Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).

Klik untuk Menonton Video Promo


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُ بِهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا. إِنَّهُ مَن يَهْدي اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَبَعْدُ:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ (26)
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah al-A’raf 7: 26)
Kehadiran Islam telah mengangkat darjat wanita dan menjadikan wanita setaraf dengan lelaki dari segi hak dan tanggungjawab. Hakikat ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Islam mengangkat darjat wanita dan meletakkan wanita sebagai saudara dan rakan kongsi dalam hidup lelaki. Wanita bergantung pada lelaki dan lelaki bergantung kepada pada wanita. Islam juga telah dan sentiasa melayan wanita sebagai manusia yang sempurna, manusia yang mempunyai hak dan tanggungjawab. Jika tanggungjawab ini ditunaikan, mereka akan diberikan penghargaan sekaligus mereka berhak menerima hak mereka.
Walau bagaimana pun terdapat perbezaan hak antara lelaki dan wanita, hal ini berdasarkan perbezaan semula jadi antara lelaki dan wanita yang tidak dapat dinafikan. Juga berdasarkan perbezaan peranan yang dimainkan oleh mereka. Ia bertujuan memelihara hak-hak yang telah diberikan kepada kedua-dua jenis.[1]

Darjat yang tinggi di sisi agamalah yang melayakkan para wanita mendapat layanan yang begitu istimewa. Mereka diibaratkan sebagai permata yang tersimpan indah lagi mulia. Oleh yang demikian, Islam memberi perhatian yang lebih terhadap keselamatan, kesucian dan kehormatan wanita. Ia dijaga rapi dan dijauhkan daripada tangan-tangan kotor yang cuba menodai dan mengganggu gugat kesuciannya. Antara kaedah yang digunakan bagi merealisasikan matlamat ini ialah dengan memerintahkan para wanita memakai pakaian yang menutup aurat secara sempurna. Dengan cara ini, keselamatan, kesucian dan kehormatan seorang wanita dapat dipertahankan.

Setelah berlalu masa demi masa, pelbagai anasir asing menyelinap masuk dalam masyarakat Islam dan pemikiran umat Islam sehinggakan wanita mencari kemuliaan selain daripada Islam. Mereka mengejar kehormatan yang diwarnai oleh musuh-musuh Islam. Mereka bukan sekadar beralih daripada pakaian keselamatan, kehormatan dan kesucian mereka, malah meninggalkan pakaian tersebut dan memilih untuk memakai sesuatu yang berlawanan dengan kehendak Islam. Lebih menduka citakan apabila mereka berasa begitu bangga dengan pakaian yang mendedahkan tubuh badan mereka tanpa sedikit pun rasa malu.

Lebih menyedihkan lagi apabila anasir-anasir ini diikuti oleh para wanita muslimah terutamanya anak-anak muda. Mereka terpengaruh dengan cara pakaian yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Mereka bukan setakat terpengaruh dengan cara pemakaian sahaja, mala mereka turut terpengaruh dengan cara berfikir yang diolah oleh musuh-musuh Islam. Mereka dimomok-momokkan bahawa pakaian ini memberikan keyakinan diri, kebebasan dan kehormatan diri yang mutlak. Sedangkan realitinya adalah sebaliknya.

Bertolak dari perkara ini, maka terciptalah -sama ada secara sengaja atau tidak sengaja- pelbagai alasan sama ada dari sudut keagamaan, psikologi, pemikiran dan lain-lain bagi mengukuhkan pengaruh mereka. Bahkan turut merangka alasan bagi melambatkan proses seseorang wanita bertudung dan berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Proses ini tidak terhenti di situ sahaja, malah ia disebar bagi mempengaruhi wanita. Akhirnya para wanita dijangkiti penyakit kekeliruan dan kemusykilan.

Kekeliruan dan kemusykilan ini tidak sepatutnya dibiarkan terus bersarang di dalam fikiran para wanita muslimah. Ia perlu dileraikan dan diberi pencerahan yang terang agar jalan yang bakal ditempuh adalah jalan yang dipilih dengan penuh keyakinan. Untuk itu, penulis cuba berkongsi cahaya untuk menyuluh jalan tersebut agar para pembaca mendapat cahaya yang terang lagi jelas bagi menghilangkan kesamaran dan kegelapan tersebut. Semoga solusi yang diberikan mampu menghilangkan kekeliruan dan kemusykilan tersebut, seterusnya menggerakkan wanita agar memilih dengan penuh keimanan dan keyakinan untuk bertudung dan berpakaian menutup aurat dengan sempurna.
Penulis merafakkan tangan kepada Allah SWT agar buku ‘AURATKU MARUAHKU’ ini mampu menyuntik kesedaran dan dimanfaatkan sebaiknya untuk kehidupan yang lebih mendamaikan. Kita panjatkan doa kepada Allah SWT agar diberi taufiq dan hidayah untuk terus hidup sebagai seorang wanita muslimah persis para sahabiah r.a di zaman Rasulullah SAW.

Maklumat buku:
Betulkah Menutup Aurat Itu Wajib?
Tudung Ialah Simbol Penindasan Wanita!
Tunggulah Sehingga Tua Nanti
Tunggulah...Belum Dapat Hidayah
Persoalan di atas sering menimbulkan kemusykilan dan kekeliruan berkaitan kewajipan wanita Muslimah berpakaian mengikut syariat Islam. Kaedah dan keperluan menutup aurat sempurna semakin dikaburi oleh arus fesyen dan gaya hidup masyarakat Islam itu sendiri. Buku“Auratku Maruahku” ini merungkai semua keraguan dan kemusykilan anda. Persembahan kandungan dalam bentuk soal jawab memudahkan pembaca memahami kepentingan syariat ini. Setiap persoalan dijawab berserta huraian, rujukan al-Quran dan hadis, rujukan kitab dan ilustrasi yang menarik. Teks mudah difahami, ringkas dan agak santai. Grafik menarik, berilustrasi dan berwarna penuh. Sesuai dijadikan bacaan usrah, rujukan di perpustakaan, hadiah buat teman dan ahli keluarga.
Nama Penyusun : Siti Nur Fatimah Hassan & Mohd. Solleh Ab. Razak
Harga: RM 26.00
Kod Produk: TBBK 1283
ISBN: 978-967-388-148-2
Saiz: 16.5 cm X 24 cm
Mukasurat: 168 ms


ISI KANDUNGAN BUKU: 
PENA PENERBIT
PENA PENGARANG
PEMBUKA BICARA
1.      Betul Ke Menutup Aurat Itu Wajib
2.      Penting Sangat Ke Menutup Aurat
3.      Tidak Menutup Aurat Hanya Dosa Kecil
4.      Tudung Merupakan Simbol Penindasan Wanita
5.      Kalau Nak Bertudung, Biarlah Ikhlas Dulu
6.      Iman Lebih Penting Daripada Tudung
7.      Yang Penting Hati Baik
8.      Rasa Cinta Pada Nabi Dah Cukup
9.      Tunggulah…Belum Dapat Hidayah
10.  Wanita Yang Menutup Aurat Tak Semestinya Baik
11.  Kami Ingin Kelihatan Cantik, Kenapa Perlu Sekat
12.  Pakaian Biar Sederhana, Janganlah Ekstrem
13.  Muda Hanya Sekali, Hidup Pun Sekali Je
14.  Bertudung Boleh Merosakkan Rambut
15.  Wanita Yang Menutup Aurat Pun Tidak Selamat
16.  Melindungi Wanita Bukan Sekadar Dengan Pakaian
17.  Bukan Wanita Yang Salah, Tetapi Lelaki
18.  Sekadar Tidak Tutup Aurat, Bukan Seksi Pun
19.  Tidak Adil Menilai Wanita Berdasarkan Pakaian
20.  Sayang Dengan Baju Sekarang
21.  Pengaruh Kawan-Kawan Yang Terlalu Kuat
22.  Dipandang Hina Kerana Menutup Aurat
23.  Tunggulah Dulu Sehingga Berkahwin
24.  Ibubapa Larang, Suami Tak Izin
25.  Kalau Tak Tutup Aurat Pun, Suami Yang Tanggung Dosanya
26.  Status Pun Kena Jaga
27.  Tungguhlah Bila Dah Tua Nanti
28.  Dah Bertudung, Dah Kira Tutup Aurat La…
29.  Asalkan Ada Kain Atas Kepala
30.  Bimbang Tak Istiqamah Apabila Menutup Aurat
PENUTUP


Makluman lanjut: https://www.facebook.com/msar85 



[1] Hasan al-Banna. Wanita Islam, di dalam Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna hal: 394

0 Responses

Catat Ulasan