Solleh Al-Fatimi
Hadis Palsu atau istilah hadisnya dikenali sebagai Hadith al-Maudhu' . Ia dibincangkan secara mendalam di dalam disiplin ilmu yang dikenali sebagai Mustalah al-Hadith. Para ulama telah menjelaskan pengertian Hadis Maudhu' ini, sebagai contoh Imam Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam Qawa'id al-Tahdith fi Funun Mustalah al-Hadith, beliau menyatakan bahawa ia hadis dusta atau yang direka oleh seseorang perawi secara sengaja dan disandarkan hadis tersebut kepada Rasulullah SAW.

Sekalipun ia dikenali sebagai Hadis Maudhu', namun ia sama sekali bukannya hadis yang diucapkan atau yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Bahkan, ia sama sekali tidak boleh dikategorikan di dalam kategori hadis Rasulullah SAW, walaupun dalam kategori Hadis Dhaif!

Perlu juga kita fahami bahawa sandaran 'Hadis'kepada Hadis Maudhu', bukan bermakna ia diiktiraf sebagai sebahagian daripada hadis Rasulullah SAW, bahkan ia merupakan satu istilah dalam disiplin ilmu hadis yang menggambarkan ia bukanlah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, malah ia merupakan satu pendustaan yang direka oleh perawi dan mendakwanya sebagai hadis.

HUKUM PENDUSTAAN TERHADAP RASULULLAH SAW

Ketegasan Rasulullah SAW terhadap isu ini dapat kita perhatikan secara jelas melalui sabda Baginda SAW:
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
 "Sesiapa yang melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya di dalam neraka" Hadis Riwayat al-Bukhari.


NOTA MENGENALINYA


Imam Ibn Hajar al-'Asqalani meyatakan di dalam 'Nuzhah al-Nazar' bahawa tanda-tanda hadis palsu boleh diperhatikan melalui keadaan atau kedudukan perawi (sanad) danjuga isi kandungan periwayatan (matan).

KAEDAH PERTAMA: KAJIAN SANAD

Tanda-tanda hadis palsu pada sanad dapat diperhatikan melalui beberapa perkara berikut:

1. Terdapat perawi yang sememangnya seorang pendusta dan dia dikenali sebagai seorang pendusta hadis. Malah hadis yang diriwayatkannya itu tidak pula diriwayatkan oleh perawi yang thiqah yang lain.

2. Pengakuan yang dilakukan oleh pemalsu hadis. Dia mengaku bahawa dia telah memalsukan sesebuah hadis. Seperti hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihan al-Quran, yang diriwayatkan oleh Maisarah bin Abdu Rabbihi al-Farisi. beliau telah mengakui telah memalsukan hadis tersebut.

3. Kenyataan secara tidak langsung daripada perawi yang boleh difahami sebagai pengakuan mendustakan hadis. Contohnya seorang perawi meriwayatkan sebuah hadis dari seorang syeikh, maka ditanya akan tarikh kelahirannya, ternyata tarikh kematian syeikh tersebut sebelum kelahirannya. Hadis itu pula hanya dia seorang sahaja yang meriwayatkannya. Dalam hal ini, perawi tidak mengaku memalsukan hadis tetapi pengakuan tarikh kelahiran itu dikira sebagai pengakuan ia terlibat dalam pemalsuan hadis.

KAEDAH KEDUA: KAJIAN MATAN

Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah telah menjelaskan secara jelas dan terperinci ciri-ciri mengenal pasti hadis palsu melalui kitabnya 'al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaif'. Tulisan ini amat bermakna bagi kita dan boleh membantu kita menilai matan-matan hadis palsu.

Antara kaedah pengecaman bagi hadis-hadis palsu adalah sebagaimana dalam senarai berikut:
1. Matan hadis bercanggah dengan nas al-Quran.

2. Matan hadis bercanggah dengan nas hadis yang sahih.
3. Matan hadis mengandungi sesuatu yang mustahil dan ditolak oleh akal yang waras.
4. Terdapat unsur-unsur yang janggal / keterlaluan yang membuktikan ia bukan dari hadis Rasulullah s.a.w.
5. Perasaan yang benar boleh mengesani kepalsuan dan menolaknya (khusus untuk pakar hadis)

6. Matan mengandungi perkara-perkara yang buruk dan bahan ketawa.
7. Matan hadis jelas bercanggah dengan al-Sunnah al-Sahihah. Maka, mana-mana hadis yang menjurus kepada maksud menyanjung kebatilan atau mencaci kebatilan atau seumpamanya tiada kaitan dengan sabda Rasulullah.
8. Matan hadis yang bermaksud menuduh Nabi s.a.w melakukan sesuatu perkara yang zahir dihadapan semua sahabat dan semua sahabat bersetuju untuk merahsiakannya tanpa menyampaikan kepada orang lain.
9. Matan hadis itu sendiri mengandungi kebatilan yang membuktikan bahawa ia bukan dari kata-kata nabi s.a.w
10. Matan hadis tidak menyerupai kata-kata para Nabi s.a.w.

11. Matan hadis menyebut tarikh-tarikh tertentu bagi peristiwa yang berlaku.
12. Matan hadis lebih mirip kepada nasihat dan pandangan tabib/ doktor
13. Hadis-hadis berhubung kelebihan akal.
14. Hadis-hadis yang menyebut al-Khadhir masih hidup.
15. Hadis-hadis yang ditolak oleh dalil-dalil yang sahih (syawahid sahihah)

16. Hadis berhubung fadhilat solat pada siang dan malam hari dalam seminggu. begitu juga hadis-hadis yang berkaitan solat al-Raghaib yang dilakukan pada malam jumaat pertama di awal bulan Rejab.
17. Hadis-hadis  berhubung fadhilat solat malam nisfu sya'ban.
18. Lafaz hadis lemah dan janggal, tidak senang didengar oleh telinga dan ditolak secara tabi'ie
19. Hadis-hadis yang menghina warga Habshah, Sudan, Turki, al-Khusyan dan golongan al-Mamalik.
20. Terdapat qarinah (tanda) yang menunjukkan hadis tersebut adalah batil\

21. Hadis-hadis berkenaan kelebihan burung merpati.
22. Hadis-hadis berhubung kelebihan memelihara ayam.
23. Hadis-hadis yang menghina anugerah anak
24. Hadis-hadis kelebihan bercelak, berhias dan bersolat pada hari 'Asyura'. Yang ada hanyalah galakan berpuasa pada hari tersebut.
25. Hadis-hadis yang menyebut kelebihan surah-surah tertentu serta ganjaran orang yang membacanya dari awal surah sehingga akhirnya.

26.Hadis-hadis berhubung kelebihan Abu Bakr yang dipalsukan oleh golongan yang jahil seperti hadis yang menyebut apabila Allah mencipta ruh, maka Allah memilih ruh Abu Bakr, juga hadis yang memberitakan Allah bertajalli kepada Abu Bakr pada hari kiamat secara khusus.
27. Hadis-hadis berhubung kelebihan Ali bin  Abi Talib yang dipalsukan oleh puak Rafidhah / Syi'ah.
28. Hadis-hadis berhubung Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi'e yang menyebut nama kedua-duanya dengan jelas. Begitu juga hadis yang mencela mereka berdua.
29. Hadis-hadis yang menyebut iman bertambah dan berkurang dan sebaliknya, semuanya adalah palsu, bukan hadis yang bersumberkan Rasulullah SAW. Walau bagaimana pun kata-kata itu adalah benar dari sudut maknanya dan merupakan ijmak ulama salaf.

Semoga ia menjadi panduan buat kita. Semoga dengan berdampingan dengan hadis Rasulullah SAW, membuatkan kita lebih cintakan Rasulullah SAW.
Labels: | edit post
1 Response
  1. Tanpa Nama Says:

    syukran, informasi yang bermanfaat....mohon share


Catat Ulasan