Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

[ Mulakan Dengan Al-Quran - Siri 2 ]


بسم الله الرحمن الرحيم
Pada siri pertama, kita telah melihat bagaimana kaedah Rasulullah SAW dalam mempasakkan al-Quran dalam diri para sahabat. Kita juga melihat bagaimana pendirian para ulama salaf terhadap peri pentingnya pendidikan al-Quran diutamakan dalam kehidupan. Bahkan
ia mendahului segala ilmu-ilmu agama yang lain.


Pada bahagian ini, kita akan melihat secara realiti bagaimana asas yang kukuh dibina oleh generasi awal Islam telah dibangunkan dan ditegakkan sebagaimana yang telah di asaskan. Justeru, marilah kita mengimbau kehidupan para salaf bersama al-Quran dan kesungguhan mereka menghafaz al-Quran.

Abu Bakr ‘Ayyasy rhm. menceritakan: “Sesungguhnya al-A’masy rhm. membaca hafazan al-Quran dan mereka yang lain memegang mushaf (untuk menyemaknya). Maka tiada kesalahan walau pun satu huruf”.[1] 

Demikian juga dengan kehidupan Imam Abu Bakr ‘Ayyasy rhm.. Imam Yahya al-Himmani rhm. berkata: “Tatkala menjelang kematian Abu Bakr bin ‘Ayyasy, saudara perempuannya menangis. Maka Abu Bakr berkata kepadanya: “Sebab apakah yang membuatkan kamu menangis? Kamu lihatlah kepada tempat solat peribadi itu, sesungguhnya saudara kamu telah mengkhatamkan al-Quran di dalamnya sebanyak 18,000 kali”.[2]

Imam Yahya bin Ma’in rhm. berkata: “Selama 20 tahun, Yahya bin Sa’id al-Qattan rhm. mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam”.[3] 

Imam Ali bin al-Madini rhm. pula menceritakan: “Sesungguhnya wirid Abdul Rahman bin Mahdi rhm. pada setiap malam adalah separuh al-Al-Quran”.[4] 

Imam Ahmad bin Hanbal rhm. pula menyatakan: “Sesungguhnya ‘Ata’ bin al-Sa’ib rhm. antara hamba-hamba Allah SWT yang baik, sesungguhnya beliau mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam.[5]

Lihatlah ke dalam diri mereka, sekalipun mereka adalah imam dalam hadis, tetapi mereka sesekali tidak mengabaikan al-Quran. Bahkan kita yang masih ‘muallaf’ dalam ilmu hadis telah mengabaikan al-Quran. Sungguh jauh beza antara kita dan mereka. Perbezaan itulah yang menjadi jurang antara ilmu kita dan ilmu para salaf. Dengarlah dan ambillah ibrah daripada kisah yang penuh berinspirasi.

Apabila Imam Muhammad bin Abdul Wahid al-Jama’ili rhm. atau lebih dikenali sebagai Diya’ al-Maqdisi ingin bermusafir untuk mencari hadis, Imam Diya’ meminta nasihat daripada guru beliau iaitu Imam Ibrahim bin Abdul Wahid al-Maqdisi rhm. Imam Ibrahim al-Maqdisi berpesan:

أَكْثَر من قراءة الْقُرْآن، ولا تتركه فَإِنَّهُ يتيسر لَك الَّذِي تطلبه عَلَى قدر مَا تقرأ، قَالَ: فرأيت ذَلِكَ وجربته كثيرا، فكنت إِذَا قرأت كثيرا تيسر لي من سماع الْحَدِيث وكتابته الكث
ير، وإذا لَمْ أقرأ لَمْ يتيسر لي.

Maksudnya: “Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan jangan engkau tinggalkan al-Quran. Sesungguhnya dipermudahkan ilmu yang kamu pelajari berdasarkan kadar ayat yang kamu baca”. Diya’ al-Maqdisi berkata: “Saya melihat dan mengalami pengalaman tersebut berkali-kali. Apabila saya banyak membaca al-Quran, saya dimudahkan untuk mendengar dan menulis hadis dengan banyak sekali. Sebaliknya, apabila saya tidak membaca al-Quran, tidak dimudahkan untuk saya memperolehi hadis”.[6]

Wallahu a'lam.




[1] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 6, hal: 235
[2] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 8, hal: 504
[3] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 9, hal: 179
[4] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 9, hal: 203
[5] Al-Zahabi. Siyar A’lam Nubala, jil: 6, hal: 112
[6] Ibn Rajab. Zail Thabaqat al-Hanabilah, jil: 3, hal: 205
0 Responses

Catat Ulasan