Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Mohd Solleh bin Ab Razak
(Abu Mujahid)

Assalamualaikum...
Setelah sekian lama perkongsian di blog ini kosong tanpa pengisian baru, terdetik untuk berkongsikan apa yang telah dikongsikan dalam buku 'MELAHIRKAN ANAK PENCINTA AL-QURAN'. Persoalan tentang bilakah kita sebagai ibubapa perlu memulakan langkah dalam mendidik anak-anak kita mengenali, membaca dan seterusnya menghafaz al-Quran, sentiasa dibincangkan. Pelbagai pandangan dan pendapat diutarakan. Untuk pencerahan yang sebaiknya, saya nukilkan apa yang telah saya kongsikan dalam buku tersebut. Semoga memberi manfaat...

Bismillah...
Melihat wajah anak-anak kita yang semakin hari semakin banyak perkara yang dipelajarinya. Terkadang kita sebagai ibubapa tidak terkejar segala apa yang telah mereka pelajari. Bahkan bukan sekali dua kita tersentak dan tergamam lantaran reaksi atau perkataan yang keluar dari mulut mereka. Ya, sebelum anak-anak kita diresapi dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat, maka alangkah baiknya sekiranya kita memintas mereka dengan menyediakan program-program yang bermanfaat untuk mereka. Terutamanya menghafaz al-Quran.

Dari umur berapakah anak-anak kita boleh memulakan hafazan? Untuk menjawab persoalan ini, saya bawakan kajian yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Hussain al-Rantawi hfz. Sebahagian para pengkaji menyatakan bahawa kemampuan seorang kanak-kanak untuk menghafaz al-Quran bermula semenjak kanak-kanak itu mula bercakap dan bersungguh-sungguh dalam percakapannya, iaitu selepas tiga tahun.

Perkara ini boleh kita perhatikan kepada peristiwa yang diterangkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rhm.. Beliau menyampaikan kisah yang disampaikan oleh al-Khatib rhm.: “Aku pergi bersama anakku –yang berumur tiga tahun- bertemu Ibn Juraij rhm.. Lantas Abu ‘Asim rhm. berkata: 

وَلَا بَأْسَ بِتَعْلِيمِ الصَّبِيّ الحَدِيثَ وَالقُرْآنَ وَهُوَ فِي هَذَا السِنِّ يَعْنِي إِذَا كَانَ فَهْمًا

“Tidak mengapa mengajar hadith dan al-Quran kepada kanak-kanak pada umur sebegini –tiga tahun-, iaitu apabila dia memahami”.[1]

Seterusnya ada yang menyatakan empat tahun. Dr. Mu’taz al-Marzuki hfz., seorang anggota Majlis Pemuda Mesir al-Asbaq menulis di dalam Majalah al-Azhar pada tahun 1983 bahawa pengajian hadis telah menetapkan bahawa kanak-kanak mampu menghafaz secara hafazan yang sempurna lagi lengkap bermula daripada umur 4 tahun. Sesungguhnya memori ingatannya sudah mampu meresap setiap lafaz-lafaz yang dilontarkan kepadanya. Pada umur 6 tahun, dia sudah mampu menguasai disiplin ilmu-ilmu yang memerlukan kepada pemikiran seperti ilmu matematik yang mempunyai formula yang pelbagai. Hal demikian merupakan proses pembentukan kanak-kanak ini dan kesihatannya sejahtera.

Namun Syeikh Muhammad Hussain al-Rantawi hfz. berpendapat: “Saya beranggapan bahawa ia berkebolehan menghafaz sebelum dari umur itu lagi. Perkara ini bergantung kepada latihan yang diberikan. Disamping terdapat contoh-contoh dari kalangan kanak-kanak yang diberkati yang mencipta keajaiban dan merentasi kemampuan manusia, mereka juga mampu menghafaz pada umur empat tahun. Sebahagian mereka menghafaznya ketika berumur lima tahun.”[2]

Untuk pengurusan pendidikan anak-anak kita, maka sangat elok untuk kita memerhatikan pandangan Imam Ibn al-Jauzi rhm. yang dibentangkan di dalam kitab Shaid al-Khatir: 
“Berhubung pengurusan ilmu, seseorang kanak-kanak yang umurnya mencecah lima tahun sudah mampu menceburi (mempelajari) bidang al-Quran, feqah dan mendengar hadis. Kanak-kanak ini lebih menghasilkan perkara yang dihafaz lebih banyak daripada perkara yang didengarnya. Kerana tempoh masa hafazan berlanjutan sehingga umur 15 tahun. Apabila ia mencapai usia tersebut, maka keinginannya juga akan tercapah (banyak yang difikirkan dan ingin dicapainya), maka kadang-kadang ia perlu dipaksa dan pada masa yang lain perlu dibelai untuk mencapai hasil hafazan tahunan. Perkara pertama yang patut diutamakan ialah membebankan (memberi tanggungjawab kepadanya agar) menghafaz al-Quran dengan penuh kesungguhan. Keadaan ini akan memantapkan dan lebih mendarah daging dalam dirinya...”.[3]

Syeikh Abdul Rabb Nawwabuddin hfz. dalam Kaifa Tahfaz al-Quran berpandangan bahawa umur yang paling sesuai bagi memulakan hafazan dengan cara betul-betul tersusun ialah pada umur 11 tahun. Itulah umur sahabat besar Zaid bin Thabit r.a memulakan hafazan.

Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq hfz. dalam al-Qawaid al-Zahabiyah, pada kaedah yang ke-11, beliau meletakkan
"lingkungan umur antara 5 hingga 23 tahun. Inilah umur keemasan bagi hafazan".
Ayuh... Anak kita dahagakan al-Quran, laparkan Bacaan al-Quran... hidanglah untuk mereka dengan al-Quran.

---------
[1] Ibn Hajar al-‘Asqalani. Fath al-Bari jil. 1, hlm. 173 
[2] Al-Rantawi. Al-‘Ibar fi Man Hafaz al-Quran wa Lam Yablugh al-‘Asyr hlm. 18 
[3] Ibn Jauzi, Abu al-Farj Abdul Rahman bin ‘Ali bin Muhammad bin al-Jauzi. Shaid al-Khatir hlm. 81