-Quran itu dengan maksud hendak belajar bagaimanakah arahan perintah Allah SWT dalam urusan hidup peribadinya dan hidup masyarakat. Begitu juga urusan hidup mereka sendiri dan hidup masyarakat mereka. Mereka belajar untuk dilaksanakan serta merta seperti seorang parajurit menerima ‘arahan harian’ atau ‘surat pekeliling’ bagi dilaksanakan serta merta.

Dasar ‘belajar untuk terus melaksanakannya’ merupakan faktor utama membentuk generasi pertama dahulu, manakala dasar ‘belajar untuk dibuat kajian dan penglipurlara’ itulah yang merupakan faktor penting yang melahirkan gengerasi-generasi kemudiannya. Tidak syak lagi bahawa faktor kedua inilah merupakan sebab utama mengapa generasi-generasi yang lain itu berlainan sama sekali dengan generasi pertama.

Ketiga: Erti Menganut Islam

Seseorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam, dia memulakan zaman baru dalam hidupnya. Terpisah sejauh-jauhnya daripada hidupnya yang lampau. Mereka mengambil pendirian dan sikap sangat berhati-hati dan berwaspada terhadap perkara yang berlaku pada zaman jahiliah. Mereka juga merasakan bahawa segala sesuatu di zaman jahiliah dahulu adalah kotor dan tidak sesuai dengan ajaran Islam. Dengan perasaan inilah, mereka menerima hidayah dan petunjuk Islam yang baru itu. Sekiranya pada satu-satu waktu atau sekali sekala mereka didorong oleh nafsunya untuk tertarik dengan kebiasaan jahiliah atau kalau merasa lemah untuk menjalankan tugas dan kewajipan keislamannya, maka timbul rasa bersalah dan berdosa dalam diri mereka. Terdetik dari lubuk hati betapa perlunya membersihkan dirinya daripada apa yang berlaku. Lantas berusaha sedaya upaya mengikuti panduan yang digariskan oleh al-Quran.

Justeru, untuk berjaya; Berpegang teguhlah dengan tinggalan Rasulullah SAW. iaitu al-Quran dan al-Sunnah. itulah resepi untuk sebuah kejayaan yang agung. Ingatlah saudaraku; "Jangan biarkan tinggalan Rasulullah SAW sebagai bahan yang kita tinggalkan". Fikir-fikirkan.

Kami Rindu Padamu Ya Rasulallah SAW!