undefined
undefined
بِسْمِ اللهِ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ. اَللَّهُمَّ
صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ وَعَلَى
آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَبَعْدُ:
Bahagian pertama: http://solleh-alfatimi.blogspot.com/2014/04/semoga-ustaz-don-maju-jaya-dalam-dakwah.html
Pada bahagian ini, saya tumpukan kepada isi kandungan video
yang dipertikaikan. Dalam video kompilasi tersebut, terdapat beberapa tajuk,
namun yang diberi keutamaan oleh Ustaz Don dan ramai pengkritik adalah pada 3
isu; telaga barahut, bani tamim dan mesir.
Saya akan mengulas dua sahaja iaitu isu bani tamim dan
mesir. Saya tidak bercadangkan ingin mengulas tentang isu-isu lain kerana tidak
begitu diperbesarkan, ragam permasalahan adalah hamper sama. Jawapan yang saya
kemukakan akan menjawab secara tidak langsung tentang isu tersebut.
TINDAKAN USTAZ DON
Sebagaimana yang saya nyatakan pada bahagian pertama, perkar
pokok yang perlu ustaz Don perjelaskan adalah berkenaan isi kandungan, bukannya
teknikalnya. Sekiranya ustaz Don menjawabnya secara disiplin ilmu, kemungkinan
artikel ini tidak akan wujud.
PERTAMA: CERITA BANI TAMIM.
Transkrip Ustaz Don : “Tuan-tuan, cuba buka kitab, kitab hadis,
tengok akhir zaman, contoh saya bagi je. Imam Mahdi, bukankah imam Mahdi nanti
ada penyokong. Penyokong imam Mahdi adalah Bani Tamim daripada timur dan ulama
kata kenapa bani tamim? ‘ta’ = tanah, ‘mim’ = melayu. Tanah Melayu. Ini diskusi
antara ulama. Bukan saya cakap kosong, hak ni ulama yang beritahu kat saya.
Saya sampaikan kat tuan-tuan. Nabi sebut imam Mahdi yang mai (datang) tolong
dia, support belakang dia adalah Bani Tamim daripada timur. Orang cari bani
Timur, siapa dia? Bila ulama renung-renung;
‘ta’ ‘mim’ = tanah melayu”. [rujuk video kompilasi @ video Bani Tamim
sebagaimana di atas]… Setakat ini sahaja ulasan Ustaz Don tentang Bani Tamim,
ceramah seterusnya adalah perkara yang lain dan tiada bersangkutan dengan Bani
Tamim.
Persoalan yang ingin saya timbulkan ialah
1. siapakah ulama yang berkata; bani tamim adalah ‘ta’ =
tanah, ‘mim’ = melayu. Siapakah para ulama itu? Apakah kitabnya? [hak ni
ulama yang beritahu kat saya…Ini diskusi antara ulama… Bila ulama
renung-renung;]
2. Benarkah tafsiran ini?
Ustaz Don berpendapat bahawa ini merupakan teori dan
pandangan, yang mana ia boleh diterima dan ditolak. Namun persoalannya, apakah
dalam agama kita boleh berteori sesuka hati? Andai kita bebas berteori, maka
tiada salahnya ajaran sesat, syiah, muktaziah yang berteori terhadap al-Quran
dan al-Sunnah dengan cara yang sewenang-wenangnya! Apakah kita bersetuju dengan
perkara ini? Justeru, dalam berteori ada landasannya, ada disiplin ilmunya.
Marilah kita mendalaminya.
BANI TAMIM & USTAZ BADLI SHAH
Ustaz Don juga menyatakan bahawa tafsiran ini diambil
daripada perbincangan dengan al-Fadhil Ustaz Badli Shah. Wallahu a’lam. Namun
berdasarkan rancangan CINTA ILMU yang membincangkan tanda-tanda kiamat
merupakan antara rancangan yang sentiasa saya ikuti sekalipun terkadang
terlepas beberapa episod, saya dapat memerhatikan metodologi penyampaian Ustaz
Badli Shah. Pertama sekali, menggunakan buku Asyrat al-Sa’ah, karangan Yusuf
bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil. Sebuah buku yang membentangkan tanda-tanda
kiamat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Kedua: Ustaz badli juga
ada menyelitkan beberapa teori dalam sesuatu perkara. Ustaz Badli menyenaraikan
teori-teori tersebut dan tidak menyatakan ini adalah teori yang betul atau
salah. Beliau sekadar menyenaraikan.
Justeru, kemungkinan ketika perbincangan dengan Ustaz Badli
(wallahu a’lam), ustaz Badli menyenaraikan atau menyatakan antara teori yang
timbul tentang bani tamim adalah tanah melayu. Ini kemungkinan. Maka ustaz
Badli tidak boleh dipersalahkan kerana beliau menyatakan bani tamim adalah
tanah melayu tetapi hanya menyatakan ada teori yang menyatakan demikian.
Berbeza dengan Ustaz Don yang menjadikan salah teori
tersebut sebagai hujah untuk menyatakan hebatnya orang melayu atau orang di
tanah melayu. Cara ustaz Don ini memberi gambaran kepada para pendengar bahawa
tafsiran bani tamim dalam hadis adalah tanah melayu. Ini merupakan satu jenayah
ilmu dan pentafsiran nas agama yang menyeleweng.
Oleh yang demikian, kami menuntut ustaz Don nyatakan
siapakah para ulama (ramai) yang menyatakan bani tamim adalah tanah melayu. Hal
ini kerana ustaz Don menegaskan; “Ini diskusi antara ulama.” Justeru, Ustaz Don
wajib menjelaskan perkara ini siapakah ulama itu?, berapa orang yang terlibat?
Bilakah diskusi itu? Apakah kitab rujukan diskusi tersebut?.
Memang benar ustaz Don tiada sebut dalam ceramahnya; “Saya
tak sebut sepatah pun inilah maksud hadis tersebut”. Benar ustaz Don tidak
menyebutnya. Andai tidak bermaksud inilah maksud hadis bani tamim, maka
kenapakah beliau mengeluarkan kenyataan bani tamim adalah tanah melayu? Apakah
tujuan beliau menaqalkan pandangan ‘ulama’ (bagai pandangan beliau) yang
menyatakan bani tamim adalah tanah melayu, sedangkan beliau sendiri tidak
menafikan teori tersebut. Maka mengikut kaedahnya; ‘apabila kita menaqalkan
suatu pandangan tanpa kita mengkritik pandangan tersebut, maka itulah pandangan
kita atau pandangan yang kita sokong’. Oleh demikian, Ustaz Don tidak perlu
berdalih dan berbohong kepada penonton seumpama ‘memperbodohkan’ para penonton.
CARA NABI BERCAKAP.
Apabila difikirkan tentang teori ini, maka kita akan dapat
mengesan bahawa teori ini adalah salah kerana mustahil Rasulullah bercakap
tentang bani tamim sedangkan para sahabat tidak memahami siapakah bani tamim.
Allah berfirman:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ
لَهُمْ
Maksudnya: Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul
melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah)
kepada mereka. (Surah Ibrahim : 4)
Rasulullah bersabda:
عَنْ
عَائِشَةَ رَحِمَهَا اللَّهُ قَالَتْ كَانَ كَلَامُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلَامًا فَصْلًا يَفْهَمُهُ كُلُّ مَنْ سَمِعَهُ
“Sesungguhnya percakapan Rasulullah SAW adalah percakapan
yang yang teratur (iaitu jelas dan nyata) yang difahami oleh semua orang yang
mendengarnya”. (Riwayat Abu Dawud, no: 4199)
Justeru, mustahil Rasulullah SAW berbicara tentang Bani
Tamim sedangkan para sahabat tidak memahami dan tidak mengetahui siapakah Bani
Tamim. Lebih-lebih lagi pada masa tersebut Tanah Melayu pun belum wujud.
TANDA KIAMAT ADALAH PERKARA AKIDAH
Kita perlu sedar bahawa persoalan tanda-tanda kiamat
merupakan persoalan akidah iaitu salah satu intisari dalam rukun iman; percaya
kepada hari kiamat. Oleh itu, ia wajib berdasarkan dalil yang sahih daripada
al-Quran dan al-Sunnah. Ia juga wajib difahami dalam konteks al-Quran dan
al-Sunnah. Maka sebagai seorang muslim adalah haram sama sekali mentafsirkan
perkara akidah berdasarkan kecenderungan kita tanpa berdasarkan ilmu yang
benar.
Insafi ancaman Rasulullah SAW.
عَنْ
الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ
عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Diriwayatkan daripada al-Mughirah r.a., katanya: Saya
mendengar Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya pendustaan terhadapku bukanlah sama
seperti pendustaan terhadap orang lain. Sesiapa yang berdusta terhadap aku
secara sengaja, maka persiapkan dirinya bagi tempatnya di dalam neraka”.
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan ramai lagi)
Sedarkah kita bahawa hadis di atas adalah hadis mutawatir.
Hadis yang diriwayatkan seumpama ini lebih daripada 73 orang sahabat!
Berdusta kepada Rasulullah bukan sekadar meriwayatkan hadis
palsu, tetapi termasuk berdusta kepada Rasulullah apabila kita mentafsirkan
hadis Rasulullah diluar ruang lingkup maksud Rasulullah SAW, bahkan berdasarkan
akal dan tidak berpandukan kepada disiplin ilmu.
Penjelasan bani tamim sebagai tanah melayu merupakan teori
yang bercanggah dengan akidah ahli al-sunnah wa al-jamaah samada aliran
asyairah atau pun salafi.
KAEDAH BERINTERAKSI DENGAN HADIS AKHIR ZAMAN @ TANDA-TANDA
KIAMAT
Untuk mentafsir hadis akhir zaman, para ulama telah menyusun
pelbagai kitab untuk rujukan dan panduan dalam mentafsirkan hadis akhir zaman.
Justeru, andai kita tidak tidak berpandukan dengan panduan tersebut, bermaksud
kita telah memandai-mandai mentafsirkan hadis Rasulullah SAW.
Antara buku yang menarik untuk dikongsikan di sini ialah
buku ‘Ma’alim wa Manarat fi Tanzil Nusus al-Fitan wa al-Malahim wa Asyrat
al-Sa’ah ‘ala al-Waqi’ wa al-Hawadith’ karangan Syeikh Abdullah bin Soleh
al-‘Ajiri. Beliau menyenaraikan 24 cara berinteraksi dengan hadis akhir zaman.
Antaranya ialah:
Kaedah ke-10 : meraikan lafaz-lafaz syariat.
Kaedah ke-12 : merujuk kepada ulama dalam perkara ini.
(tidak memadai merujuk kepada ulama Melayu yang tidak merujuk kepada sumber
utama agama dalam Bahasa Arab- saya)
Syarat yang paling berkaitan dengan isu yang dibincangkan
ini ialah syarat ke 23. Syeikh al-‘Ajiri menyebut: “Sesungguhnya wajib berpada
dengan apa yang ditunjukkan oleh nas syarak tentang sifat realiti yang berlaku,
maka ianya satu-satunya sumber bagi menggambarkan realiti akan datang untuk
mengesahkan waktu ia berlaku. Maka tidak perlu memperbanyakan sifat-sifat yang
akan berlaku sedangkan ia tidak dinyatakan di dalam nas, kerana sifat tambahan
tersebut akan menyempitkan ruang lingkup realiti sebenar sehingga mengeluarkan
daripada sempadan ini sesuatu yang tidak dinyatakan sifatnya..." (m/s
212).
Beliau memberi contoh, antaranya ialah sebahagian daripada
manusia yang menyatakan sifat-sifat al-Mahdi yang tidak benar, tidak terdapat
pada nas yang sahih, tidak ada pada nas dhaif atau kadang-kadang ia maudhuk
(hadis palsu)…” (m/s: 213)
Justeru, mensifatkan bani Tamim sebagai golongan daripada
Tanah Melayu merupakan suatu sifat yang tiada asasnya dalam al-Quran dan
al-hadis. (Hadis palsu pun tiada sebut!) Maka, teori sebegini adalah teori yang
menyeleweng sebagaimana teori al-Mahdi bagi mazhab Syiah.
BERTEORI DAN MENTAFSIRKAN NAS AGAMA.
Ustaz Don berhujah bahawa pandangan ini adalah satu
pandangan, ia pandangan yang boleh diterima dan ditolak. Benar. Namun, isu
disini bukan sekadar kebebasan berteori tetapi bagaimana disiplin ilmu dalam
berteori. Tambahan pula, perkara yang di diterorikan itu adalah ilmu agama,
bukan ilmu sains dan matematik. Maka disiplin ilmu agama wajib diikuti dan
dipatuhi. Andai ia dilanggar, maka penyelewengan dan kemusnahan agama akan
berlaku secara berleluasa.
Di sini saya ingin menukilkan pandangan ulama Malaysia yang
disegani oleh saya dan juga Ustaz Don, bahkan seluruh Malaysia iaitu Tuan Guru
Dr. Zulkifli Muhammad al-Bakri. Dalam buku beliau yang berjudul ‘Fatwa dan
Mufti : Hukum, Etika dan Sejarah’, beliau menyebut pada bab ke-4: Kegelinciran
yang berfatwa masa kini. Sekalipun buku ini membincangkan tentang fatwa, namun
prinsip dalam mentafsirkan dan berteorikan nas agama dan syariat Islam adalah
sama. Begitu juga maqasid yang sama.
Dr. Zulkifli menyenaraikan faktor kegelinciran, iaitu PEMAHAMAN
YANG MENYIMPANG. Beliau menyebut; “Kadang kala, perkara ini (kesalahan
menyimpulkan sesebuah ketentuan hukum dalam fatwa) juga disebabkan seseorang
itu mendokong pendapat sesuatu golongan, aliran pemikiran, kelompok parti
politik atau untuk mengejar keuntungan duniawi, atau juga kerana bertaqlid dan
mengikut pendapat orang lain dengan membabi buta”. (m/s: 45)
Beliau juga menerangkan bahawa penyelewengan yang pernah dilakukan oleh Ahli
Kitab terhadap kitab Taurat dan Injil. Yang mana penyelewengan atau tahrif yang
mereka lakukan bukan setakat menggantikan satu lafaz dengan lafaz yang lain,
tetapi yang lebih penting daripada itu ialah penyelewengan dan penyimpangan
makna dan maksud daripada satu-satu ayat. Ini bererti penyeewengan boleh terjadi
dalam dua peringkat iaitu:
a) penyelewengan ayat - diganti dengan lafaz yang lain.
b) penyelewengan makna dan maksud ayat. (Fatwa dan Mufti:
46)
Faktor penyelewengan yang lain adalah MENGIKUT DORONGAN HAWA
NAFSU; saya menukilkan faktor ini adalah kerana disebabkan ingin menunjukkan
kehebatan melayu, lantas mengambil teori tanpa penyelidikan yang lebih
mendalam. Marilah kita fahami maksud peyelewengan ini.
Apabila Dr. Zulkifli berbicara tentang kegelinciran yang
berfatwa masa kini yang ke-4, disebabkan oleh ‘mengikut dorongan hawa nafsu’.
Beliau antara lain menyebut: “musibah yang ditimbulkan oleh orang seperti ini
bermula dengan penampilan mereka sebagai seorang intelektual Islam dan ulama
besar, mendapat publisiti yang begitu meluas melalui media cetak dan elektronik
sehingga ramai di kalangan umat yang terpengaruh dengan idea-idea mereka.
Bahkan, ada orang yang boleh melupakan ulama-ulama lain yang warak, bertaqwa,
ikhlas dan mendalam ilmunya dalam perkara-perkara tentang agama Allah SWT.
Dengan demikian ummah hanya mengambil sumber yang rapuh dan buruk dengan
menginggalkan sumber yang kukuh dan baik”.
“Termasuk dalam perkara yang mengikuti hawa-nafsu
adalah: melakukan tarjih antara beberapa
pendapat-pendapat yang berbeza tanpa menggunakan murajjih (dalil atau hujah)
yang lebih kuat dari segi naqli (nas al-Quran dan al-Sunnah), aqli (akal) atau
mashlahi (mengambil kira maslahat yang diiktibar oleh syarak). Satu daripada
pelbagai pendapat yang berbeza itu diambil hanya kerana mengikut perasaan hati,
dorongan hawa nafsu atau untuk memuaskan kehendak orang lain sahaja, apatah
lagi ada kemungkinan pendapat yang diambil itu adalah pendapat yang paling
lemah hujahnya atau pendapat yang tidak diambil kira oleh kebanyakan ulama
muktabar. Para ulama muktabar mengkategorikan perbuatan seperti ini, iaitu
mengambil salah satu daripada pelbagai pendapat yang berbeza tanpa alasan dalil
lain yang lebih kuat dan kukuh, MERUPAKAN PENYELEWENGAN DAN PEMESONGAN AJARAN
AGAMA ALLAH SWT YANG SUDAH JELAS HUKUM HARAMNYA, seperti yang diperingatkan
oleh Nabi Muhammad SAW kepada para ulama dan intelektual Islam agar tidak
menjadikan hukum hakam dan ajaran agama Allah SWT sebagai permainan hawa-nafsu
dan dorongan syaitan”. (Fatwa dan Mufti; 60-61)
Dr. Zulkifli al-Bakri seterusnya menukilkan pandangan Imam
Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah, katanya: Seorang mufti DILARANG
mengambil mana-mana pendapat dan pandangan yang berbeza tanpa satu alasan dalil
yang kuat dan kukuh. Apatah lagi cara pengambilan satu-satu daripada pelbagai
pendapat yang berbeza itu hanyalah kerana ia merupakan pendapat seorang imam
atau pandangan sebahagian ulama, kemudian, tanpa hujah yang kukuh dan kuat,
mufti mengambil mana-mana pendapat yang disukainya kerana sesuai dengan
perasaan hati dan tujuannya. Dengan cara ini, dia (mufti) telah menjadikan
keinginan hati dan tujuannya sebagai murajjih (dalil) untuk mengambil dan
mengamalkan mana-mana daripada pelbagai pendapat yang berbeza, maka perbuatan
seperti ini adalah HARAM DI SEGI AGAMA ISLAM. (Fatwa dan Mufti; 61)
Oleh itu, apakah tafsiran ini masih dalam ruang lingkup yang
dibenarkan dan mengikut disiplin ilmu? Apakah teori sebegini tidak berpunca
daripada mngikut dorongan hawa nafsu lagi? Oleh itu, insafilah Firman Allah SWT
ini:
كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk
bagi amal jahat) yang dikerjakannya,”.
Surah al-Muddathir 74 : 38
KEDUA : MESIR & FITNAH IKHWAN MUSLIMIN
Berikut adalah transkrip ustaz Don:
“Ada dua peristiwa besar terjadi. Pertama, masa mesir jatuh,
ada sedikit rusuhan, mursi diturunkan, tentera naik, kemudian ada satu fatwa
yang dikeluarkan oleh seorang orang ‘alim, yang dihormati, namanya Dr. Ali
Jumuah. Betul tak? Dia kata macam boleh darah-darah rakyat tu, macam orang
kata; tentera boleh tembak depa
(mereka), takde masalah.
Saya nak beritahu tuan-tuan, kalau dalam situasi macam tu,
tuan-tuan nak percaya siapa? Sedangkan syeikh ‘Ali Jumuah, maaf eh, ini saya
sebut bentuk ilmu. Tuan-tuan nak rujuk, tuan-tuan nak percaya, nak kuatkan
hati, tuan-tuan boleh balik gi (pergi) cari sendiri, takde masalah.
Diantara orang yang diberi peluang untuk melihat nabi; Dr.
Ali Jumuah. Yang biasa bermimpi, boleh brcerita; Dr. Ali Jumuah. Antara… Saya
nak sebut kata; bila dia keluarkan kenyataan macam tu, yang paling terkesan
sekali siapa dia? Anak-anak murid dia yang mana belajar, orang-orang Malaysia
yang belajar dengan dia. Semua jadi terkejut; kenapa syeikh keluarkan fatwa
macam ni?. Semua orang melenting; kenapa syeikh jadi macam ni, kenapa jadi
camni. Orang jadi melenting tengok perkara-perkara macam tu. Yang sepatutnya
kita anak murid kena yakin itu guru kita. Dia bercakap berdasarkan kepada ilmu
dia… (kemudian Ustaz Don cerita betapa Syeikh Usamah begitu kagum dengan Dr.
Ai Jumuah)…
Budak melayu yang ngaji tak lama ni, yang mengaji
sekerat-sekerat ni, sikit-sikit, balik melenting apabila syeikh Ali Jumuah
cakap macam tu. Saya nak Tanya kita tahu tak apa yang berlaku dekat mesir
sebenarnya? Saya tak kata ikhwanul muslimin jahat. Saya tak kata. Saya nak
beritahu ikhwanul muslimin betul. Tapi siapa duk bawa ikhwanul muslimin? Dr.
Mursi bagus, silakan. Tapi siapa pengikutnya? Tuan-tuan selidik tak yang tu?
Maafkan saya jika saya sebut, antara yang paling ramai
mengikut ikhwanul muslimin adalah mereka yang berpegang dengan fahaman salafi
wahabi. Dan sudah ada ura-ura dikalangan mereka bila mereka dapat sahaja pegang
mesir, pertama sekali yang mereka nak mansuhkan adalah pendidikan university
al-Azhar. Tuan-tuan tahu tak benda-benda tu? Yang kita duk melenting at Ali
Jumuah ni! Ooooh mana boleh, kita tak tahu, tak khabar. Dia tak boleh nak
khabarkan kat kita, dia ada rancangan dia. Dia ada plan dia. Tak beritahu plan
tu adalah plan. Not telling the plan is plan. Boleh faham tak? Yang mana lagi
besar? Jangan jadi macam syiria… (kemudian Ustaz Don cerita tentang Syiria,
Dr. al-Bouti). [00:25:00 - 00:31:45]
Kemudian ustaz Don cerita tentang perbezaan pendapat antara
Mufti kedah dan Dr. MAZA. [masa 00:38:20] baru mula baca kitab.
FATWA ALI JUMUAH
Di dalam video tersebut ustaz Don menyatakan pendapat yang
dikemukakan oleh Syeikh Dr. Ali Jumuah: “Dia kata macam boleh darah-darah
rakyat tu, macam orang kata; tentera boleh
tembak depa (mereka), takde masalah” [Video penuh tentang Ikhwan]. Namun
kenyataan ini telah diperbetulkan oleh Ustaz Don bahawa ia Dr. Ali menafikan
bahawa itu adalah kenyataan beliau. [Jawapan Ustaz Don 1 (TV al-Hijrah)]
Maka daripada kuliah Ustaz Don di Bangi [Video penuh tentang
Ikhwan] yang merupakan punca tercetusnya kritikan terhadap beliau dan Dr. Ali.
Andai ustaz Don sangat menekankan tentang firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu
berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,”. Surah al-Hujurat : 6.
Maka
kenapakah beliau tidak mengaplikasikan prinsip ini di dalam kuliahnya? Kenapa
terlalu cepat menyebarkan berita yang tidak benar? Kenapa tiada tabayyun?
Kenapa tiada tasabbut? Benar, Ustaz Don yang seolah-olah ingin membela gurunya,
namun sekiranya tuduhan terhadap Dr. Ali adalah tidak benar dan fitnah, maka
ustaz perlu nafikan fatwa palsu tersebut yang dinisbahkan kepada Dr. Ali dan
bukannya menyebarkan dan menyokong fatwa tersebut serta menyuruh orang lain
meyakini dengan fatwa tersebut.
PERCAYA GURU
Rentetan daripada kepercayaan bahawa fatwa itu benar
datangnya daripada Dr. Ali, maka Ustaz Don mengajak penonton untuk mempercayai
fatwa tersebut. Ustaz Don menjelaskan: “Saya nak beritahu tuan-tuan, kalau
dalam situasi macam tu, tuan-tuan nak percaya siapa? Sedangkan syeikh ‘Ali
Jumuah, maaf eh, ini saya sebut bentuk ilmu.”… “Yang sepatutnya kita anak murid
kena yakin itu guru kita. Dia bercakap berdasarkan kepada ilmu dia…”.
Sedangkan dalam disiplin ilmu, kita tidak diajar untuk
mempercayai apa sahaja yang keluar daripada mulut guru dan tidak meyakini
bahawa guru kita adalah betul dan benar dalam semua perkara. Memang diakui
keilmuan Dr. Ali, seorang ulama yang hebat dan saya sendiri membaca kitabnya
dan pandangannya juga menjadi rujukan saya. namun kita ini tidak bermakna semua
fatwa dan kata-katanya adalah benar dan tiada salah. Lebih-lebih lagi ia
melibatkan menghalalkan yang haram (membunuh orang yang turun demostrasi), maka
ia perlu kepada kaedah dan disiplin ilmu dengan membentangkan dalil yang sahih
dan pemahaman yang betul.
Tetapi Alhamdulillah, fatwa tersebut tidak dikeluarkan oleh
Dr. Ali. Alhamdulillah. Cuma yang tersepit sekarang adalah Ustaz Don yang
terlalu gopoh mempercayai dan mengajak penonton mempercayai fatwa tersebut.
Sedangkan dalam masa yang sama ustaz Don tidak meneliti kisah sebenarnya.
MIMPI JUMPA RASULULLAH
Antara faktor yang membuatkan Ustaz Don mengajak penonton
mempercayai fatwa tersebut adalah kerana Dr. Ali pernah beberapa kali bermimpi
berjumpa dengan Rasulullah SAW. Ustaz Don berkata: “Diantara orang yang diberi
peluang untuk melihat nabi; Dr. Ali Jumuah. Yang biasa bermimpi, boleh
brcerita; Dr. Ali Jumuah.”.
Benar, kita sangat menginginkan untuk bertemu dengan
Rasulullah SAW. Namun asas dan dasar ini tidak boleh dijadikan hujah. Kita
tidak boleh membenarkan dakwaan atau fatwa seseorang kerana seseorang itu
pernah mimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW. Ini bukan disiplin ilmu yang
diamalkan oleh para sahabat, tabiin dan mereka yang mengikuti mereka.
al-Imam Ahmad bin Hanbal menceritakan tentang seseorang
berkata kepadanya: “Ibu saya telah bermimpi bagi engkau syurga”. Jawab
al-Imam Ahmad: “Wahai saudara! Dahulu Sahl bin Salamah telah diberitahu perkara
yang sebegini kemudian dia melakukan menumpahkan darah manusia”. Kata Ahmad bin
Hanbal lagi: “Mimpi itu mengembirakan orang mukmin, bukan memperdayakannya”.
(al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 11/227).
Justeru jangan terpedaya dengan mimpi. Andai Dr. Ali
bermimpi berjumpa dengan Rasulullah, maka itu adalah berita gembira buatnya
tetapi kita jangan terpedaya dengan menganggap ini adalah lesen halal untuk
mengeluarkan fatwa tanpa mengikuti Disiplin Ilmu.
Dalam hal peribadi Dr. Ali, saya secara jujur mengakui
beliau mempunyai disiplin ilmu yang kukuh dan tidak menuduh Dr. Ali
mengeluarkan fatwa sesuka hati atau memperdayakan pengikutnya dengan mimpi
tersebut. Dengan perasaan ini saya tidak mengkritik ilmu dan kedudukan beliau
sebagai ulama, namun yang perlu dipersalahkan adalah para pelajarnya yang telah
merosakkan imej beliau dengan sifat taksub membuta tuli yang tidak berpandukan
dalil.
MIMPI JADI HUJAH?
Sekiranya kita membuat andaian, seseorang bermimpi berjumpa
dengan Rasulullah SAW, lantas dalam mimpi tersebut, Rasulullah SAW (baca: bukan
yang sebenar) membenarkan seseorang membunuh orang lain, adakah mimpi tersebut
merupakan hujah dan boleh diamalkan?
Imam Ibn
Hajar al-Haitami rhm. Menyatakan dalam al-Manhaj al-Qawim:
ولا عبرة بقول من
قال أخبرني النبي صلى الله عليه وسلم في النوم أن غدا من رمضان فلا يجوز بالإجماع العمل
بقضية منامه لا في الصوم ولا في غيره (المنهج
القويم بشرح مسائل التعليم لابن حجر الهيتمي – ص: 396, ط : دار المنهاج, 2006)
“Tidak
diterima sesuatu perkataan bagi sesiapa yang berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW memberitahu
saya di dalam tidur bahawa esok adalah puasa Ramadhan. Maka TIDAK HARUS SECARA
IJMAK ULAMA untuk beramal dengan isu atau perkhabaran dalam mimpinya. TIDAK
HARUS mengikutinya dalam perkara PUASA & SELAIN PUASA”.
Demikian juga prinsip yang ditegaskan oleh Imam al-Hasan
al-Banna dalam Usul al-‘Isyrin:
ولكن الإلهام والخواطر
والكشف والرؤى ليست من أدلة الأحكام الشرعية، ولا تعتبر إلا بشرط عدم اصطدامها
بأحكام الدين ونصوصه.
“… Tetapi
ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah daripada dalil-dalil hukum
syarak. Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat iaitu tidak bercanggah
dengan hukum agama dan nas-nas agama”.
Oleh yang
demikian, andai seseorang yang bermimpi dan dalam mimpinya Rasulullah SAW
menyuruh agar membunuh, maka mimi tersebut tidak relevan dan haram
dilaksanakan. Apatah lagi seseorang individu yang bermimpi dengan Rasulullah
SAW dalam perkara lain.
SOAL FATWA PERLU KEPADA DALIL
Oleh yang demikian, sebarang fatwa mesti berdasarkan asas
yang kukuh ia dibina dariada disiplin ilmu yang mantap bukan berdasarkan hawa
nafsu dan kejahilan. Dalam perbahasan ini saya tekankan bahawa Us. Don perlu
berhujah berdasarkan disiplin ilmu dengan mengemukakan dalil dan hujah yang
muktabar di sisi agama, bukan hujah yang diambil ditepi jalan (tanpa
menyelidiki kebenaran) dan dijadikan modal ceramah.
FITNAH IKHWAN
Antara perkara sangat besar dan tidak boleh dimaafkan adalah
tuduhan fitnah terhadap Ikhawanul Muslimin. Dalam video tersebut, Ustaz Don
tidak menarik balik fitnah tersebut dan tidak memohon maaf terhadap Ikhwanul
Muslimin. Ustaz Don menyatakan: “Maafkan saya jika saya sebut, antara yang
paling ramai mengikut ikhwanul muslimin adalah mereka yang berpegang dengan
fahaman salafi wahabi. Dan sudah ada ura-ura dikalangan mereka bila mereka
dapat sahaja pegang mesir, pertama sekali yang mereka nak mansuhkan adalah
pendidikan university al-Azhar. Tuan-tuan tahu tak benda-benda tu? Yang kita
duk melenting at Ali Jumuah ni! Ooooh mana boleh, kita tak tahu, tak khabar.
Dia tak boleh nak khabarkan kat kita, dia ada rancangan dia. Dia ada plan dia.
Tak beritahu plan tu adalah plan. Not telling the plan is plan. Boleh faham tak?
Yang mana lagi besar?” [Video penuh tentang Ikhwan]
Ini merupakan fitnah yang paling besar ustaz Don terhadap
Ikhwanul Muslimin sekalipun beliau menyatakan; “Saya nak Tanya kita tahu tak
apa yang berlaku dekat mesir sebenarnya? Saya tak kata ikhwanul muslimin jahat.
Saya tak kata. Saya nak beritahu ikhwanul muslimin betul. Tapi siapa duk bawa
ikhwanul muslimin? Dr. Mursi bagus, silakan. Tapi siapa pengikutnya? Tuan-tuan
selidik tak yang tu?” [Video penuh tentang Ikhwan].
Ketika ustaz Don mempertahankan dirinya dengan mengemukakan
dalil;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu
berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,”. Surah al-Hujurat : 6.
Apakah prinsip ini untuk membela diri ustaz Don sahaja?
Tetapi Ustaz Don boleh sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan dan fitnah? Andai
embuat video itu memfitnah Ustaz Don, maka mangsanya adalah Ustaz Don seorang.
Tetapi apabila Ustaz Don menfitnah Ikhwanul Muslimin, bukan seorang yang
menjadi mangsa, bukan seorang yang dizalimi tetapi berjuta-juta penyokong
ikhwan dizalimi! Andai Ustaz Don benar2 jujur mohon maaf dan Tarik balik
tuduhan ini.
Namun ustaz Don berlepas diri, bahawa berita ini diambil
daripada Ustaz Muhadir Haji Joll [Penjelasan Ustaz Don (Sebelum ke UK)]. Saya
tidak mahu mengkritik Ustaz Muhadir sebab saya tidak pasti dan tiada rakaman
tentang kenyataan tersebut. Maka kritikan ini saya tujukan kepada Ustaz Don.
Kerana Rasulullah bersabda:
كَفَى
بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
“Sudah
mencukupi seseorang itu dianggap sebagai berdusta apabila ia menceritakan semua
yang ia dengar”. (Riwayat Muslim).
Sebenarnya, andai ustaz Don selidiki sedikit sahaja dengan
membaca dan memerhatikan apa yang berlaku di Mesir, maka tuduhan ini tidak akan
terjadi. Namun kerana sifat gopoh dan tiada disiplin ilmu, maka diceritakan apa
yang didengar sekalipun ia palsu.
Apakah kita sedar bahawa kerajaan Saudi (yang dikatakan
Wahabi) menyokong Ikhwan dan Mursi ditumbangkan, malah menyalurkan dana untuk
al-Sisi. Apakah mereka tidak melihat bahawa Parti Nur yang bermanhaj salafi
telah keluar dan menentang ikhwan serta bergabung dengan kumpulan untuk
menumbangkan Mursi. Apakah ikhwan salafi wahabi! Tuduhan yang paling tidak
berakal adalah Ikhwan yang didalangi pengikutnya bercita-cita untuk memansuhkan
pendidikan al-Azhar. Ini merupakan satu kejahilan yang tidak mampu dimaafkan.
KESIMPULAN.
1. Ustaz Don ada menyatakan: “Jika benda itu saya buat,
ampunkan saya” [video penjelasan sebelum ke UK]. Namun dosa terhadap ilmu bukan
dimaafkan dengan minta maaf, tetapi perlu diberikan penerangan dan penjelasan
yang sebenar. Inilah yang al-Quran ajarkan kepada kita;
إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَئِكَ أَتُوبُ
عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
“Kecuali
orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta
menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima
taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”. (Surah al-Baqarah: 160)
Inilah cara
ahli ilmu jika ingin meminta maaf iaitu bertaubat, memperbaiki dan menerangkan
perkara yang sebenar. Andai ia tidak dilakukan, ia adalah permohonan maaf yang
dusta.
2. Ustaz
Don perlu memahami disiplin ilmu yang ingin dibincangkan. Jagalah kemuliaan
ilmu dan kedudukan para asatizah, sekalipun tidak layak bergelar ulama.
3. Saya
tidak menyuruh ustaz Don berhenti dari berdakwah. Teruskan dakwah, tapi
berhati-hati. Ilmu agama itu amanah. Masyarakat dahagakan agama, maka berilah
ilmu yang benar-benar suci dan murni, berilah ilmu yang telah ditapis. Jangan
kita sebarkan berita palsu dan kefahaman yang salah, lantas berlepas diri
dengan menyatakan “Tuan-tuan nak rujuk, tuan-tuan nak percaya, nak
kuatkan hati, tuan-tuan boleh balik gi (pergi) cari sendiri, takde masalah”.
Tugas kita para asatizah lah yang memberi ilmu untuk menyebarkan agama yang
benar dan fakta yang betul. Janganlah kita menyerabutkan kepala masyarakat
dengan cerita atau fakta yang mengarut, atau fitnah. Jawablah segala persoalan
secara objektif dan ilmiah.
4. Sekiranya ada terkasar bahasa dan tersalah fakta, saya mohon teguran. jika terdapat kritikan terhadap artikel ini, saya sangat mengalu-alukan, namun kritikan mestilah secara objektif dan berdasarkan ilmu. kritikan tanpa dasar ilmu, hanyalah dikemukan oleh mereka yang mengikuti hawa nafsu. Mohon Maaf.
Akhir kalam, saya doakan SEMOGA USTAZ DON MAJU JAYA DALAM
DAKWAH. Amin.
Catat Ulasan