Solleh Al-Fatimi
Oleh:
Abu Mujahid
Mohd Solleh Ab Razak (MSAR).
Majalah Al-Ustaz > Kolum Kiamat Dekat > Isu 3



عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ 

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ وَيَثْبُتَ الْجَهْلُ
Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu dan tersebarnya kejahilan”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

SOALAN PERTAMA

Antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu akan dicabut dan diangkat. Boleh ustaz jelaskan apakah yang dimaksudnya dengan ilmu dicabut atau diangkat?

JAWAPAN

Tidak dinafikan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa antara tanda-tanda kiamat ialah ilmu diangkat. Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda, “Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu dan tersebarnya kejahilan”. (HR al-Bukhari dan Muslim). Terdapat hadith lain lagi yang meriwayatkan perkara ini.

Untuk memahami makna ilmu itu dicabut atau diangkat, elok sekiranya kita merujuk al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari; Yang dikehendaki daripada hadith ialah menguatkan perkara tersebut sehingga tidak yang kekal perkara yang disebaliknya (semaraknya keilmuan dan ulama’) kecuali sangat jarang sekali. Perkara inilah yang diisyaratkan dengan ungkapan ‘ilmu dicabut’. Maka pada masa itu tidak wujud lagi melainkan kejahilan yang sebenar-benarnya. Walau bagaimanapun dalam keadaan tersebut, ia tidak menghalang wujudnya sekumpulan daripada ulama, namun kedudukan mereka pada waktu itu sudah tidak dikenali lagi.

Pada hadith yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan maksud itu dengan kematian para ulama. Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As meriwayatkan; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut ilmu itu secara sekaligus, dengan mencabutnya daripada para hambanya. Tetapi Allah SWT mencabut ilmu dengan mematikan ulama, sehingga tidak tinggal lagi ulama. Maka manusia menjadikan golongan yang jahil sebagai pemimpin. Manusia bertanya kepadanya, maka pemimpin tersebut memberi pendapat atau fatwa tanpa berlandaskan ilmu. Natijahnya, mereka semua sesat dan menyesatkan orang lain”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Nawawi menyebut dalam Syarh al-Nawawi li Muslim; “Hadith ini menerangkan makna ‘mencabut ilmu’ dalam hadith yang disebutkan lalu, bukanlah dengan cara memadamkannya daripada dada-dada penghafaznya, tetapi maknanya ialah dengan cara Allah SWT mematikan para ulama. Manusia menjadikan orang-orang jahil, yang akan memutuskan hukuman dengan kejahilan mereka. Akibatnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.

Kesimpulannya,yang dimaksudkan dengan ‘ilmu dicabut’ ialah dengan mematikan para ‘alim ulama. Wallahu a’lam.




SOALAN KEDUA
Apakah ilmu yang dicabut pada akhir zaman nanti?

JAWAPAN
Ilmu yang akan dicabut pada akhir zaman sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah ilmu al-Quran dan al-Sunnah. Iaitu ilmu yang diwarisi daripada para nabi a.s. Setelah para nabi a.s wafat, tugas ini dipikul oleh para ulama selaku pewaris para nabi. Namun bersama kematian para ulama’, ilmu bersama mereka juga turut pergi (lenyap). Waktu itu matilah segala sunnah dan suburlah perkara bid’ah. Ini semua berlaku akibat kejahilan yang berleluasa.

Adapun ilmu dunia, ia sentiasa bertambah dari semasa ke semasa dan ia bukanlah ilmu yang dimaksudkan dalam hadith ini. Kerana Rasulullah SAW bersabda; “Manusia bertanya kepadanya, maka pemimpin tersebut memberi pendapat atau fatwa tanpa berlandaskan ilmu, maka mereka semua sesat dan menyesatkan orang lain”. Kita menyedari sesungguhnya kesesatan hanya akan berlaku dalam soal agama sahaja. Ulama yang sebenarnya ialah mereka yang mengamalkan ilmu mereka, bersemuka dengan (permasalahan) umat dan menunjukkan umat berdasarkan jalan kebenaran dan petunjuk (Islam). Sesungguhnya ilmu tanpa amalan adalah tidak berfaedah, bahkan ia menjadi musibah keatas pemiliknya. Perkara ini disebut oleh Dr. Yusuf bin Abdullah al-Wabil dalam kitab Asyrath al-Sa’ah. Wallahu a’lam.



SOALAN KETIGA
Bagaimanakah cara terbaik kita berinteraksi dengan para ilmuan dan para ulama? 

JAWAPAN
Untuk menjawab soalan ini, kita perlu terlebih dahulu mengenali kedudukan ulama’. Secara ringkasnya, saya jelaskan. Allah SWT berfirman; “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu”. (Surah Fatir, ayat ke-28)

Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya perumpamaan ulama' di muka bumi seperti bintang di langit yang menjadi pedoman dalam kegelapan di darat dan di laut, apabila bintang telah malap maka hampirlah juru petunjuk itu kepada kesesatan" (HR Ahmad).

Imam Malik menyatakan, “Ulama’ adalah pelita pada zamannya”. Menyedari hakikat ini dan hakikat ilmu akan dicabut dengan kematian ulama, maka kita perlu berinteraksi dengan para ulama yang jujur lagi benar dengan cara yang selayaknya. Antaranya:

1. Memuliakannya dengan memberikan penghormatan yang selayaknya kerana keilmuannya.

2. Menjadikan para ulama sebagai model ikutan dan tempat rujukan.

3. Mengikuti bimbingannya dengan cara menghadiri majlis ilmunya, membeli dan membaca hasil tulisannya, mendengar nasihatnya dan sebagainya.

4. Membantu, menyokong dan seterusnya mendokong perjuangan ulama dalam menegakkan Islam di tanah air.

5. Menjaga adab dan akhlak semasa berinteraksi dengan ulama. Jangan sesekali mencerca dan menghina, apatah lagi memfitnah ulama’. Samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Wallahu a’lam.


p/s: Soal jawab ini merupakan petikan daripada MAJALAH AL-USTAZ...Kemungkinan edisi cetak dan edisi blog ini terdapat sedikit perbezaan kerana edisi blog adalah karya yang belum diedit oleh editor. Mohon kemaafan jika terdapat kesilapan.
0 Responses

Catat Ulasan