Solleh Al-Fatimi

Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Kiamat Dekat; Isu 04



عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُسَلِّمَ الرَّجُلُ عَلَى الرَّجُلِ لَا يُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا لِلْمَعْرِفَةِ
 “Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat dalah seseorang yang mengucapkan salam kepada orang lain, namun salam tersebut tidak diucapkan melainkan kepada orang yang dikenalinya sahaja”.
(Riwayat Ahmad, Isnad sahih)



SOALAN 1:

Assalamualaikum ustaz, pernah saya memberi salam kepada seseorang, tapi orang itu menunjukkan reaksi yang menampakkan saya ni seolah-olah pelik. Mungkin kerana saya beri salam pada orang yang saling tidak mengenali. Kenapa tindakan saya ni nampak semacam pelik sahaja?



JAWAPAN :

Wa’alaikumussalam. Sememangnya mengucapkan salam adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Hukumnya adalah sunat, manakala yang menjawabnya adalah wajib. Namun istimewanya dalam mengucapkan salam ialah orang yang mengucapkan salam (sekalipun sunat) adalah lebih afdhal dan lebih baik pahalanya daripada orang yang menjawabnya (sekalipun ia wajib).

Berhubung permasalah ini, perkara ini pernah disebut oleh Rasulullah SAW, malah Rasulullah SAW meletakkan perkara ini dalam perkara tanda-tanda kiamat. Iaitu apabila seseorang mengucapkan salam kepada orang yang dikenalinya sahaja. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat dalah seseorang yang mengucapkan salam kepada orang lain, namun salam tersebut tidak diucapkan melainkan kepada orang yang dikenalinya sahaja”. (Riwayat Ahmad, Isnad sahih)

Manakala hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya menjelang hari kiamat nanti, pengucapan salam hanya dilakukan pada orang yang tertentu sahaja”. (Riwayat Ahmad, isnad sahih)

Di sini, jelaslah bahawa kita berada pada akhir zaman, iaitu zaman orang memberi salam hanya kepada orang yang dikenalinya sahaja. Sedangkan Rasulullah SAW menyarankan kita agar mengucapkan salam kepada orang yang kenal atau pun tidak kenal.

Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As berkata: seorang lelaki bertanya Nabi; “Apakah amalan Islam yang paling baik?”. Baginda menjawab: “Memberi makan orang yang susah dan memberi salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang kamu tidak kenal”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wallahu a’lam.



SOALAN 2

Kenapakah hubungan antara sesama kita yang beragama Islam kini kian jauh. Bahkan sesetengah daripada kita yang telah hilang rasa kasih sayang antara sesama Muslim sedangkan kita adalah bersaudara?


JAWAPAN

Sememangnya kita seluruh muslimin tanpa mengira jantina, warna kulit, bangsa, bahasa dan sempadan geografi adalah bersaudara. Seorang Muslim yang beriman akan terserlah daripada dirinya perasaan cinta dan sayang kepada saudaranya. Namun bagaimanakah cara untuk menyuntik perasaan tersebut?

Maka Rasulullah SAW mengajarkan kita; “Sekalian kamu tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman. Sekalian kamu tidak akan beriman (dengan sempurna) sehinggalah kamu semua saling berkasih sayang. Mahukah kamu sekiranya saya tunjukkan kepada kamu sesuatu perkara yang apabila kamu melakukannya, kamu akan merasai perasaan saling berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu”. (Riwayat Muslim)

Justeru, untuk menumbuhkn perasaan kasih sayang antara sesama kita, maka benihnya adalah dengan menyebarkan salam. Bahkan dalam kehidupan Rasulullah SAW, Baginda sentiasa mendahului mengucapkan salam kepada para sahabatnya. Bukan hanya kepada sahabat sahaja, malah kepada sahabiah jua.

Asma’ bin Yazid menceritakan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW melalui sebelah masjid yang ketika itu ada sekumpulan wanita yang sedang duduk di sana, kemudian Baginda melambaikan tangannya dan mengucapkan salam kepada mereka”. (Riwayat al-Tirmizi, hadis hasan)

Wallahu a’lam.



SOALAN 3

Dalam menghidupkan sunnah menyebarkan salam ini dan tidak mahu tergolong dalam golongan yang rugi pada akhir zaman ini, bolehkah saya sampaikan salam saya kepada seseorang melalui perantaraan orang lain?



JAWAPAN

Sememangnya menjadi kebiasaan kita budaya ‘sampaikan salam’. Menurut Islam, ia merupakan sesuatu yang dibolehkan. Namun hendaklah dilafazkan dengan lafaz salam yang sempurna (assalamu ‘alaih), bukan sekadar; “sampaikan salam pada si fulan ye”, tanpa ada lafaznya. Demikian juga dalam menjawabnya, hendaklah dijawab dengan lafaz yang sempurna dan bukan sekadar diam atau menganggukkan kepala sahaja.

Saidatina A’isyah r.ha pernah menerima kiriman salam daripada Jibril a.s. Beliau menceritakan bahawa Rasulullah SAW memberitahunya: “Inilah Jibril yang memberi salam padamu”. Saya menjawab: “wa ‘alaihis salam wa rahmatullahi wa barakatuh”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, sebarkanlah salam. Dengan salam kita memupuk perasaan kasih sayang terhadap seluruh umat Islam, maka jangan kita tinggalkan sunnah dalam menyebarkan salam. Sebarkan kepada orang yang kenal dan orang yang tidak kenal. Jangan kita merasakan ia satu perkara yang remeh temeh, kerana dengan salam inilah sebagai tanda seorang yang beriman. Dengan salam inilah yang akan memupuk kasih sayang antara kita. Seterusnya dengan salam ini jugalah yang akan membawa kita ke syurga Allah SWT. Destinasi terakhir yang kita idam-idamkan.

Wallahu a’lam.

p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ...Kemungkinan edisi cetak dan edisi blog ini terdapat sedikit perbezaan kerana edisi blog adalah karya yang belum diedit oleh editor. Mohon kemaafan jika terdapat kesilapan.
Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Kiamat Dekat > Isu 3



عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ 

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ
Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu dan tersebarnya kejahilan”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

SOALAN PERTAMA

Antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu akan dicabut dan diangkat. Boleh ustaz jelaskan apakah yang dimaksudnya dengan ilmu dicabut atau diangkat?

JAWAPAN

Tidak dinafikan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu diangkat. Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu dan tersebarnya kejahilan”. (HR al-Bukhari dan Muslim). Terdapat hadith lain lagi yang meriwayatkan perkara ini.

Untuk memahami makna ilmu itu dicabut atau diangkat, elok sekiranya kita merujuk al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari; Yang dikehendaki daripada hadith ialah menguatkan perkara tersebut sehingga tidak yang kekal perkara yang disebaliknya (semaraknya keilmuan dan ulama’) kecuali sangat jarang sekali. Perkara inilah yang diisyaratkan dengan ungkapan ‘ilmu dicabut’. Maka pada masa itu tidak wujud lagi melainkan kejahilan yang sebenar-benarnya. Walau bagaimanapun dalam keadaan tersebut, ia tidak menghalang wujudnya sekumpulan daripada ulama, namun kedudukan mereka pada waktu itu sudah tidak dikenali lagi.

Pada hadith yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan maksud itu dengan kematian para ulama. Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As meriwayatkan; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut ilmu itu secara sekaligus, dengan mencabutnya daripada para hambanya. Tetapi Allah SWT mencabut ilmu dengan mematikan ulama, sehingga tidak tinggal lagi ulama. Maka manusia menjadikan golongan yang jahil sebagai pemimpin. Manusia bertanya kepadanya, maka pemimpin tersebut memberi pendapat atau fatwa tanpa berlandaskan ilmu. Natijahnya, mereka semua sesat dan menyesatkan orang lain”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Nawawi menyebut dalam Syarh al-Nawawi li Muslim; “Hadith ini menerangkan makna ‘mencabut ilmu’ dalam hadith yang disebutkan lalu, bukanlah dengan cara memadamkannya daripada dada-dada penghafaznya, tetapi maknanya ialah dengan cara Allah SWT mematikan para ulama. Manusia menjadikan orang-orang jahil, yang akan memutuskan hukuman dengan kejahilan mereka. Akibatnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.

Kesimpulannya,yang dimaksudkan dengan ‘ilmu dicabut’ ialah dengan mematikan para ‘alim ulama. Wallahu a’lam.




SOALAN KEDUA
Apakah ilmu yang dicabut pada akhir zaman nanti?

JAWAPAN
Ilmu yang akan dicabut pada akhir zaman sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah ilmu al-Quran dan al-Sunnah. Iaitu ilmu yang diwarisi daripada para nabi a.s. Setelah para nabi a.s wafat, tugas ini dipikul oleh para ulama selaku pewaris para nabi. Namun bersama kematian para ulama’, ilmu bersama mereka juga turut pergi (lenyap). Waktu itu matilah segala sunnah dan suburlah perkara bid’ah. Ini semua berlaku akibat kejahilan yang berleluasa.

Adapun ilmu dunia, ia sentiasa bertambah dari semasa ke semasa dan ia bukanlah ilmu yang dimaksudkan dalam hadith ini. Kerana Rasulullah SAW bersabda; “Manusia bertanya kepadanya, maka pemimpin tersebut memberi pendapat atau fatwa tanpa berlandaskan ilmu, maka mereka semua sesat dan menyesatkan orang lain”. Kita menyedari sesungguhnya kesesatan hanya akan berlaku dalam soal agama sahaja. Ulama yang sebenarnya ialah mereka yang mengamalkan ilmu mereka, bersemuka dengan (permasalahan) umat dan menunjukkan umat berdasarkan jalan kebenaran dan petunjuk (Islam). Sesungguhnya ilmu tanpa amalan adalah tidak berfaedah, bahkan ia menjadi musibah keatas pemiliknya. Perkara ini disebut oleh Dr. Yusuf bin Abdullah al-Wabil dalam kitab Asyrath al-Sa’ah. Wallahu a’lam.



SOALAN KETIGA
Bagaimanakah cara terbaik kita berinteraksi dengan para ilmuan dan para ulama? 

JAWAPAN
Untuk menjawab soalan ini, kita perlu terlebih dahulu mengenali kedudukan ulama’. Secara ringkasnya, saya jelaskan. Allah SWT berfirman; “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu”. (Surah Fatir, ayat ke-28)

Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya perumpamaan ulama' di muka bumi seperti bintang di langit yang menjadi pedoman dalam kegelapan di darat dan di laut, apabila bintang telah malap maka hampirlah juru petunjuk itu kepada kesesatan" (HR Ahmad).

Imam Malik menyatakan, “Ulama’ adalah pelita pada zamannya”. Menyedari hakikat ini dan hakikat ilmu akan dicabut dengan kematian ulama, maka kita perlu berinteraksi dengan para ulama yang jujur lagi benar dengan cara yang selayaknya. Antaranya:

1. Memuliakannya dengan memberikan penghormatan yang selayaknya kerana keilmuannya.

2. Menjadikan para ulama sebagai model ikutan dan tempat rujukan.

3. Mengikuti bimbingannya dengan cara menghadiri majlis ilmunya, membeli dan membaca hasil tulisannya, mendengar nasihatnya dan sebagainya.

4. Membantu, menyokong dan seterusnya mendokong perjuangan ulama dalam menegakkan Islam di tanah air.

5. Menjaga adab dan akhlak semasa berinteraksi dengan ulama. Jangan sesekali mencerca dan menghina, apatah lagi memfitnah ulama’. Samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Wallahu a’lam.


p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ...Kemungkinan edisi cetak dan edisi blog ini terdapat sedikit perbezaan kerana edisi blog adalah karya yang belum diedit oleh editor. Mohon kemaafan jika terdapat kesilapan.