Solleh Al-Fatimi
Assalamualaikum...
Alhamdulillah dengan izin Allah dipertemukan lagi untuk kali ke-dua ini. Pada kali ini difokuskan pada penjelasan berkenaan lafaz Allah dan maknanya. selamat mengambil manfaat daripadanya.

Perbincangan ini dibahagikan kepada beberapa perkara, antaranya:

PERTAMA : PADA BAHASA
Lafaz Allah merupakan kata terbitan yang mempunyai kata dasar tertentu. Namun para ulama' berbeza pandangan tentang kalimah asal kalimah Allah tersebut. Pendapat yang tepat ialah kalimah ini berasal dari
( أله - يأله - الهة - و ألوهة - و ألوهية ). Ia membawa maksud (عبد - عبادة) iaitu menyembah dan penyembahan. Daripada timbangan (wazan) ini lahirnya kalimah ilah (إله) yang bermaksud ma'luh (مألوه) iaitu yang disembah (ma'bud). Lafaz ini merujuk kepada maksud yang tersendiri sebagaimana yang telah dinyatakan oleh para ulama' bahasa. (Lisan al-Arab 1/197)

Secara tafsilnya, seperti yang dinyatakan di dalam kitab al-Mu'jam:
Pertama : Perkataan أَلَهَ - يَأْلَهُ - اِلَهَةً - و أَلوهَةً - و أُلُوهِيَة maksudnya ialah: beribadat
Kedua : Perkataan أَلِهَ - يَأْلَهُ - أَلَهًا maksudnya : Hairan dan tercengang
Ketiga : Perkataan ِ أَلِهَ - إِلَيْه maksudnya : Pergi dan berharap kepadanya

Kesemua makna ini diambil daripada kalimah أَلَهَ - يَأْلَهُ - اِلَهَةً - و أَلوهَةً - و أُلُوهِيَة dan antara lain dengan maksud mentaati dan hal ini berlaku pada ibadah iaitu cinta dalam ketaatan. (Mausu'ah Asma' Allah al-Husna, 2/7)

Kata ini merupakan bentuk thulathi (tiga huruf) iaitu alif, lam dan ha yang mencakupi beberapa makna :

  • Peribadatan, seperti dikatakan: "Fulan beribadah kepada Tuhan, ketuhanan", iaitu menyembah.
  • Sewa-menyewa, seperti dikatakan: "Fulan alhan", iaitu : menyewakannya dan memberikannya ketenangan.
  • Kebingunan, seperti dikatakan: "Aliha-alah", iaitu bingung.
  • Tinggal, seperti dikatakan : "Aliha ditempat", iaitu : tinggal ditempat tersebut.
KEDUA : PADA ISTILAH
Al-Ilah adalah setiap sesuatu yang disembah. Barangsiapa yang menyelidiki pengambilan sebutan al-Jalalah (Allah) maka diketahui bahawa nama tersebut terambil dari kata (Ilahu). Ketika kata ini dimasukkan dengan huruf 'al' pada asal 'Ilah' (Allah) kemudian huruf hamzah pada 'Ilahu' serta lam at-ta'rif diidghamkan, maka menjadilah sebutan kalimah tersebut lafaz ALLAH. (Allah al-Ahad, hal 235-236)

Dinukilkan daripada Ibn Manzur beberapa pandangan para ulama' berkenaan dengan nama Allah s.w.t. (1/196-197):
1. Al-Laith berkata: "Telah sampai kepada kami bahawa nama Allah yang Maha Besar ialah Allah yang tiada tuhan kecuali Dia yang bersifat Esa".

2.Syeikh Abdullah Sirajuddin berkata: "Allah adalah isim alam. Menunjukkan terhadap zat Allah taala rabbal alamin, Tuhan yang disembah dengan sebenar, bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang tidak boleh dihitung dan dikira, dihadkan dan dibataskan. Suci dari segala keaiban dan kelemahan, Esa dengan sifat wajib al-wujub dan tidak layak seorang pun atau mana makhluk pun menamakan dengan nama-Nya. Dengan sebab itulah kalimah ALLAH tidak ditasniahkan (diduakan) atau dijama'kan". (Haula Tafsir Surah al-Fatihah, hal 21)

3. Al-Khalil berkata: "ALLAH tidaklah boleh dibuang alif pada nama-Nya, tetapi Dia adalah Allah Maha Perkasa sebutannya atas kesempurnaan dan Dia bukanlah daripada nama-nama yang harus di'mushtaq'kan daripada fi'il sebagaimana nama al-Rahman dan al-Rahim".

4. Ibn Abbas r.a berkata: "ALLAH yang memiliki (sifat) ketuhanan (al-Ilahiyyah) dan kehambaan ('Ubudiyyah) keatas seluruh makhluk-Nya".

Kalimah Jalalah (ALLAH) mengetahui zat al-Ilah yang sebenar dan Dialah semata yang berhak disembah. Kalimah inilah yang terbanyak disebut dalam al-Quran. Penggunaannya berulang-ulang sebanyak 2820 kali. Kali ini merupakan lafaz Islam yang termasyhur yang diucapkan setiap insan.

Telah dijelaskan asal kalimah (alif, lam dan ha) dan juga penggunaan pengambilan huruf tersebut, khususnya lafaz ALLAH di kalangan orang-orang Arab. Kalimah ini berasal dari Arab samada pada masa jahiliah mahupun selepas Islam, dan bukan merupakan kata serapan (dakhil). (Dairah al-Ma'rif al-Islamiyyah, 1/302-311)

Berasaskan pendapat ini, Ulama' nahu Arab termasyhur antaranya al-Kisa'i dan al-Farra' mengatakan kalimah Allah itu berasal daripada kata Al-Ilah. Kemudian mereka membuang huruf 'hamzah' dan menggabungkan (idgham) huruf 'lam' yang pertama ke dalam huruf 'lam' yang kedua. kemudian terbentuk satu 'lam' yang disabdukan (tasydid) dan dibaca dengan tebal dan berat.

TARJIH
Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah berkata : "Yang benar, kalimah ALLAH ialah kata yang mempunyai asal, dimana asal katanya ialah 'Al-Ilah'. Ini sebagaimana pendapat ahli bahasa terkenal Sibawaih dan majoriti saabatnya kecuali beberapa orang yang berpendapat sebaliknya (tanpa sebarang asas). Lafaz ALLAH mencakupi seluruh makna al-Asma' al-Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi".

Syeikh asy-Sya'rawi dalam tafsirnya 1/27 berkata : "Tentang lafaz ALLAH pada Bismillah, ia membawa maksud memohon bantuan kengan kekuatan ALLAH swt untuk menjayakan sesuatu pekerjaan. Hal ini sangat berbeza dengan Alhamdulillah yang berisikan rasa terima kasih kepada ALLAH setelah kita bekerja. Manusia tidak dapat mengungkapkan rasa syukur kepada ALLAH kecuali dengan menggunakan lafaz AL-Jalalah (ALLAH) tersebut. Lafaz tersebut merangkumi seluruh sifat-sifat Allah yang mulia, sehingga tidak perlu diungkapkan dengan al-Hamdu li al-Qahhar, al-Hamdu li al-Wahhab atau yang lainnya".

PENDAPAT TOKOH ULAMA' ISLAM DAN CENDIKIAWAN KRISTIAN
Di sini penulis menyertakan pendapat tokoh ulama' Islam dan juga cendikiawan Kristian yang berpendirian bahawa penggunaan nama ALLAH bagi orang-orang bukan Islam adalah tidak sesuai.

PERTAMA : Pendapat Tokoh
1. Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia telah mengulas sebagaimana yang telah disiarkan di dalam Mingguan Malaysia, Ahad 6 januari 2008.
2. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor, Setiausaha Agung Persatuan Ulama' Malaysia berkata : "Menterjemahkan perkataan God kepada Allah bagi agama lain tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang merujuk kepada ALLAH sebagai Tuhan yang Maha Esa. Setelah menimbang maslahat dalam konteks Malaysia, Persatuan Ulama' Malaysia bersetuju mengambil pendirian bersetuju bahawa perkataan ALLAH tidak wajar digunakan bagi agama lain selain daripada Islam".

3. Osman Abu Bakar, ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) berkata : "Haramkan sahaja penerbitan mereka (Herald Catholic) atau menarik balik permit mereka jika sengaja menggunakan nama ALLAH. Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kerana perbuatan ini boleh mengakibatkan ketegangan agama. Kita tidak mahu keamanan negara ini dicemari dengan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini dan kami sedia bertindak atas nama ISLAM.

4. Prof. Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul di UIAM berkata: "Hasil penelitian saya, akhbar Herald Catholic sengaja mencetuskan provokasi Islam Melayu dengan menyentuh perkara yang paling sensitif. Ia diburukkan lagi dengan tindakan seorang menteri yang tidak menjaga sensitiviti ini. Kita sanggup mempertahankan hak ini kerana ALLAH sendiri mewajibkan kita berjuang sekiranya kesucian ISLAM dicemari. Jangan sentuh semangat jihad kami!"

5. Dato' Seri Mohd Tamyes Abd Wahid, Mufti Selangor berkata : "Sepatutnya mereka (Herald Catholic) faham perkataan ALLAH itu tidak harus digunakan kerana perkataan itu khusus kepada agama ISLAM sahaja dan ia merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa. Dalam agama Kristian sendiri, mereka tidak menggunakan kalimah ALLAH dalam kitab mereka sebaliknya mereka menggunakan perkataan seperti Ilah, God, Lord dan sebagainya bagi merujuk tuhan mereka".
Menurut beliau, larangan menggunakan perkataan ALLAH kepada mana-mana agama lain selain Islam, telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak bertahun-tahun dahulu.

6. Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, Imam Besar Masjid Negara berkata : "Nama ALLAH bukan sewenang-wenangnya boleh digunakan. Ini kerana Islam merupakan agama yang suci dan tindakan Herold Catholic ini adalah mempersendakan Islam dan perlu diambil tidakan tegas".

7. Dato' Dr. Maamor Osman, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata: "Kerajaan perlu bertegas dalam hal ini dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar itu dan jika perlu gunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)".

KEDUA : Pendapat cendiakawan Kristian
1. Penganut Kristian juga berselisih pendapat di dalam hal ini. Pada Ogos 2007, Tiny Muskens telah membuat seruan kepada penganut Kristian untuk menggunakan kalimah Allah. Bagaimana pun seruan tersebut telah mendapat bantahan daripada penganut Kristian sama ada dikalangan Protestan mahupun Katolik sendiri. Presiden Liga katolik Bagi hak Agama Dan Sivil telah membantah saranan tersebut dengan kenyataannya:
"Bishop Martinus Tiny Muskens can pray to ALLAH all he wants, but only addlepated Catholics will follow his lead. It's not a good sign when members of the Catholic hierarchy indulge in a fawning exchange with Muslims, or those of any other religion".

2. Pengerusi General Synod of The Dutch Protestant Church, Gerrit de Fijter juga menolak cadangan Muskens dengan berkata: "I applaud every attempt to encourage dialogue with Muslims, but I doubt the sense of this maneuver".

3. Izzat Andrews seorang penganut Kristian Koptik di Mesir menerusi artikelnya yang berbahasa Arab berjudul ALLAH Bukan Tuhan Agama Kristian dan Yahudi telah menyatakan: "Kalimah ALLAH hanya berasal daripada penggunaan orang jahiliah yang merujuk kepada Tuhan Bulan. Ia tidak pernah termaktub dalam kitab-kitab suci Yahudi mahupun Nasrani. Tuhan bagi agama Kristian ialah Elohim".

Berdasarkan kenyataan yang disebut oleh tokoh-tokoh Ulama' Islam dan Cendiakawan Kristian tersebut, jelas menunjukkan bahawa penggunaan nama ALLAH untuk agama Kristian tidaklah sesuai bahkan ditentang dengan sekeras-kerasnya oleh kedua-dua pihak.

TARJIH
Setelah emlihat kepada dalil-dalil serta hujah-hujah ilmiah yang telah dibincangkan maka penulis cenderung kepada pendapat ketidakharusan atau haram penggunaan lafaz ALLAH bagi kaum bukan Islam dalam konteks Negara Malaysia ini.


SEBAB-SEBAB TARJIH
Antara hujah dan sebab-sebab tarjih ialah:

1. Lafaz ALLAH kelas menunjukkan terbezanya maksud dan mafhum antara orang-orang Islam dan bukan Islam. mengikut kitab Dairah al-Ma'rif al-Islamiyyah (4/1005) jelas menunjukkan perkataan ALLAH hanya digunakan oleh orang Islam sahaja dari kalangan umat nabi Muhammad. Antara lain menyebut: "ALLAH adalah Rabb yang Maha Tinggi disisi orang Islam yang mana sifatnya adalah Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar mencakupi segala sifat kesempurnaan dan keesaan tanpa disekutukan dengan yang lain".

2. Konsep tauhid yang diyakini oleh umat Islam adalah berbeza dengan kefahaman dan keyakinan orang-orang Kristian yang mengakui bahawa ALLAH adalah Tuhan Bapa kepada nabi Isa (Jesus)

3. Dr. Ahmad Zaki Hammad dalam 'ALLAH Maha Esa : Sifat-Sifat dan Kesempurnaan-Nya', hal 236 berkata: "Dalam Sejarah Arab tidak terdapat dalil dan bukti yang menunjukkan bahawa lafaz al-Jalalah (ALLAH) telah digunakan kepada selain Tuhan yang lebih berhak sebagai Pencipta langit dan Bumi".

4. Ma'ruf di Malaysia penggunaan nama ALLAH adalah untuk umat Islam sahaja. Ini berhujjahkan kepada bahasa (Bahasa Malaysia) itu sendiri. Jelas penggunaan bahasa menunjukkan bahawa ALLAH adalah tuhan yang sebenar tanpa disekutukan yang lain. Didalam ucapan kalimah tauhid, lafaz mengiyakan ketuhanan yang sebenar iaitu kepada ALLAH semata-mata.

5. Sekalipun nama ALLAH digunakan oleh golongan musyrikin dan ahli Kitab seperti yang dinyatakan dalam al-Quran tetapi perlu difahami bahawa maksud penggunaan mereka itu hanyalah dalam isu mensabitkan tauhid Rububiyyah sahaja.

6. Kemaslahatan ammah perlu dipelihara. Ini adalah kerana jika tuntutan mereka untuk menggunakan kalimah suci ini diberi keizinan, sudah pasti ia akan membuahkan bibit-bibit perpecahan dan pertikaian antara agama dan penganut. Justeru, pemerintah dengan kuasa yang ada padanya melalui kaedah saad al-zarai' boleh menyekat penggunaan kalimah ALLAH kepada yang bukan Islam.

KEPUTUSAN MAJLIS FATWA DAN KABINET
Bagi menyokong dan menguatkan lagi tarjih yang telah dikemukakan di atas, penulis turut menyertakan keputusan yang pernah da telah dibuat oleh Majlis Fatwa dan Kabinet. Antaranya:

1. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengharamkan penggunaan 4 kalimah iaitu ALLAH, Ka'bah, Baitullah dan Solat kepada orang bukan Islam.

2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (JKF) majlis Kebangsaan bagi Hak Ehwal Ugama Islam Malysia kali ke-82 pada 5-7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah ALLAH adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.

3. Keputusan kabinet pada Mei 1986 juga memutuskan bahawa terdapat 4 kalimah yang tidak dibenarkan penggunaannya oleh orang bukan Islam iaitu ALLAH, Ka'bah, Baitullah dan Solat.

4. Malah penggunaan kalimah ALLAH, Ka'bah, Baitullah dan Solat telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan Pekeliling KKDN. S. 59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Manakala jamaad menteri yang bermesyuarat pada 3 januari 2008 telah memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut sebagamana yang pernah diputuskan pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

*Apakah Pandangan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam perkara ini? Nantikan pertemuan seterusnya.

Salam dari Solleh Al-Fatimi ;-)
0 Responses

Catat Ulasan