Solleh Al-Fatimi
الحمد لله الذي علم بالقلم علم الإنسان ما لم يعلم والصلاة والسلام على سيدنا محمد أفصح العرب والعجم خاتم النبيين والمرسلين وعلى آله وأصحابه الطاهرين خير الأمم. أما بعد

 PERANAN ULAMA DALAM DUNIA KONTEMPORARI

Golongan Ulama harus mengembalikan kegemilangan peranan mereka dalam menegakkan agama Allah swt di atas muka bumi ini seperti peranan yang pernah dimainkan oleh golongan ulama pada era kegemilangan Islam yang lampau.
Ulama silam memiliki keilmuan akhirat yang mantap yang 'diwarisi' turun temurun dan pada masa yang sama memiliki kejaguhan dalam menguasai ilmu keduniaan yang bermanfaat untuk mentadbir muka bumi ini.
Kita telah menyaksikan ketokohan ulama silam seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, al-Farabi, Imam al-Ghazali dan yang seangkatan dengan mereka yang mampu mengungguli ilmu dunia dan ilmu akhirat sekali gus.
Jika mahu Islam gemilang semula, para ulama hari ini harus keluar daripada kepompong pemikiran dan kelompok mereka untuk bergelanggang di tengah masyarakat secara global dan universal. Mereka harus dapat menguasai pelbagai disiplin ilmu dan bahasa. Mereka harus berfikir di luar kotak pemikiran semasa mereka.
Pada saat ini, umat dan negara Islam sedang dijajah oleh imperalis Barat dengan pelbagai bentuk dan tahap penjajahan:
*Secara fizikal dan kekerasan mereka dengan angkuhnya menjajah setiap inci bumi umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq dan Bumi Moro di Selatan Filipina.
*Secara politiknya mereka menguasai pemerintahan negara-negara Islam untuk bertindak mengikut jari telunjuk mereka.
*Secara ekonomi mereka menguasai kekayaan hasil bumi dan tanah umat Islam dengan cara yang paling halus.
*Secara minda mereka menguasai pemikiran umat Islam melalui agenda media massa, budaya, hobi, teknologi, hiburan, muzik dan cara hidup mereka.
Satu angkatan raksasa yang begini besar telah berakar umbi dalam darah daging umat Islam hanya mampu diperangi bersama oleh semua nyawa dan roh umat Islam sejagat termasuk golongan ulama. Tambahan pula golongan ulama ialah orang yang sangat dihargai, dihormati dan dituruti saranan mereka oleh masyarakat umum.

Kenegaraan
Untuk berjaya menguasai pemikiran masyarakat umum, golongan ulama harus memahami secara mendalam definisi dan pengertian terminologi yang berkaitan dengan politik dan pemerintahan pada peringkat antarabangsa, serantau dan peringkat nasional seperti globalisasi, neo-koloniaisme atau imperialisme.
Ulama juga harus memahami skala atau betapa seriusnya pengaruh fahaman dan gerakan tersebut terhadap akidah, budaya, pendidikan, politik kontemporari dan ekonomi umat Islam. Tanpa kefahaman yang mendalam menyebabkan segala usaha kita menghadapi cabaran ini akan gagal atau kurang berkesan.
Dengan kefahaman yang meluas tentang modus operandi kuasa negara super power, kita mungkin boleh mempengaruhi arah dan arus politik luar negara itu untuk meraih suatu kadar pencapaian tertentu untuk menghalang golongan dan pewaris ciri-ciri neo-imperialis daripada terus berkuasa di negara adijagat tersebut.

Teknologi Maklumat
Umat Islam juga wajar menjadi warga dunia yang serba interconnected melalui jaringan perhubungan yang canggih dan menyeluruh. Mereka hendaklah mesra dengan sumber maklumat terkini (IT - Information Technology) dan mampu menguasai kaedah berkomunikasi secara bestari dan mutakhir termasuk penggunaan satelit, komputer, internet, telefon sel, lebuh raya maklumat dan konsep langit terbuka.


Dasar Ekonomi
Dalam koteks globalisasi ekonomi, golongan alim ulama merumuskan dasar-dasar ekonomi yang lebih adil, islamik, bebas dari sistem riba dan penindasan, melindungi nilai-nilai moral dan berperikemanusiaan. Mereka mungkin boleh meyakinkan umat dan orang ramai tentang keburukan sistem ekonomi yang berteraskan kepada dasar kapotalis totok, fahaman kebendaan (dan keduniaan) dan perangai lintah darat yang menafikan hak orang lain.
Dalam masa yang sama mereka mungkin boleh mendorong kepada kewujudan satu sistem kewangan islam tulen seperti sistem dinar emas, menubuhkan badan koperasi Islam, institusi kewangan Islam, syarikat, enterprise, yayasan, corporation, konsortium dan lain-lain perusahaan yang berlandaskan ekonomi islam atau dasar ekonomi yang lebih berperikemanusiaan dari yang ada sekarang.

Peradaban
Para alim ulama perlu meluruskan persepsi umum tentang kebenaran, keadilan dan kebaikan penyelesaian Islam dalam bidang politik dan keamanan seperti mana yang telah terbukti dalam sejarah kegemilangan peradaban Islam berkurun lamanya.
Mereka perlu mendedahkan penipuan dan konspirasi jahat media tertentu oleh pihak tertentu untuk mencemarkan maruah dan imej Islam, peradaban Islam, gerakan Islam, golongan fundamentalis Islam dan umat Islam amnya.

Keadilan Globalisasi
Ulama perlu menampilkan asas dan dasar keadilan Islam, pembelaan terhadap hak asasi manusia dan nilai-nilai peradaban yang tinggi dan mulia yang boleh menjanjikan keamanan dan kedamaian serantau dan sedunia.
Mereka wajar mendedahkan tentang keburukan penjajah dan dasar penjajahan baru. Dasar penjajahan baru sering bertopengkan kempen apa yang mereka namakan 'menangani keganasan' (terrorisme) dan berjubahkan senario globalisasi untuk menjayakan suatu bentuk hegemoni negara-negara super power dan menjelmakan negara mereka sebagai empayar yang menguasai seluruh negara di dunia.
Ulama juga hendaklah menggabungkan diri dengan gerakan menangani kebobrokan globalisasi dalam dampaknya yang negatif dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO -Non-Governmental Organisation) serantau untuk menentang pengaruh imperialisme baru yang sedang menjalar.

Dasar Budaya dan Pendidikan
Golongan ulama perlu memperkasa pegangan umat terhadap akidah dan nilai-nilai budaya Islam. Mereka wajib mempertahankan justifikasi dan dasar pendidikan Islam agar jati diri umat dan dasar budaya Islam tidak tergugat dan terus mendefinasikan sejarah dan tamadun rantau Melayu sebagai rantau Islam.
Golongan ulama juga hendaklah bersikap proaktif untuk mengukuhkan budaya murni dalam lapangan politik, ekonomi, teknologi, informasi dan lain-lain demi menegakkan keadilan dan menyemai kesejahteraan hidup di dalam dan di luar negara.
Inilah antara pegangan ulama silam yang telah melonjakkan peranan mereka dalam pengurusan dan pentadbiran - dari sekecil-kecil lingkungan pengurusan diri dan keluarga hinggalah menjadi penasihat kepada pentadbiran sesebuah negara.

Saya mendapati buku WASIAT SEBELUM DIRIMU BERGELAR ULAMA ini menggarap dengan jelas peranan utama yang dimainkan oleh ulama kontemporari. Skop perbincangan buku ini sangat luas daripada bidang pengisian kerohanian hinggalah meliputi bidang jihad dan pentadbiran sesebuah negara.
Syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd yang telah mengambil inisiatif yang gigih untuk menerbitkan buku ini harus diberi pujian untuk dapat dimanfaatkan oleh umat Islam sejagat.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وبارك وسلم والحمد لله رب العالمين


Yang Benar;
Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Tokoh Ulama Kontemporari

Demikiankanlah Kata Aluan dari Tuan Guru Nik Aziz di dalam buku tersebut. Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada beliau diatas kesudian menggarap mutiiara hikmah yang terlalu berharga di dalam buku tersebut. Jazakumullah khairan kathira.
0 Responses

Catat Ulasan