undefined
undefined
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Iqtarabatis Sa'ah > Isu 2
SOALAN PERTAMA :
Banyak tanda-tanda akan tibanya hari kiamat yang dijelaskan oleh al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, namun apakah hikmah dikemukakan semua tanda-tanda ini?
JAWAPAN :
Antara rahmat Allah SWT terhadap kita sebagai
hambanya ialah Allah SWT menyediakan untuk kita di dunia ini dengan pelbagai perkara
yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan kita dengan Allah SWT. Antara
perkara tersebut ialah dengan menyatakan tanda-tanda kiamat yang semakin muncul
dari hari demi hari. Maka kiamat tidak akan berlaku secara tiba-tiba atau
mengejut, bahkan ditonjolkan dahulu tanda-tanda akan berlakunya kiamat. Firman
Allah SWT:
“Maka tidak ada lagi yang mereka tunggukan
melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana
sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya”. (Surah Muhammad: 18)
Para ulama tidak lupa untuk menyatakan
dalam kitab-kitab mereka tentang hikmah wujudnya tanda-tanda hari kiamat. Imam
al-Qurtubi dalam kitabnya al-Tazkirah menyebut bahawa; para ulama r.h.m
berkata, hikmah dikemukakan tanda-tanda dan petunjuk datangnya kiamat kepada manusia adalah sebagai satu peringatan
kepada mereka yang tidur dan mendorong mereka agar memelihara diri mereka
dengan cara bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, selepas
munculnya tanda-tanda kiamat ini, maka seluruh manusia sepatutnya memerhatikan dan
memuhasabah diri mereka, memutuskan dari (kelekaan) dunia dan membuat
persediaan untuk kiamat yang telah dijanjikan.
Imam Abu Abdullah bin al-Husain bin
al-Hasan al-Halimiy pula menyebut di dalam al-Minhaj fi Syu’ab al-Iman,
setelah menyebut perkataan yang hampir sama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam
al-Qurtubi, beliau menambah dengan katanya: “Dan hendaklah manusia ketika
munculnya tanda-tanda kiamat satu demi satu, mereka seumpama orang sakit yang
dapat memerhatikan tanda-tanda kematian dirinya satu demi satu. Maka pada waktu
itu dia tidak akan mengabaikan masanya untuk terus bertaubat, berwasiat dan mengoreksi
dirinya, ahli keluarganya dan seluruh sahabat yang mempunyai hubungan dengannya.
Demikian juga, setelah munculnya tanda-tanda kiamat ini, manusia sewajarnya
memerhatikan atau menilai (amalan kebaikan dan kejahatan) dirinya, memutuskan
dari (kelekaan) dunia, yakin dengan peristiwa kiamat dan seterusnya membuat
persediaan untuk menghadapinya (dengan menjunjung perintah Allah SWT dan
menjauhi laranganNya).
al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath
al-Bari menyatakan, sesungguhnya hikmat dikemukakan tanda-tanda kiamat
ialah membangunkan orang yang lalai dan mendorong mereka agar bertaubat dan
membuat persediaan menghadapinya. Wallahu a’lam.
SOALAN KEDUA:
Terdapat pelbagai ramalan tentang akan berlakunya kiamat, namun setakat ini semuanya tersasar dari kebenaran. Namun persoalannya bilakah akan berlakunya kiamat?
JAWAPAN
Tidak dinafikan terlalu banyak ramalan
kiamat yang dihebohkan. Antaranya William Miller, pengasas gereja Advent meramalkan
berdasarkan Bible iaitu pada 23 April 1843. Joseph Smith, pengasas gereja
Mormom yang mengaku dapat berbicara dengan Tuhan meramalkan kiamat pada tahun
1891. Harold Camping seorang penginjil dan penyiar di Family Radio Worldwide meramalkan
melalui kajian Biblenya ialah pada Hari Sabtu, 21 Mei 2011, pada jam 6.00
petang.
Demikian juga Filem 2012, sebuah filem
arahan Roland Emmerich yang mengisahkan ketibaan
hari kiamat pada tahun 2012. Sehinggakan filem ini dinobatkan sebagai filem 'paling
jahil dan penuh kecacatan dari segi sains’ dalam satu persidangan Pentadbiran
Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di California, Amerika Syarikat.
Bagi kita yang beriman kepada Allah SWT dan
hari kiamat, kita berpegang teguh bahawa Allah SWT menyembunyikan masa akan
berlakunya kiamat dari pengetahuan manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada pada sisi tuhanku, tidak ada sesiapun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan dibumi, mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah SWT, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Surah al-A’raf: 187)
Malah terdapat pelbagai lagi dalil yang
menunjukkan kerahsiaan bilakah akan berlakunya kiamat. Kesimpulannya, bilakah
akan berlaku kiamat ini tidak diketahui oleh seluruh manusia kecuali hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Wallahu
a’lam.
p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ...Kemungkinan edisi cetak dan edisi blog ini terdapat sedikit perbezaan kerana edisi blog adalah karya yang belum diedit oleh editor. Mohon kemaafan jika terdapat kesilapan.