Solleh Al-Fatimi
Solleh Al-Fatimi
Oleh : Solleh al-Fatimi

Kenapa kita ketinggalan? kenapa umat Islam harus terus berada di belakang? akibat kita di belakang, umat Islam dihina, Umat Islam dinodai, umat Islam dinafikan haknya...kenapakah keadaan ini yang terpaksa kita tanggung, terpaksa kita hadapi?

Semua ini bermula apabila kita mata kita kabur dan rabun dalam memahami, mengerti dan merealisasikan firman pertama Allah s.w.t. ‘IQRA’, 'Bacalah dengan nama Tuhanmu'...Kecuaian terhadap perintah Allah ini, membuatkan kita berada dimana kita berada sekarang.

Lihatlah dimana kita berada sekarang...

Dianggarkan terdapat 1,476,233,470 umat Islam diatas muka bumi ini. Satu billion di Asia, 400juta di Afrika, 44 juta di Eropah, dan enam juta di Amerika. Nisbahnya, setiap lima manusia adalah Islam (1:5). Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam (1:2), setiap orang Budha ada dua orang Islam (1:2) dan setiap seorang yahudi ada beratus orang Islam (1:100).

Sejumlah 57 negara yang mengganggotai OIC, iaitu pertubuhan terbesar umat Islam, dan jika dicampur kesemuanya, cuma ada kira-kira 500 buah university. Atau sebuah universiti setiap 3 juta orang Islam (1 : 3,000,000). Bandingkan dengan Amerika Syarikat mempunyai 5,758 buah universiti dan India pula 8,407 buah.

Pada tahun 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian berhubung ‘Kedudukan Akademik Universiti-Universit Dunia’ dan umat Islam terpaksa menelan pahit kenyataan bahawa, tiada satu pun universiti negara islam yang berada pada kedudukan 500 teratas.

Perbandingan tahap pendidikan antara masyarakat masyarakat Islam

Berdasarkan data yang dikumpulkan dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90% dan 15 negara tersebut mempunyai 100% celik huruf. Sementara itu di negara majoriti umat Islam pula, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 % dan tiada negara yang mempunyai 100% tahap celik huruf dikalangan warganya.

Sekitar 98% penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurangnya sekolah rendah, sementara hanya 50% sahaja di negara majoriti umat Islam.

Sekitar 40% penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2% sahaja di negara majoriti umat Islam.

Negara-negara majoriti umat Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap per sejuta penduduk. Di Amerika Syarikat, 4000 per sejuta dan di Jepun 5000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, jumlah penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju; 1000 juruteknik per sejuta).

Dunia Islam yang ada pada hari ini kurang keupayaan untuk menguasai ilmu pengetahuan, seterusnya membuat penemuan-penemuan dalam pelbagai bidang yang dapat diguna pakai oleh manusia sejagat. Negara Islam membelanjakan 0.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). sebaliknya, negara maju membalanjakan 5% daripada KDNKnya.

Fikirkanlah…selagi mana pendidikan tidak dititik beratkan, selagi itulah kemunduran dan kehinaan akan menyelubungi hidup kita…

Ingatlah…‘When you stop learning, you stop leading’ – apabila kita berhenti belajar, kita berhenti memimpin.

Ingatlah selalu… ‘leaders are learners!’ – pemimpin adalah orang yang sentiasa belajar.
Solleh Al-Fatimi
Sesungguhnya pemerintah yang soleh dari kalangan salafussoleh dahulu memahami hakikat betapa pentingnya teguran dan nasihat daripada rakyat. Tuntas mereka memberi ruang bagi memudahkan serta melancarkan lagi proses ini tanpa sebarang halangan atau undang-undang yang menyekat dengan mewujudkan pelbagai protokol yang melampau. Bahkan sangat uniknya, kita dapati sebahagian mereka menawarkan dirinya agar seluruh rakyatnya menyiasat serta meneliti setiap tingkah lakunya dalam pengurusan dan pentadbirannya. Hal ini dilaksanakan bagi memudahkan bagi membetulkan setiap kesilapan yang kadang-kadang berpunca daripadanya selagimana mereka mengikhlaskan dirinya dan mencari keredhaan Allah s.w.t dalam pemerintahannya dan kekuasaannya.

Hal demikian bukan sekadar teori indah sebagai pemanis kata-kata atau slogan kosong untuk mendapatkan sokongan ataupun memancing undi, bahkan ia merupakan suatu perkara yang dapat direalisasikan dalam kehidupan. Kita dapat melihat hal demikian sebagaimana yang direalisasikan oleh Saidina Abu Bakr as-Siddiq r.a dalam ucapan ucaptama beliau tatkala menerima perlantikan sebagai khalifah Islam;

فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِيْنُونِي وَإِن أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُولَهُ فِيكُم

"…sekiranya aku berbuat baik, bantulah aku. Tetapi jika aku melakukan kejahatan, maka luruskanlah aku! Taatilah aku selagimana aku taat kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dalam (mentadbir urusan) kamu".


Tauladan terbaik ini tidak terhenti pada saat itu sahaja, malah diteruskan lagi oleh pengganti beliau. Kita melihat realiti dalam ucapan Amirul Mukminin 'Umar Bin al-Khattab, hayatilah kata-katanya;

مَن رَأَى مِنكُم فِيَّ اعْوِجِاجًا فَلْيُقَوِّمْهُ

"Sesiapa antara kalian yang melihat pada diriku sesuatu penyelewengan, maka hendaklah kamu meluruskannya".

Prinsip Saidina ’Umar menarik Syeikh Abdul Aziz Al-Badri menterjemahkan maksud amanat tersebut;
 “Tidak terlaksana maksud 'meluruskan' dalam perkara yang membabitkan pemerintahan melainkan dengan cara mengkritik. Islam mewajibkan keatas setiap pemerintah yang menguasai pentadbiran urusan muslimin agar mendengar dan berlapang dada terhadap sesiapa sahaja yang mengkritiknya, sebagaimana ia diperintahkan agar tunduk kepada kritikan ini selagimana ia bertepatan dengan perundangan dan hukum-hukum Islam. Sekaligus Islam melarang sebarang siksaan yang boleh menyakiti dan ancaman terhadap mereka yang mengkritik dan membangkangnya, sekalipun menerima kritikan yang pedas ataupun dengan kata-kata yang keras dan tajam”. (Abdul Aziz al-Badri, al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam; 71)

Memahami hakikat inilah yang membuatkan Khalifah ’Umar mendengar kritikan Arab Badwi dengan lantang menyebut, "Demi Allah s.w.t, wahai ‘Umar! Jika kami dapati kamu melakukan penyelewengan, maka kami akan meluruskan kamu dengan pedang kami yang tajam!"

Apakah tindakan ‘Umar tatkala mendengar kenyataan sekeras ini? Beliau memenjarakan tanpa bicara arab badwi itukah? Atau menarik bantuan kepadanya? Atau menghalau lelaki ini?. Jauh sekali untuk ‘Umar bertindak sedemikian. Saidina 'Umar menerima jawapan itu dengan pujian dan penuh rasa gembira, beliau menjawab;

الحَمْدُ لِلهِ الَّذِي جَعَلَ فِي أُمَّةِ مُحَمَّدٍ مَن يُقَوِّمُ عُمَرَ بِسَيْفِهِ

"Alhamdulillah, pujian bagi Allah s.w.t yang menjadikan dari kalangan umat Muhammad mereka yang sanggup meluruskan 'Umar dengan pedangnya".
 
Demikianlah Amirul Mukminin 'Umar yang merelakan dirinya untuk diperbetulkan dan diluruskan setiap kesalahan sekalipun diperbetulkan kesalahannya dengan pedang! Ya, dengan pedang yang tajam, bukan setakat lontaran kata-kata yang menikam sahaja malah dengan pedang yang menghunus.

Kata-kata Khalifah bukanlah suatu manisan dibibir namun ia adalah suatu hakikat. Mendengar teguran kepada Saidina 'Umar; "Bertaqwalah kepada Allah wahai 'Umar!". Salah seorang yang hadir dalam majlis itu menjawab, "Berani kamu berkata demikian terhadap Amirul Mukminin!". Namun Saidina 'Umar menjawab dengan mutiara kata yang indah;

لَا خَيْرَ فِيكُم إِن لَم تَقُولُوهَا وَلَا خَيرَ فِينَا إِن لَم نَسْمَعْهَا

"Tiada kebaikan bagi kamu (rakyat) jika kamu tidak menyatakannya, dan tiada kebaikan bagi kami (pemerintah) jika kami tidak mendengarnya".

Mungkin kata-kata Amirul Mukminin Saidina 'Ali Bin Abi Thalib tatkala mewasiatkan kepada semua gabenornya yang terakam dalam kitab Siraj al-Muluk dapat disematkan dalam sanubari;

فَطُوبَى لِذِي قَلْبٍ سَلِيمٍ أَطَاعَ مَن يَهْدِيَهُ وَيَجْنِبُ مَن يرْديَهُ وَأَصَابَ السَّلَامَةَ بِبَصْرِ مَن بَصَرَهُ وَطَاعَةِ هَادٍ أَمْرِهِ

"Beruntunglah mereka yang mempunyai hati yang sejahtera, yang taat kepada sesiapa yang menunjukkan jalan hidayah kepadanya dan menjauhi sesiapa yang membawanya kepada kejahatan. Selamatlah sesiapa yang mengikuti petunjuk yang diberi dan selamatlah mereka yang mengikuti perintah yang disampaikan oleh pemberi petunjuk tadi". 
Betapa malangnya dan sangat menyedihkan pada hari ni, pemerintah dan menteri-menterinya beserta kuncu-kuncunya tidak merelakan dirinya untuk ditegur dan dinasihati kesilapan mereka walaupun dengan perkataan. Dengan perkataan! Jauh sekali untuk diperbetulkan dengan pedang. Oleh itu, dalam isu judi bola ini, para pemimpin kerajaan, sedarlah tatkala Allah menghantar para ulama' untuk menyedarkan kamu sekalian, sebelum Allah menghantar Malaikat Maut menegur kamu dan menghantar Malaikat Mungkar dan Nakir untuk menyedarkan kamu!