Solleh Al-Fatimi

Tiada seorang pun sarjana Biblikal yang berwibawa akan mengakui bahawa Bible ditulis sendiri oleh Jesus. Mereka semuanya bersetuju bahawa Bible telah ditulis pengikut-pengikut Jesus (a.s.) selepas pemergiannya. Maka, jika pengarang-pengarang Bible adalah selain daripada Jesus (a.s.), adakah mereka ini dipimpin oleh Jesus atau Roh Suci (mengikut kepercayaan mereka) semasa mencatatkan setiap patah perkataan yang mereka tulis? Jawapannya adalah TIDAK! Siapa yang berkata demikian? Kebanyakan daripada sarjana-sarjana Kristian yang berwibawa berkata demikian. Contohnya:

1. Dr. W. Graham Scroggie dari Moody Bible Institute, Chicago, sebuah pertubuhan dakwah Kristian yang terkemuka berkata:
“... Ya, Bible ditulis oleh manusia, walaupun segolongan yang bersemangat menafikannya tanpa berpandukan kepada ilmu. Buku-buku tersebut adalah dari fikiran manusia, ditulis dalam bahasa manusia, ditulis oleh tangan manusia dan mempunyai gaya yang bercirikan manusia...”.
(“It is Human, Yet Divine”, W. Graham Scroggie, m.s. 17)

2. Kenneth Cragg, seorang Biskop Gereja England di Jerusalam berkata:
“... Tidak begitu dengan Perjanjian Baru... Terdapat peringkasan dan penyuntingan; terdapat penghasilan semula dan persaksian terpilih. Gospel-gospel lahir daripada pemikiran gereja yang berada di belakang pengarang-pengarangnya. Mereka menceritakan pengalaman dan sejarah...”. 
(“The Call of the Minaret”, Kenneth Cragg, m.s. 277)
Sebagai contoh, di dalam Bible kita dapati kata-kata “pengarang” Lukas:
“Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki peristiwa itu daripada permulaannya, maka saya rasa ada baiknya saya menulis satu laporan untuk tuan. ”

SIAPA PULA YANG PENGARANG BIBLE?

Maka siapakah pengarang buku-buku Bible? Jelas sekali Gereja tentunya mengenali mereka dengan baik memandangkan mereka dipercayai telah menerima ilham suci dari Tuhan sendiri. Tidak begitu? Sebenarnya TIDAK. Sebagai contoh, perhatikan bahawa setiap Gospel bermula dengan, “Menurut ...” seperti “Gospel Menurut Saint Matius”, “Gospel Menurut Saint Markus”, “Gospel Menurut Saint Yohanes”.

Kesimpulan yang boleh dibuat orang awam adalah mereka ini adalah pengarang Gospel yang disandarkan kepada mereka. Bagaimanapun, ini bukanlah halnya. Mengapa? Sebab tidak satu pun daripada empat ribu salinan manuskrip yang wujud mengandungi tandatangan pengarangnya. Andaian dibuat bahawa orang tertentu adalah pengarangnya. Namun penemuan baru telah menyanggah kepercayaan ini. Malahan bukti dalaman juga menunjukkan bahawa, Matius contohnya, tidak menulis Gospel yang disandarkan kepadanya:
“Jesus meninggalkan tempat itu. Ketika dia sedang berjalan, dia (Jesus) nampak seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Jesus berkata padanya, “Ikutlah aku”. Dia (Matius) berdiri lalu mengikut Jesus.” 
(Matius 9:9)

Adakah “Matius” telah menulis ayat di atas mengenai dirinya? Mengapakah Matius tidak menulis begini, contohnya:
“Dia (Jesus) nampak AKU, dan namaku adalah Matius. Aku sedang duduk di tempat memungut cukai...”, dan sebagainya.

Bukti begini boleh ditemui di banyak tempat di dalam Perjanjian Baru. Memang diakui bahawa kadangkala seorang pengarang menulis sebagai orang ketiga, tetapi berdasarkan bukti-bukti lain yang akan kita lihat di dalam buku ini, terlalu banyak bukti yang menentang hipotesis ini.

Pemerhatian ini tidak terhad kepada Perjanjian Baru sahaja. Terdapat bukti yang serupa bahawa sekurang-kurangnya bahagian terakhir Ulangan tidak ditulis oleh pengarang yang dipercayai menulisnya, iaitu Nabi Musa (a.s.). Ini dapat dilihat di dalam Ulangan 34:5-10 yang berbunyi:
“Lalu MATILAH Musa... Dan dikuburkanNyalah DIA (Musa)... Musa berumur seratus dua puluh tahun KETIKA DIA MATI... tidak ada lagi nabi seperti Musa SEJAK ITU di Israel.”
Adakah Musa menulis obituarinya sendiri?

Begitu juga Joshua bercerita mengenai kematiannya dengan terperinci dalam Joshua 24:29-31.
“Dan sesudah peristiwa -peristiwa ini, maka MATILAH Joshua bin Nun, hamba Tuhan itu... Lalu MEREKA MENGUBURKANNYA... Orang Israel beribadah kepada Tuhan sepanjang zaman Joshua dan sepanjang zaman para tua-tua yang hidup lebih lama daripada Joshua, dan yang mengenal segenab perbuatan yang dilakukan Tuhan bagi orang Israel.”

Bukti sebeginilah yang telah mendorong sarjana-sarjana Biblikal untuk mengakui bahawa kebanyakan buku-buku Bible tidak ditulis oleh pengarang yang dipercayai telah menulisnya. Contohnya, pengarang-pengarang “Revised Standard Version of the Bible” dengan jujur mengaku bahawa pengarang Raja-Raja “Tidak Diketahui”. Tetapi, jika pengarangnya tidak diketahui, mengapakah ia disandarkan kepada Tuhan? Bagaimanakah buku ini dikatakan telah “diwahyukan”? 

Selanjutnya, kita dapati bahawa buku Yesaya disandarkan sebagai “Kebanyakannya ditulis oleh Yesaya. Sebahagiannya mungkin telah ditulis oleh orang lain”. Pengkhutbah: “Pengarang diragui, tetapi biasanya disandarkan kepada Sulaiman”. Ruth: “Pengarang tidak diketahui dengan pasti, mungkin Samuel”, dan sebagainya.

Mari kita lihat dengan lebih terperinci satu daripada buku Perjanjian Baru, iaitu “Ibrani”:
“Pengarang Buku Ibrani tidak diketahui. Martin Luther mencadangkan bahawa Apollos adalah pengarangnya... Tertulian berkata bahawa Ibrani adalah surat yang ditulis oleh Barnabas... Adolf Harnack dan J. Rendel Harris mengagak bahawa ia ditulis oleh Priscilla (atau Prisca). William Ramsey mencadangkan yang ia ditulis oleh Philip. Bagaimanapun, kepercayaan yang telah lama diterima adalah Hawari Paul telah menulis Ibrani... Eusebius percaya bahawa Paul telah menulisnya, tetapi Origen tidak pasti bahawa Paul adalah pengarangnya.”

Daripada pengenalan “King James Bible”, versi baru dan edisi keenam yang dikemas kini, “The Hebrew/Greek Key Study”, Red Letter Edition Dan salah satu daripada buku Perjanjian Lama:
“Secara tradisinya, [Daud] diiktiraf telah menulis 73 daripada Mazmur; bagaimanapun, kebanyakan sarjana mempersoalkan dakwaan ini.”
(“Encarta Encyclopedia ”, di bawah tajuk “David”)

FIKIRKANLAH... Beginikah takrifan “kitab suci yang diwahyukan oleh Tuhan”?!

*Disunting dari buku "Apa Sebenarnya Kata Jesus" oleh Misha’al ibn Abdullah.
0 Responses

Catat Ulasan