Solleh Al-Fatimi
Tatkala ditelaah ayat-ayat suci al-Quran al-Karim. Terutamanya ayat yang menyebutkan balasan yang disediakan bagi mereka yang ingkar dan melakukan dosa kepada Allah SWT, kita dapati azab yang dijanjikan itu terlalu dahsyat dan terlalu pedih. Satu azab yang tidak mampu untuk ditanggung oleh setiap manusia. Kerana ia terlalu azab dan derita. Cuba kita hayati tayangan dalam al-Quran menerusi ayat ini:

“Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka. (Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan; sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.” (Surah Ibrahim: 49-51)

Namun persoalannya, apakah azab yang sedemikian itu merupakan azab yang kejam? Mungkin hati kecil yang bergelumang dengan dosa akan menjawab ‘Ya’!. Ya, azab itu terlalu derita dan terlalu kejam!

Sebelum melayan perasaan itu, elok sekiranya kita bertanyakan kembali, “Adakah itu benar-benar kejam?” Itu bukanlah satu kekejaman, tetapi suatu balasan yang setimpal. Sesuatu itu mungkin boleh dikatakan kejam sekiranya peringatan tidak didatangkan terlebih dahulu, dan para Rasul dan nabi-nabi tidak diutuskan. Namun segala-galanya telah datang, dan peringatan juga telah datang. Sehinggakan Prof. Dr. Hamka dalam Tafsir al-Azhar menyebut bahawa diriwayatkan nabi-nabi yang menerima wahyu sahaja tidak kurang dari 124,000 orang banyaknya, dari zaman ke zaman. Sehinggalah sampai ke zaman Nabi Muhammad SAW. Antara mereka lebih daripada 300 orang yang disebut rasul yang membawa syariat. Dan kitab-kitab wahyu yang terkenal tiga buah iaitu Taurat, Injil dan al-Quran, ditambah lagi dengan beberapa suhuf.

Dan pada masa itu sendiri diberi pula alat penerima segala ajaran dan peringatan tersebut iaitu akal. Dan akal ini dengan tabiatnya yang menyukai kebaikan dan membenci keburukan. Rasul-rasul dan nabi-nabi dengan kitab-kitab wahyu itu memberikan keterangan dengan jelas. Membujuk, merayu dan menyeru. Mengancam dengan bahaya, memberi khabar gembira untuk yang taat. Maka kalau dimungkiri dan ditolak, lalu diberi hukum yang setimpal, bukankah itu sesuatu yang patut dan setimpal? Adakah itu disebut kejam? Kalau masih juga merasakan bahawa itu kejam: masuk neraka, leher dibelenggu, pakaian dari tembaga panas, meminum air mala darah campur nanah, memakan buah zaqqum.
Kalau semuanya itu kejam dan mengerikan, mengapa tidak dari sekarang saja di waktu hidup ini semua larangan Allah SWT dan Rasul-Nya itu dielakkan dan dijauhi, sedangkan jalan untuk melakukan kebaikan dan ketaatan itu masih terbentang luas.

Ketika menulis tafsir al-Azhar, Prof. Dr. Hamka teringat kepada sanggahan seorang yang katanya ‘berfikiran bebas’ dalam hal agama. Dia mengatakan bahawa ancaman-ancaman al-Quran kepada orang yang berodsa itu terlalu kejam, akan dibelenggu, akan dipakai baju tembaga panas, akan diminumkan air mala darah bercampur nanah dan disuruhkan memakan buah zaqqum yang berduri dan tidak lalu dikerongkongan dan sebagainya, padahal menurut penyelidikan ahli-ahli ilmu jiwa, tidaklah ada manusia yang semata-mata jahat yang harus menerima hukuman sampai sedemikian kejam. Apatah lagi kalau kekal pula di neraka. Padahal hidupnya di dunia pada umumnya dan rata-rata paling tinggi hanya 70 tahun.

Oleh kerana dia berkata bahawa dia adalah ‘free-thinker’, bebas berfikir, saya mintalah dia berfikir pula sebaliknya: “Bagaimana pendapatnya tentang orang yang berbuat baik, beriman dan beramal soleh, yang hidupnya di dunia pun rata-rata tidak lebih dari 70 tahun, lalu dimasukkkan ke dalam syurga, duduk di pundai bertatahkan ratna, minum dari mata air yang jernih, memakan buah-buahan yang lazat, dihibur oleh anak bidadari, dilayan oleh anak bidadari, bercengkerama dan bersuka ria dan kekal di sana selama-lamanya. Adakah sepadan usianya yang paling tinggi 70 tahun itu dengan kekalnya nikmat yang diterimanya?

Kalau saudara memang seorang yang berfikiran bebas, mengapa tidak pula saudara fikirkan bahawa di samping ancaman yang kejam yang saudara katakan tiada setimpal, ada lagi balasan kurnia, yang juga tidak setimpal? Apakah kebebasan fikiran saudara hanya mengingatkan kejamnya dan tidak bebas fikiran saudara untuk mengenangkan kasih sayang, cinta dan kurniaNya bagi yang taat? Sedang waktu buat menentukan nasib dibelakang hari itu adalah di kala hidup di dunia ini?

Kita pun mengakui bahawa di dalam diri kita itu sentiasa terjadi peperangan yang hebat antara cita-cita yang baik dengan kehendak hawa nafsu yang buruk. Kita pun mengerti bahawa tiada manusia yang semata-mata baik dan tidak pula ada yang semata-mata buruk. Kita pun merasa dalam diri sendiri bahawa kita pun bukanlah semata-mata jahat, dan kita pun ada kehendak yang baik. Kalau demikian halnya, alangkah baiknya jika cita baik itu kita pupuk. Atau keburukan yang telah terlanjur kita kerjakan, lalu kita imbangi dengan berbuat baik. Pada saat kiamat itu semuanya akan ditimbang. Nescaya kita ingin hendaknyalah timbangan kepada yang baik lebih berat dan timbangan yang buruk lebih ringan. Dan terlebih dahulu kita tanamkan pokok dari segala baik dalam jiwa kita, iaitu kepercayaan kepada Allah SWT Yang Maha Esa.

Bukankah pada ayat 24-27 dari Surah Ibrahim menyatakan bahwa ‘Kalimah Tayyibah’ itu adalah laksana pohoh yang baik, yang uratnya terhunjam ke bumi dan dahan serta cabangnya menjulang ke langit dan berbuah terus setiap masa dengan tidak mengenal musim. Kalau pohon ini telah tumbuh dengan suburnya, maka pohon lain yang tidak berfaedah tidaklah akan berani tumbuh lagi dekat dia, sebab dari suburnya. Dialah yang menghisap udara dan mengambil cahaya matahari. Sebelum tumbuhnya subur, siangi rumput-rumput yang tumbuh di dekatnya. Kelak kalau dia sudah subur, tidak pun rumput itu disiangi, namun dia tidak akan tumbuh lagi di bawah naungan pohon yang rendang itu, sebab dia tidak mendapat udara lagi… فاستبقوا الخيرات... Maka bersegeralah melakukan kebaikan…


*Diadabtasi dari Tafsir al-Azhar, Prof. Dr. Hamka. Juz 13, Hal: 163-165. Pustaka Panjimas, Jakarta, 1983.
Labels: , | edit post
0 Responses

Catat Ulasan