oleh : Solleh al-Fatimi
Pembacaan al-Quran secara bertajwid memainkan peranan penting yang tidak dapat dinafikan lagi, samada memudahkan proses hafazan dan mengekalkannya di dalam fikiran dan hati ataupun untuk memberikan suntikan keasyikan kita membaca ‘warkah dari tuhan’. Sekalipun tidak dikurniakan suara yang merdu dan lunak, namun berbekalkan perintah membaca al-Quran secara bertajwid, ia mampu memberi keasyikan kepada pembacanya serta menarik pendengar yang lain untuk memasang telinga mendengar bacaan al-Quran.
Perkara ini diakui sendiri oleh Syeikh Mahmud Khalil al-Hushori dalam kitabnya 'Ahkam Qiraah al-Quran al-Karim', beliau menceritakan:
“Sesungguhnya kami dapati dari kalangan guru-guru kami, mereka tidaklah mempunyai suara yang merdu, bahkan mereka tidak mengetahui pun irama lagu. Namun ia membacanya dengan baik dan menyebutkan dengan kemas. Maka apabila ia membacanya, bacaannya dapat menimbulkan minat pendengar dan menarik hati mereka untuk berkumpul. Manusia bersesak-sesak dan berkumpul untuk mendengar bacaannya samada daripada golongan professional mahupun orang awam. Mereka yang menghadiri majlis tersebut terdiri daripada mereka yang mengetahui Bahasa Arab dan mereka yang tidak mengetahuinya dari seluruh manusia. Bahkan mereka sanggup meninggalkan majlis kumpulan yang mempunyai suara yang merdu dan mahir dalam seni suara, namun mengabaikan tajwid dan ketelitiannya”.[1]
Lebih daripada itu, guru-guru Syeikh Mahmud dan lainnya menceritakan suatu cerita yang mencapai tahap mutawatir, tentang Imam Taqiyyuddin Muhammad bin Ahmad as-Sho’igh al-Misri –seorang guru yang mahir dalam tajwid-, pada suatu hari ketika beliau membaca dalam solat subuh ayat:
“Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung hudhud (belatuk)? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?” (Surah an-Naml:20)
Beliau mengulang-ulang ayat ini beberapa kali. Maka seekor burung turun ke atas kepala beliau sambil mendengar bacaannya sehinggalah selesai bacaannya. Maka mereka yang hadir melihat kepada burung tersebut, maka inilah burung hudhud.
Syeikh Mahmud turut menceritakan tentang seorang Syeikh al-Qurra’ di Baghdad yang bernama Imam Abu Muhammad Abdullah bin Ali bin Ahmad yang dikurniakan kelebihan yang hebat. Beliau berjaya mengislamkan sekumpulan dari yahudi dan nasrani tatkala mereka mendengar bacaannya.[2]
Oleh itu, tanggungjawab kita sebagai seorang muslim tidak dapat lari dari berusaha untuk membaca al-Quran sebagaimana ia diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan sebagaimana Baginda membacanya kepada para sahabat. iaitu membacanya secara bertajwid. Itu adalah tanggungjawab kita yang bergelar muslim. Kita tidak boleh memandangnya hanya sebelah mata sahaja.
Ketegasan ini disuarakan oleh Dr. Raghib as-Sirjani dalam bukunya 'Kaifa Tahfaz al-Quran';
“Allah mahukan daripada kita agar kita membaca al-Quran sebagaimana Rasulullah s.a.w. membacanya. Dan sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w. membacanya kepada kita sebagaimana baginda mendengarnya daripada malaikat Jibril a.s. Dan para sahabat membacanya sebagaimana mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w. Dan ilmu yang agung ini sentiasa diwarisi dari generasi ke generasi sehinggalah sampai kepada kita. Dan akan terus kekal dijaga -dengan izin Allah- sehingga ke hari Kiamat”. [3]Demikian juga oleh Imam Jalaluddin as-Suyuti di dalam al-Itqan fi 'Ulum al-Quran:
“Tidak syak lagi, sebagaimana umat Islam (dituntut) mengabdikan diri dengan memahami makna al-Quran dan melaksanakan peraturan-peraturan al-Quran, begitu jugalah mereka (dituntut) mengabdikan diri dalam memperbetulkan sebutan lafaz al-Quran dan menunaikan sifat huruf dan haknya dengan bertalaqqi dengan imam-imam qurra’..."[4]____________________
[1] Syeikh Mahmud Khalil Al-Hushori. (1999). Ahkam al-Qira’ah al-Quran al-Karim. Saudi: al-Maktabah al-Makkiyyah.; 22
[2] ibid. 22-23
[3] Dr. Raghib as-Sarjani,Kaifa Tahfaz al-Quran. http://www.islamstory.com/ كتاب_كيف_تحفظ_القرآن_الكريم. ;33
[2] ibid. 22-23
[3] Dr. Raghib as-Sarjani,Kaifa Tahfaz al-Quran. http://www.islamstory.com/ كتاب_كيف_تحفظ_القرآن_الكريم. ;33
[4] Al-Suyuti, Jalal ad-Din Abd ar-Rahman Abi Bakr. (t.th). al-Itqan fi Ulum al-Quran. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah ; jilid 1, 218
Catat Ulasan