Solleh Al-Fatimi

oleh: 
Abu Mujahid
Mohd Solleh bin Ab Razak


Kita mulakan impian kita untuk melahirkan anak pencinta al-Quran melalui buku ini dengan sama-sama kita membaca dan memahami pesanan yang disampaikan oleh Allah SWT kepada kita semua. Mulakanlah dengan membacanya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim 66: 6)

Itulah penegasan yang Allah SWT serlahkan kepada kita agar memelihara diri dan ahli keluarga daripada api neraka. Perintah ini ditujukan kepada golongan yang mengaku sebagai beriman. Sebagai petunjuk bahawa keimanan yang tersemat di dalam diri belum cukup untuk melepaskan diri dan keluarganya daripada api neraka yang membakar. Justeru iman yang tersemat di dalam diri itu mestilah dipelihara dan dipupuk.

Allah SWT menyeru para mukminin sekalian agar menjadi agen penyelamat bagi menyelamatkan diri daripada api neraka. Bukan sekadar menyelamatkan dirinya daripada api neraka sahaja, bahkan sebagai penyelamat bagi ahli keluarganya. Dalam memikirkan hal ini, siapa lagikah yang selayaknya menjadi penyelamat kepada ahli keluarganya kalau bukan kita yang bergelar ibubapa?

Oleh itu, tiada cara lain yang mampu menyelamatkan anak-anak kita melainkan dengan didikan dan tarbiah agar mereka menjadi hamba Allah SWT yang sejati. Hamba yang meletakkan al-Quran pada tempat yang pertama dan utama. Semuanya bermula dengan didikan dan tarbiah.


Disebalik Pendidikan dan Tarbiyah

Pendidikan adalah sinonim dengan makna ‘tarbiyyah’. Yang mana ia berasal daripada perkataan Bahasa Arab. Apabila kita merujuk kepada kamus Bahasa Arab, kita mendapati kalimah ‘tarbiyyah’ memp
unyai tiga pangkal bahasanya:

Pertama: (رَبَا - يَرْبُو) iaitu bertambah dan subur.

Keduanya: (رَبِيَ - يَرْبَى) iaitu berkembang dan tumbuh

Ketiga: (رَبَّ - يَرُبُّ) iaitu memperbaikinya, mengurus urusannya, memimpinnya, menjaga dan memeliharanya.

Indah sungguh Bahasa Arab. Pengertian dari segi bahasa pun sudah cukup menggambarkan pengertian tarbiah. Itu jugalah yang kita inginkan dari tarbiah. Kita inginkan anak-anak kita membesar dengan penuh kesuburan. Namun setiap kekurangan dan kesilapan diperbaiki dan diuruskan dengan sebaiknya demi menjaga dan memelihara perjalanan hidup di dunia ini tetap pada landasan syariat.

Imam al-Baidhawi dalam tafsirnya ‘Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil’ menyebut definisi tarbiah seperti berikut:

تَبْلِيغُ الشَّيْء إِلَى كَمَالِهِ شَيْئًا فَشَيْئًا ثُمَّ وَصَفَ بِهِ تَعَالَى لِلْمُبَالَغَةِ

“Menyampaikan sesuatu sehingga ia menjadi sempurna secara sedikit demi sedikit. Kemudian mensifatkan Allah SWT dengan kesempurnaan”.

Imam al-Raghib al-Asfahani dalam ‘Mufaradat al-Quran’ pula berkata;

إِنْشَاءُ الشَّيْء حَالًا فحَاَلًا إِلَى حَدِّ التَّمَامِ

“Perkembangan sesuatu pada satu keadaan kepada keadaan yang lain sehingga mencapai tahap kesempurnaan”.

Rumusannya, tarbiah ini terbina daripada beberapa unsur penting. Al-Ustaz Abdul Rahman Albani menerusi kitabnya ‘Madkhal ila al-Tarbiyyah’ merumuskannya:

Pertama: Memelihara dan menjaga fitrah yang berkembang.

Kedua: Suburkan potensi-potensi dan persediaan secara keseluruhannya yang mempunyai pelbagai kategori.

Ketiga: Pandu atau pimpin fitrah dan kesemua potensi ini menuju kepada kebaikan dan kesempurnaan yang selayaknya.

Keempat: Pelaksanaan proses tarbiah secara berperingkat.[1]

Itulah lukisan yang terpampang jelas tentang tarbiah. Itulah tugas kita. Satu perumpamaan yang sangat menarik diutarakan oleh Imam al-Ghazali melalui risalah ‘Ayyuhal Walad’ yang seharusnya kita menghayatinya;

وَمَعْنَى التَّرْبِيَّةِ يُشْبِهُ الفَلَّاحُ الَّذِي يَقْلِعُ الشَّوْكَ. وَيَخْرُجُ النَّبَاتَاتِ الْأَجْنَبِيَّةِ مِن بَيْنَ الزَّرْعِ لِيُحْسِنُ نَبَاتَهُ وَيَكْمِلُ رِيْعَهُ

“Makna tarbiah seumpama seorang petani yang mencabut duri-duri dan mengeluarkan pohon-pohon asing yang terdapat pada ladang tanamannya. Agar dapat mengelokkan tanamannya dan menyempurnakan kesuburan dan pertumbuhannya”.[2]

Ya, tarbiah mencabut duri dan mengeluarkan pohon-pohon asing yang mengganggu proses tumbesaran tanaman kita. Tugas ini sekalipun seumpama seorang petani, namun dihadapannya menghadapi risiko tertusuk duri dan kesukaran mengeluarkan pohon tidak bermanfaat. Itulah kesukarannya. Sesuatu yang terkadang sudah sebati dalam diri dan kehidupan, untuk mencabut dan membuangnya bukanlah sesuatu yang mudah. Terkadang diri yang terkorban. Namun ia merupakan asam garam dalam mentarbiah, kerana dalam kita mentarbiah anak-anak, dalam masa yang sama Allah SWT turut mentarbiah diri kita. Bersyukurlah.

Dari kerana itulah, terdapat kenyataan yang menyatakan bahawa menjadi ibubapa adalah pekerjaan yang amat sulit. Peranan ini harus dilaksanakan dengan menggunakan kebijaksanaan, ketekunan, pengalaman, pengetahuan dan ketabahan hati yang tinggi. Semoga kita dikurniakan kriteria-kriteria tersebut.

----
[1] Abdul Rahman al-Nihlawi. Usul al-Tarbiah al-Islamiyyah wa Asalibuha hlm. 16-17
[2] Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan. Tarbiyah al-Aulad fi al-Islam hlm. 11
0 Responses

Catat Ulasan