Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

* Petikan dari buku 'SEHINGGA AL-QURAN TERPAHAT DI HATI'

Al-Quran sesuatu yang terlalu berharga. Ia tidak ternilai sekalipun seluruh dunia dijadikan tukar gantinya. Sebagai seorang Muslim, peliharalah al-Quran yang mulia ini. Ia satu amanah. Ia satu hadiah. Buat seluruh manusia. Janganlah kita sisihkan al-Quran dalam hidup kita. Jangan kita tinggalkan al-Quran bersendirian di dalam mushaf. Bersahabatlah dengannya selalu.
Ingati rintihan Rasulullah s.a.w. terhadap umatnya pada akhir zaman nanti. Rintihan kerana al-Quran disisihkan.

 وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا 
“Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai” (Surah al-Furqan: 30)

Prof. Dr. Hamka cuba menyelami maksud ayat ini, lantas beliau mengungkapkan; “Ayat 30 ini apabila kita baca dengan seksama dan penuh renungan, membukakan kepada hati suatu rahsia tersembunyi. Keluhan Nabi bahawa kaumnya telah menjauhi dan meninggalkan al-Quran ini adalah mengandungi cinta, belas dan kasihan kepada mereka. Kasihan kaumku ini, ya Tuhan! Al-Quran yang Tuhan datangkan dan Tuhan suruh sampaikan kepadaku terhadap mereka, yang penuh dengan petunjuk kepada kebahagiaan, mereka tinggalkan dan tidak mereka pedulikan. Hanya hawa nafsu mereka saja yang mereka turutkan. Mereka merasa bangga dalam kekufuran, padahal mereka telah sengsara mereka tidak tahu”.[1]

Untuk lebih memahami keluhan Rasulullah s.a.w. ini, Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah menerangkan di dalam ‘al-Fawaid’. Beliau menyatakan, ingatlah wahai muslimin semua terhadap mereka yang meninggalkan al-Quran. Golongan yang meninggalkan al-Quran terbahagi kepada 5 golongan;

1. Meninggalkan mendengar al-Quran, beriman dengannya dan memperdengarkannya.
2. Meninggalkan beramal dengannya dan mengikuti hukum halal dan haramnya. Sekiranya ia membacanya, dia beriman dengannya.

3. Meninggalkan meletakkan al-Quran sebagai hakim dan berhukum dengannya dalam perkara pokok agama dan cabangnya.
4. Meninggalkan tadabbur dan memahami al-Quran serta pengetahuan yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
5. Meninggalkan memohon penawar atau sembuhkan penyakit dan berubat dengan al-Quran daripada segala penyakit hati dan jasadز

Semua golongan ini adalah golongan yang dirintih oleh Rasulullah s.a.w. Berhati-hatilah kita. Peliharalah diri kita semua. Ingati juga pesanan Syeikh Abu al-Fida’ Muhammad Izzat. “Tanpa al-Quran seseorang Muslim tiada nilainya dan ianya tidak dianggap sebagai seorang Muslim! Al-Quran, tidak sempurna solat tanpanya, tidak sempurna haji tanpa solat, tidak diterima puasa kecuali dengan solat, dan tidak dikira solat melainkan dengan ‘Ummul Kitab’: Fatihah al-Quran. Maka di sana, kita melihat bahawa al-Quran merupakan cahaya kehidupan kita, bekalan jiwa-jiwa kita dan nadi bagi hati kita. Sesiapa yang meninggalkannya kerana kesombongan, nescaya Allah akan mematahkannya. Dan sesiapa yang berhukum dengan selainnya, sesungguhnya dia telah kufur kepada Allah. 

Benarlah firman Allah:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah s.w.t. (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Maidah : 44)[2]

Tanda betapa prihatinnya kita terhadap rintihan Rasulullah s.a.w. ini dan betapa kita menghargai nilai al-Quran yang diturunkan ini, maka kita buktikan dengan menghafaz al-Quran ini. Dari usaha menghafaz al-Quran ini, dengan sedaya upaya kita akan menjauhi lima golongan yang dikhabarkan oleh Imam Ibn al-Qayyim itu. Janganlah bertangguh-tangguh lagi untuk menghafaz al-Quran. Mulakanlah dari hari ini. Berhati-hatilah dengan perkataan ‘akan datang’… ‘nantilah dulu’…Kerana ia racun dalam kehidupan.

Semoga Allah s.w.t. merahmati diri kita semua. Ya Allah s.w.t. kurniakan hidayah dan taufiq kepada kami. Berkatilah kami. Kurniakanlah manfaat yang mencurah-curah dari buku yang kami baca dan kami faham ini. Anugerahkan kepada kami kekuatan untuk menghafaz al-Quran dan seterusnya mengikuti dan mengamalkan setiap suruhan dan menjauhi setiap laranganmu. Amin…



[1] Prof. Dr. Hamka, Tafsir al-Azhar; Juzuk 19; 13
[2] Abu al-Fida’ Muhammad Izzat. Kaifa Nahfaz al-Quran; 8
Labels: , | edit post
0 Responses

Catat Ulasan