Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh bin Ab Razak

Assalamualaikum...
Setelah sekian lama tidak mengisi ruangan blog ini. Alhamdulillah pada kali ini, Allah mengurniakan kesempatan untuk berkongsi setitik ilmu. Tulisan kali ini, saya olah dari buku saya yang pertama yang berjudul Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama'. Pada Bab: Perjuangan Belum Selesai, saya ingin membangunkan pembaca dengan yang sekian lama dibuai lena yang panjang dalam memahami hakikat kemungkaran.


Kita sentiasa mendengar pesanan Rasulullah s.a.w yang berbunyi;

مَن رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

“Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka gunakanlah mulutnya dan jika tidak mampu gunakanlah hatinya, dan itulah tingkat iman yang paling lemah”.
(HR Muslim, Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi, an-Nasa’ie, Ibn Majah)
Namun apakah yang dimaksudkan dengan kemungkaran? Apakah yang tergambar difikiran kita tatkala mendengar perkataan ini? Apakah kita benar-benar memahaminya?

Kebanyakan daripada kita menganggap kemungkaran hanyalah mencuri, merompak, merogol, minum arak, tidak menunaikan solat, tidak mengeluarkan zakat dan sebagainya. Namun apabila berhadapan dengan soal pemerintahan, seoalah-olah kita menjadi buta kemungkaran. Kita membenarkan setiap kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah. Kita beranggapan "Kalau pemerintah yang jahat, itu dia punya hal, aku tak masuk campur hal politik, aku nak beribadah je!"

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Ad-Din Wa as-Siyasah meluahkan betapa sangat mendukacitakannya apabila umat Islam menyempitkan tafsiran kemungkaran dengan tafsiran yang terlalu sempit;
“Termasuk pemahaman yang salah jika kemungkaran hanya difahami setakat zina, meminum minuman keras dan perbuatan lain yang seumpamanya. (Mereka tidak sedar bahawa) Menginjak-injak harga diri suatu bangsa adalah tindakan dosa besar, merampas kebebasan orang lain adalah tindakan dosa besar, kecurangan dalam pilihanraya adalah tindakan dosa besar, tidak mahu mengungkapkan penyaksian dalam pilihanraya adalah tindakan dosa besar kerana termasuk dalam perbuatan menyembunyikan syahadah (penyaksian), menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya adalah tindakan dosa besar, mencerca, menghina dan menjelek-jelekkan pemimpin yang amanah adalah tindakan dosa besar, menyimpan barang yang diperlukan oleh rakyat ramai demi keuntungan peribadi atau golongan tertentu adalah tindakan dosa besar, memberi, menerima dan menjadi perantara tindakan suap menyuap adalah tindakan dosa besar, mencari muka di depan penguasa dengan cara batil dan menghembuskan asap permusuhan di antara mereka adalah tindakan dosa besar dan bersekutu dengan musuh Allah dan musuh umat Islam adalah tindakan dosa besar”. 

Justeru, sekiranya kita memejamkan mata dari memandang kezaliman yang berleluasa dengan pelbagai alasan, maka kedudukan kita terlalu malang. Malah terlalu hina sekiranya para ulama' dan asatizah sendiri yang membantah atau tidak menyokong usaha menegur pemerintah pada hari ini. Teguran tidak semestinya dengan kata-kata yang lunak, tetapi teguran juga menggunakan kata-kata yang menusuk. Itulah antara pendekatan yang diamalkan oleh para salafussoleh.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengajak umat Islam merenung sejenak;
“Demikianlah dengan mudah kita dapat menyaksikan tindakan dosa atau kejahatan yang terus merebak dan dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam politik. Lalu sebagai seorang muslim yang berpegang teguh pada agamanya dan selalu mengharapkan redha Allah, relakah kita melihat segala kemungkaran dengan hanya berdiam diri? Wajarkah kita lari dari medan perang kerana takut, cemas atau hanya mencari keselamatan diri sendiri?”.
Semoga renungan ini memungkinkan kita merancang untuk melakukan satu tindakan yang menguntungkan Islam.

Menyedari peri-pentingnya memperkasakan politik, maka menjadi kewajipan seorang muslim melakukan perubahan untuk melawan kemungkaran. Dan sekiranya kewajipan ini dilanggar, seorang Muslim akan mendapat dosa atau seksaan Allah s.w.t. Penegasan ini pernah disuarakan sekali lagi oleh Yusuf al-Qaradhawy. Seterusnya beliau menambah;
“Seorang Muslim pasti akan menjadi seorang ahli politik kerana dia dituntut oleh rasa keimanannya agar tidak hidup menyendiri tanpa memiliki perhatian pada persoalan orang lain. Terutama persoalan yang menimpa orang mukmin lain sesama saudara seiman”.
Hal demikian ini disandarkan kepada firman Allah s.w.t;

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. (Surah al-Hujurat:10).

Juga Rasulullah s.a.w pernah bersabda;

مَن لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ المُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنهُمْ
“Sesiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum muslimin, maka dia bukan sebahagian daripada mereka”. (HR al-Tabrani, Ibn Hibban)

“Selain dituntut untuk mengubah kemungkaran sosial, kaum muslimin juga dituntut supaya mengubah kemungkaran/kezaliman politik. Kezaliman dalam bentuk apa pun mesti dicegah. Sikap apati (iaitu sikap tidak menaruh minat atau sikap tidak endah terhadap sesuatu yang wajar diberi perhatian) akan menyebabkan datangnya azab Allah yang akan menimpa umat secara keseluruhannya, samada orang zalim ataupun orang yang hanya berdiam melihat kezaliman. Allah s.w.t berfirman;

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim diantara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya”.
(Surah al-Anfal:25)

Al-Quran juga mengecam kaum muslimin yang mahu mentaati penguasa diktator dan berbuat sesuka hati, lebih-lebih berkerjasama dengan mereka. Allah s.w.t berfirman terhadap kaum NabI Nuh;

“Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak)”.
(Surah Nuh:21)

Bahkan sekadar ada kecenderungan dan rasa simpati kepada orang-orang zalim pun dikecam al-Quran;
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”. (Surah Hud:113)

Kesimpulannya, kemungkaran dalam pemerintahan dan pilihanraya merupakan satu kemungkaran yang dihina oleh Allah s.w.t. Kemungkaran ini juga termasuk dalam dosa-dosa besar. Maka sebagai seorang yang bergelar MUSLIM, maka menjadi kewajipan semua untuk mengubah kemungkaran ini. Gunakan kuasa untuk untuk mengubah kemungkaran ini. Setiap undi kita akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t.

Apa yang kita takutkan adalah ancaman daripada Rasulullah s.a.w:
"Ucapkanlah selamat tinggal kepada umat yang pasti binasa itu!" Bila kalian mendapati keadaan di mana umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, "Wahai zalim", maka kamu telah diucapkan selamat tinggal daripada mereka (HR. Ahmad)

Sekian. Wassalam.